Jiran-jirannya terlalu prihatin, itu masalahnya sekarang. Setiap dua atau tiga minggu sekali, pasti ada saja jemputan kenduri. Lorong jalan yang sekangkang kera ditutup dengan khemah dan kereta. Anak bersunat, majlis hari jadi, akikah, tahlil, pendek kata semua peristiwa mahu dijadikan kenduri. Pening kepalanya hendak mencari parkir kereta memandangkan mereka tinggal anak-beranak. Bayangkan setiap rumah ada dua atau tiga buah kereta. Menggelegak jugalah kalau ada orang yang tak sensitif parkir hingga menyusahkan tuan rumah mahu keluar masuk.

Sebenarnya masalah di atas hanya mukadimah saja. Kejadian yang tidak diingini berlaku. Rumahnya dimasuki pencuri. Kamera dan telefon bimbitnya hilang. Rumahnya tidak digeledah seperti pencuri tahu mana letaknya barang-barang berharga itu. Menyirap darah lagi bila kejadian itu berlaku ketika dia ada di rumah. Tidur mati. Mahu tidak mahu, dia buat juga laporan polis walaupun hal itu tidak akan mengembalikan barang-barangnya yang telah hilang. Dia terpaksa reda. Kejadian kecurian berlaku lagi seminggu kemudian. Kali ini, jiran selang tiga buah rumahnya. Bagaimana dia tahu? Mudah saja. Maklumat disampaikan secara terperinci oleh Makcik Timah. Dalam bahasa teknologinya, portable WiFi hotspot. Dia hanya mengangguk kepala, tanda hormat dengan orang tua itu walaupun orang tua itu tahu dia hendak cepat ke pejabat. Kali ini, barang yang dicuri ialah keris dan beberapa bahan tembaga. Di dalam kereta menuju ke pejabat, sempat juga dia berfikir orang yang mahu merompak. Keris? Hendak buat apa? Orang terakhir yang guna keris ialah Hang Tuah, entah berapa ratus tahun dulu. Bahan-bahan tembaga? Bukankah ia untuk perhiasan orang-orang tua saja? Kenapa tak ambil duit saja? Sepatutnya pencuri lagi arif bila duit BR1M sudah diterima penduduk di situ. Kalau diimbas semula, kamera dan telefon bimbit yang dicuri mungkin melibatkan penagih dadah tegar. Namun yang menjadi persoalannya, bagaimana Makcik Timah tahu yang rumahnya dimasuki pencuri?

Pihak Rukun Tetangga yang dulunya ditubuhkan mengikut musim, kini mula aktif kembali. Bermacam-macam agenda yang hendak dilaksanakan, antaranya membaik pulih pondok pengawal yang dulunya tidak berhawa dingin dan pakaian seragam untuk ahli yang berkawal. Semua itu, tentulah bukan percuma. Dia dari awal lagi mengelak dari bercampur dengan pakcik-pakcik yang banyak berborak, merokok dan minum kopi di pondok berkawal. Kalau beginilah perancangannya, memang akan ada lagi kes kecurian yang akan berlaku.

Telahannya tepat. Kali ini rumah Makcik Timah sendiri yang diceroboh. Pada ketika itu, dia sibuk dengan mesyuarat Kelab Wanita. Dia dengar juga sayup-sayup kedengaran tangisan seperti orang meroyan anak sulung. Dalam hatinya, apa sajalah drama orang tua ni. Mungkin disebabkan dia malas ambil tahu, maka Makcik Timah sendiri terpaksa memberitahu yang rumahnya dimasuki pencuri. Bertanyakan apa barang hilang, dia menjawab, “Baju nikah si Piah!”. Untuk berlaku sopan, dia hanya mendiamkan diri. Baju nikah anak dia yang hilang tapi dia yang meraung macam orang mati laki. Hal ini, dia suarakan pada Arja, kawan sekolejnya yang kini bertugas sebagai wartawan jenayah di akhbar terkemuka di Malaysia. Arja yang sifatnya tenang bersahaja hanya tersenyum sumbing bila dia mendengar hal picisan itu.

“Makin merepek pencuri tu.”

“Jadi, kau fikir ia dilakukan oleh orang yang sama?”

Arja tak menjawab, tapi dia mengulumkan senyuman yang kononnya dia tahu siapa punya kerja. Dia mendengus dalam hati. Inilah orang perempuan. Suka berlagak macam bagus.

Malam itu, dia tidak boleh lelapkan mata. Dalam hati keringnya terasa seperti ada yang tidak kena. Dengan siaran televisyen yang membosankan, sengaja dia mengambil angin malam. Tingkap biliknya sengaja dibiarkan terbuka bagi memberi laluan angin masuk. Tiba-tiba matanya terpandangkan satu lembaga. Cepat-cepat dia capai cermin matanya. Memang ada kelibat di hadapan rumahnya. Sama ada ia sedang menuju ke rumahnya atau rumah Makcik Timah, dia tidak pasti. Yang jelas kelihatan kelibat itu seperti kanak-kanak lelaki berpakaian gelap, sedang terbongkok-bongkok mencari sesuatu. Lantas dia menjerit,”Hoi!” Entah bagaimana pandangannya terus kelam.

Kejadian malam semalam tidak dia beritahu sesiapa. Sebelum ini pun tidak diberitahu sesiapa kecuali Arja, tapi cerita tetap bertebaran. Jadi, dia mengambil pendekatan diam dan dengar versi Pak Pandir Moden. Pada waktu petang, selepas dia ternampak kelibat di hadapan rumahnya, sebuah kereta peronda parkir di hadapan rumahnya. Dia menyumpah dalam hati. Satu hal pulak dia hendak cari tempat parkir yang lain. Atau adakah ini berkaitan dengan kes kecurian lagi? Atau tentang lembaga semalam? Dia disapa oleh seorang anggota polis yang kemudiannya bertanyakan tentang apa-apa perkara yang mencurigakan berlaku malam tadi. Malam tadi? Lantas dia menggelengkan kepala dan berkata tidak. Nanti makin panjang ceritanya dan berpanjangan ke balai polis.

Hendak dijadikan cerita, akhirnya dia tahu juga tentang kehadiran kereta polis semalam. Kejadian kecurian kebelakangan ini yang berlaku di Rumah Mesra Rakyat telah hampir ke penyelesaiannya. Barang-barang curi telah dijumpai di rumah Makcik Timah. Ahli keluarganya disoal siasat termasuk Makcik Timah sekali. Untuk tidak memanjangkan cerita, dia hanya mengesahkan barang-barangnya yang dicuri. Selepas itu, dia mengambil keputusan untuk pindah rumah. Sebab jauh di sudut hatinya, dia tahu bukan ahli keluarga Makcik Timah yang mencuri. Mungkin lembaga itu hanyalah orang suruhan Makcik Timah, barangkali.