Ah! Mengapa aku berbaring di selekoh ini? Apa yang aku buat di sini? Apakah yang terjadi kepadaku? Siapa pula lelaki ini?

Matanya melirik ke arah sekujur tubuh seorang pemuda yang tertiarap di sebelahnya. Wajahnya mencium jalan menyukarkan Jauhari untuk mengecam empunya diri. Berbadan sasa, berkulit sawo matang. Apa yang berlaku kepadanya? Mengapa dia berbaring di sini? Jauhari menggoncang-goncang tubuh sasa itu. Tiada sahut. Dia cuba membalikkan tubuhnya pula. Jauhari ingin benar tahu siapakah dia. Malang sekali, misinya tidak tuntas. Tubuh pemuda itu berat sekali. Berkali-kali Jauhari cuba memusingkan, tetap tidak temu jaya.

Namun, Jauhari enggan menyerah. Lantas, pandangannya tertancap pada kaki dan tangan pemuda itu. Seluar dan bajunya koyak. Luka-luka berdarah menempel di siku. Lubang besar berbekas di lutut hatta terlihat daging-daging dan temulang. Apakah dia ditimpa kecelakaan? Atma Jauhari membungkam. Otaknya membeku. Seluruh badannya bergetar. Niat untuk menghubungi ambulans dipendam lantaran ketakutan yang amat. Jauhari hilang punca. Dia menikus, terus mengatur larian dan meninggalkan pemuda itu sendirian. Jauhari berlari segigih mungkin, sehingga tubuh pegun itu sirna daripada pandangan. Tidak sekadar menjauh, bahkan Jauhari semahunya melarikan diri daripada masalah. Empatinya mati. Fikirnya, ini penyelesaian terbaik. Dia tidak mahu beban memberati pundaknya. Renyai hujan pun terhenti. Rahmat Tuhan menyejukkan bumi. Hanya sekalian jiwa manusia masih berbahang!

Sesudah memecut seperti dirasuk jembalang, lariannya ternoktah di satu sudut. Nafasnya tersendat-sendat. Jauhari bersandar pada sebatang tiang elektrik di tepi deretan kedai. Sedang dia mencuri nafas, matanya menangkap sesuatu. Pandangannya memusat pada seorang anak kecil yang berada di pangkuan seorang wanita berwajah kusut. Selendang bercorak pokadot yang dipakai wanita itu seperti boleh dibuat kain buruk. Bukan main lagi kepamnya. Ya, pasti itu ibunya. Mereka menjajahi kawasan terpencil di lapangan depan bank. Gadis kecil yang berusia sekitar tiga tahun itu pun bangun, berlari-lari di ruang kaki lima, bermain sendiri. Lari-lari dan kembali ke ribaan ibunya. Kelihatan ibunya menghulur cawan plastik yang digenggaminya kepada pejalan kaki yang melewati kawasan mereka. Ada yang peri simpati, berhenti lalu memasukkan sekeping dua not ke dalamnya. Sekadar dua tiga manusia yang diruntun rasa kasih daripada berbilang-bilang yang ada. Jauhari memerhati lagi. Semakin gusar wajah si ibu. Entah apa difikirnya. Si anak pula memandang tanpa mengerti. Duduk mereka beralaskan kotak-kotak berlipat. Hiruk-pikuk menembok. Culang-caling langkah manusia berkejaran waktu, mengira-ngira wang di lapangan itu dan berlalu pergi, tanpa peduli.

Jauhari meraup wajah. Menyeka rambut ikalnya. Matanya yang bundar terpejam rapat. Manik-manik jernih mengalir di pipi. Jiwanya dipagut pilu. Aku juga seperti itu, tidak ambil pusing kewujudan mereka. Selalu berkira-kira dan mempersoalkan kehadiran mereka. Mengapa aku tidak merenungi? Mengapa aku kikir pada si fakir? Tanpa berlengah, Jauhari menghampiri mereka, lalu mengeluarkan sekeping wang merah daripada dompetnya. Tapi, kali ini situasinya agak aneh. Si ibu separuh usia itu tidak menghulurkan cawan plastik kepadanya seperti yang dilakukan terhadap orang yang bertali-arus di situ. Malah, tidak sedikitpun menoleh ke arahnya. Kehadiran Jauhari tidak dirai. Wanita itu sekadar menunduk dan merenung lantai. Fikir Jauhari, barangkali si ibu sudah berputus asa mengemis simpati. Berduka dengan ketidakpedulian manusia. Namun, itu tidak melenyapkan jiwa insani Jauhari. Dia lekas menyumbat wang ke dalam cawan itu. Matanya sempat menatap wajah anak kecil di depannya. Meski debu-debu jalan tertampal di wajah polos gadis kecil itu, kebeningan terpancar indah. Pada nilam di matanya, terkandung koleksi cerita. Si kecil berbalas pandang kosong, tanpa sebarang kata. Ibunya masih tidak mengangkat wajah. Kendatipun begitu, Jauhari tersenyum puas. Hajatnya untuk berbakti, tercapai. Dia bersyukur kerana diberi ruang dan waktu untuk memberi sebelum ajal berjodoh dengannya. Jauhari lantas beredar, membawa jiwa berkemilau. Inilah julung kalinya dia bersedekah. Sukmanya membugar. Seakan mahu terbang. Dek terlalu gembira, ingatannya terhadap pemuda misteri tadi, memudar. Jauhari melangkah bangga.

Waktu Zohor pula bertandang. Panggilan Ilahi disambut megah. Seusai berjemaah di masjid, Jauhari menyambung langkah. Hari ini, Jauhari berbuat sesuatu yang telah lama ditinggalkan. Dia hampir lupa bila kali akhir berjemaah bersama-sama ahli kariah. Meskipun kewujudannya tadi tidak diumpamakan ahli-ahli masjid, Jauhari tetap gembira!

Matahari petang menembak berdas-das. Tenggoroknya mulai kekeringan. Jauhari singgah pula di kedai Kopi Pak Tam. Ruang santai kegemarannya. Di sinilah Jauhari dan rakan-rakan berkongsi buah fikiran. Ada kala, berhujah tentang suatu hal seperti merekalah ahlinya. Pada waktu-waktu begini, selalunya Jauhari berseorangan sementelah rakan-rakannya menyempurnakan tugasan hakiki. Ketika hendak memesan segelas air sejuk, dia terdengar bibit bicara dua lelaki berusia 50-an di meja sebelah.

“Ada baca tak statistik perceraian di akhbar, semalam? Teruk, kan?” soal seorang lelaki berkumis. Kopinya terbiar sejuk.

“Ya, ada. Sangat menyeramkan…” Balas pendek rakannya lalu menyeropot teh tarik yang masih berasap. Kaca matanya dibetul-betulkan.

“Ini mesti kurangnya amalan. Sembahyang tak cukup.” Tambah lelaki berkumis itu. Berkepul-kepul asap kretek tubir dari bibirnya yang hitam.

“Eh, mana engkau tahu dia orang kurang amalan? Sembahyang tak cukup?”

“Betullah. Mesti banyak dosa tu. Sebab itu hidup caca marba!”

Jauhari pantas menggeleng. Dia bingkas beredar sebelum mereka meneruskan perbualan yang memualkan. Berdegar-degar akan sesuatu yang tidak pasti. Apakah aku juga menjengkelkan seperti mereka? Membantah tentang hal yang aku tidak tahu? Hasratnya meneguk air sejuk, meredam. Baik minum dengan ibu, ada berkatnya. Jauhari meneruskan langkah.

Denai-denai diredahi dengan kepenatan. Tanah yang masih basah menyulitkan lagi pergerakan kakinya. Aduh! Kan bagus kalau aku ada kereta sendiri. Tak perlu susah-susah begini. Jauhari berkeluh. Terbayang-bayang kerusi berlapik kusyen empuk. Suasana di dalam kereta serba mewah. Ada pendingin hawa. Alangkah bagus jika ada pemandu peribadi. Oh! Jauhnya berangan. Sekilas, pesanan ibu berbaris di ingatan.

“Kalau malas bekerja, malas berusaha, tak usah berangan tinggi-tinggi. Kau ingat, duit berkepuk turun dari langit? Tuhan pun suruh kita berusaha!”

Jauhari tersengih-sengih sepanjang perjalanan ke rumah. Memikir betapa benar kata ibu. Seraut wajah dimamah usia itu terpotret di fikiran. Tidak mengapa. Kali ini, bakal terjawab omelan ibunya selama ini. Dia sudah dapat kerja! Biarpun kontrak, kerja tetap kerja. Rezeki telah tersedia. Jauhari tidak mahu lagi malas-malas dan asyik ditanggung ibu saja. Tidak mahu lagi memasang angan-angan Mat Jenin!

Namun, sebaik saja dia sampai di kediamannya, langkah Jauhari terhenti di depan pagar. Perkarangan rumahnya dipenuhi orang kampung. Ada yang tersadai di luar rumah. Mungkin, ramai juga di dalam. Suasana suram. Kelam. Berkumat-kamit bibir mereka, berdikir sesuatu. Masing-masing tidak mempedulikan keberadaannya. Jauhari hairan.

Adakah ibu mengadakan kenduri kesyukuran kerana aku dah dapat kerja? Tak mungkin. Aku belum lagi cerita dengan ibu. Lagipun, mereka kelihatan berduka. Atau…

Jauhari meluru memasuki rumah. Dia ternampak ibunya. Lega! Ibu ada. Tapi, ibu tersedu-sedu menangisi sesuatu. Ibu juga tidak peduli kehadirannya! Malahan, berterusan menangis sambil ditenangkan Mak Kiah, jiran sekampung.

Ibu… kenapa ibu menangis?

Ibunya tidak menyahut.

Jauhari menepuk-nepuk bahu ibunya. Sekali lagi, tiada reaksi. Pelik! Sekonyong-konyong, dia tertoleh. Mengatur langkah perlahan-lahan menghampiri segenap jasad yang terbaring di tengah ruang tamu. Tangannya tergontai-gontai menyelak kain yang menutup wajah sekujur tubuh itu. Dia tersentak, lantas terjelepok! Benaknya bingit mengingati sesuatu. Mustahil!

Ah! Lelaki tadi? Tidak! Tapi, warna pakaiannya! Rangkanya! Allah! Dia… dia… ialah aku? Aku dah mati? Tidak! Tak mungkin! Ini bukan aku! Lalu, apa semua tadi? Tidak! Kembalikan aku ke dunia. Aku mahu segera berbuat baik. Kembalikan aku, ya Tuhan!