Malam sudah terlalu larut. Cahaya bulan sekadar hukum alam, tidak langsung membantu kebuntuan.  Semakin detik menghampiri sepertiga malam, semakin sepi dunia dirasakan. Insan lain mungkin sedap dibuai lena, sedangkan aku masih menghadap papan tipis yang bercahaya. Kesabaran mungkin hilang batasnya, tatkala  hati mengganas marah.

“Aduh... , kenapalah engkau berpusing-pusing dari tadi. Macam bodoh aku, kau buat! engkau ingat, semalaman aku menghadap engkau ni, nenek engkau bayar akukah? tunggu engkau loading, loading, loading dari tadi... . Hilang sabar aku, aku hempas pulak laptop ni.” Sambil jemariku menekan kasar ke dada papan kekunci. Sedangkan aku sedia tahu, papan kekunci itu sedikitpun tidak berdosa kepadaku.

“Kalau dah letih, pergilah  rehat.” Suara emak tiba-tiba menyapa cuping telingaku. Aku melirik sekilas.  Emak duduk  pula di sebelahku, sambil meninjau-ninjau ke arah skrin laptop  yang masih belum mahu bersahabat denganku.

“Kakak kamu cakap siang tadi, talian internet memang tak bagus sepanjang minggu ni. Janganlah mengamuk sampai nak hempas laptop tu. Jangan dilayan jasad tanpa roh tu. Bukan salah jasad kalau roh yang tak nak masuk dalam badan.” Aku sekadar mendengar omongan emak. Tidak sedikitpun aku menoleh kepadanya. Sakit hatiku belum habis, kerja yang perlu aku lunasi menagih untuk aku mencari pautan dalam laman sesawang KPM ini. Tapi, proses muat turun yang memanjang  menyebabkan kerja-kerjaku terbengkalai.

“Bukan pasal  talian internet tak bagus, tapi server KPM ni yang  lidut nak mampus. Bodoh betul!” Mulutku terlalu  ringan untuk menyeranah. Tapi, kepada siapa yang aku maksudkan? Aku sendiri tidak  tahu. Sekadar melepaskan geram, biar diluah. Kalau dipendam nanti, makan dalam. Cepat pulak aku mati. Tak rela aku dijadikan tajuk akhbar ‘seorang guru maut setelah menghadap laptop 24 jam’ .

“Sudahlah. Baik kamu simpan laptop tu, pergi tidur sekejap, kemudian bangun solat sunat hajat. Minta Allah mudahkan kerja kamu. Kamu ni Emma, kalau ada masalah memang nak mengamuk  aje. Mintalah kepada yang menciptakan kita untuk menyelesaikan masalah kita.” Emak masih tidak berganjak dari duduknya. Aku tahu, pasti jiwa emak tak senang dan tak tenang melihat aku bersengkang mata mengadap skrin yang masih memusuhiku ini.

“Yalah…, Emma tutup. Kalau esok pengetua tanya. Kenapa tak siap key in. Emma cakap yang emak suruh Emma stop key in data budak-budak ni.” Aku menutup laptop bersaiz kecil itu  dan memasukkannya ke dalam beg. Sekilas aku melirik ke arah emak. Pengetua  yang sudah bersara dua tahun itu, hanya memandangku sambil bergeleng kepala, lalu berdiri dari duduknya dan mula melangkah meninggalkan aku.

“Pergi tidur. Kejap lagi ayam nak berkokok tu. Jangan pulak kamu nak ganti peranan ayam jantan. Berkokok bangunkan orang.” Amboi cikgu pencen ni,  sempat lagi menembak aku pagi-pagi buta begini.

“Yalah... , Emma nak tidurlah ni.” Aku mengutip terlebih dahulu pelbagai borang dan senarai nama pelajarku yang berselerak di atas meja. Selepas itu aku membimbit beg kerjaku menuju bilik tidur yang sedang merindui kehadiranku.

“Jasad tanpa roh...” Kulentangkan tubuh ke tilam empuk.  Ayat emak seketika tadi terlafaz tanpa sengaja dari bibirku. Emak memang  pandai bermain bahasa. Itu telaanku. Mataku pejamkan perlahan, semakin aku hilang dalam  lena. Mimpi tidak mampu mempamerkan diri, lantaran  dakapan penat yang membaluti tubuku sudah bermaharajalela.

Pagi yang indah, mengiringi langkahku ke perkarangan tempatku mencurahkan bakti. Belitan emosi bersuhu panas bercampur resah semalam, sudah menjadi dingin dan cair. Aku sudah mampu tersenyum dalam helaan nafas penuh keceriaan.

“Syukur Alhamdulillah... .” Aku melabuhkan duduk di atas kerusi, sambil anak mataku berlari-lari di atas kertas yang terampai di atas meja. Surat penangguhan dari KPM itu mampu menceriakan hariku. Aku sandarkan tubuh pada kerusi, sambil menarik nafas lega. Mataku pejamkan, dan senyuman syukur teroles di bibirku. Hanya Allah yang tahu, perasaan tenang yang menyapa tangkai hatiku saat ini.

Kalau kelmarin, seharian aku duduk di kerusi ini dari pagi hingga menjelang senja, kemudian sambung lagi hingga dinihari di rumah. Hanya kerana tarikh akhir mengunci masuk data pelajarku, adalah hari ini. Tapi, masalah server semalam yang mengundang marahku, menyebabkan aku gagal mencapai matlamat. Kerja mesti siap sebelum  tarikh akhir.  Tapi ‘jasad tanpa roh’ itu menjadi gendala tahap dewa yang menyuntik murka emosiku.

“Assalamualaikum,  Cikgu Emma Rozalia, senyum dalam bermimpi? terbayangkan siapa?” Tiba-tiba suara garau itu mengejutkanku. Kubuka mata yang terpejam, lantas menegakkan duduk dari bersandar ala-ala taoke pencen  seketika tadi.

“Waalaikumsalam, Cikgu... Maaf, saya tak perasan Cikgu tadi. Saya bukan tidur, mimpi jauh sekali... Kenapa cikgu? Ada apa-apa yang perlu saya bantu?” Aku tidak tahu, tingkahku serba tidak kena. Kehadiran pengetua ke tempat dudukku, menyebabkan aku menggelabah seketika. Terlebih rajin pula kawan baik emakku ini, biasanya dia memanggil guru yang hendak ditemuinya masuk ke pejabatnya, tapi pagi ini lain sekali moodnya. Entah apa mimpinya semalam?

“Saya cuma nak pastikan surat tu sampai ke tangan awak.” Sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah surat yang masih dalam gengamanku. “Jangan gaduh dengan Hajjah Zulaikah lagi, masih ada seminggu  untuk awak key in data budak-budak tu.” Dia merujuk kepada surat penangguhan itu.

“Oh! Ya, terima kasih Cikgu, tapi kenapa lewat sangat sampainya surat ni? Hari ni dead line, baru nak hantar surat penangguhan.” Aku tidak tahu, kenapa begitu lancang mulutku melontarkan soalan itu.

“Bukan salah siapa-siapa, tapi JPN baru fax surat tu tengah hari  kelmarin. Petang , baru kerani bagi saya.” Hebat betul helah bela dirinya, padahal bukan  aku tidak nampak tarikh fax surat tu sudah tiga hari yang lepas. Nasib baiklah engkau pengetua, kalau setakat cikgu-cikgu biasa, sudah kulibas dengan kata-kata.

“Oklah, buat kerja awak sehabis baik. Ingat, jangan gaduh-gaduh lagi dengan mak awak,  ya. Hari ni, awak boleh guna line internet bilik saya untuk key in data tu. Line tu laju sikit.” Amboi, sayang betul dia dengan emak aku. Namun, jauh di sebalik riak bicaranya, aku dapat membaca, memang emak sudah mengkhabarkan ‘drama’ kami semalam kepadanya.

“Senyum memanjang balik dari sekolah ni, kenapa?” Aku baru melabuhkan duduk di ruang tamu, emak sudah menyapaku. Tangannya memegang sebuah buku motivasi tulisan Doktor Fadillah Kamsah.

“Tiba-tiba jasad dan roh bersatu dalam dakapan cinta yang paling indah, memang puas rasanya. Semua selesai masa di sekolah tadi. Semua sudah disempurnakan.” Aku cuba menyampaikan kepadanya dalam bahasa kiasan yang senada dengannya semalam. Wanita tunjang keluarga itu tersenyum memandangku. Senyumannya memberitahu, yang dia faham sepenuhnya maksud tersiratku.

“Dah pandai berbicara sekarang, siap ada ungkapan ‘cinta’.” Emak berkata-kata sedangkan matanya sudah kembali membelai lembaran buku motivasi yang tebalnya seinci.

“Mestilah pandai, kan emak yang ajar.” Aku memalaskan diri dengan  membaringkan tubuh pada sofa empuk yang kududuki tadi. Badanku luruskan, menikmati ketenangan dalam dakap persekitaran berhawa dingin ruang tamu.

“Dalam realiti dunia hari ini, jasad tak berguna tanpa roh dan nyawa. Semua kerja tak menjadi. Gendala bertimpa-timpa apabila lupa kata laluan, dapur boleh tak berasap apabila gaji lupa transfer, uda dan dara saling kerinduan tanpa whatsApp. Betapa kita dan dunia hari ini, terlalu bercinta dan terlalu berkasih sayang dengan teknologi maklumat. Betul tak, mak?”

Aku berbicara sambil memejamkan mata. Emak menyepi, tidak menjawab walau sepatah,  khusyuknya dia menyulam ilmu. Mungkin juga sedang asyik mencari motivasi untuk dihujahkan kepadaku, anak bongsunya ini. Anak bongsunya yang selalu tenggelam dalam dunia tanpa sempadan ini, yang selalu tewas kesabarannya dalam kemelut puing-puing pusaran teknologi maklumat yang rencam dan berbagai ragam.

“Kita yang buat dia, bukan dia yang buat kita... . Kita pencoraknya, kita yang menjadikannya berguna dan bermanfaat. ICT tu lambang kemajuan, biar kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Perkasa dalam acuan sendiri, tanpa meminggirkan jatidiri. Biar kita gagah mendepani dunia globisasi ini dengan keyakinan yang infiniti. Masalah tetap ada di mana-manapun sudut dunia ini. Cuma kita yang perlu memikirkan jalan keluarnya. ICT menawarkan segala kemudahan terkini. Klik saja, kita dapat segala jawapan. Betul tak?”

Mata yang terpejam, celik dengan sendirinya apabila emak berkata-kata. Buku motivasi di tangannya, kulihat sudah terampai di atas meja kopi. Aku memandangnya sambil bibirku tersenyum apabila pandangan kami berlaga.

“Betullah tu,” jawabku ringkas.

“Wahai jasad yang bernyawa, silalah ke dapur. Emak dah lapar ni.” Emak tersenyum selajur berdiri dari duduknya. Aku menuruti langkah emak ke dapur. Dalam rumah tinggalan Arwah ayah ini, cuma aku dan emak penguninya. Kakak dan abang tinggal jauh dari kami. Masing-masing mencari makna hidup, berkejar memenuhi keperluan dunia yang tidak bertepi. Namun, kami seolah-olah masih sebumbung dan berbicara setiap hari, kerana teknologi maklumat yang disediakan kerajaan, kami gunakan semaksimumnya.