Tubuh badan terliuk-liuk ke kanan dan kiri mengikut gerakan van yang berkelajuan sederhana. Layaknya umpama lalang yang meliuk ditiup pawana yang menerpa tubuhnya dengan sengaja. Kadang-kadang, terjungkit-jungkit. Silap hari bulan, roda van boleh sangkut pada mulut lopak yang banyak sekali itu.

“Aku sudah tidak tahan dengan keadaan ini. Aku harus berbuat sesuatu dengan pantas. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Aku harus bertemu dengan Dato’ Kaning untuk menyuarakan permasalahan ini. Dato’ Kaning pasti mahu membantu,” gumam Maning sendirian yang sibuk memikirkan untung nasib anak buahnya.

Rasa sayu dan pilu menyerang kamar hati Maning secara tidak terduga apabila dia memerhatikan lewat kaca tingkap van di mana seorang kanak-kanak lelaki yang kedua-dua pasang kasut sekolahnya berubah warna akibat percikan lumpur.

“Kalau saja jalan tanah merah ini bertar sudah tentu anak-anak buah aku tidak akan merasakan derita dan kesusahan sebegitu. Hal ini harus dibawa ke depan. Tidak elok lagi untuk diperap begitu lama. Aku tak kisah dengan kutukan dan bantahan sesetengah penduduk kampung yang enggan jalan tanah merah ini ditar oleh pihak kerajaan,” Maning mengomel lagi.

Situasi sebegini umpama mimpi ngeri buat penduduk Kampung Serimbu di kawasan luar bandar di Sarawak. Setiap hari bertarung nyawa di atas jalan kampung yang becak dan berlopak. Kemalangan dan kecelakaan itu mungkin sahaja boleh terjadi tanpa diduga. Ibaratnya, nyawa di hujung tanduk buat penduduk yang menggunakan jalan kampung itu sebagai laluan utama ke bandar, tempat kerja dan sekolah. Jalan maut buat penduduk Kampung Serimbu.

Perancangan untuk pembinaan jalan bertar pada jalan kampung itu sudah dilakukan oleh Maning selaku ketua kampung telah berlangsung beberapa tahun yang lepas. Namun, apabila dibawa ke mesyuarat kampung, ada segelintir orang kampung yang membangkang jalan kampung itu ditar dengan alasan yang tidak munasabah. Jika jalan bertar dibina. Ia akan menguntungkan pihak lain yang turut menggunakan jalan kampung itu. Itulah corak pemikiran yang cukup dangkal. Macam katak di bawah tempurung.

“Benarkah tok ketua nak ke pejabat Dato’ Kaning hari ini?” soal Sadah yang merupakan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Serimbu sebaik sahaja mereka sampai di bangunan pejabat Dato’ Kaning.

“Ya. Tok memang nak berjumpa dengan Dato’ hari ini juga,” jawab Maning.

“Tok yakin Dato’ akan terima permohonan kita? Sebab dulu, permohonan ini telah diluluskan. Malangnya, ada pihak yang membangkang,” ujar Sadah lagi.

“Tak mengapa, Sadah. Belum cuba, belum tahu. Kali ini, apapun yang terjadi. Jalan kampung itu harus bertar. Aku dah tak sanggup melihat anak-anak buah aku bertarung nyawa dengan lubang-lubang besar pada jalan itu. Bas pun dah tak nak masuk ke kampung. Bagaimana orang kampung mahu ke hospital, pejabat kerajaan, sekolah dan sebagainya? Kampung kita tak akan maju kalau situasi ini berterusan”.

“Saya pun hairan dengan pemikiran segelintir pihak yang membantah pembinaan jalan bertar di kampung kita. Kenapa nak dibangkang? Bukankah dengan pembinaan jalan raya bertar akan menguntungkan banyak pihak. Ekonomi penduduk boleh berkembang. Kampung boleh dimajukan. Agaknya, Tok. Mereka-mereka itu jalan atas langit. Tak berjalan di atas tanah,” nada suara Sadah seakan menyindir.

“Tok pun rasa begitu. Mereka terbang rasanya. Punya kuasa magik. Tak pijak tanah. Tidak mengapalah, Sadah. Kita ketepikan hal itu dulu. Yang penting sekarang. Kita pergi jumpa Dato’ Kaning untuk berbincang akan hal ini”.

“Ayuh!,” balas Sadah.

Ketua kampung dan setiausaha JKKK Kampung Serimbu itu segera menaiki anak tangga untuk ke tingkat dua bangunan komersial di mana letaknya pejabat rasmi YB Dato’ Kaning.

“Selamat pagi….boleh saya bantu? Kejap… muka encik saya macam kenal. Encik..ni bukan ke ketua Kampung Serimbu?” soal kerani wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu yang berseri-seri mengenakan baju kurung rona biru laut sambil menguntumkan senyuman.

“Ya, saya. Cik, tumpang tanya. Dato’ Kaning ada di pejabat hari ini?”. Soal Maning dengan tutur kata yang sopan.

“Dato’ Kaning ada di pejabatnya sekarang. Pejabatnya di hujung sana,” Kata kerani itu sambil menunjukkan arah pejabat Dato’ Kaning. Usai mengucapkan terima kasih kepada kerani muda itu, Maning dan Sadah bergegas ke pejabat Dato’ Kaning.

“Masuk!”. Suara dari dalam menyahut setelah pintu diketuk berulang kali.

“Selamat pagi, Dato’ Kaning,” ucap mereka berdua serentak.

“Selamat pagi. Silakan masuk”.

Maning dan Sadah terangguk-angguk lalu meluru masuk. Setelah dipelawa untuk duduk, Maning dan Sadah mengambil tempat duduk di atas kerusi rona biru menghadap Dato’ Kaning yang sedang menyandar pada kerusinya.

“Ketua Kampung Serimbu…Apa hajat datang ke pejabat saya hari ini?”. Langsung Dato’ Kaning selaku Ahli Parlimen itu bertanya kepada mereka berdua.

“Kami ada hajat besar, Dato’. Sebenarnya, tujuan kedatangan kami berdua ke mari adalah untuk membincangkan kembali soal pembinaan jalan bertar di Kampung Serimbu”. Maning memulakan ayat.

“Urmmm. Ketua kampung….permohonan itu sudah diluluskan. Namun, pembinaannya dibangkang. Maka, secara automatik ia terbatal. Kalau ketua kampung nak mohon lagi, agak sukar untuk meluluskannya kerana khuatir akan hal yang dulu akan berulang kembali. Sedangkan, banyak lagi projek pembangunan luar bandar yang harus diberikan perhatian.”

“Saya sedar dan ambil maklum akan hal itu, Dato’ Kaning. Tapi, hal ini telah menjadi isu berat di kampung saya. Beberapa hari yang lepas, seorang penduduk kampung mengalami kecederaan parah akibat tidak dapat mengelak lubang-lubang yang semakin banyak di jalan kampung. Budak-budak sekolah juga sering mengadu bahawa kasut sekolah mereka kotor sebelum masuk ke kelas dek kerana lumpur. Saya merayu agar Dato’ Kaning mempertimbangkan masalah ini. Demi kesejahteraan penduduk. Tentang bantahan itu. Saya akan pastikan kali ini ianya takkan terjadi lagi,” Maning berusaha untuk menyakinkan Dato’ Kaning.

“Baiklah, Ketua Kampung. Demi rakyat. Saya akan usahakan. Itu janji saya kepada rakyat di Kampung Serimbu.” Dato’ Kaning berjanji dan akan menepati janjinya kepada penduduk Kampung Serimbu.