Cuma bezanya tahap kesedaran yang tinggi, kefahaman tentang undang-undang dan juga kesan penguatkuasaannya di sesebuah negara yang membezakan sama ada banyak atau sedikit kes seperti itu.

Ini kerana, memiliki sesuatu hak cipta itu ibarat mempunyai sekeping geran tanah yang tertera nama pemilik tanah berkenaan yang perlu dihormati dan ada kaedah-kaedah tertentu jika ia mahu ditukar milik.

Semua itu yang pada akhirnya akan menimbulkan konflik berebut keuntungan boleh berlaku antara pihak pengkarya dan penulis sehingga berlakunya saman menyaman di mahkamah.

Sehubungan itu, bagi penulis buku Karya Kita Hak Kita, Nisah Haron, setiap penulis harus peka dan mengambil langkah proaktif sebelum menandatangani sebarang persetujuan dengan penerbit.

Katanya, penulis sekurang-kurangnya perlu menulis sepucuk surat perjanjian kepada penerbit bagi menjelaskan sejauh mana sesuatu karya itu boleh diterbitkan berdasarkan persetujuan bersama.

“Kesedaran pada peringkat awal ini penting bagi penulis mengenal pasti apakah hak-hak yang mereka ada ke atas sesuatu karya itu sebelum timbulnya pertikaian di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai ahli panel dalam forum bulanan Sembang Sastera Bersama Dewan Sastera di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara yang hadir dalam forum yang dipengerusikan oleh Setiausaha Pena, Saifullizan Yahaya itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Zurinah Hassan, Presiden Pena, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan editor Dewan Sastera, Muhammad Fadhli al-Akiti.

Menurutnya, negara ini tidak memerlukan pendaftaran hak cipta selepas menandatangani Konvensyen Berne kerana hak itu wujud sebaik-baik sahaja sesuatu karya itu diterbitkan.

Namun, jelas Nisah kelebihan yang terkandung seperti dalam Seksyen 10 dan Seksyen 26 Akta Hak Cipta 1987 itu tidak wajar dipandang enteng kerana isu hak cipta semakin hari semakin kompleks.

Setiap penulis katanya, perlu melakukan banyak inisiatif sendiri agar setiap karya mereka dapat dilindungi sesuai dengan makna hak cipta itu sendiri iaitu bagi menjaga kepentingan golongan terbabit.

Kepentingan itu menurut buku Karya Kita Hak Kita antaranya menjurus kepada hak ekonomi seperti membabitkan penyalinan semula yang boleh menjana royalti kepada pihak pengkarya asal.

Turut memperolehi manfaat daripada sesuatu karya itu adalah pengiktirafan nama penciptanya dan sekali gus pada masa sama bagi mempertahankan setiap isi kandungan sesuatu karya tersebut.

Hak cipta dalam akta ini tidak tertakluk dalam bidang kesusasteraan membabitkan penerbitan buku semata-mata tetapi ia juga termasuk bidang-bidang lain seperti muzik, filem, seni dan siaran.

Tambah Nisah, kesedaran sahaja tidak cukup, sebaliknya pengetahuan mendalam di sebalik penerbitan sesebuah buku itu juga perlu diketahui oleh penulis kerana ia melibatkan soal royalti.

“Contohnya, pendaftaran nombor ISBN (International Standard Book Numbers) pada buku berkulit tebal dan nipis tidak sama kerana ia melibatkan harga buku dan royalti yang berbeza,” ujarnya.

Selain bijak dalam menguruskan perjanjian dan hak-hak cipta penerbitan dan royalti antara pengkarya dan penerbit, turut ditekankan adalah pendaftaran sesuatu karya yang akan dicetak.

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) misalnya, telah menyediakan perkhidmatan Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta untuk para pengkarya ke atas karya-karya yang dihasilkan.

Kaedah ini menjadi salah satu penambahbaikan kepada sistem perlindungan sedia ada dengan menjadikan setiap karya yang didaftarkan itu berada dalam Daftar Hak Cipta di MyIPO.

Undang-undang yang mengawal kategori harta intelek seperti ini turut dilindungi dalam Akta Hak Cipta 1987, Akta Paten 1983, Akta Cap Dagangan 1976 dan Akta Rekacipta Perindustrian 1996.

Sementara itu, Saifullizan Yahaya yang juga Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut menyokong saranan Nisah agar perjanjian perlu ada antara penulis dan penerbit demi matlamat itu.

Perjanjian dan surat kebenaran daripada penulis kepada penerbit juga mesti jelas yang mana penulis selaku pemegang hak cipta ada hak untuk menjual atau memberi kebenaran penyiaran sesuatu karya tersebut.

“Pesan saya kepada penulis setiap kali menghantar karya kepada penerbit perlu ada perjanjian mohon izin terbit dan jika ia tidak mahu diterbitkan lagi surat juga perlu dikeluarkan,” katanya.

Pena tambahnya, menerima banyak aduan pengkarya yang berdepan masalah royalti dan kebenaran cetakan semula bersama penerbit tetapi ia tidak mampu dipanjangkan kerana mereka bukan ahli Pena.

Justeru, dalam isu ini setiap pengkarya harus sentiasa peka dalam keperluan semasa yang semakin mencabar dalam isu ini selain pihak penerbit diharap tidak ‘menangguk di air keruh’ demi mengaut keuntungan.