Impian beliau itu akhirnya tercipta pada hari Ahad 3 Februari 2002 apabila karya percubaan pertamanya disiarkan di ‘seksyen Sajak’ melalui tapak portal eSastera.com (kini e-Sastera.com) yang memanfaatkan pelantar ComunityZero.com.

Seawal November 2004 pula, majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengiktiraf Dr. Ir. Wan sebagai pengasas dan pejuang gerakan sastera siber di Malaysia.

Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, satu demi satu wadah sastera siber dibangunkan sebagai platform berkarya selepas e-Sastera.com termasuk TV e-Sastera, E-Sastera @ Facebook dan pelantar eSastera-On-Twitter #eSasteraOnTwitter serta pelantar eSastera di Instagram.

Sebagai Presiden Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA), Dr. Ir. Wan Abu Bakar yang juga dikenali dengan nama pena Irwan Abu Bakar memberitahu, karya sastera di alam siber atau e-karya terdiri daripada pelbagai genre yang sama dengan genre sastera di media kovensional iaitu sajak, cerpen, novel, pantun dan lain-lain. Inovasi memperkenalkan genre baru juga berlaku.

“Misalnya genre sajen (sajak jenaka) adalah unik kepada e-Sastera walaupun telah popular dalam kesusasteraan Inggeris (comic poems),” katanya.

Menurut Irwan, satu lagi genre baharu yang diperkenalkan baru-baru ini ialah genre puntone iaitu pantun dalam bahasa Inggeris.

Irwan yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal (BSc) dan Doktor Falsafah (Ph.D) biokejuruteraan sebelum ini pernah bertugas sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Beliau dikenali dalam dunia pendidikan negara sebagai bapa pendidikan kejuruteraan bioperubatan atas inisiatifnya memperkenalkan program sarjana muda kejuruteraan bioperubatan di UM pada tahun 1997.

Beliau turut memberi perhatian khusus terhadap e-majalah bagi menampung pelbagai karya siber yang tidak dapat dipaparkan di Facebook. Produk E-majalah terkini ialah eSastera yang memuatkan karya dari pelantar eSasteraKarya.com atau eSasteraKarya.WordPress.com.

E-majalah ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi terkini apabila kandungannya turut dapat dikongsi dalam grup Facebook yang dinamakan E-sastera Karya.

Beliau yang baru menerima Anugerah Patria Numera 2017 memberitahu, jika sastera nasional memiliki pelbagai anugerah berprestij seperti Anugerah Sastera Negara (ASN), Hadiah Sastera Perdana dan SEA Write Award, e-Sastera juga tidak ketinggalan turut menghargai karyawan yang berkarya dalam sastera siber melalui anugerah tahunan dinamakan Hadiah eSastera.com (HesCom).

“Anugerah tertinggi yang dikeluarkan oleh HesCOM ialah Anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS) dan diadakan setiap tiga tahun sekali. HesCom akan memilih Sasterawan Alam Siber dalam kalangan karyawan yang berkarya dalam e-sastera.com. Pemenang bakal menerima hadiah RM10,000 dan sijil,” jelas Irwan.

Beliau menambah, HesCom memilih karyawan prolifik yang menulis dalam pelbagai genre sastera siber, antaranya puisi alam siber, novel alam siber, cerpen alam siber, dramatis alam siber, haiku Melayu alam siber dan sajak jenaka alam siber serta kategori sayembara yang lain.

Menghargai

Setakat ini, katanya, seramai lima orang karyawan e-Sastera dinobatkan sebagai Sasterawan Alam Siber sejak 2003 iaitu Anbakri (2006), Kalamutiara dan Nimoiz T.Y (2009), Puzi Hadi (2015) dan Ahkarim (2017).

Selain anugerah berprestij tersebut, pelbagai hadiah juga diwujudkan melalui HesCom termasuklah Anugerah Penyair Alam Siber (APAS), Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS), Anugerah Cerpenis Alam Siber (ACAS), Anugerah Novelis Alam Siber (ANAS) dan Anugerah Haiku Melayu Alam Siber (AHMAS).

Anugerah tahunan HesCom yang dianggap paling popular dan mendapat perhatian ialah Anugerah Penyair Alam Siber yang diadakan sejak 2003. Antara pemenangnya ialah Nimoiz T.Y, Tintasukma, Aziz Zabidi, Kalamutiara, Rimanilzah, Azmi Rahman, S. Iqram, Puzi Hadi dan Muhammad Rois Rinaldi (dari Indonesia).

Irwan menjelaskan, HesCOM turut memberi anugerah Tokoh Sasterawan Siber Tempatan jika ada calon yang sesuai sebagai menghargai tokoh sastera siber yang bermastautin di kawasan di mana majlis HesCOM diadakan.

Antara pemenang anugerah itu setakat ini ialah Sasterawan Negara, Datuk Kemala (Tokoh Sasterawan Siber Selangor), Muhammad Rois Rinaldi (Tokoh Sasterawan Siber Indonesia) dan Citranalis (Tokoh Sasterawan Siber Kuala Lumpur).

Irwan yang juga Ketua Koordinator Gabungan Komunitas Sastera ASEAN (GAKSA) turut mewujudkan Rumah Sastra ASEAN (RSA) di Cilegon dalam provinsi Banten di Jawa Barat. RSA dibangunkan sebagai pusat operasi dan kegiatan komuniti sastera di Indonesia.

Malah RSA dibuka kepada mana-mana badan sosial dari negara ASEAN yang mahu mengadakan kegiatannya di republik itu.

GAKSA kini dalam proses membeli sebuah rumah di Cilegon untuk dijadikan RSA yang tetap serta mencari penderma yang ingin namanya digunakan sebagai nama RSA itu.

Gabungan Komunitas Sastra ASEAN juga telah memperkenalkan Anugerah E-sasterawan ASEAN 2016 (ASEAN E-Writer Award 2016). Pemenang dipilih berdasarkan karya yang disiarkan di dalam grup Facebook “GAKSA - Karya Sastera ASEAN” yang menawarkan hadiah tiga juta rupiah serta sijil. Interaksi antara penulis di alam siber telah menyemarakkan program “Sastra Reboan” (2009), “Pertemuan Penyair Nusantara” di Palembang (2011), “Titian Sastera” di Jogjakarta (2014 dan 2015), “Titian Sastera Medan” (2015) serta di Banten dan Jakarta dalam program “Antara Anyer dan Jakarta” (2016 dan 2017).

Mengenai karyanya yang tersiar di alam siber, Irwan turut menghasilkan karya cetakan keras termasuk novel antiplot bertajuk Meja 17 yang turut diterbitkan di Indonesia dan mendapat sanjungan pengkritik di sana.

Misalnya sewaktu Seminar Internasional Sastera Indonesia-Malaysia (SISIM) yang berlangsung di Universitas Gajah Mada, Jogjakarta pada 11 November 2014.

Selain itu, beliau juga telah menerbitkan beberapa buku lagi, antaranya Semelar (2003), Kuntom Ungu (2012), Peneroka Malam (2014), Grafiti Hati (2016), E-sastera: Teori dan Aplikasi (2016) dan kumpulan cerpen Rewang Minda (2016).

Beberapa buah puisi Irwan juga diketengahkan kepada khalayak melalui lagu puisi yang dirakam di Malaysia dan Indonesia, terutamanya oleh Grup Lagu Puisi E-sastera (GLP).

“Ruang siber ialah ruang 
media penyiaran yang lain daripada media konvensional. Ciri utama yang paling unik bagi karya siber ialah sifat interaktif yang ada padanya yang membolehkan penulis berinteraksi dengan karya selain sesama penulis yang lain,” katanya.

Yang pasti dalam tempoh 15 tahun lalu, ternyata sastera siber yang diasaskan Irwan bergerak begitu pantas seiring dengan kemajuan sastera nasional, malah ramai penulis sastera siber juga semakin mendapat tempat dalam sastera konvensional di akhbar serta majalah tanah air.