Berdasarkan respons, judul buku baharu tidak mungkin banyak. Sama ada terbitan independent (indie) mahu pun syarikat besar yang berkelas gergasi.

Sudah empat tahun industri buku merudum. Sudah lebih 40 penerbit indie yang aktif antara 2006 hingga 2014 kini terkubur. Semuanya terkesan dan gulung tikar kerana buku kini bukan lagi pilihan masyarakat. Lebih pedih, kerajaan sendiri pun nampak jelas mengabaikannya.

Penerbit gergasi pula lebih banyak menghitung hutang bank dan menguruskan secara legal satu demi satu tuntutan saman pencetak. Seminggu menjelang PBAKL, penerbit lebih banyak menanggung ketakutan implikasi muflis berbanding memikirkan strategi perniagaan.

Kesannya, banyak yang ambil jalan pintas. 70 peratus hingga 90 peratus penerbit memilih untuk menghabiskan buku dalam stor. Strategi mudah, lelong saja secara kombo ketika PBAKL. Lagipun, sejak tiga tahun lalu memang pesta melelong buku.

Malah, harga di Kwitang (pasar buku terpakai di Jakarta satu masa dulu) rasanya lebih mahal berbanding harga lelongan di PBAKL.

Ironi yang amat menyedihkan kerana imej PBAKL berkelas antarabangsa. Namun, fungsinya sekadar Kwitang elit pasar lelong lambakan buku.

Ini rantaian impak kemelesetan ekonomi. Penerbit tiada modal kerana sejak empat tahun lalu, buku sukar dijual. Penerbit menanggung beban buku yang dicetak serta hutang kos penerbitan.

Dalam kes penerbit indie, semangat setiakawan masih membantu. Penulis menyerahkan karya tanpa banyak prasangka. Asal kawan-kawan penerbit ada judul baharu. Soal royalti bukan perkara utama. Solidariti indie memang fenomena.

Bagi penerbit besar yang menumpukan 20 hingga 50 judul terbitan setahun, memang tidak tidur malam. Apa tidaknya, sejak tiga atau empat tahun menanggung kerugian kerana buku tidak terjual.

“Kalau ada penerbit indie berani terbit lebih 10 judul, itu sudah kira berani,” kata Azlan Sinaganaga, bos Studio Anai-anai.

Azlan dianggap jeneral indie, komuniti penerbit buku yang mencanak tumbuh bersama trend solidariti anak muda pada alaf baharu.

“Orang sekarang takut hendak beli buku. Harga RM20 atau RM30 senaskhah, dikira mahal. Hari ini, buku jadi satu beban kepada keluarga B40. Ini era kos sara hidup sangat menekan,” katanya ketika ditemui di Studio Anai-anai.

Sinikal yang lebih teruk daripada kenyataan Azlan ialah realiti Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sendiri. Institusi yang dianggap simbol perbukuan negara, kini masuk senarai jatuh miskin.

PNM kini menjadi institusi B40, setaraf keluarga miskin di flat PPR sekitar ibu kota.

PNM pernah berbelanja RM40 juta setahun untuk membeli buku. Setelah jatuh kepada kategori B40, PNM hanya berbelanja RM5 juta pada 2015. Lebih menyedihkan, pada 2016 dan 2017, PNM hanya mampu berbelanja RM2 juta setahun.

Industri buku 
menuju mati?

Kalau ikut status klinikal, industri perbukuan kita kini sedang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU). Nazak dan menunggu mati. Cuma, anehnya, sekalipun sudah hampir mati kerajaan tetap tidak peduli.

Menteri yang bertanggungjawab pun yang selalu jual lidah cari populariti dengan kata kunci atau ayat pikat ‘intelektual’, memilih untuk senyap sahaja.

Jadi, jangan banyak berharap kepada sikap kerajaan. Dalam isu buku, banyak yang dilihat bersikap poyo, berbanding bekerja keras menyelamatkan industri yang sebenarnya ialah kunci tamadun intelektual.

Ketika ini, kerajaan lebih sibuk menjaja kata kunci ‘intelektual’ dan masyarakat kelas pertama. Anggaplah itu hanya ‘ayat pikat’ untuk survival politik semata-mata.

Bagi penerbit buku, elok abaikan saja kewujudannya. Kalau rasa nak bankrap, tidak ada salah PBAKL jadi pesta lelongan saja. Ada masa maruah intelek akan berakhir di tahap harga getah sekerap atau timbunan besi buruk saja.

PBAKL 2019 ialah perang terakhir penerbit buku sebelum datang 1 April 2020. Tarikh keramat mengisytiharkan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia UNESCO.

Sekali lagi ironi, kita takut industri buku sudah lebih dahulu kiamat, sebelum sempat datangnya tarikh keramat bandar raya Kuala Lumpur dimartabat Kota Buku Dunia ke-20.

Tanyalah lebih 40 penerbit indie mengenai KL Kota Buku Dunia 2020. Sah, mereka haram tidak mempedulikannya. Satu tanda jelas, promosi dan peta menuju ke arah pengisytiharan itu pun masih terkapai-kapai. Sedangkan, masa makin suntuk.

“Insya-Allah... tahun depan skim baucar buku akan dikembalikan. Industri akan pulih.”

“Phuiii!”

Itu reaksi rakan-rakan dunia buku yang sudah jeran mendengar janji demi janji.

PBAKL sekarang pun wujud dengan nawaitunya yang mencurigakan. Penganjur tahu, penerbit buku sedang nazak dan sangat mengharapkan PBAKL sebagai lokasi untuk melelong stok buku yang bertimbun bak gunung.

Sangat ironi. Industri buku sedang merudum tetapi tahun ini harga reruai terus dinaikkan. Tiada simpati soal harga walupun ketika ini penerbit buku sedang dirawat ICU. Itulah cantiknya industri perbukuan di Malaysia.

Pada tahun 2016, industri buku tempatan menerbitkan 19,592 judul buku. Angka itu merudum kepada 17,213 buku pada 2017. Data 2018 belum diumumkan. Tetapi berdasarkan trend semasa, bukan kejutan kalau jumlahnya menjunam sekitar 15,000 judul.

Kalau ikut standard UNESCO, dengan 32 juta populasi, nisbah satu peratus ialah 32 ribu judul.

PBAKL kali ini menjadi indeks terakhir untuk mengukur keseriusan menjadikan KL Kota Buku Dunia UNESCO 2020.

Kalau PBAKL suram dan jahanam hasilnya dan syarikat-syarikat penerbitan mencapai jualan sekadar membayar sewa reruai, elok ucapkan sayonara pada industri buku.

Kepada Pak Menteri yang sepatutnya prihatin pada soal buku dan sejajar dengan kegilaannya menuturkan kata kunci intelektual itu... Ini kata saya sendiri: “Kambing, kalau sembang pun boleh terbang!”

Kepada rakan-rakan indie, yang bersengkang mata dan menggadai segala saki-baki modal yang ada untuk PBAKL minggu ini, saya doakan: “Moga Allah merahmati dan murahkan rezeki kepada anda semua!”

Sebab kalau hendak harapkan kerajaan, harapkan saja kata-kata intelektual yang dijaja. Anggap saja itu jajan umpan pikat budak-budak di tepi jalan!