“Macam biasalah, mak. Nak bertukang…” ringkas jawab anak bongsu dan masih bujang itu. Mak Besah tahu selain minat berniaga, Arif juga boleh bertukang. Di antara lima orang anak, Arif yang ketara mewarisi bakat arwah suaminya.

“Mak tahulah…kau nak bertukang. Tapi apa yang nak ditukangkan?” susul Mak Besah lagi.

“Nak buat pondok, mak.”

“Pondok? Pondok apa yang nak kau buat di tanah tempat jin bertendang tu?”

“Pondok tempat mereka lepak, mak.”

“His! Orang tanya betul-betul, dia pulak main-main.” Mak Besah tak kuasa memanjangkan lagi. Melayan Arif yang suka menyakat boleh pening kepala dibuatnya. Punggung diangkat dan bergegas Mak Besah masuk ke dalam. Tak apalah, asalkan diketahui ke mana Arif pergi. Hatinya tidak bimbang dan risau. Lagi pun Arif bukan merayap tak tentu hala. Sedar juga Mak Besah selama ini, anaknya bukan macam budak-budak lain yang suka membuang masa tak tentu pasal.

Mak Besah maklum tempat yang dimaksudkan anaknya. Sawah terbiar itu terletak di tepi benteng. Kira-kira dua kilometer perjalanan dari rumah. Dulunya ia merupakan tanah sawah yang jumlah keseluruhannya mencecah hampir 1,000 ekar. Di kawasan itu juga terdapat tanah peninggalan milik arwah suaminya seluas 2.5 ekar. Namun tanah tersebut telah lama tidak dapat diusahakan lagi ekoran kegagalan sistem perparitan sejak diambil alih oleh sebuah syarikat swasta. Dikatakan sistem tersebut tidak dapat berfungsi seperti sepatutnya. Air tidak boleh masuk ke dalam petak-petak sawah seperti dulu, sebaliknya tersekat dan bertakung hanya di dalam longkang-longkang besar yang dibina. Entah apa silapnya, Mak Besah pun tak tahu.

Sejak itu, terbantut segala kegiatan. Benda sudah berlaku, sesal pun tak berguna, kata orang. Meski pelbagai langkah sudah diambil oleh pemiliknya dengan membuat bermacam aduan, turun naik pejabat tertentu, menemui pegawai, mengadakan mesyuarat, menemui wakil rakyat, penghulu dan sebagainya, namun hingga ke sudah, semuanya senyap. Pesawah menerima padah. Projek yang mulanya kedengaran begitu gah, hanya indah kabar dari rupa.

Arif tidak rela tanah milik keluarga itu terbiar selamanya. Dengarnya, sudah ramai yang menjual tanah mereka. Memang mudah menjual tapi hendak mendapatkan balik, bukan senang. Kalau ada pun, harganya kelak melambung berlipat kali ganda. Justeru, Arif enggan terikut-ikut. Jual? Oh! Tidak sama sekali.

“Saya cadang nak buat sebesar pondok tetapi lengkap. Asalkan ada sebuah bilik tidur, ruang tamu, bilik air, tandas dan dapur. Jika perlu tambah beranda tempat bersantai.” Arif luahkan hasratnya kepada Pak Man.

“Tak ada masalah. Pak Man fikir bagus juga cadangan kau. Dari terbiar tak berhasil, lebih baik diusahakan dengan sesuatu.”

“Saya suka bayangkan zaman kanak-kanak. Kebanyakan kita suka main pondok-pondok kan, Pak Man?”

“Ya. Pak Man pun suka. Kenapa?”

“Ia begitu seronok dan melekakan kita. Dari situlah timbulnya idea ini. Apa yang saya fikir, kebanyakan orang suka mengembalikan kenangan lama pada dirinya atau keluarga. Hotel mewah, rumah mewah, tempat percutian mewah, semua itu sudah terlalu biasa. Mereka sudah jelak dan mahu mencari kelainan. Dan kelainan itulah yang kita cuba tawarkan. Apa macam, Pak Man setuju?” Pak Man lebih banyak mendengar. Sesekali bibir biratnya meleret senyum.

Tanah itu sudah pun lapang dan siap ditambak. Sudah boleh dibangunkan dengan apa yang Arif rancangkan.

“Saya perlukan pertolongan Pak Man merealisasikannya. Pak Man kerja dengan saya mulai esok. Soal upah dan sebagainya, jangan risau.” Janji Arif pada tukang yang mahir dan terkenal di kampungnya sejak dulu.

Segalanya berjalan lancar. Sementara Arif meneruskan perniagaan di warung seperti biasa di sebelah pagi, Pak Man pula tekun bertukang saban hari. Pada sebelah petang, Arif akan datang membantu.

Selang beberapa bulan, dua buah rumah penginapan telah siap sepenuhnya.Ia kelihatan menarik dan memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki Arif. Ia tidaklah begitu besar, namun lengkap segalanya. Uniknya, dari luar ia kelihatan seperti sebuah wakaf. Atapnya terdiri dari nipah.

Arif tersenyum puas. Segala yang dibincangkan dengan Pak Man telah menjadi kenyataan. Kebanyakan bahan binaan yang diperolehi dari kedai kayu terpakai, banyak membantu dan menjimatkan kos.

“Saya juga cadang nak buat kolam di hujung sana.” Sambung Arif.

“Kolam apa? Kolam renang?” spontan terpacul suara Pak Man yang mencuit hati Arif. Sampai berair matanya menahan gelak. Sesekali Pak Man melawak macam nak pecah perut di buatnya.

“Bukan kolam renang, tapi kolam ikan. Kita isi dengan pelbagai ikan darat. Puyu, keli,haruan, sepat dan lain-lain. Kita sediakan untuk mereka yang minat memancing, Jadi, sambil mereka menginap di sini. sekurang-kurangnya mereka ada aktiviti luar, selain bermain layang-layang.”

“Bagus…bagus tu.” Sahut Pak Man, setuju.

Petang itu, bersama Pak Man, Arif melakukan pemeriksaan sekali lagi. Sebagai pemilik, Arif tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab. Dari segala segi semuanya diperiksa. Dipastikan setiap satu kelengkapan yang ada berfungsi dengan baik termasuk aircond, kipas angin, TV, selain tilam, bantal, selimut mencukupi. Demikian segala lampu, paip air, sabun mandi, tong sampah, peralatan dapur, kelengkapan memasak dan sebagainya. Semua ini dilakukan demi memberi perkhidmatan terbaik pada setiap tetamu yang datang. Arif mengutamakan kepuasan dan keselesaan.

Keesokan pagi, Arif meminta Pak Man meletakkan papan iklan yang telah siap di tepi jalan raya. Dari jalan raya yang menghubungi dua buah bandar di selatan tanah air itu, iklannya tentu mudah dilihat.

“Kalau tak ada sambutan, bagaimana?” rasa khuatir itu terluah tiba-tiba di benak Arif. Sungguh malam itu, susah mata dilelapkan. Macam-macam yang bermain di fikiran.

“Insyallah…kita serahkan semuanya pada Allah.” Teringat Arif pada nasihat Pak Man.

Tiba-tiba telefon berdering. Spontan dada Arif berdebar. Walaupun belum dijawab, namun seolah Arif sudah dapat merasakan sesuatu. Kemudian tenang dijawab segala pertanyaan. Hatinya melonjak gembira.

“Yahuuuu…” jerit Arif bergema hingga Mak Besah yang sedang asyik menonton TV berasa kaget.

“Ada apa, Rif?”

“Dah ada tetamu yang nak menginap hujung minggu ni, mak.”

“Siapa? Tamu mana? Menginap di mana?” Tanya Mak Besah yang masih tidak memahami segalanya. Matanya melihat Arif yang terlonjak-lonjak, mundar-mandir tak keruan di ruang tamu sebelum terjelepuk di riba Mak Besah.

Arif tarik nafas dalam-dalam. Satu persatu diceritakan apa yang dilakukan selama berulang-alik ke tanah itu. Agak lama baru Mak Besah memahami semuanya. Dalam masa seminggu itu juga tak putus-putus Arif terima panggilan memandangkan cuti sekolah menjelang tidak lama lagi. Ia datang dari merata tempat hingga membawa ke seberang tambak. Ada yang sekadar ingin tahu dan ada yang terus menempah. Sungguh, semuanya di luar dugaan Arif.

Arif bertambah yakin. Sepuluh buah lagi pondok berdiri di situ. Semakin bijak dia mengatur langkah. Bukan setakat disediakan kolam pancing, tempat bermain layang-layang tapi kali ini dia mahu menjadikan hutan nipah, pohon bakau, bot-bot nelayan, juga sungai yang terus ke laut itu sebagai produk sampingan. Tidak ketinggalan pelbagai jenis burung hijrah dilihat setiap petang turun di kawasan tersebut.

“Kita sediakan jejambat bagi mereka yang gemar meneroka hutan nipah bersekali peralatan mencari lokan. Kan di situ banyak terdapat lokan?”

“Kita sediakan laluan ke hutan bakau serta memberi peluang mereka mencari siput sedut. Bukankah hidupan itu banyak terdapat di pokok bakau?”

“Yang ingin memancing di laut, kita sediakan bot. Atau sekadar mahu bersiar-siar sambil melihat kunang-kunang di waktu malam.”.

“Bagi pencinta burung mereka boleh melangkah ikut suka.”

“Ada lagi. Kalau mereka nak buat BBQ, kita dapatkan bahan yang segar dari nelayan. Begitu juga kalau mereka teringin merasa masakan kampung. Isteri Pak Man boleh sediakan.”

Setiap hujung minggu, tempahan penuh. Arif cukup bersyukur.