Pementasan selama lebih dua jam dimulakan dengan persembahan tarian pembukaan yang penuh elemen budaya. Mata diserikan dengan persalinan dan perhiasan yang penuh warna warni.

Persembahan tidak terhenti di situ, penonton juga dihidangkan dengan aksi-aksi silat yang sungguh mendebarkan. Pemain-pemain seni pertahanan diri sungguh tangkas dan pantas dengan aksi-aksi yang mengundang tepukan gemuruh penonton yang hadir.

Saat yang ditunggu-tunggu penonton tiba. Tirai persembahan teater Laksamana Bentan dibuka dengan cukup indah. Menariknya, teater ini sebenarnya mengangkat naskhah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang dahulu cukup popular.

Malah keseluruhan produksi filem ini tidak kira pengarah, pelakon dan penari, semuanya didatangkan khas dari negara seberang, Indonesia. Pastinya, kita dapat melihat perbezaan menerusi persembahan ini.

Dengan adunan yang cukup indah, pujian harus diberikan kepada lakonan yang cukup mantap daripada barisan pelakon yang jelas cukup hebat dalam penghayatan watak dan emosi.

Tidak hairanlah, pada saat-saat getir tatkala isteri Laksamana Bentan dihukum dengan cukup kejam, ramai penonton yang menahan genang air mata daripada tumpah menyentuh pipi.

Ada juga penonton yang tidak dapat membendung perasaan sadis dan amarah sehingga jelas mereka begitu sedih dengan kekejaman sultan yang melulu menjatuhkan hukuman.

Cerita yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Melayu ini juga digarap dengan cara tersendiri. Cukup gula dan garamnya, pementasan ini punya nilai seni tersendiri.

Biarpun pertuturan bahasa sedikit mengelirukan namun pastinya penonton terpegun melihat lakonan yang cukup meyakinkan daripada Agustiar yang membawa watak sebagai Sultan Mahmud.

Malah tatkala ungkapan “Raja adil rajaku sembah, raja zalim rajaku sanggah” terasa cukup dekat di hati penonton. Tidak hairan, semua bersorak apabila Laksamana Bentan mengungkapkan frasa itu.

Sekalung pujian seharusnya diberi kepada pengarah teater ini, Monaliza Hamzah yang berjaya mengolah cerita ini mengikut adunannya sendiri. Monaliza juga membawa watak Dang Anom isteri kepada Laksamana Bentan.

Malah lakonan Agustiar yang membawakan watak Sultan Mahmud dan Said Abdullah Dahlawi (Laksamana Bentan) juga sangat berkesan. Mereka berjaya memberi jiwa kepada watak yang cukup ikonik itu.

Monaliza ketika ditemui usai persembahan berkata, naskhah ini dipilih kerana mesejnya yang cukup bernilai dan perlu ada pihak yang kembali mementaskan karya yang penuh seni ini.

“Cerita ini menunjukkan kepada kita bahawa menentang kezaliman itu adalah suatu perkara wajib dan al-Quran tidak memberikan ketaatan mutlak kepada pemimpin seperti ketaatan kepada Allah dan Rasulullah.

“Kita mengangkat satu karya yang cukup bernilai dan menggarap semula mengikut kesesuaian. Saya gembira melihat penonton berpuas hati dengan pementasan ini,” katanya.