HSKU pertama kali dianjurkan pada tahun 1985 secara berkolaborasi  antara Utusan-Public Bank, tahun ini  telah memasuki edisi  ke-32 meneruskan kesinambungan dengan penaja utamanya Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

Sebelum PNB, kumpulan Utusan turut berkerjasama dengan ExxonMobil, konglomerat yang seiring sejalan mengangkat martabat kesusasteraan Melayu dan tamadun bangsa ke tahap yang lebih tinggi.

Berdasarkan matlamat awal penganjuran HSKU tiga dekad lalu jelas  ia bertujuan memberi semangat kepada para penulis dan melahirkan ‘penulis baru’ berbakat bagi menghasilkan karya-karya kesusasteraan Melayu yang bermutu tinggi dalam genre novel, cerpen, puisi dan rencana sastera.

Berdasarkan kajian ilmiah Alias Md. Zain (2000) tesis mengenai Puisi-Puisi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank: Kajian Gaya Bahasa untuk Ijazah Sarjana Sastera Fakulti Bahasa Moden Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan: 

“Hadiah Sastera Utusan Melayu dilancarkan di atas kesedaran untuk memaju dan meningkatkan  mutu kesusasteraan berbahasa Melayu tanah air”. (Alias Md.Zain 2000: Halaman 6)

Pengarang Bahagian Majalah Utusan Melayu ketika itu, Datuk Osman Abadi merupakan tokoh yang telah mengemukakan cadangan awal untuk mengadakan Hadiah Sastera Utusan disusuli rundingan awal diadakan pada 24 Disember 1984. 

Mesyuarat pertama Pengarang Bahagian Majalah itu dengan Senator Datuk Dr. Nordin Selat selaku Pengarah Perhubungan Awam Public Bank ketika itu telah diadakan bagi membincangkan kerjasama mewujudkan anugerah sastera.

Pada peringkat awal, hanya cerpen dan puisi yang disiarkan melalui Mastika dan Wanita sahaja dinilai dan hadiah ini dinamakan sebagai Hadiah Sastera Mastika-Wanita anjuran bersama Utusan Melayu-Public Bank. Sekretariat telah memilih Puan Faridah Idris daripada Utusan Melayu sebagai penyelarasnya. 

“Tujuan awal mengadakan hadiah ini adalah untuk meningkatkan perkembangan sastera nasional disamping meningkatkan prestasi majalah Mastika dan Wanita, terbitan Kumpulan Utusan dan prestasi Public Bank sebagai institusi yang turut membantu perkembangan sastera nasional”. (Alias Md. Zain: 2005: Halaman 7).  

Resolusinya, Utusan Melayu dan Public Bank telah bersetuju mengadakan Hadiah Sastera Utuan Melayu-Public Bank bermula tahun 1985. 

HSKU bermula dengan penganjuran pertandingan kategori cerpen dan sajak serta cerpen remaja pada 1986, novel remaja (1988), kajian dan rencana sastera (2001) serta puisi pada tahun 2002.

Tradisi hadiah ini seterusnya telah dianjurkan sepenuhnya oleh Kumpulan Utusan dengan nama baru HSKU pada tahun 2000. Mulai tahun 2002, HSKU telah mendapat tajaan sepenuhnya daripada syarikat ExxonMobil Exploration & Productions Malaysia Inc. sebelum beralih kepada penaja barunya PNB sehingga sekarang. 

Aspirasi

Malah, melalui penajaan PNB, hadiah paling lumayan menanti penulis yang menyertai sayembara kali ini menerusi tajaannya bernilai RM100,000. Penajaan lumayan dari PNB ini membolehkan hadiah-hadiah bagi kategori novel, cerpen dan puisi melonjak kepada suatu nilai yang begitu tinggi dalam tempoh tiga dekad lalu.

Menariknya, hadiah kategori Cerpen Media Baharu yang disokong MCMC buat pertama kali dalam edisi ke-32 ini turut menawarkan hadiah cukup lumayan.

Menurut bekas pemenang HSKU, Nisah Haji Haron dalam eseinya bertajuk “Penulis (Muda) Tunggu Pengiktirafan”  (Jurnal PEMIKIR Januari-Mac 2011), anugerah atau pengiktirafan kepada penulis menjadi penanda aras kepada hayat kepengarangan – samada penulis itu memenangi sesebuah sayembara mahupun diberikan anugerah tertentu.

Malah, Nisah mengganggap HSKU satu-satunya sayembara yang berlangsung secara tekal itu bukan sekadar menjadi penanda aras  tetapi aspirasi kepada penulis untuk meletakkan nama masing-masing di dalam senarai pemenang.

Nisah menyatakan: “Sayembara ini tidak membezakan sama ada penerimanya penulis muda atau mapan. Ini dibuktikan daripada senarai penerima yang bervariasi tanpa mengira had umur.” (PEMIKIR Januari-Mac 2011: Halaman175).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk HSKU 2017, Badrul Azhar Abdul Rahman, HSKU sentiasa konsisten memberikan pengiktirafan kepada karya bermutu tinggi tanpa mengira latar belakang penulis sama ada mereka itu penulis baru atau penulis lama.
“HSKU mencari karya yang bermutu tinggi bagi meningkatkan lagi khazanah kesusasteraan Melayu dan mengiktiraf penulis yang berbakat,” katanya. 

Sejak awal HSKU, sayembara ini turut diwarnai oleh kehadiran Sasterawan Negara (SN) seperti SN Arena Wati, SN Datuk A. Samad Said, SN Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad, SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Dr. Othman Puteh, Azizi Haji Abdullah, Khadijah Hashim, T. Alias Taib, Abdullah Tahir, Ali Haji Ahmad dan banyak lagi.

Sepanjang tiga dekad lagi, kita juga dapat menyaksikan Sri Rahayu Mohd. Yusop terus mengungguli kategori novel remaja HSKU apabila sepuluh naskhah novelnya turut memenangi sayembara sejak 2001 apabila karyanya Bukan Legasi Lalang diumumkan sebagai pemenang tempat pertama. 

Antara karya Sri Rahayu yang pernah memenangi HSKU ialah, Merdekakan Cinta Ratna (2003), Odisi Tanah Kencana (2007), Warisnya Kalbu (2008), Kasih Nan Agung (2008), Impuls/Roh (2009), Bima Sakti Menari (2010),  Rimba Jiwa (2011), Equilibria (2012) dan Empunya Kalbu (2015).

Faisal Tehrani juga tidak ketinggalan mewarnai HSKU pada peringkat awal turut mendominasi HSKU dengan  kemenangannya melalui genre cerpen dan novel yang disertai melalui sayembara ini antaranya, 1515 (2003), 1511 Kombat (2004), Advencer Si Peniup Ney (2005) dan Detektif Indigo (2005).

Selain itu, Nisah Haji Haron turut cemerlang apabila novelnya Mencari Locus Standi (2004) meraih tempat kedua. Malah kumpulan cerpennya, Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (1996) dan Impian Tsu Ryi (2000) turut memenangi hadiah utama. 

Kategori cerpen pula memperlihatkan kewibawaan Zainal Rashid Ahmad, Dr. Mawar Safie, Malim Ghozali Pk. Ghazali Lateh, Saifullizan Yahya, Dr. Azman Ismail, Fudzail Mohd. Nor, SM Zakir, Azman Hussin, Haswida Abu Bakar, Salina Ibrahim, Dr. Maskiah Masrom dan lain-lain berkarya.  

Kemunculan penulis muda berbakat dilihat bukan sekadar menyemarakkan lagi sastera Melayu malah ia mampu mencorak arus dunia penulisan dan persada kesusasteraan nasional yang lebih bermakna  sebaris dengan penulis mapan tanah air. Kita berharap selepas tiga dekad penganjurannya HSKU terus utuh memartabatkan sastera nasional lebih gemilang.