Jika tiada aral, majlis penyampaian HSKU dijangka berlangsung pada 27 Februari 2019 di Kuala Lumpur. Kali ini, karya siapa pula yang akan dipilih dan seterusnya dinobatkan sebagai pemenang utama?

Menyorot kembali karya yang pernah menjadi pemenang utama HSKU sebelum ini, kebanyakan tema yang dibawa penulis sastera amat relevan dengan isu terkini.

Novel Khilaf karya Salina Ibrahim yang pernah memenangi hadiah utama HSKU edisi ke-32, mengangkat ideologi jihad dan ekstremis di Malaysia, tema kontemporari yang menjadi isu kontroversi di seluruh dunia.

Menurut Laporan Panel Penilai HSKU 2016, novel Khilaf mengungkapkan subjek tentang kegiatan keganasan yang dinamakan Daesh. Kumpulan ekstrim ini bergerak cergas merekrut remaja dan belia untuk menyertai peperangan di Syria dan Iraq atas nama perjuangan suci Islam.

Naratif ini menggunakan sudut pandangan orang ketiga dengan memfokuskan perhatian kepada kedua-dua watak; Nadrah dan Fatih, sebagai watak penggerak cerita.

Menurut panel hakim, penganjuran nilai moral dalam khilaf mengangkat naratif ini menjadi sebuah wacana bersifat intelektual.

Dalam konteks semasa, ancaman Daesh yang meme­songkan ideologi perjuangan dengan memanipulasi Islam sebagai wadah perlu menyusuri melalui pemahaman yang besar serta mendalam.

Bagi Salina, Khilaf bertujuan menyedarkan pembaca mengenai bahaya ekstremis yang berjaya menyusup dalam kalangan remaja.

“Menerusi novel ini saya ingin pembaca menghayati dan menyedari, bagaimana orang yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi pun boleh terdedah kepada ideologi tersebut sekiranya mereka tiada pegangan atau kefahaman yang betul mengenai Islam.

“Apakah mereka yang terlibat itu faham atau tidak apa itu erti jihad dalam agama yang sentiasa mementingkan keamanan,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan pengkhususan Undang-undang (1996) daripada Akademi Islam, Universiti Malaya.

Salina berkata, cabaran utama yang dihadapi selama dua tahun untuk menyiapkan novel ini ialah bagi menyusun plotnya kerana ia melibatkan dua watak utama yang bertanggungjawab menggerakkan jalan ceritanya.

Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan sejak 2005, 2006 dan 2007, Hadiah Tunas Sastera Utusan-Public Bank 1990. Selain Khilaf, HSKU edisi ke-32, turut mengangkat karya Md. Nizar Parman ‘Manifestasi Ketam Biru’ tempat kedua dan Nazri Hussein menerusi novel ‘Rindu Syonan-to’, tempat ketiga.

Selain novel, HSKU turut mengangkat genre cerpen dewasa dan remaja untuk diberi pengiktirafan. Cerpen ‘Broker Melayu Terakhir: Manderam Omi Relekun’ karya Zainal Rashid Ahmad yang memenangi hadiah utama HSKU 2016, misalnya menggunakan latar pertelingkahan kepimpinan politik dengan menggunakan ilmu hitam untuk menghapuskan lawan.

Konflik timbul apabila protagonis menggunakan tali barutnya untuk mengupah Omi Relekun, pemimpin gerakan tukang sihir sedunia yang agung, untuk membunuh isterinya.

Hal ini disebabkan isterinya sendiri sedang mencuba buat kali ketiga untuk membunuhnya demi mendapatkan harta peninggalannya dan berharap menjadi isteri orang yang lebih berkuasa.

Menurut Laporan Panel Penilai HSKU 2016, kekuatan cerpen ini terletak pada unsur perlambangan fungsional yang dapat mengilas makna. Pada peringkat dasarnya, dikemukakan konflik fizikal dan perancangan saling membunuh pasangan melalui ilmu hitam.

Pada lapis kedua, selain hubungan suami isteri yang melambangkan hubungan yang diselubungi kepentingan peribadi, ilmu hitam melambangkan sikap Machiavelli dalam politik iaitu ‘matlamat menghalalkan cara’.

Panel juga berpendapat, menerusi perkembangan naratif ini daripada satu tahap ke tahap seterusnya, menunjukkan karya ini ialah sebuah satira politik.

Bagi penulis kesusasteraan tanah air, HSKU pastinya tetap menjadi medan memper­kasa­kan sastera tanah air selain bermatlamat untuk melahirkan karya bermutu tinggi yang menjadi penanda aras di zamannya.

Bagi cerpenis Dr. Mawar Safei pula, HSKU membawa banyak erti dalam dunia penulisan yang diceburinya sejak lebih 20 tahun lalu.

Menerusi tulisannya ‘HSKU: Guru Yang Menuntun’ yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 15 Oktober 2017, beliau menyorot pengalaman ketika menulis di akhbar terbitan Utusan sepanjang dua dekad lalu.

Menurutnya, kena­ngan yang paling diingati sepanjang penglibatannya dalam sejarah penganjuran HSKU adalah mene­rusi cerpen Virus Zel Untuk Abah.

Cerpen tersebut telah disiarkan pada 22 Januari 1994 dalam akhbar Mingguan Malaysia sewaktu Mawar masih bergelar mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Karya tersebut merupakan cerpen pertama yang disiarkan oleh akhbar arus perdana dan juga cerpen pertama Mawar yang memenangi HSKU pada tahun 1994. Bagi Mawar, HSKU adalah guru yang ‘menuntun’ (membimbingnya).

“HSKU adalah guru yang mem­bina keyakinan dan kepercayaan dalam sukma seni saya. Ternyata pula, tidak banyak guru yang dapat menunjuk arah dengan jalan sabar dan tulus sedemikian rupa.

“Justeru dengan seluruh syukur, saya menemukan guru yang satu itu.Walau sesekali saya berjeda daripada menulis di Utusan bagi memperoleh semangat baru, saya percaya dia selalu ada untuk saya terus berguru,” katanya yang kini merupakan Profesor Madya dan Ketua Editor, Jurnal Melayu, Pusat Penyelidikan Bitara Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.