​HSKU sememangnya hidup dengan bantuan syarikat korporat kerana kos hadiah dan pengurusan penganjurannya bukan kecil, apatah lagi jumlah hadiahnya semakin meningkat.

​HSKU pernah disebut bersekali dengan nama penajanya seperti Hadiah Sastera Utusan Melayu–Public Bank dan Hadiah Sastera Utusan-Exxon Mobil. Apabila Permodalan Nasional Berhad menaja hadiahnya, nama badan korporat kerajaan itu tidak memasukkan namanya dalam logo.

​Jelas bahawa perkembangan sastera mesti mendapat sokongan daripada akhbar dan penaja badan korporat yang telah menerima manfaat daripada kemajuan negara. Tanpa keseriusan, syarikat Utusan Melayu dan penaja, HSKU akan terkubur dan penulis akan kehilangan ruang untuk menampilkan bakat di pentas peragaan yang menjanjikan penilaian serius dan hadiah lumayan.

​Saya pernah memenangi hadiah dalam kategori cerpen bagi karya berjudul Ranjau yang tersiar dalam akhbar jawi, Utusan Zaman pada tahun 1986. Sebagai pelajar universiti, kemenangan pertama ketika itu sangat memberangsangkan dan menimbulkan dua keyakinan, aku boleh menjadi penulis dan aku sudah boleh memikirkan soal rumah tangga!

​Oleh itu, saya faham sangat apabila rakan-rakan sekarang begitu teruja apabila mereka terpilih sebagai pemenang dalam HSKU walaupun belum tentu mereka akan terus menjadi penulis, seperti saya. Yang pasti, saban tahun penulis akan menunggu-nunggu keputusannya.

​Kejayaan meraih hadiah dalam HSKU sebenarnya bukan sahaja memberikan pulangan kewangan yang lumayan, kemeriahan populariti, malah yang lebih penting memberikan merit dan markah kepada penulis dalam anugerah yang lebih tinggi seperti Anugerah Sastera Asia Tenggara (SEA Write Award), Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera), Anugerah Akademik Negara dan Anugerah Sastera Negara.

​Melalui HSKU, sastera Melayu membina penulis cerpen (dewasa dan remaja), puisi dan novel remaja khususnya, manakala kategori esei dan kritikan sastera agak terencat apabila jurnal Pemikir tidak lagi diterbitkan.

Dalam pada itu, pengalaman sebagai panel penilai bagi beberapa anugerah menyedarkan saya tentang pentingnya HSKU kerana tahap kebangsaannya itu. Jika HSKU tiada, nescaya seseorang penulis sukar untuk dinobatkan sebagai penerima anugerah kerana penilaian turut dibuat secara pengiraan matematik.

​Selain itu, HSKU diakui sebagai suatu pengiktirafan yang bermutu lantaran penyediaan laporan panel hakimnya dibuat secara terperinci dan diterbitkan untuk memberikan keabsahan secara telus.

​Saya diajak menjadi panel hakim oleh Norazah Abdul Aziz, editor Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd (UPND) yang bertindak sebagai penyelaras HSKU pada tahun 2002. Jika tidak silap, saya menjadi panel hakim selama 10 tahun (sehingga 2011) sebelum mengambil keputusan untuk berundur, tanpa prejudis!

​Pertama kali menyertai kumpulan panel itu, kami bermesyuarat di sebuah hotel terkemuka di Kota Baharu, Kumpulan kami itu terdiri daripada Dr. Othman Puteh, Prof. Madya Amida Abdulhamid, Mahaya Mohd Yassin, A. Rahim Abdullah, Zainal Palit (Zaen Kasturi), dan Drs. Ahmad Fadzil Yassin.

​Sepanjang menjadi panel hakim, saya dapati proses menilai karya bagi semua kategori sangat renyah, sebenarnya. Kami tidak memberikan kebebasan kepada seorang panel untuk memilih pemenang sebaliknya keputusan dibuat secara perbincangan sengit sehingga melepasi dinihari, lazimnya.

​Saya sering bercakap dengan Norazah bahawa pemilihan panel hakim pun sebenarnya sangat sukar kerana calonnya mestilah yang tahan lasak, tahan dikritik dan tahan dibantah pandangannya walaupun dengan suara yang keras apabila keadaan menjadi semakin hangat. Jika berhati lembut nescaya panel hakim boleh menangis.

​Bukan sahaja proses pemilihan pemenang begitu rumit, malah untuk menulis laporan penilaian pun memakan tenaga dan fikiran yang membukit. Norazah merupakan editor yang sangat teliti lalu beliau menyarankan penulisan laporan dibuat secara sistematik dan bergaya sama dalam semua kategori.

​Kami begitu teliti semasa menulis laporan, walaupun untuk memilih satu perkataan agar ketepatan dan kesedapannya terasa. Lazimnya, sesi penyediaan laporan dibuat dalam mesyuarat beberapa hari dan perbincangannya juga berlarutan sehingga pukul 1 pagi hingga 2 pagi.​ Saya percaya prosesnya sekarang adalah sama kerana sebahagian besar panelnya sudah terbiasa dengan cara bekerja kami dahulu.

​Pada tahun itu, satu anjakan berlaku dalam penilaian dan pelaporan. Karya Faisal Tehrani yang menggunakan judul 1511 terperangkap dalam polemik antara panel hakim. ​Kami berbahas tentang kesesuaian manuskrip itu untuk dipilih sebagai pemenang dalam kategori novel remaja kerana muatannya sangat serius, plotnya kompleks dan sesuai untuk bacaan dewasa. Manuskrip itu ternyata telah melanggar pola novel remaja sebelum itu dan panel hakim yang sudah sebati dengan ramuan yang konvensional sukar menerimanya.

​Kami berbahas berjam-jam sehingga akhirnya keputusan tercapai apabila kami bersetuju bahawa tahap pemikiran remaja pada era kini sudah tinggi, apatah lagi konsep remaja sudah kami naikkan kepada usia 23 tahun, yakni pelajar universiti.

​Judul itu kemudian ditukar kepada 1515 apabila diterbitkan kerana Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu tidak gemar sejarah kejatuhan Melaka pada tahun 1511 dikumandangkan dan beliau akan menadi penyampaian hadiahnya.

​Pentahapan usia remaja itu juga merombak konvensionaliti yang sebelum itu menetapkan sastera remaja adalah yang berusia 18 tahun ke bawah. Ini juga suatu pembaharuan yang seterusnya memacu perkembangan sastera remaja apabila selepas itu muncullah novel yang memuatkan persoalan serius daripada Nisah Haron, Siti Jasmina Ibrahim, dan Sri Rahayu Mohd Yusop.

​Kini, HSKU sudah melepasi empat dekad. Ini sejarah penting dalam pertumbuhan sastera tanah air. Bukan sahaja kesannya terletak pada aspek pertambahan jumlah hasil sastera, malahan mutu karya sastera juga beranjak melalui proses ini.

​Penilaian karya sentiasa menetapkan satu paradigma bahawa pemenang HSKU perlu dilihat pada keupayaannya menjadi tanda aras sastera semasa. Pada tahun seterusnya diharapkan penulis menghasilkan karya yang lebih baik dan lebih baik kerana HSKU bukan biasa-biasa!