Pesan ibu melekat dan melebat di hati dan perasaan kami – cucu cicit Haji Melan yang terpahat nama sebagai orang pertama yang pernah membuka kampung halaman ini.

Dusun pusaka ibu yang terpecah dua – nun di seberang sungai yang jernih mengalir ke muara tetap terjaga dan terpelihara semenjak dahulu lagi. Dusun makmur yang dirimbuni aneka pohon dan flora indah itu betul-betul terletak di sebelah timur laut.Pohon buah-buahan yang disemai dan dibaja mekar dan membesar dari tahun ke tahun. Ketika musim kemarau yang panjang tanpa titisan hujan meluruh dari langit – ibu akan pastikan ada anak cucu yang bermudik menjengah tanah dusun untuk menyiram dan membasah akar pohon agar tidak mati kelayuan. Ibu bimbang ada zuriat ibu yang tidak sempat merasai lazat dan enaknya buah-buahan tempatan yang bakal masak ranum di hujung julai atau di celah dahan.

Ibu mahu rezeki yang tumbuh di perdu tanah dinikmati secara adil dan saksama. Kesamarataan akan menghindari daripada hasad dengki, iri hati dan prasangka buruk yang boleh memusnahkan sesebuah keluarga besar. Itulah yang dibimbangi ibu setiapkali anak-anak cucu dan saudara mara berkumpul di beranda rumah.

“Peliharalah keharmonian dan kestabilan keluarga kita.Ibu risau takut-takut ada anak cucu yang cuba menjadi dalang menghasut supaya berbalah dan berpecah belah. Ingatlah sejarah bagaimana penjajah berjaya menjarah tanah air kita hanya dengan menggunakan tipu muslihat melalui sistem pecah dan perintah...”

Kalangan kami – anak cucu ibu hanya mampu diam menghayati sebabak hikayat daripada lidah ibu.Lama terdiam,ibu cuba menduga kami dengan satu persoalan.

“Kamu tahu apa itu sistem pecah dan perintah?”.

Mulut kami terlopong tanpa jawapan. Maka berpandang-pandanglah kami sesama sendiri sebelum menggeleng-gelengkan kepala.

“Ia sistem daripada ideologi Barat yang menggunakan cara paling licik menjajah sesebuah wilayah dan tanah air. Penduduk daripada pelbagai etnik, kepercayaan, budaya, politik dan bahasa pertuturan dipecah-pecahkan dengan tembok prasangka supaya benci membenci dan iri hati. Apabila perpaduan dan kesatuan sudah terlerai rapuh maka senanglah penjajahan berlaku. Ibu tidak mahu sejarah itu berulang.Sejarah bagaimana bangsa dan tanah air dihina dan dicerca hingga segala hasil bumi dijarah dan dikaut sesuka hati...”.

Berkali-kali ibu mengingati kami supaya menghargai makna kemerdekaan sebenar. Sejarah penjajahan tanah air kata ibu adalah rakaman peristiwa hitam yang tidak sepatutnya berulang. Dipesaninya kami betapa penjajahan spiritual atau penjajahan fikiran itu sebenarnya jauh lebih dahsyat daripada penjajahan fizikal.

“ Apakah maksud ibu dengan penjajahan fikiran itu?”.

Tanya seorang daripada kerabat kami inginkan penjelasan. Wajah ibu yang kekal anggun dan tetap jelita pada usia enam puluh tahun itu kami renungi dalam-dalam.Selendang bersulam tradisi yang menutup kepala, ibu betulkan daripada ditiup angin.

“Akal, hati dan jiwa adalah anugerah Tuhan yang teragung.Isikanlah dengan jati diri dan akal budi yang tinggi. Berakhlaklah dengan luhur kepercayaan, berilmulah dengan nilai kebenaran, beramallah dengan rukun kebaikan dan bertuturlah dengan bahasa kebangsaan nescaya kamu terhindar daripada penjajahan fikiran dan nurani...”.

Hari itu, sebahagian daripada kami mula mengangguk-anggukkan kepala. Kami mula memahami hasrat dan impian sebenar ibu.Ibu mahu semua anak cucu dan kaum kerabat baik yang tinggal di persekitaran rumah ibu mahu pun yang menetap di seberang sungai bersatu hati dan berpadu nurani.Perbalahan dan persengketaan akan hanya menconteng imej dan maruah keluarga ibu yang bersalahsilahkan keturunan kerabat diraja serta panglima agung yang cukup dihormati dan disanjungi suatu ketika dahulu.

Saat keluarga besar kami menjalani rukun kehidupan seharian dengan ziarah ukhuwah, kunjung mengunjungi serta bergotong royong menyemai silaturrahim – terdengar bisik halus di telinga ibu tentang khabar yang tidak enak didengar. Konon suatu ketika dahulu – dua dusun ibu seluas beberapa hektar nun di seberang sungai diambil hak secara tidak sah. Ada segelintir anak cucu, biras dan ipar duai cuba mempertikai cara ibu memiliki dusun-dusun yang mekar makmur itu.

“Ibu menggunakan cara yang salah di sisi undang-undang...”.

Terdengar ungkap kata melontar herdik amarah. Ibu diam cuba menenangkan perasaan.

“Ibu memalsukan dokumen semata-mata untuk memiliki tanah-tanah dusun itu...”.

Tambah seorang dua kerabat ibu yang tidak berpuas hati. Pada raut wajah mereka, ada agenda yang tersembunyi. Mereka cuba mengeruhkan suasana dengan harapan maruah ibu tergadai di hadapan anak cucu.

“Ibu tidak mendapatkan kebenaran pihak berkuasa. Jiran tetangga dan saudara mara tidak pernah memberikan persetujuan pada ibu. Ibu merampas tanah-tanah dusun kerana perasaan tamak haloba. Tidak cukupkah lagi hak milik ibu di tanah besar ini...”.

Tuduh suara-suara yang terus tidak berpuas hati. Mereka seronok dapat mempersendakan maruah dan harga diri ibu tanpa segan silu.Ibu tidak lagi dihormati sebagai manusia luhur yang berjasa besar menyatukan keluarga dan salasilah keturunan kami di kampung halaman ini. Nama ibu terconteng aib dengan segala tuduhan tidak berasas.

Namun, ibu tetap tenang dan tidak mudah melatah. Ketika tuduhan makin tersebar – ibu menyucikan anggota tubuh dengan berwuduk. Ibu ingati pesan moyang bahawa dengan bertaharah akan hilangkan keluh kesah dan amarah. Ibu hamparkan sejadah di sudut kamar. Saat ada anak cucu mahu ibu bertindak keras – ibu mengangkat tangan bertakbiratul ihram dalam solat yang bening dan damai. Ibu mengadu pada Illahi agar diberi petunjuk dan jalan kebenaran.

Seusai solat, ibu menadah jemari kerdil merafak doa setulus hati.Wirid dan kalimah suci menaburi lidah dan nurani. Ibu tahu ini cuma dugaan dan ujian kecil berbanding cabaran besar yang pernah ibu alami saat mendidik dan memelihara keluarga.

Ketika anak-anak berteleku dalam tenang – beberapa ungkap kalimah pesan ibu membuatkan anak cucu terkedu seketika,

“Sebagai ibu kandung dan ketua keluarga – ibu hanya mahu kamu melihat cabaran di masa depan. Ada musuh dan petualang di sekeliling kita yang cuba memusnahkan keutuhan keluarga.Sama ada yang tinggal di tanah halaman ibu mahu pun yang menetap di hulu sungai, kamu tetap zuriat ibu yang sah. Dusun dan kebun di seberang sana juga milik kita bersama...”.

Semua anak cucu menarik nafas lega mendengar jawapan tegas ibu.Betapa ibu bukan wanita lemah yang mudah terusik dengan tuduh dan fitnah yang berleluasa.

Pernah suatu ketika berdekad silam - ibu berhadapan kemelut paling sukar apabila dengan lenangan air mata terpaksa melepaskan sebidang tanah pusaka paling berharga di sebelah selatan. Berminggu-minggu ibu menakungkan air mata tatkala tanah tercinta itu diserahkan pada orang lain hingga ibu terpaksa mengurungkan diri. Wajah ibu pucat dan tubuh ibu kurus kering beberapa lama angkara berdukalara tatkala melepaskan hak pusaka sebidang tanah di hujung muara sungai itu.

“Ibu tidak punya pilihan. Itulah keputusan terbaik yang mampu ibu lakukan...”.

Cerita ibu ketika ada anak cucu yangbertanya. Segala dokumen dan maklumat yang tersimpan di dalam almari lama, ibu keluarkan untuk ditunjukkan kepada anak cucu bahawa tindakan ibu tepat dan betul. Ibu mempunyai sebab dan alasan yang munasabah. Ibu melihat dengan pandangan mata yang sesayup jauh. Ibu membuat pertimbangan yang semasak-masaknya bahawa akan ada musibah yang lebih besar andai ibu masih mempertahankan hak ke atas tanah di sebelah selatan itu.

Ibu tidak mahu hanya kerana tanah berpulau kecil itu anak cucu berbalah dan bertengkar sesama sendiri sehingga keadaan menjadi huru hara dan kacau bilau.

Bagi anak cucu dan zuriat ibu, segala-galanya itu sudah menjadi sejarah yang tersimpan di dalam arkib kenangan. Sejarah kehilangan tanah selatan perlu menjadi iktibar untuk renungan generasi baharu.Ibu tidak mahu dua dusun pusaka di seberang sungai menerima nasib yang sama seperti tanah ibu di sebelah selatan.

Ibu - seperti yang kami soroti sejarah hidupnya tetaplah insan terbilang yang memiliki kebijaksanaan yang luar biasa. Ibu bukan wanita kolot yang jahil ilmu dan kemahiran seperti tuduhan segelintir orang luar. Pendidikan yang diterima oleh ibu sudah cukup mematangkan pemikiran dan peradaban. Ibu adalah feminis Melayu yang tahu selok belok agama, budaya dan adab resam tradisi turun temurun. Ibu juga pejuang bahasa dan sastera Melayu yang ingin melihat wacana ibunda dimartabatkan sepanjang waktu.

“Anak-anak cucu ibu yang dicintai dan disayangi…”.

Ibu memulakan mukadimah saat semua kerabat yang jauh dan dekat sudah mula berkumpul di rumah pusaka. Semua mata merenung sesosok jasad ibu yang lengkap berkebaya tradisional Melayu. Nampak anggun penampilan ibu yang dipadankan dengan selendang bersulam batik asli di atas kepala.

“Ketika rumah ibu mula terbina enam puluh tahun silam, ibu rentangkan lima prinsip agam di dinding rumah kita. Ia termaktub menjadi rukun yang mesti dihormati dan dipatuhi oleh semua anak cucu. Jangan ada zuriat yang cuba mempertikaikan prinsip yang tersergam utuh ini.Menentang wadah suci ini bererti menderhaka pada ibu – Ibu benci pada anak-anak cucu yang menderhaka kerana ia seburuk-buruk perlakuan...”.

“Terangkan pada kami watikah suci itu,ibu..?”.

Soal seorang cucu ibu yang masih di awal remaja. Raut wajahnya terpamer perasaan ingin tahu yang mendalam.

“Ibu namakan prinsip itu dengan gelar piagam ibu. Di dalamnya termaktub taat setia terhadap kebenaran dan ketuhanan. Selain itu, keadilan, keluhuran, kedaulatan, kesusilaan dan kesopanan adalah teras yang perlu dipatuhi. Berjalanlah di atas landasan yang betul agar tidak tergelincir jatuh...”.

Jawapan ibu ringkas. Anak-anak cucu ibu yang masih mentah usia mula memahami dan mengagumi.

Sebahagian anak-anak ibu yang pernah berkongsi kesusahan dan kemunduran pada zaman silam berebut-rebut mendekati ibu lalu memeluk erat tubuh berkelubung itu. Masing-masing menitiskan air mata saat mengenangi betapa deritanya ibu melahir, menyusu, mengasuh dan membesarkan anak-anak. Ketika rumah tua ibu hanya dikerlipi pelita dan lampu minyak tanah – ibulah yang bersusah payah di dapur rumah memasak bernyalakan kayu api demi memastikan anak-anak dapat menghadam makanan sebelum melelapkan mata.

Tatkala rumah uzur ibu belum lagi menikmati bekalan air paip, kudrat ibulah juga yang bertungkus lumus mengangkat air dari telaga demi memastikan anak-anak dapat membersihkan tubuh badan dan meneguk air minuman sebelum melangkah ke sekolah mencari ilmu pengetahuan. Ibu tidak berkira segala keringat yang jatuh.

Ibulah anugerah teragung untuk kami – zuriat yang membesar di perkarangan rumah pusaka ini tidak akan lupa besarnya jasa dan pengorbanan ibu.

Kini, musim-musim kedaifan dan kemunduran sudah jauh dikambus musim – pergi bersama cerita duka dan derita dihimbauan zaman. Tibalah saat-saat ibu mengecap nikmat kemajuan dan kemewahan. Anak-anak tumpang berbangga tatkala rumah ibu berubah wajah. Tangga, dinding, lantai dan atap perabung yang uzur dan reput berganti baharu.Malah, segala macam hiasan dan perabot memenuhi sergam rumah ibu yang anggun dengan bentuk moden dan bersenikan tradisi bangsa.

Halaman rumah tidak lagi kering gersang seperti dahulu.Aneka pohonan hijau malar dan tumbuhan mekar memenuhi sekeliling. Kudrat anak-anak cucu ibulah yang gigih menyemai dan membaja hingga setiap inci tanah melimpah dengan rimbunan rezeki.

Hari berganti waktu. Daun-daun musim cepat luruh dari pohonan musim. Nikmat kesenangan dan kedamaian yang ibu kecapi mudah dicemburui oleh mata-mata yang dengki.Lalu, dihambur segala dusta dan cerca konon emosi ibu tidak stabil dek anak-anak yang gemar melawan dan membantah. Setiap kali ibu menegur ada anak-anak cucu sudah berani mengangkat suara mempertikai itu dan ini. Seolah-olah di mata mereka, ibu banyak membuat onar dan kesilapan.

“Mengapa menjadi manusia yang kurang ajar dan biadap.Bukankah di hadapan kita ini ibu kandung tercinta. Dengan titisan susunya kita meneguk puas.Dengan asuhan ilmunya fikiran kita menjadi waras. Dengan didikan akhlaknya mental kita kukuh dan tegas. Dan dengan semangat kentalnya jasmani kita kuat dan keras...”.

Teriak anak sulung ibu merasa kurang senang dengan perlakuan seorang dua zuriat ibu yang rendah moralnya.

Ibu tetap seperti selalu – berwajah tenang dan penuh istiqamah. Ibu sedar mendidik anak-anak generasi dalam dunia moden dan era multimedia ini penuh dengan ranjau dan onak berliku. Apatah lagi berhadapan dengan zuriat yang mempunyai latar pendidikan yang berencam dan pelbagai. Cuma yang dibimbangi kalau-kalau ada anak-anak cucu ibu yang mudah diresapi dengan sentimen keganasan dan ekstrem yang boleh menguggat kedaulatan halaman dan tanah pusaka ini. Ibu takut ada zuriat ibu yang sanggup memilih senjata dan peluru sebagai jalan penyelesaian.

Ibu sangat-sangat risau tatkala membaca berita-berita tentang aktiviti keganasan di luar negara yang mengorbankan ramai nyawa yang tidak berdosa.

“Usahlah ibu bimbang – kami akan setia di belakang ibu. Kami akan pastikan rumah ibu terjaga dengan kemakmuran dan keutuhan sejati,” bisik anak-anak yang berdiri mengelilingi ibu. Terpancar amanah dan tanggungjawab yang terpamer pada wajah-wajah itu.

“Niat ibu hanya ingin membahagiakan anak-anak. Tidak kira dari mana latar belakang kamu.Utara, selatan, timur atau barat kamu tetap satu...”

Wajah ibu penuh seri. Ada senyum yang terukir. Semua anak-anak beratur panjang untuk bersalaman sambil mencium jari jemari ibu. Hari itu – pada tanggal kelahiran ibu pada angka enam puluh, semua zuriat berkumpul meluahkan cinta dan setia hanya untuk insan yang pernah mengandung dan membesarkan mereka. Pesan ibu tetap tidak luput di hati dan nurani.