Dal berhenti rehat sekejap sahaja kerana hujan yang tiba-tiba melanda senja itu. Kilat pula turut mengiringi guntur sabung-menyabung tanpa simpati membedil alam. Mulanya budak Dal itu mahu meneruskan perjalanannya, namun ekoran angin yang terlalu kuat menyebabkan payung yang dibawanya diterbangkan.

Mahu tidak mahu, dia singgah juga di bawah pokok sawo yang rendang itu. Sejenak di situ, dia telah disambar gledek yang kuat langsung menghanguskan seluruh tubuh kerdilnya. Setangkai dahan ciku yang lebat berputik terkulai patah lalu menghurung nya.

Bunyian hilaian berpuput lewat kejadian tersebut. Nyaringnya didengari beberapa orang di hujung kampung, mengecutkan semangat semua penghuninya. Menyebabkan tiada siapapun yang berdecit, hanya menyorok sahaja di dalam lembar selimut.

Tiada siapa yang datang membantu kerana tiada seorangpun yang tahu. Hinggalah hujan agak reda dan beberapa jemaah mendatangi surau berdekatan kawasan tersebut. Lebai Norm yang mula-mula menyedari. Spontan pula dia mengambil prakarsa membawa jasad yang ketika itu sudah tidak bernyawa lagi ke anjung rumahnya.

Kedatangan pegawai perubatan sekadar mengesahkannya sahaja. Emak dan ayah Dal pun terkocoh-kocoh ke rumah Lebai Norm membawa tangisan yang berlarutan hingga ke lewat dinihari. Jenazahnya dikebumikan juga malam itu dalam renyai hujan yang masih bersisa. Air mata mereka berdua bersatu dengan rebas air hujan yang pilu.

Sahutan burung hantu berpuput seru daripada pohonan beringin yang mula meninggi di pesisiran kuburan tersebut menikuskan jiwa. Desiran mersik semilir malam mendodoi camar yang mahu mula beradu. Gemersiknya menghantar runut bisikan ngeri di sekeliling pohon sawo yang dahannya terkulai itu.

Jemaah yang pulang pasca pengebumian jenazah Dal berjalan pantas ketika melewati sebatang ara dan rimbunan ciku tersebut. Seakan ada yang menolak langkah mereka untuk dihayun deras-deras. Gesekan semilir mersik menegakkan bulu roma tengkuk jemaah.

Langkahan itu tambah cepat ketika sepiak upeh pinang kuning di sekitar busut, jatuh menunaikan masa tuanya. Rasa kaget bercampur gementar mendiami lubuk jiwa setiap orang. Memang mereka sedia maklum etos laluan tersebut yang keras dan angker dengan macam-macam kejadian.

Delapan bulan lalu, Mahfu, anak gadis Tok Ngulu Pahla mati tertonggeng dalam parit sebelah rimbunan ciku itu. Dia balik dari kedai ketika menjelang maghrib diminta oleh ibunya membeli garam. Mahfu mohon singgah ke rumah rakannya usai ke kedai. Masuk isyak, dia tak balik lagi. Sampai orang mula bertahlil malam Jumaat itu juga ia belum balik.

Resah itu mengundang Mak Cik Sar sendirian menyusulnya ke kedai. Tetapi jawapan daripada tuan kedai Man Leng pula mengecewakan. Dia kata sudah lama budak itu balik. Dalam tergesa-gesa Mak Cik Sar patah semula ke rumah.

Sampai di laluan itu, dia rasa tidak sedap hati, lalu menoleh ke arah parit tersebut. Maka terpandanglah dia akan anak gadisnya yang tertonggeng di celah basikal. Masih terngiang-ngiang lagi suara Mak Cik Sar melolong macam terkena buatan orang menangisi satu-satunya anak dara sedang bugar dalam koloni keluarganya itu. Sama seperti mayat Dal, ada kesan tusukan di bahagian leher mayat itu.

ii

“Kita kena cari jalan juga, Tok Ngulu,” usul Lebai Norm. Bukan kerana anaknya yang telah menjadi salah seorang mangsa maka misteri kematiannya mesti dirungkai. Tetapi kerana rasa ingin tahunya yang tinggi di samping mahu juga menyelamatkan orang lain daripada jadi mangsa. Lebai Norm tahu, seperti orang lain juga rasa, ada sesuatu yang tidak kena dengan lorong itu.

Laluan yang membariskan pokok pinang, rimbunan bambu kuning dan sebatang pohon beringin. Gugusan pokok ciku yang bukan sahaja lebat berbuah tetapi rimbun dan jadi penyelamat mereka yang kehujanan. Malangnya, acap kali orang bernaung di bawahnya, balalah yang akan menimpa.

Walaupun puas ibu ayah menasihati anak-anak mereka jangan main di bawahnya, tetapi kekadang malang itu memang tidak dapat dihidu. Tidak dirancang tetapi seakan sempurna direncana. Tok Ngulu Pahla menggentel-gentel rokok daun lalu menyelitkan ke bibir rentanya.

“Apa kau ingat aku tak cari jalan… lama dah aku cuba usahakan. Tetapi tak tahu di manalah silapnya, kalau dah ajal itu bukan kuasa kita,” lambat-lambat dia bersuara macam Tuk Aki dalam drama Tanah Kubur.

“Tahun ini sahaja dah tiga orang mati. Tahun lepas dua orang, sampai bila nak korbankan penduduk dengan sesia…” Lebai Norm mengulit kenangan sadis kehilangan waris.

“Anak aku pun terkorban juga..” tingkah Tok Ngulu.

Lalu dalam bertingkah itu terputus jua resolusi. Seorang pawang dari Kampung Hilir Ded dipanggil untuk membaik pulih keadaan. Umum bersetuju bahawa kawasan tepian longkang dan rimbunan pohon itu memang keras dan menyimpan ceritera misteri. Senang cerita berhantulah.

Pawang Obit memang telah dikenali seantero lahan itu. Bukan sahaja hal-hal ilmu ghaib dan sihir dia mampu tangani, bahkan soal sakit pelik orang kampung juga diladeninya. Itu rumus yang telah diputus. Terpaksa guna juga kepakaran ilmu super natural buat masa ini. Pawang Obit mulakan tugas perasap kemenyan dan mengatur mantera.

‘Hai jin pelik aku tahu asal engkau mula menjadi selayang angin nama bapa engkau, selayang bumi nama ibu engkau…’

iii.

Situasi masjid yang selalunya muram itu, hari ini bertukar ceria. Orang kampung berbondong-bondong datang untuk mengikuti ceramah perdana anjuran Jakim dan sebuah syarikat media. Sudah lama benar program seperti itu tidak dijalankan di kampung tersebut.

Usaha Lebai Norm dan pihak pengurusan masjid Kampung Kenc nyata mendapat sambutan menggalakkan. Bukan sahaja penduduk kampung tersebut, bahkan kebanjiran penonton dihadirkan dari kampung-kampung bersebelahan.

Siapa yang tak kenal Ustaz Kaz yang popular itu. Gaya penyampaiannya yang bersahaja tetapi berbisa itu memang memikat penonton. Dalam lembut ada senda, dalam diam kita ketawa. Tidak pula keterlaluan seperti sesetengah penceramah hingga hingar-bingar dengan gelak. Macam Maharaja Lawak Mega pula dia berlagak.

Mauduk yang dibincangkan pula bertepatan sekali dengan apa yang sedang hangat diperkatakan oleh penduduk kontemporari. Sebenarnya ramai yang tidak sependapat dengan pengurusan kampung apabila memanggil Pawang Obit dalam kemelut itu.

Ada yang menyatakan itu khurafat, syirik dan sebagainya. Tetapi Tok Ngulu pula mempertahankan kononnya Pawang Obit hanya gunakan rukyah dan ayat-ayat al-Quran untuk menghalau hantu dan membersihkan kawasan tersebut sahaja. Tujuan mereka juga bersandarkan kemasalahatan umum yang dibenarkan syarak.

Entahlah macam-macam pula pandangan yang diutarakan. Hingga ada yang hampir bergaduh dan bermasam muka. Justeru usaha pawang itu dianggap sepi dan tidak mendapat sokongan padu. Namun sejak kedatangannya, kejadian tersebut tidak pula berlaku.

Dalam khulasah tazkirahnya Ustaz Kaz menyarankan agar tempat persembunyian anak cucu Azazil dimusnahkan untuk mengelakkan peperangan. Namun orang kampung tidak pula memahami maksudnya dan menterjemahkannya, apatah lagi keadaan sudah agak aman.

Orang kampung, tua muda dan kanak-kanak berani sahaja ke sana ke mari melalui laluan berbusut berkenaan. Sebenarnya mereka memang terpaksa melalui jalan tersebut kerana itulah satu-satunya laluan menghubungkan kampung dengan Pekan Chaah.

Lama juga keadaan kampung bebas daripada sebarang cerita baharu kematian. Ada sedikit kelegaan dalam kalangan penduduk lewat Pawang Obit menjampi dan membuat semahan di kawasan sasaran itu. Pandangan negatif yang awalnya bertapak dalam jiwa kebanyakan orang awam terhadap Pawang Obit sekonyong-konyong larut.

Malah di sana sini orang mula memuji dan menyanjung sumbangan pawang berkenaan. Usahanya dilihat berjaya memberi keamanan kepada sekitaran kampung. Hinggalah suatu detik, ketenangan itu kembali berkocak.

“Ada orang mati di simpang beringin tu, tuk!” suara Lebai Norm memecah sunyi. Ketika itu majlis tahlil baharu sahaja usai di rumah salah seorang penduduk. Kebetulan Lebai Norm tidak turut serta kerana terpaksa menyongsong kemanakannya yang mahu berkunjung ke rumah.

“Apa? Orang mati?” Tok Ngulu Pahla dan beberapa jemaah tahlil hampir serentak terpelongo. Sudah lama cerita seumpamanya tidak menyinggahi minda, alih-alih malam ini kembali terjadi. Bedilan halilintar baru sahaja surut menjelang malam. Malam Jumaat Kliwon pula tu!

“Mari, mari ke sana!” ajak Lebai Norm bersulam ragu. Sebenarnya dia pun tidak berani mengurusi mayat yang dikatakannya itu. Dia cuma nampak bayangan lembaga terperosok di celah rumpun bambu bersebelahan rimbunan ciku. Hendak diusik, langkisau dingin tetiba mengajak bulu romanya tercacak. Lalu dia mengambil keputusan ke lokasi kariah sedang bertahlil tadi.

Spontan jemaah tahlil yang masih menjamu hidangan itu bergegas menuruni tangga. Lebai Norm mendepani gerombolan orang kampung ke lokasi kejadian. Ada yang berjalan kaki, bermotor dan berbasikal pun ada. Pancaran lampu suluh dan lampu kenderaan bercempera menyilaukan pandangan.

“Ya Allah! Dahsyatnya!” suara Tok Ngulu apabila tubuh yang kejung itu ditarik keluar. Sebahagian kepalanya hampir tidak berupa lagi. Sebiji mata tersembul keluar dengan lumuran darah memenuhi raut wajah. Kesan koyakan rakus terpeta di leher mangsa dengan sebahagian urat leher terburai.

“Marah betul nampaknya makhluk ini,” satu suara entah dari siapa.

Ayah Dal dan Man Leng cuba mengalihkan wajah yang mengiring itu untuk mengenal pasti siapakah gerangan mangsa berkenaan. Tok Ngulu hulur secarik kain tuala untuk mengelap lelehan darah yang masih segar pada muka mangsa.

“Pawang Obit!” Lebai Norm dan beberapa orang kampung terkejut mengecam . Kemudian yang lain turut mengesahkan pasti. Wajah yang telah robek separuh hancur itu masih dapat dikenali . Gigi taring tampak menyeringai dengan kesan tusukan dan cakaran di bahagian leher meninggalkan rasa gerun pemandangnya. Kesan hangus hitam membekas di tengkuk.

Sebahagian kain sarung yang membelit pinggangnya pula habis carik hingga menampakkan bahagian sulit. Paha dan betis disaluti lelehan darah dengan hanyir bau yang menyesakkan pelipis hidung.

Segera pula Tuk Ngulu dan Lebai Norm mengarahkan anak buah mereka menguruskan mayat berkenaan. Sanak-saudara dan waris-waroh pawang di Kampung Hilir segera pula dipanggil. Terdengar juga soksek-soksek di belakang tabir mengenai kejadian itu.

Bagaimana pawang yang dikatakan mampu mengurangkan gangguan makhluk asing dan hantu yang melanda kampung itu boleh ‘dialahkan’ begitu rupa. Bahkan kematiannya pula jauh lebih dahsyat daripada kes-kes sebelum ini.

Keadaan mayat yang mengerikan dan amat aib itu tidak sepadan dengan ilmu yang dimilikinya. Semua percaya ini angkara penunggu atau makhluk jin yang sekian lama bertapak di lokasi berkenaan.

Kejadian ganjil juga berlaku ketika proses pengebumian Pawang Obit. Ketika jenazah mahu dikebumikan, angin ribut disertai hujan lebat turun. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menunda beberapa kali, hinggalah kali kelima baru cuaca kembali reda.

Ketika itu, awan-kemawan tidak menentu dengan guntur dan kilat sesekali membuatkan jemaah gusar. Bunyi-bunyian pelik fauna juga keluar dari sekitaran. Pelbagai pula tifa akustik yang dimainkan tanpa faham.

Lewat dini hari juga urusan itu baharu berakhir. Penduduk kampung balik ke rumah masing-masing dengan sejuta persoalan yang masih belum dibubuh jawapan.

iv

Cuaca senja itu makin menjadi-jadi galaunya. Angin ribut berselang-seli rebas hujan yang sesekali pula menjadi lebat. Julai beringin dan kayu ara meliang-liuk dijamah langkisau. Sesekali juga menjilat tanah akibat tiupannya yang ganas.

Rumpun buluh kuning juga bergeser-geser sesama sendiri akibat sapaan semilir senja itu. Bunyi mengeriut dan ngilu ada kalanya menyucuk nyali. Sesekali tiupannya menyebabkan pucuk bambu itu menyapa ranting saga dan ara di sisinya.

Di seberang jalan belah sana pula, rimbunan sawo yang menjadi payung para penduduk yang tersekat ketika hujan, terus menghantar isyarat misteri. Panahan kilat memancar sekitaran dengan ngauman halilintar membelah alam bersahut-sahutan. Persis pekikan dan jeritan para malaikat yang digambarkan tika memburu konco-konco Azazil.

Tiada kelibat susuk tubuh manusia pun kelihatan di sepanjang jalanan tersebut. Mereka semua sudah tahu laluan itu mesti dijauhi ketika hujan ribut dengan iringan kilat. Situasi tersebut memang menjadi trauma dalam kalangan penduduk sekarang.

Masing-masing berkurung di rumah kerana di situlah kawasan paling selamat untuk bernaung. Membiarkan halilintar dan kilat terus-terusan membedil apa yang ada di sekitar rimbunan sawo matang atau buluh kuning. Ia seakan ledakan mortar dan serangan maya maha hebat.

Sesekali kedengaran juga dahanan saga dan ranting beringin patah ekoran tembakan yang semakin mengganas. Pemburuan yang belum berhujung dan akan berterusan selagi beringin, kayu ara, pokok saga, ciku dan buluh menyediakan perlindungan makhluk derhaka itu.

Maghrib merangkak di kala peperangan siber dan mistik terus berlalu. Beberapa buah kereta menghantar jemaah terus tekun mengimarahi surau walaupun cuaca begitu gawat. Tiada kelihatan mereka yang berbasikal atau berjalan kaki lagi.

Amanat Ustaz Kaz segera pula mendiami gerbang minda orang kampung. Tempat persembunyian dan kubu pertahanan itu mesti dimusnahkan!