Aiman sangat marah pada ketika itu. Apabila Aiman menjerit ke arah budak-budak itu, mereka berlari bertempiaran ketakutan. Aiman menuju ke arah anak kucing yang dijadikan mainan itu. Lemah kucing dilihatnya. Aiman membawa kucing itu pulang ke rumahnya. Aiman ingin mengubati kucing itu.

Sesampainya di rumah, Aiman mendapati yang kucing itu telah pun mati. Aiman berasa sangat marah. Air matanya mengalir sedikit, sempat kering sebelum dia menanggalkan pakaiannya. Aiman membersihkan tubuhnya. Sejurusnya, Aiman menanam kucing itu di belakang rumahnya.

Malam itu Aiman tidur dengan lenanya. Dia telah bermimpi akan kucing yang dibawanya pulang petang tadi. Kucing itu telah memberitahu Aiman yang dia harus mencipta satu alat yang boleh membuatkan kucing itu hidup kembali. Aiman tersedar dari lenanya kerana ketakutan, mana boleh seekor kucing berbicara. Dia mengusap-usap matanya lantas baring semula sehingga tertidur.

Aiman meletakkan kaca mata rabun jauhnya di atas meja tempatnya bekerja. Dia bekerja sebagai jurutera enjin. Setiap hari Aiman akan memeriksa mesin dan enjin. Dia akan membawa fail yang penuh dengan kertas, kertas pengiraan.

Waktu rehat itu, Aiman menuju ke kantin bersendirian. Dia duduk di kerusi kantin itu sebelum memesan apa-apa makanan. Waktu rehat merupakan waktu yang sangat berharga buat Aiman.

Masa pun berlalu pergi, Aiman tetap mengelamun dan berkhayal sahaja, tangannya menongkat dagu. Dia teringat akan kucing yang hadir dalam mimpinya itu. Sebagai seorang jurutera, mimpi itu dianggap sebagai satu cabaran buat Aiman. Dia harus membuat satu alat yang boleh menghidupkan binatang yang telah mati.

Sedangkan ahli sihir Arab boleh menghidupkan mayat, inikan pula Aiman yang bekerja sebagai seorang jurutera, penuh dengan kecanggihan, pasti mampu menghidupkan binatang yang sudah mati.

Petang itu , Aiman dengan semangat berlari pulang ke rumah. Dia mempunyai agenda yang sangat besar. Dia menukarkan pakaiannya. Kubur kucing di belakang rumahnya digali semula. Aiman menjadikan Dr. Peter Hee yang berasal dari Korea untuk mencipta gigye dalam menghidupkan benda yang sudah mati.

Aiman membawa bangkai kucing itu ke dalam stor rumahnya. Dia meletakkan bangkai kucing itu di bawah cahaya mentol. Dia melakar satu alat yang boleh mengalirkan daya elektrik dan memberi tenaga kepada degupan jantung untuk hidup semula, berdegup seperti masih ada nyawanya.

Malam itu juga alat yang Aiman lakarkan telah pun siap. Dia mencari dan me­nyediakan semua bahan yang diperlukan, sebagai seorang jurutera yang mempunyai idea pelbagai, Aiman telah menyambung dan menghubungkan besi-besi dan wayar-wayar yang kompleks menjadi satu alat yang hebat. Sehinggalah pukul tiga pagi, alat yang Aiman idamkan telah pun siap yang seolah-olah berbentuk basikal.

Sesudah itu, Aiman mengambil bangkai kucing itu dan menyambung wayar berkepala klip buaya ke ekor, kaki dan tangan bangkai kucing itu. Cas elektrik mengalir dengan laju. Ada bunyi elektrik yang kedengaran Aiman apabila kayuhan dibuat. Mulanya, gagal sahaja cubaannya. Namun, Aiman tidak berasa penat disebabkan oleh keghairahannya untuk merealisasikan hasratnya pada malam itu.

Satu jam berlalu. Tiada apa yang berlaku. Aiman berasa sangat lemah lalu terlena. Tiba-tiba dalam mimpinya, Aiman telah bermimpi kucing itu lagi, kucing itu memberitahunya yang dia akan hidup dengan sumber tenaga elektrik dalam lima puluh kayuhan lagi.

Aiman tersedar. Tanpa membuang masa Aiman terus mengayuh mesinnya itu. “Lima puluh!,” Aiman menyebut bilangan itu dengan kuat, dia kelemahan. Aiman melihat bangkai kucing itu masih tidak bergerak. Dia sangat kecewa dan kesedihan.

Tiba-tiba, tanpa dijangka, kucing itu telah menggerakkan ekornya. Aiman sangat terkejut, dia kini berada antara realiti dan fantasi. Aiman bersahut kuat kegembiraan. Kucing itu berjalan seperti tidak pernah mati. Aiman ingin menangkap kucing itu, namun kucing itu hingga tidak dapat dikesan jejak.

Keesokan harinya,“Amir, aku telah mencipta satu mesin yang kau pastinya tidak akan percaya jika aku ceritakan pada kau,” kata Aiman kepada teman sekerjanya. Amir seorang jurutera yang hebat. Dia juga kadang-kadang memiliki idea yang luar biasa.

“Apa yang kau telah buat Man?” Amir dengan penuh semangat bertanya semula.

“Aku telah mencipta satu mesin yang dapat menghidupkan binatang yang sudah mati,” Aiman dengan penuh ceria menceritakan mengenai mesin yang sangat hebat terhasil oleh tangannya sendiri. Aiman mempelawa Amir untuk ke rumahnya dan sama-sama mencuba mesin ajaib ciptaan Aiman.

Pada awalnya Amir tidak mempercayai kata-kata Aiman, tetapi setelah uji kaji yang mereka berdua lakukan ke atas tikus putih yang mereka ambil dari makmal perubatan, barulah Amir mempercayai kata-kata Aiman, tikus itu hidup semula. Sama seperti kucing kajian Aiman sebelum ini, tikus itu juga lari apabila melihat mereka berdua. Takut agaknya.

“Aku ada cadangan, apa kata kita berdua menghasilkan satu alat yang boleh mendengar kata-kata binatang,” Amir berkata kepada Aiman.

Malam pun menjelma. Bunyi stor Aiman pada malam itu sangat bising. Lakaran alat baharu yang dihasilkan berbentuk sebuah telefon, ada wayar dan gagang telefon, ada juga corong tempat menerima bunyi binatang.

Hasrat Aiman dan Amir adalah untuk memberi kesedaran kepada orang lain betapa binatang dan haiwan juga adalah sebahagian daripada diri manusia di muka bumi ini. Mereka tidak mahu manusia memperlekehkan kewujudan binatang. Dengan adanya mesin itu, sudah pasti manusia akan dapat mendengar keluhan binatang.

Uji kaji pertama mereka berdua adalah mendengar kata-kata kucing. Mereka telah pergi ke tempat menjual haiwan peliharaan kucing. Pada awalnya mesin itu langsung tidak memberi kesan yang baik.

Namun setelah lama berada di tempat itu, satu kejadian dan keadaan yang luar biasa telah berlaku. Mereka berdua telah mendengar suara binatang. Suara binatang itu semua boleh difahami. Banyak keluhan melibatkan kehidupan binatang itu yang tidak bebas. Amir dan Aiman sangat seronok.

Sebagai pencinta binatang, Aiman telah menjadikan mesin pertamanya yang boleh menghidupkan binatang yang telah mati untuk hidup. 
Bilangan binatang terancam dan teraniaya tidak akan putus sehinggalah mesin itu masih digunakan.

Atas usaha mereka berdua jugalah, Aiman dan Amir mampu mencipta satu lagi mesin untuk mendengar percakapan binatang. Mulai saat itu, masyarakat dunia sedar bahawa menganiayai binatang adalah salah.

Glosari :

Gigye bermaksud mesin dalam bahasa Korea.