Tapi pada malam itu Dr. Aniq mempunyai tugasan yang harus dibereskan dan tumpuannya terganggu apabila terdengar pintu bilik diketuk dengan kuat.

“Masuk…” Dr. Aniq memanggil. Sebentar kemudian pintu dikuak dan Sarah meluru dalam keadaan tergesa-gesa.

“Eh, apa kena dengan kamu ni, Sarah? Muka awak pucat, kenapa?”

Sudah tiga tahun Sarah bekerja di klinik Dr. Aniq. Dia bertugas di kaunter menyambut pesakit yang datang dan memberikan mereka ubat yang disarankan doktor.

“Er… saya... tadi saya nampak... err…” tapi Sarah tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Suaranya juga terketar-ketar dan nafas termengah-mengah. Dia cuba bercakap, tapi sukar.

“Kenapa? Apa yang awak cakap tergagap-gagap ni? Ada perompak kat luar ke? Cuba cerita pada saya,” Dr. Aniq melihat pekerjanya itu dengan pandangan pelik. Tidak pernah Sarah begini.

“Err… saya nampak…”

GADIS

Sarah menceritakan apa yang berlaku. Kata Sarah, sebentar tadi dia melayani seorang gadis berusia dalam lingkungan 20-an. Gadis yang cantik, tetapi keadaannya agak kusut dan kurang terurus.

Walaupun waktu itu adalah masa rehatnya, Sarah tetap melayani gadis berkenaan kerana di luar hujan sedang turun dengan lebat. Timbul rasa kasihan di hati Sarah untuk membiarkan gadis itu menunggu di luar klinik sehingga waktu rehatnya habis. Tentu gadis tersebut kesejukan. Tentu pakaiannya akan dirembis hujan.

Tambahan pula gadis itu datang seorang diri. Pelbagai perkara buruk boleh berlaku dalam sekelip mata, lebih-lebih lagi pada waktu dinihari begitu. Lantas Sarah tinggalkan kaunter dan pergi ke pintu untuk membukanya. Tapi sebaik sahaja pintu terbuka...

“Eh, mana pula budak perempuan ni? Sekejapnya dah hilang? Aku dah buka kan pintu dia hilangkan diri pulak. Pelik betul.” Sarah merungut dan mengunci pintu, kemudian balik ke tempatnya.

Namun apabila Sarah kembali ke tempat duduknya, gadis yang tadinya hilang, muncul kembali. Dia berdiri di depan pintu dan memandang ke Sarah. Dengan segera Sarah memberi isyarat tangan kepada gadis tersebut untuk menunggu sehingga dia datang membukakan pintu.

Namun ketika Sarah membuka pintu klinik, dia melihat sesuatu yang amat mengejutkan. Gadis itu tidak mempunyai kaki! Hanya bahagian pinggang ke atas saja. Tubuh gadis itu seolah-olah terapung. Waktu itu hanya Tuhan yang tahu perasaan Sarah. Tangannya mengeletar. Jantung seakan berhenti berdegup.

Gadis itu terus merenung Sarah tanpa segaris pun senyum pada bibirnya. Raut wajahnya memaparkan dia berada dalam kesakitan dan kesedihan.

Apa yang perlu Sarah lakukan sekarang? Menjerit?

Dengan perlahan Sarah menolak pintu itu semula untuk menguncinya, namun gagal. Ada sesuatu yang menghalangnya daripada luar. Sarah cuba menolaknya lagi, tetap juga terhalang. Akhirnya Sarah biarkan pintu itu terbuka. Pelahan-lahan Sarah memalingkan tubuhnya, kemudian berjalan menuju ke bilik doktor dan ketika itulah kedengaran satu suara dari arah belakang...

“Kak... tadi akak kata nak kasi saya masuk, tapi kenapa akak nak kunci balik? Saya nak masuk, saya sejuk…” kata gadis itu dengan suara sayu.

Sarah mendiamkan diri. Dia tidak berani untuk menoleh ke belakang.

“Akak dah tahu ya? Hihihihi...” gadis itu bersuara lagi, dan kemudian ketawa. Suara ketawa seakan menyindir dan mengejek.

Sarah jadi tidak keruan. Dengan segera, Sarah bergegas ke arah bilik Dr. Aniq dan mengetuk pintunya dengan kuat.

 

PULANG AWAL

Tok! Tok! Tok!

Sehabisnya saja Sarah menceritakan apa yang terjadi, mereka terdengar pintu diketuk bertalu-talu. Dalam masa yang sama kedengaran suara tangisan yang cukup sayu. Panjang dan tersedu-sedu, betul-betul di luar pintu berkenaan.

Sarah dan Dr. Aniq saling berpandangan. Suara tangisan siapa? Suara gadis yang tidak berkaki tadi kah? Sarah terdiam, wajahnya pucat.

“Cuba doktor jenguk sikit siapa yang beri salam kat luar tu. Saya takut lah,” Sarah berkata sambil mengusap lengannya.

“Okey, awak tunggu sini sekejap. Saya pergi tengok,” kata Dr. Aniq separuh berbisik. Dia kemudian perlahan-lahan membuka pintu biliknya. Tiada siapa yang kelihatan di luar. Dr. Aniq menutup kembali pintu biliknya itu.

“Saya dah tengok, tak ada sesiapa pun,” kata Dr. Aniq dengan perasaan hairan.

Ya, dia doktor. Seorang doktor dilatih supaya percaya kepada sains dan bukti fizikal jangan mudah percaya kepada hal-hal misteri sebegini. Tapi kini, hendak menafikan pun susah sebab sebentar tadi Dr. Aniq dengar sendiri bunyi pintu diketuk dengan kuat di selangi dengan suara tangisan.

“Ada… saya ada di luar. Hihiiiiiiii…” tiba-tiba kedengaran satu suara diikuti suaranya ketawa seperti mengejek.

Sarah dan Dr. Aniq berpandangan kerana terkejut dengan apa yang mereka dengar sebentar tadi. Melihat keadaan Sarah yang ketakutan, Dr. Aniq mengambil keputusan untuk menutup klinik dan pulang sahaja. Klinik akan dibuka lagi pada keesokan hari.

“Saya pun rasa tak sedap hati nak kerja malam ni. Nanti kita buka klinik lagi pada pukul 11 pagi? Tapi jangan beritahu pada staf yang lain pasal kejadian malam ni. Nanti diorang takut pulak.”

Sepuluh minit menunggu dan setelah pasti tiada ‘sesiapa’ di luar, pesakit baharu pun tidak ada, baru Dr. Aniq dan Sarah keluar, dan pulang ke rumah masing-masing.

BUNUH

Sarah adalah sahabat saya, dan kejadian ini berlaku ketika dia bekerja di sebuah klinik di Bedok, hampir 10 tahun lalu. Kejadian itu hanya berlaku pada dinihari berkenaan sahaja. Keesokannya mayat seorang gadis ditemui di belakang bangunan berhampiran klinik Dr. Aniq. Berdasarkan keadaan mayat dan pakaiannya yang masih basah, gadis berusia 20-an tersebut dipercayai dibunuh pada waktu dinihari itu ketika hujan lebat. (Anisah, Bedok North Road, Singapura).