Ada yang mengatakan nama Fatimah terpinggir daripada senarai Anugerah Sastera Negara kerana beliau seorang yang berterus terang dan melontarkan kritikan tajam kepada birokrat sastera dengan tujuan yang membina. Tetapi tanggapan yang diterima adalah sebaliknya, Fatimah dianggap penentang.

Tetapi Fatimah tidak pernah menjadikan semua itu sebagai penghalang untuk terus berkarya. Begitu juga dengan gelaran Sasterawan Negara, beliau sentiasa berfikiran positif dan meraikan siapa sahaja yang dipilih sebagai Sasterawan Negara.

Bagaimanapun baru-baru ini panel juri Anugerah Sastera Negeri Kelantan (ASNK) memilih Fatimah bekas pensyarah sastera Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Sasterawan Negeri Kelantan. Beliau menerima anugerah yang diberikan oleh kerajaan negeri kelahirannya dengan rasa syukur selepas menolak Hadiah Sastera Asia Tenggara (SEA Write Award) kerana memprotes pembunuhan beramai-ramai umat Islam di selatan Thailand oleh tentera.

Menolak SEA Write Award memperlihatkan prinsip mengatasi segala-galanya biarpun anugerah itu menjadi impian banyak sasterawan di negara ini. Memang sepatutnya semua sasterawan di negara ini memprotes terhadap keganasan tentera dengan menolak semua pencalonan SEA Write Award. Tetapi mereka mungkin bukan Fatimah Busu.

Sebagai sasterawan, Fatimah banyak kali diuji dan yang paling meninggalkan kesan di jiwanya ialah angkara seorang editor yang menyiarkan satu rencana tanpa nama yang memperlekeh dan memfitnahnya. Kenapa tanpa nama? Semuanya menjadi misteri hingga kini. Kejadian itu berlaku pada Mac 1997 dengan penyiaran rencana Heboh Fasal Sasterawan Fatimah Busu. Kebiasaannya semua rencana ditulis nama penulisnya tetapi tidak pada rencana itu.

Itulah kesannya apabila editor yang tidak berhati-hati ketika kuasa di tangan mereka. Rintihan itu dikongsi dalam cerpen Kelopak Bunga Pahit yang dimuatkan dalam kumpulan cerpen ketujuhnya, Kelopak Bunga Pahit yang diterbitkan tahun lalu.

Diskriminasi pihak tertentu dalam birokrat bahasa dan sastera terhadap beliau tidak berhenti di situ dan yang terbaru Fatimah dikatakan menjadi mangsa pilih kasih untuk Anugerah Sastera Negara.

Sepanjang hampir enam dekad melibatkan diri dalam dunia sastera, Fatimah mempunyai banyak sebab untuk berasa sedih dan kecewa dengan bidang yang diceburi itu. Ketika mahu memulakan langkah sekitar awal tahun 1960-an, karyanya telah ditolak mentah-mentah waima untuk menumpang dijual di toko-toko buku tempatan.

Alasan yang diberikan sangat mengecewakan iaitu beliau bukan penulis ternama. Bukunya tidak layak disusun bersama hasil tulisan sasterawan lain yang gah-gah belaka. Akhirnya buku beliau diedarkan sendiri secara kecil-kecilan.

Anugerah Sastera Kelantan ini adalah yang terbesar pernah diberikan kepadanya. Maka majlis yang berlangsung pada 25 November lalu di Hotel Perdana, Kota Bharu memberikan kesan yang mendalam kepada sasterawan kelahiran Pasir Pekan, Kelantan ini.

Dengan anugerah itu beliau menerima hadiah wang tunai RM7,000, songket serta watikah yang disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. Anugerah yang sama pernah diberikan kepada Sasterawan Negara S. Othman Kelantan pada 2003.

Menurut Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, Fatimah dipilih kerana memenuhi banyak kriteria yang melayakkan beliau menerima gelaran Sasterawan Negeri Kelantan.

Paling utama kata Syed Danial, Fatimah memberi sumbangan tidak terperi terhadap pengembangan sastera menerusi karya berkualiti serta memberi kesan dalam penyebaran ilmu kepada masyarakat. Sebelum ini Fatimah pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia kategori Cerpen (1971-1976 dan 2005/2006), Hadiah Sastera Perdana kategori Cerpen dan Buku Kajian (1982/1983, 1984/1985, 1994 dan 2012) serta Hadiah Sastera DBP-Maybank (1996 dan 1997).

Beliau telah menghasilkan tujuh kumpulan cerpen iaitu Lambaian Tanah Hijau (1980), Yang Abadi (1980), Keajaiban Alam (2003), Bunga-Bunga Pulau (2005), Aduhai (2009) dan Kelopak Bunga Pahit (2014). Sebanyak sembilan cerpennya memenangi Hadiah Sastera Malaysia manakala tiga cerpen lagi memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).

Pada 2014, kajian sastera bertajuk Ciri-ciri Satira dalam Novel Melayu dan Afrika Moden memenangi HSPM kategori Buku Kajian. Pada 2012, esei bertajuk Salah Tanggapan Tentang Interlok juga memenangi HSPM. Sehingga kini, 10 cerpen beliau telah dijadikan teks Komponen Sastera (Komsas) untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia serta Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia.

Karya cerpen Fatimah yang tidak pernah lari daripada konsep etnografi berlatarkan masyarakat Kelantan juga diterjemah ke dalam beberapa bahasa asing seperti Inggeris, Tamil, Cina, Perancis, Belanda, Jerman dan Denmark.

Mengakui terharu sumbangannya diiktiraf, Fatimah berkata, anugerah itu merupakan satu perkara paling bersejarah dalam hidupnya memandangkan beliau tidak pernah menerima sebarang penghormatan sebegitu.

“Orang lain ada gelaran, tunjuk muka dalam semua majlis di Kuala Lumpur dan menulis tiga antologi cerpen sudah boleh jadi sasterawan hebat. Saya pula tidak ada gelaran apa-apa. Tiada Datuk. Tidak pula terima SEA Write Awards, atau Hadiah Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).

“Saya hanya berpegang kepada hadis Rasulullah yang berbunyi sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. Semoga anugerah ini tidak membuat saya takbur,” katanya.