Aku sebenarnya tidak mengetahui siapa dirimu dan dari mana asalmu.Kau tiba-tiba mencul di skrin gajetku saat aku sedang tercari-cari sahabat maya di seluruh benua dunia.Alam pengajian tertinggi yang sedang kutempuhi  memerlukan ramai kenalan siber untuk berkongsi seribu rencah kisah dan isu dunia yang tidak pernah selesai.Saat itulah permulaanya tatkala kita berbicara segala wadah kisah daripada pergolakan politik di timur tengah hinggalah berkisar tentang gergasi-gergasi kapitalisme yang sedang menjerat dunia.Aku terbuai dengan bisik mulusmu betapa zionisme dan kapitalisme akan dihancurkan oleh gerakan terorisme.Kau mengilai saat bercerita tentang tragedi serangan di London dan Paris.Katamu itulah jawapan sebenar apabila barat mencampuri urusan di tanah jazirah milik umat muslim.

Ketika aku bertanya siapa dirimu yang sebenar – kau memilih untuk mendiamkan diri.Katamu suatu saat dan ketika nanti aku juga akan mengetahui siapa sebenarnya dirimu.Kau cuba berahsia dariku tentang ideologi politik dan pegangan hidupmu.Saat aku memperkenalkan diriku sebagai seorang pelajar ijazah lanjutan dalam bidang falsafah dan politik antarabangsa di sebuah universiti terkemuka di Kuala Lumpur  kau mula mengajakku untuk berkongsi tentang isu-isu besar yang sedang melanda dunia global.Emel pertamamu yang kau utus padaku bercerita tentang krisis Aleppo dan tragedi Gaza yang membunuh manusia muslim yang tidak berdosa.Katamu percaturan kuasa barat dan zionis telah mencabut satu demi satu nilai kemanusiaan di tanah sengketa.Jelasmu lagi kematian umat muslim telah dirancang teliti.Kau meyakiniku bahawa kuasa-kuasa agam sedang merencanakan konflik bagi memecah belahkan kekuatan ummah melalui pemetaan gagasan,ideologi,mazhab dan kefakiran umat  akhir zaman.

Sesudah Baghdad, Aleppo,Sanaa dan Gaza diganyang kuasa asing kau yakin puluhan kota raya umat muslim lain juga bakal menerima nasib yang sama.Kota kudus Mukkaramah dan jazirah suci munnawarah juga katamu tidak terlepas daripada pelan licik mereka.

Berkali-kali aku cuba mengakses biodata peribadimu melalui paparan skrin di ruang media sosial namun ternyata kau begitu licik menyembunyikan perwatakan sebenar.Tiada sepatah kata yang terpampang di ruangan profil dirimu.Aku jadi buntu dan cepat keliru.Namun,daripada luahan hati dan nukilan perasaanmu aku cuba mengagak kau seorang perempuan lincah,berperawatan menarik,bijaksana,serta sedang membina impian dan cita-cita agung.Melalui setiap lakaranmu tentang permasalahan dunia yang sedang berlaku kuagak kau tentu pernah membuat pelbagai penyelidikan dan kajian ilmiah tentang ideologi politik dunia.Pengetahuanmu tentang tamaddun dunia baik di timur dan di barat  sangat mendalam dan cukup kukagumi.Tekaanku tepat apabila kau mengakui pernah memperolehi ijazah lanjutan dalam bidang Islamic Civilation and Internasional Politic di sebuah kampus tersohor di Iowa.

“ Mahukahkau memahami tentang erti jihad dan perjuangan yang sebenar?,”

Kau menyoalku suatu hari tatkala kita bersembang dan berkongsi kisah sesudah hampir beberapa minggu tidak bersua cerita di alam siber.Aku terkejut tatkala kau menukilkanku panjang lebar bagaimana sirah jihad bermula.Katamu jihad adalah proses pembebasan akal,jiwa dan fizikal sehingga akidah sebenar bertukar  menjadi nilai dan pegangan kehidupan manusia.Jihad katamu bukan hanya dengan ungkapan kata berbahasa mulus yang memuja kebenaran tetapi jihad sebenar adalah suatu usaha agresif lagi ekstremis untuk membina sebuah daulah Islamiyah sebenar yang bebas daripada kongkongan dunia barat.

Aku terdiam saat kau terus menukilkanku betapa kehidupan hari ini telah direncahkan dengan segala hukum dan perundangan sekular ciptaan barat.Katamu lagi sekularisme barat sedang menjalar masuk ke dalam daerah dan daulah negara yang asalnya bertunjangkan Islamisasi.Kau menyebut beberapa jazirah Arab yang membuatkan aku termanggu seketika.Malah,lebih mengejutkanku saat kau mendedahkan betapa zionisme juga sedang bersiap-siap untuk menjajah dunia melalui protokol fundamental yang termaktub dalam perjanjian Basel pada tanggal 1897.Katamu lagi,bukankah negara haram Israel di daulah Arab itu terbina daripada protokol Yahudi lebih seabad silam.Sedang Yahudi itu pula adalah bangsa pelarian tanpa tanah dan negara beberapa dekad lamanya hingga ehsan kuasa barat mencaturkan sebuah wilayah di jazirah Arab untuk diduduki.

“ Dunia telah memasuki abad yang penuh dengan aksi-aksi radikalisme.Peperangan dan mengangkat senjata adalah pilihan terakhir untuk mengembalikan siasah Islamiyah sebenar yang dituntut oleh syariat.Hanya peluru dan kekerasan sahaja mampu meleburkan musuh-musuh durjana diserata dunia..”

Tulisan terakhirmu pada paparan skrin hari itu membuatkan aku termenung seketika.Aku cuba mengagak siapakah sebenarnya dirimu yang terus menjamukanku dengan wadah-wadah ekstrem dan melampau.Berkali-kali aku cuba menduga namun kau tetap seperti selalu cuba menyembunyikan personaliti dirimu yang sebenar disebalik tabir wajah yang dilitupi sehelai perca hitam di raut muka.Kau terkekeh gelak tatkala aku mengagak kau sebenarnya gadis Arab yang lasak dan bercita-cita menjadi pejuang di medan perang.

Katamu jilbab hitam itu lambang perjuangan mulus untuk satu pengorbanan yang hakiki.Sedang kematian yang manis itu adalah daripada lorong-lorong jihad dan keganasan yang menganugerahkan syahid teragung.Syahid yang dicita-citakan oleh sesiapa sahaja demi janji syurgawi.Syurgawi Firdausi teragung.

Kau mengutusiku lagi bahasa-bahasa kerasmu melalui laman sesawang di rangkaian media sosial yang popular dan terbuka – facebook,twiterdan instigram.Namun,aku lebih menyenangi membaca luahan peribadimu melalui ruangan emel  yang lebih tertutup .Warkah –warkah di emelmu menyerlahkan perwatakan dirimu yang sebenar.Puisi dan nukilan senimu cukup memperagakan sikap dan mentaliti dirimu yang jelas cenderung dengan jalan-jalan keras,melampau dan ekstremis.Kau wanita berhatikan kerikil.

Saat aku menukilkan tentang nilai wasatiah dan kesederhanaan sebagaimana sebabak sirah fathul Mekah dan piagam Madinah di zaman Rasulullah kau masih terus mengajakku ber kongsi bicara tentang perang Salib pada era silam.Katamu,peperangan adalah jalan-jalan menuju takwa dan istiqamah.Jihad hanya untuk mereka yang mencintai mati dan syahid.Aku termanggu tanpa kata.Lidahmu begitu licik dan bijak mencatur kata merungkai cerita.

Aku terkedu saat kau berkongsi cerita betapa untuk memimpin sebuah dunia yang kacau bilau bukan lagi dengan gurindam toleransi dan madah lunak ukhuwah tetapi percikan-percikan api emosi yang membara.Katamu pemimpin yang lahir daripada utopia seni dan pujangga muluk akhirnya akan kecundang jua dengan bedilan peluru.Saat aku memintamu segugus kata bukti pantas kau menyebut nama Abraham Lincoln dan John F.Keneddy – presiden Amerika yang akhirnya kecundang oleh ledakan timah panas yang menjarah jasad dan indera.Kau menyantuniku dengan puluhan nama-nama politikus dunia yang akhirnya rebah di hujung muncung senapang dan picu pistol.Puncanya satu – menolak dan membenci jalan-jalan terrorist dan ekstrem.

Hari-hari tatkala kesibukanku merencanakan perjalanan seorang pelajar pengajian lanjutan dengan segala tesis dan beban tugasan yang menimbun kau masih tidak jemu-jemu berkisah tentang kepincangan dunia yang memasuki fasa yang penuh dengan adegan fundamental dan aksi melampau.Kau mengajakku untuk berbicara tentang krisis Palestine dan Syria di wilayah jazirah Arab yang tidak akanada titiknya.Pelan perdamaian dan jalan rundingan sudah tertutup serapat-rapatnya.Hanya ada satu laluan sahaja katamu iaitu perang dan mengangkat senjata untuk menghancurkan musuh dan seteru yang ada.

Katamu era Islamfobia yang dimulakan oleh Presiden George W.Bush tatkala tragedi Ground Zero yang melanda Amerika Syarikat sesudah peristiwa 911 yang meranapkan simbol kapitalisme di New York sudah berakhir.Kemusnahan Baghdad dan Kabul yang diperkosa oleh bajingan Amerika dan NATO pada era silam telah melahirkan ribuan anak-anak muda yang bercita-cita mengeggari dunia dengan  syahid.Jalan untuk syahid itu tiada lain hanyalah jihad memerangi musuh-musuh barat yang berada di mana-mana sahaja.Era Amerika Syarikat dibawah Presiden Donald Trump katamu akan memburukkan lagi keadaan apabila beberapa negara dicop sebagai pengganas.Islam dan barat akan terus terbelah oleh tembok curiga dan dendam yang berpanjangan.

“ Siapakah sebenarnya dirimu..”

Berkali-kali aku menyoal dirimu ingin kepastian.Jawapan kecilmu di frame e-melmu hanyalah sepatah kata yang membuatkan fikiranku berkeliaran jauh cuba meneka sendirian.

“ Aku hanyalah perindu syurgawi illahi..”

Saat aku bertanya lagi apakah kau agen yang telah direkrutkan oleh pengganas antarabangsa untuk menggoda dan mempengaruhi ramai anak-anak muda muslim sepertiku kau terus mendiamkan diri.Media sosialmu tiba-tiba berkunci erat.Berkali-kali aku cuba mengakses melalui telekomunikasi antarabangsa inginkan penjelasan darimu namun segala perhubungan internet  terpadam.Kau menghilangkan diri tanpa dapat kujejaki.Tiada lagi sapaan  mesra darimu di kaca media sosial setiap awal pagi yang kau ranahkan dengan madah-madah ekstrem dan kekerasan.

Aku tidak cepat gelabah.Usahaku untuk mengenali personaliti dirimu melalui akses biasa berali-kali gagal.Aku tidak mudah putus asa.Melalui seorang teman yang memperkenalkan diriku dengan laman sesawang Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi ( RDC3 ) usahaku menjejakimu hampir berjaya.Aku  terkejut dan tidak percaya saat satu per satu paparan dirimu terukir di skrin mayaku.

Namamu terpampang di skrin mayaku dengan gelaran Shayiddah Muslimah – mantan pelajar di Universiti Baghdad yang pernah terjebak sebagai aktivis penganas oleh gerakan terkenal Islamic State In Iraq and Syria( ISIS ).Beberapa maklumat yang kutemui melalui bantuan dan kerjasama pakar telekomunikasi di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang beribu pejabat di Kuala Lumpur cukup membuatkan aku ternganga seketika.Aku mengenyeh mata berkali-kali seperti tidak percaya.Benarkah apa yang sedang kutatapi itu?

Di hadapanku terpampang wajah jelitamu di sebalik kerudung gelap yang tertera personality seorang agen propagandis yang mengetuai unit siberisme gerakan ISIS yang sangat dikehendaki oleh pihak Interpol.Tugasanmu adalah merekrut seberapa ramai ahli baharu di wilayah Melayu Nusantara untuk menyertai gerakan ekstrem dan keganasan secara digital dan maya.

Beberapa purnama berlalu.Nama dan profilmu di ruang maya hilang dan terpadam.Emelmu tidak lagi menyinggahiku seperti selalu.Akses tentang dirimu juga tidak lagi mampu kugapai meskipun melalui alat digital paling canggih.Blog dan laman web yang sering mempertemukan kita di alam internet sudah dipadamkan.

Beberapa purnama tanpa berita darimu aku bagai dicengkam perasaan rindu yang mengocak kalbu.Wajahmu yang dilitupi seperca burgah hitam bersama uniform celoreng sambil mengenggam raifal AK 17 buatan Russia mendambakan perasaan ini.Entah mengapa sekelumit hatiku mula merindui dirimu.Rindu untuk berhujah dan berdebat tentang falsafah dan doktrin yang kau perjuangkan.Kau memilih lorong-lorong radikalisme sedang aku yakin dan percaya itu bukan jalan yang akan membawamu ke syurgawi.Ekstrem dan kekerasan akan hanya menghancurkan imej syariat dan agama yang disanjung tinggi.Sayang,dunia teroris yang kau yakini itu sebenarnya sekadar topeng-topeng ciptaan barat dan Zionis yang licik dan penuh helah.

Berkali-kali kuutusimu kalimah demi kalimah dari skrin e-mel supaya kau insaf dan kembali ke pangkal jalan.Aku yakin insan lemah lembut dan penyayang sepertimu tidak akan tergamak meledakkan bom uranium atau ledakan peluru terhadap orang-orang awam yang tidak berdosa.Mereka bukan perisai manusia yang perlu dileburkan dengan granit berkapasiti tinggi.Mereka manusia tidak berdosa.

Kau wanita luhur.Kau muslimat yang cintakan syurgawi teragung .Kau perajurit yang sanggup gugur menjadi syuhadah terpilih – bergurindam hati ini mengagumi dan terus mengagumi.Saat aku dirasuk oleh sekelumit perasaan aneh terhadapmu tiba-tiba ada suara yang menyinggahi cuping gegendangku.Suara dari kamar kampus yang sudah lama menyaksikan kelibat dan gerak diri ini.Dia pensyarah yang cukup kukagumi.Prof.Intan Wardina yang mengetuai jabatan Kaunseling dan Psikologi.

“ Irfan ,kau sedang diserang wabak cinta siberisme.”

Aku tersentak dengan tekaan itu.

“ Ya,saya mulanya mengagumi perjuangannya..”

“ Siapa? “,

“ Dia muslimat berdarah Arab yang menyajikan saya dengan wadah-wadah jihad ..”

“ Kau sebenarnya cuba direkrutkan untuk menjadi agen pengganas antarabangsa.Nanti kau hanya akan dijadikan perisai untuk membunuh ramai orang awam yang tidak berdosa..”

Titik.Aku tersentak.Ilusiku mati.Lamunanku hilang serta merta.Wajah cantik yang menggoda disebalik hijab gelap itu tidak lagi muncul di paparan media sosialku.Yang ada hanyalah wanita berkerudung ungu yang menyerlahkan wajah keibuan di hadapanku.

Hari itu – genap seminggu seusai peperiksaan akhir,Prof.Intan Wardina mendedahkan siapa sebenarnya Shayiddah Muslimah yang sering muncul di laman mayaku.

“ Irfan,saya telah meminta bantuan beberapa pegawai di unit siber Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyelidik dan menjejak siapa sebenarnya Shayiddah Muslimah yang sering muncul di laman sosial milik kamu.Nah,jawapannya sudah ada pada skrin di hadapan kamu.Bacalah..”

Kugenyeh mata yang tidak gatal.Kalimah demi kalimah kutatapi pada gajet komputer riba di hadapanku.

Shayiddah Muslimah atau nama sebenarnya Hudaa Khair adalah wanita berpendidikan yang dibesarkan di kota Baghdad.Tragedi kematian anak lelaki serta suaminya dalam satu serangan bersenjata di perkampungan Khudra telah membunuh jiwa kewanitaannya.Dia bertukar menjadi perempuan psikosis yang diserang penyakit Pskizofrenia angkara kematian ahli keluarga.Justeru,dia bertekad membunuh sesiapa sahaja lalu menyertai gerakan haram ISIS.Cita-citanya hanya ingin membalas dendam terhadap kematian suami dan anak tercinta.Dunianya sudah kosong tanpa orang tersayang.Baginya,hanya satu cara untuk membalas dendam – menghuru harakan dunia dengan tindakan ekstrem dan teroris.

Kuhela nafas perlahan.Ada sebak mengalir di untaian hati.Serangkap tulisan di skrin kaca menemukan aku jawapan sebenar siapa sebenarnya perempuan itu.Perempuan dari tanah bergolak.Perempuan yang sering mengutusiku e-mel bernada keras dan fundamental.E-Mel sang psikosis yang cintakan darah,kematian dan ledakan-ledakan api.

Dia perlu diselamatkan segera sebelum terlambat.Aku mahu mengubatinya dengan penawar-penawar indah tentang betapa berharganya hidup yang harmonis,damai,makmur dan melimpah bunga-bunga wangi toleransi.Bukankah itu pesan Nabi tercinta supaya menyantuni wadah dengan ukhuwah agung.