Dot yang berambut kerinting halus, berkumis tidak berjanggut. Memang sukar hendak meneka nama sebenarnya. Kom pula tidak berkumis dan tidak bermisai. Ini pun nama panggilan yang sukar untuk meneka nama sebenar.

Selalunya sekitar jam enam petang derum enjin motor Dot akan kedengaran dan berhenti di depan KSC. Kadang-kadang Dot sampai awal daripada Kom. Kadang-kadang Kom yang menunggu

 

terlebih dahulu. Bila dua manusia ini bersua, meja yang sentiasa tersedia papan dam haji menjadi keutamaan.

Bawah sepohon mempelam rendang yang bertahun belum pernah sekali pun berbuah – di situ tempat dua manusia ini beradu minda. Dot akan memesan teh ‘o’ ais dan Kom memesan kopi ‘o’ ais. Itu minuman rasmi dua manusia ini. Menurut pandangan Cikgu Ramesh yang merupakan salah seorang individu yang dihormati di Kampung Sungai Cetek, main dam haji tidak sesusah bermain catur.

Setiap pihak mengendalikan 30 biji dam yang hanya boleh bergerak sepetak ke sepetak hadapan, tidak dibenarkan berundur. Biji dam ini lebih kerap disebut anak. Melainkan anak yang ditindan dua kerana bergelar haji boleh bergerak ke depan atau ke belakang lebih daripada satu petak. Untuk bergelar haji, anak mesti sampai ke petak teratas pihak lawan. Cikgu Ramesh tidak pernah bermain dam haji, tetapi dia seorang pemerhati yang baik.

1

Di KSC itu, Dot dan Kom adalah musuh tradisi dalam permainan mengawal 30 biji anak pihak sendiri dan menilai gerak fikir lawan yang juga dibekalkan 30 biji anak atas sekeping papan berpetak dua warna berselang-seli.

Seluruh fokus pada anak dam di papan sekeping. Pergerakan hanya secara mengiring. Tidak dibenarkan bergerak secara melintang atau menegak. Permainan itu memerlukan kreativiti bagi mengawal setiap pergerakan anak.

Semua penduduk kampung tahu Dot dan Kom adalah dua pemain dam haji yang sukar dikalahkan. Antara dua orang ini pun sukar untuk menyaksikan kemenangan berturut-turut. Selalunya keputusan permainan Dot dan Kom berkesudahan seri.

“Hei! Dot, kau tak sertai sebutharga kerja-kerja pemasangan paip air bangunan-bangunan baru di pekan sana?” Tanya seorang lelaki serentak mengambil duduk di tepi meja tempat Dot dan Kom beradu minda. “Aku dengar banyak kerja-kerja baikpulih pemasangan paip air.” Lelaki itu memesan minuman kepada Bang Caprit, pemilik kafe tersebut.

“Jangan kacau.” Sebut Dot kepada lelaki itu “Kom hendak bunuh haji aku.” Terasa beban pada suara Dot, mata tertumpu ke papan dam tanpa menghiraukan cadangan lelaki itu. Dot seorang kontraktor berlesen bagi menyiapkan kerja pemasangan paip air.

Dot beberapa kali mendapat kontrak pemasangan paip bagi pihak kerajaaan atau swasta. Tetapi, sekarang Dot tidak mahu memikirkan hal kerja. Sekarang Dot hanya mengharap Kom membuat gerak silap.

“Cikgu Kom! Budak-budak periksa penggal berapa hari bulan?” Muncul seorang lelaki tinggi lampai berpakaian agak kumal. Kom tahu pertanyaan itu ditujukan kepadanya. Tetapi sengaja Kom tidak menjawab. Mata dan fikirnya lebih berhati-hati menggerakkan biji dam. Di kedudukan kritikal begini andai sedikit silap pasti bawa padah.

Si tukang mesin rumput itu tidak menunggu jawapan daripada Kom segera ke meja lain. Memang begitu tabiat Kom, seakan kurang hirau perihal sekeliling hanya di papan dam. Kom seorang guru sains rekabentuk peringkat sekolah rendah. Mata pelajaran baru diperkenalkan. Tidak rumit seperti mengajar mata pelajaran lain.

2

Sains reka bentuk lebih tertumpu ke arah praktikal membentukkan sesuatu arca ringkas menggunakan barangan kitar semula.

Kom cuba memanggil anak pihak lawan mendapat haji. Dot tahu, dia terpaksa menerima haji sementara. Kom akan membenarkan haji Dot bergerak mengeluarkan anak di pihaknya sebelum menyingkir haji tersebut serentak tujuh biji anak turut terkeluar. Anak di pihak Dot akan berbaki tiga biji. Sedangkan di pihak Kom masih berbaki tujuh biji anak dan sebiji haji. Dot mengaku tewas.

Walau pemilik KSC sudah bertukar tangan. Abang Caprit yang meneruskan perniagaan arwah ayahnya. Permainan dam haji di KSC tetap berlanjutan bertahun-tahun. Telah lahir ramai lagenda kampung sebelum Kom dan Dot. Kerap juga pemerhati permainan tersebut, atau yang pernah mencuba uji minda dengan permainan tersebut menceritakan tentang keyakinan arwah Lebai Saik.

Lebai Saik menggerakkan semua anak mara ke depan tanpa sebiji pun tertinggal di barisan bawah untuk pertahanan. Teknik ini ada lebihnya dan ada kurangnya. Lebihnya kerana semua anak bergerak padat hingga menyukar pihak lawan membuat pilihan atau muslihat.

Tetapi andai ada sebiji saja anak menembusi benteng lawan sudah tentu dapat bergelar haji tanpa sebarang sekatan. Teknik Lebai Saik ini selalu berpihak dengannya. Ramai mencuba teknik Lebai Saik, malangnya tidak berhasil.

Pak Cup Penampan pula tidak memerlukan banyak anak. Cuma anak pada dua baris depan saja yang aktif berfungsi. Anak di tiga baris lagi akan cuba dikurangkan pergerakan. Namun kebijaksaan Pak Cup Penampan yang meninggal dunia beberapa tahun lalu amat dikagumi para pemerhati di Kampung Sungai Cetek.

Pergerakan anak di dua baris depan itu mampu mengoncang kubu pihak lawan dan melancarkan serangan. Kucar-kacir di sebelah pihak lawan memudahkan Pak Cup Penampan menggunakan anak di baris ketiga atau keempat untuk mendapat haji.

3

Lebai Saik dan Pak Cup Penampan sering menaikkan nama kampung kerana kerap menjadi juara dalam mana-mana pertandingan bersifat daerah atau negeri. Di antara dua legenda dam haji ini, ada seorang lagi anak jati yang seangkatan dan tidak kurang hebatnya. Namanya; Hassan.

Penduduk kampung selesa memanggil Pak Can. Di waktu itu juga muncul seorang pemuda yang berpotensi dalam permainan dam haji. Pemuda yang bernama Dat lebih senang bermain dengan bukan salah-seorang daripada tiga lagenda tadi.

Dalam satu pertandingan bertempat di halaman sebuah hotel lima bintang di negeri jiran -- menemukan mereka berempat untuk menentukan siapa layak ke peringkat akhir.

Nama keempat mereka meniti di bibir penduduk yang bukan saja dalam kalangan para pemerhati. Malah khabar itu merebak ke golongan perempuan dan budak-budak. Pertandingan yang telah menghimpun pemain handal daripada negeri-negeri lain.

Pertandingan yang bertaraf kebangsaan. Akhirnya empat anak jati kampung itu yang layak ke peringkat tertinggi. Cukup membanggakan.

Dalam penentuan untuk ke peringkat akhir, setiap peserta akan beradu minda dengan tiga peserta lain. Pertemuan pertama Dat dengan Lebai Saik keputusannya tidak seperti yang diramalkan. Dat mengikut rentak permainan Lebai Saik dengan cermat. Hingga semua anak di kedua pihak berhimpun tanpa ada sesiapa yang dapat menyingkirkan sesiapa. Satu perancangan yang teliti atau satu kebetulan baik – tiada siapa pasti.

Apa yang nyata, ada sebiji saja anak di pihak Dat yang boleh digerakan. Pergerakan itu yang mengubah situasi di papan dam. Bukan sebiji tetapi dua biji anak di pihak Dat berjaya melepasi barisan yang tidak punya pertahanan.

Ini mudah untuk Dat memilih anak yang mana terlebih dahulu akan dinobatkan haji. Lebai Saik seakan tidak percaya, dia kalah di tangan seorang pemuda yang setahun jagung dalam arena tersebut.

Orang yang paling gembira di atas kemenangan Dat adalah adiknya yang setia menyokong. Dot cukup gembira dan bertambah gembira bila abangnya dapat menewaskan Pak Cup Penampan. Dot lebih-lebih gembira bila abangnya mengalah teknik Pak Can yang memang diakui sukar atau ada yang menganggapnya tidak mungkin dikalahkan.

4

Di sebalik kegembiraan Dot menyaksikan Dat bergelar juara. Pak Can yang berdiri di belakang Dot membara di dada. Dot begitu kelam kelibut bergerak sini-sana untuk merakam video ketika Dat ke pentas untuk mendapat habuan atas kemenangan tadi. Tidak semena-mena Pak Can menampar kepala Dot.

“Aduh! Apa ini, Pak Can?” Dot agak terperanjat dengan tamparan itu.

“Apa? Apa? Kau kalut ke sana-sini, menjerit tidak tentu hala. Kau tanya aku, kenapa pula? Nak tular gambar Dat yang menang itu pun, jangan lebih-lebih sangat,” suara Pak Can yang agak menjerkah itu membuat ramai orang yang ada di sekeliling memandang ke arahnya.

“Eh! Semua yang ada di sini, jangan seronok sangat. Dat itu menang nasib saja...” Tambah Pak Can dengan matanya memandang marah ke orang ramai di situ.

Bagi mengelakkan kejadian yang lebih tidak diingini. Cepat Lebai Saik dan Pak Cup Penampan menjauhkan Pak Can. Mereka berdua juga tidak berpuas hati dengan kemenangan budak muda tersebut. Apalagi di ketika itu Dat yang masih memegang piala dan sampul wang hadiah. Dat terdiam menyedari semua yang berlaku itu cukup menyedihkan.

Semenjak detik itu Pak Can bukan saja tidak mahu bersembang dengan Dat atau Dot. Malah hendak memandang muka dua beradik itu dia tidak sudi.

Pak Can memberi bermacam komen yang mempelekeh-lekehkan keupayaan Dat dalam whatsapp kumpulan dam haji. Tidak tertahan dengan asakan komen daripada Pak Can membuat Dat keluar dari whatsapp kumpulan tersebut.

Lebai Saik telah menemui ajal di pangkin bawah pokok ceri di halaman rumah Pak Can. Pak Cup Penampan pun ada bersama ketika itu. Mereka bertiga sedang menurunkan ilmu main dam haji kepada anak remaja Pak Can. Memang mereka bertiga mahu Kom menjadi pemain dam haji yang handal. Biar satu hari nanti Kom dapat kalahkan Dat.

5

Bukan saja Lebai Saik yang tidak sempat memahirkan Kom bermain dam haji. Pak Cup Penampan juga tidak sempat kerana dua minggu selepas Lebai Saik berpulang. Pak Cup Penampan pula ke rahmatullah. Tiga tahun kemudian giliran Pak Can menghembus nafas terakhir. Peristiwa itu tidak mungkin dilupakan walau berlalu hampir sepuluh tahun.

Sejak peristiwa itu juga Dat tidak lagi bermain dam haji di KSC atau di mana-mana. Dat tidak pernah mengajar Dot bermain dam haji walaupun sekali. Dot yang sering menyaksikan dia bermain cukup cepat belajar selok-belok falsafah dalam permainan itu.

Kom pula memang terpengaruh cara Pak Can menggerakkan dan mengawal anak dam. Dua manusia ini belum pernah lagi menyertai mana-mana pertandingan. Pencapaian dua manusia ini hanya bertaraf jaguh kampung.

Memandang hanya Dat seorang yang mampu mewakili kampung dalam permainan dam haji. Ramai yang meminta Dat kembali ke meja dam untuk pencapaian yang dapat mengharumkan semula nama kampung. Dat tidak berminat lagi.

Ada yang bertanya tentang keputusan Dat itu. Mulanya Dat tidak memberi jawapan. Satu hari, terlalu ramai yang mendesak Dat menyertai pertandingan yang ditunggu-tunggu ramai pemain dan peminat dam haji.

Di KSC yang berlatarkan sebatang sungai jernih mengalir tenang menghiburkan. Di situ Dat mendedahkan sebab dia tidak berminat bermain dam haji lagi sama ada suka-suka atau pertandingan.

“Setiap permainan tradisi, biasanya memperlihatkan sikap bangsa tersebut. Begitu juga dam haji.” Dat mula menjawab. “Dam haji ini boleh dianggapkan permainan tradisi bangsa Melayu.” Tambahnya

“Ahh! Apa pula kaitan dam haji dengan Melayu ini?” Suara Pak Mihat agak mendesak, seakan tidak sabar mahu mendengar jawapan.

“Dalam permainan dam haji; anak kita mesti melangkah anak lawan untuk menyingkir anak lawan dari petak perjuangan. Jika ada anak yang tidak melangkah dan menyingkir anak lawannya, anak itu pula akan dikeluarkan.”

6

Mata Dat memerhati mereka yang mengelilingi. Kemudian membongkok kutip biji dam yang tercicir dari papan dam atas meja. “Tidak kira asalnya di baris yang mana. Jika dapat mengawal anak ke petak teratas pihak lawan. Anak itu akan menjadi haji. Haji ini bebas bermaharaja berapa langkah sekalipun.

Haji ini boleh menyingkir berapa banyak anak lawan andai pandai mengendalikannya. Sedangkan untuk bergelar haji mesti menyingkir beberapa biji anak pihak lawan tanpa ada belas kasihan.

Ada yang sanggup mengorbankan beberapa biji anak pihak sendiri untuk meletakkan sebiji saja sebagai haji. Setelah menjadi haji tidak pernah ada yang menghiraukan biji dam itu berasal dari barisan yang mana.”

Dat menghirup teh panas yang dipesannya. “ Dalam dam haji terdapat istilah-istilah bersifat kasar seperti makan, tangkap, bunuh, curi, pasang jerat, umpan dan mengharapkan kelalaian lawan untuk mengambil kesempatan menjatuhkannya.”

Sebaik saja menghabiskan minuman Dat melangkah ke Bang Caprit untuk membayar. Sebelum meninggalkan KSC, Dat menutup jawapannya kepada mereka “Aku tidak ingin sikap-sikap begitu terus mempengaruhi pendirian aku.”

Beransur-ansur Dat melangkah keluar serentak berselisih dengan Dot dan Kom di depan KSC dan pasti mereka datang untuk berbalas ketidakpuasan hati di sekeping papan dam.