Antaranya, seseorang penulis yang menjual sendiri buku karyanya akan memperolehi peratus keuntungan yang lebih tinggi. Hal ini disebabkan penerbit bukunya itu, kebiasaannya akan memberikan potongan harga yang tinggi kepada para penulisnya. Ada penerbit yang sanggup memberikan potongan sehingga 50 peratus kepada penulis yang membeli kembali buku karyanya itu.

Penulis yang menjual sendiri bukunya juga berpeluang bertemu muka dengan pembeli, berkomunikasi melalui telefon, e-mel atau laman-laman sosial. Bergantung kepada kaedah atau medium jual beli yang digunakan.

Faktor ini sedikit sebanyak dapat membantu menjalinkan hubungan antara penulis dan pembacanya. Malah penulis juga berpeluang menandatangani bukunya dengan sedikit catatan sebagai kenang-kenangan. Para pembaca pula, sebahagian besarnya amat berbangga jika buku yang dibelinya itu ditandatangani oleh penulisnya sendiri. Lebih-lebih lagi jika penulis tersebut adalah penulis kegemarannya.

Terdapat juga penulis yang sanggup berusaha menerbit sendiri karya, terutamanya kumpulan puisi dengan perbelanjaan sendiri dan berusaha pula mendapatkan nombor ISBN. Bukunya itu pula dijual sendiri tanpa bantuan penerbit atau pihak lain. Kegigihan penulis ini amatlah dihargai dan membanggakan. Lebih-lebih lagi dengan kesukaran untuk menjual buku karya sastera khususnya kumpulan puisi di pasaran terbuka.

Situasi ini mungkin agak berbeza sedikit dengan penghasilan karya-karya indie. Hal ini disebabkan karya-karya ini masih ada penerbitnya yang tersendiri. Walaupun tidak dinafikan adanya penulis golongan ini yang menerbit sendiri karyanya dan menjualnya sendiri.

Begitu juga dengan karya-karya popular terutamanya novel-novel cinta. Novel-novel ini dicetak dan diterbitkan oleh penerbit tertentu tanpa melibatkan penulis untuk memasarkannya.

Penulis hanya mengharapkan penerbit untuk menjual buku karyanya itu. Pasaran novel popular ini pula dikatakan lebih meluas berbanding karya-karya sastera terutamanya kumpulan puisi.

Penulis novel popular ini, sebahagian besarnya tidak perlu bersusah payah untuk menjual sendiri karya mereka. Malah, jika penulisnya menjual sendiri novel-novel popular ini pun, dirasakan pasarannya tidaklah sesukar seperti menjual buku karya sastera lain.

Novel-novel cinta ini sememangnya sudah ada pembelinya. Lebih-lebih lagi novel yang sudah diadaptasi ke drama televisyen dan ditayangkan pula oleh stesen televisyen tempatan.

Sebenarnya, terdapat pelbagai kelebihan sekiranya penulis berjaya menjual karyanya sendiri. Walau bagaimanapun, timbul persoalan sama ada mampu atau tidak untuk setiap penulis itu menjual karyanya sendiri, terutama karya sastera?

Citarasa

Tidak dapat dinafikan bahawa menjual buku termasuk buku karya sendiri bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa menjual sebiji kek lebih mudah daripada menjual buku 
pada harga yang sama atau lebih murah lagi. Malah, kini wujud citarasa agak pelik dalam kalangan generasi muda yang begitu mudah tertarik dengan iklan atau promosi barangan atau pelbagai jenis makanan dan minuman di laman-laman sosial sehingga mereka sanggup memesannya secara 'dalam talian’ atau sanggup pergi mencari sendiri ke premisnya semata-mata untuk menikmati makanan atau minuman yang dipromosikan itu walaupun harganya bukanlah murah. Lebih-lebih lagi, jika makanan atau minuman itu sudah menjadi tular di laman-laman sosial.

Hal ini amat berbeza dengan jualan buku. Tidak ramai pembeli terutamanya generasi muda kita yang mudah terpikat dengan iklan atau promosi buku sama ada di akhbar, majalah atau laman sosial. Lebih-lebih lagi buku-buku karya sastera. Mereka bagaikan tidak mempedulikan iklan-iklan buku seperti ini, jauh sekali untuk membelinya. Walaupun buku-buku ini ada yang sudah dibuat ulasan dan disiarkan di internet termasuk laman-laman sosial, akhbar ataupun majalah.

Mengharapkan rakan sendiri untuk membeli buku-buku karya sastera juga, bukan suatu pilihan yang terbaik bagi seseorang penulis. Terus terang dikatakan bahawa tidak ramai rakan penulis yang sanggup atau bersedia untuk membeli novel, kumpulan cerpen atau kumpulan puisi rakannya sendiri. Sebaliknya, mereka lebih bersedia untuk meminta 'hadiah ikhlas’ daripada penulis tersebut. Fenomena ini sudah tentu menyukarkan penulis untuk menjual karya kepada rakannya sendiri.

Tidak kurang pula rakan-rakan penulis yang lebih mempercayai karya penulis-penulis hebat atau terkenal daripada karya penulis dalam kalangan rakan mereka sendiri. Ibarat bomoh kampung yang hanya diyakini keberkesanan rawatannya oleh pesakit-pesakit dari luar kampungnya, berbanding dengan pesakit-pesakit dari kampungnya sendiri. Begitu juga nasib yang dialami oleh penulis dalam kalangan rakan sendiri.

Selain daripada itu, kemampuan penulis untuk menjual buku-buku karyanya sendiri juga bergantung kepada keupayaannya untuk bertindak sebagai peniaga atau penjual.

Tidak semua orang memiliki kemampuan untuk menjalankan atau menguruskan perniagaan, walaupun sekadar menjual sebuah buku. Perasaan malu, rendah diri atau kurang keyakinan diri sering menjadi racun yang akan merosak niat dan perancangan penulis untuk menjual bukunya sendiri.

Berbanding syarikat penerbitan yang sememangnya diakui berkebolehan dalam urusan jual beli ini. Bahagian pemasaran yang diwujudkan oleh setiap syarikat penerbitan sudah tentu memiliki kepakarannya yang tersendiri. Kepakaran bahagian pemasaran sesebuah penerbitan ini, sudah pasti tidak mampu ditandingi oleh penulis yang seolah-olah dipaksa untuk menjual bukunya sendiri itu.

Sehubungan dengan itu, tidak salah sekiranya penulis yang tidak berkemampuan untuk menguruskan perniagaan walaupun untuk menjual sebuah bukunya sendiri, tidak dipaksa untuk berbuat demikian.

Kemampuan seseorang penulis itu berkarya sehingga mampu menyiapkan sesebuah buku atau karya sudah cukup membuktikan betapa saham penulis tersebut 
sudah cukup tinggi dalam proses penerbitan karyanya itu. Ketidakmampuannya menjual buku karyanya sendiri tidak harus disalah erti sebagai seorang penulis yang tidak mahu bekerjasama untuk memasarkan karya tersebut.

Sebaliknya tidak salah, malah satu tindakan bijak pula apabila syarikat penerbitan memberi kepercayaan kepada penulis yang mampu sahaja untuk menjual hasil karyanya sendiri.

Malah, sebaik-baiknya syarikat penerbitan tidak menghukum penulis yang tidak mampu menjual buku karyanya sendiri dengan bertindak menangguh atau melengah-lengahkan bayaran royalti yang sudah pun termaktub dalam perjanjian penerbitan yang sudah dipersetujui bersama.