Acara anjuran RTM ini berjaya menghimpunkan sejumlah 76 kumpulan dikir barat dari seluruh pelosok negara. Saringan demi saringan dilakukan secara berperingkat-peringkat oleh RTM sehinggalah kemuncaknya cuma empat kumpulan terbaik dibawa ke peringkat akhir. Ketelitian pihak penganjur, RTM jelas menunjukkan usaha ini bukan tugasan mudah.

Usaha mencungkil bakat kesenian tradisional secara berterusan sesungguhnya telah lama disandarkan ke bahu RTM. Daripada dikir barat, boria, kumpulan-kumpulan muzik tradisional termasuk nyanyian, tarian dan sebagainya seumpama sudah menjadi darah daging RTM sebagai lambang ketulusan dan komitmen mengangkat serta melestarikan warisan ini kepada generasi kini.

Dalam proses perjalanan dan perlaluan ini, sesungguhnya banyak dinamika yang telah dicipta. Selain banyak juga inovasi yang sempat diterokai. Semua ini tidak lain dan tidak bukan demi mempertahankan tradisi agar tidak pupus sebegitu sahaja di samping mempertingkat penerimaan khalayak seiring kemajuan zaman. Dalam hubungan ini, pelbagai inovasi dan transformasi wajar dilakukan.

Demikian, malam Final Dikir Barat 2015 telah meninggalkan beberapa impak yang penting. Dikir barat, sebagaimana yang diketahui sejak zaman-berzaman yang bertapak kukuh di negeri Kelantan menjadi wadah sosial yang sangat berkesan. Ia memberi hiburan yang diperoleh secara mudah. Kadang-kadang untuk menontonnya ia berbayar, namun sangat murah.

Dikir barat juga alat penyalur maklumat yang penting. Dalam keadaan keterbatasan medium penyampaian maklumat juara dan tukang karut dikir barat menjadi penghubung. Mereka menimba pelbagai maklumat terkini, lalu menyalurkannya ke pengetahuan masyarakat banyak melalui pentas dikir yang diterima baik seluruh lapisan. Maklumat ini menjadi sumber kepada khidmat sosial yang penting.

Selain itu, dikir barat menjadi penyatu masyarakat dengan menjadikannya ruang untuk berinteraksi. Orang ramai berkumpul, berjumpa dan membincangkan pelbagai perkara menyangkut kehidupan mereka. Panggung dikir barat menjadi medan pertemuan dan pertautan silaturahim sesama anggota masyarakat dan menjalinkan juga pertautan antara kampung dengan penduduk sebuah kampung yang lain.

Zaman beredar. Penerimaan tertakluk kepada perubahan dan pembaharuan. Hal ini tidak terlepas dalam kesenian ini. Di tangan anak-anak muda kini, dikir barat bukan lagi sekadar satu seni yang mereka warisi seada-adanya. Peranannya diperluas. Seni dikir barat digembleng untuk mengangkat budaya bangsa ke tahap lebih tinggi, termasuk kepentingan nilai dagang dan industri.

Dengan aliran yang sebegini, dikir barat perlu dijana dengan pelbagai ilmu baharu. Gerak tari dalam dikir barat tidak lagi boleh dibiarkan statik. Demikian irama dan muzik yang mengiringi. Namun, secara halus semua masih menerima pakai peralatan sedia ada, tanpa diganggu-gugat dengan masukan unsur yang boleh merosakkan keharmonian asal persembahannya. Demikian format. Format asal dikir barat dilihat masih relevan serta diterima ramai akan keperluannya.

Suntikan intelektual merupakan satu pembaharuan yang sangat dinamik jika hendak dikirakan untuk sebuah pementasan rakyat seperti dikir barat ini. Pada anak-anak muda penggiatnya masa kini, sebagai contoh kumpulan Sunang Detaga yang menyapu bersih semua kategori yang dipertandingkan termasuk muncul sebagai juara keseluruhan adalah anak-anak muda lepasan universiti dan terdedah kepada segala perkembangan dan kemajuan negara.

Sesungguhnya, pengetahuan yang dimiliki tidak disia-siakan. Mereka menggunakan platform seni ini untuk menjadi perantara dalam kalangan penggemar mereka. Di luar pentas final, Sunang Detaga dikenali sebagai kumpulan dikir barat yang bergerak seiring zaman apabila mereka mengangkat isu-isu semasa masyarakat dan negara, tidak terkecuali antarabangsa ke dalam persembahan. Semuanya dikupas dan dihujah dengan kemas dan penuh kebijaksanaan.

Dengan yang demikian, kesenian masih praktikal sebagai wadah pembentukan budaya dan peradaban sebenarnya. Menurut Yie Arjuna sukma atau nama sebenarnya Mohd. Sulhie bin Yusuf, ketua kumpulan Sunang Detaga seusai pertandingan, “Kami ingin mengangkat dan menjadikan dikir barat bukan sahaja ikon seni kebangsaan kita malahan menjadikan negara dikenali di peringkat serantau dan antarabangsa juga. Perjuangan ini tidak mudah, tetapi kami tidak fikir ia tidak boleh dicapai.”

“Dikir barat kami teguh mempertahankan serta mengekalkan ciri-ciri asalnya, namun kami juga percaya ia perlu sejalan dengan peredaran zaman. Mungkin ada yang sukar menerima apabila isi perbahasan dan penghujahan dalam karut, iaitu satu segmen yang penting dalam mengangkat sesuatu tema dalam setiap persembahan, malahan lagu-lagu tuk juara (jogho) diberikan pewarnaan baharu dan lebih segar.”

“Banyak yang telah menerima baik. Kemenangan malam ini diharap dapat menjadi penanda aras baharu dalam kesenian kebanggaan bangsa kita ini, kerana kami pewarisnya yang jujur dan bertanggungjawab melestarikannya. Kami mencuba dengan memberinya irama yang segar, gerak tari yang lebih dinamik serta bertenaga untuk mengangkatnya menjadi persembahan pilihan masyarakat hari ini.”

Kumpulan Sunang Detaga akronim bagi ‘Susah senang demo tahu gapo’ ternyata sebulat suara menjadi pilihan juri atau panel yang mengadili Final Dikir Barat 2015. Kumpulan ini mengungguli Kategori Juara (Jogho) Terbaik (Nasharuddin Mohd Riah @ Din Deewana), Tukang Karut Terbaik (Muslih Aling @ Sang Saka), Persembahan Paling Bertenaga, serta Juara Keseluruhan. Kemenangan berganda ini menjadikan Sunang Detaga satu-satunya kumpulan dikir barat terunggul di pentas pertandingan sepanjang masa ini.

Melalui kemenangan ini, jelas bahawa dikir barat sebagai sebuah seni persembahan sudah beroleh pengiktirafan masyarakat. Jati dirinya kekal dipertahankan. Namun, Sunang Detaga di pentas dikir kali ini meninggalkan kita isyarat jelas bahawa kesenian ini perlukan suntikan intelektual yang bukan sedikit andai ingin terus ia diterima baik, mempunyai signifikan serta kekal relevan, jika tidak ia bakal dianggap seni murahan yang perlahan-lahan ditelan zaman.