Mentari tidak lagi membahang.Sinarnya suram.Awan kelabu masih tebal.Sudah berhari-hari hujan turun.Lebat.Tiada tanda mahu reda.Pasir membasah.Sejuk.Angin kencang.Pohon kelapa tinggi meliuk-lentuk.Sesekali buahnya jatuh.Sepi.Tiada lagi anak-anak berkejaran.Cuma sesekali mereka turun mandi hujan. Enjin motor dan kereta juga jarang kedengaran.

Hussin bersila di hadapan jala. Lenguh bersila, dia berlunjur.Dia memperkemas jahitan.Tali tebal hijau ditarik.Musim tengkujuh begini dia membaiki jala yang rosak.Akalnya ligat berfikir.Sudah berminggu dia tidak turun ke laut.Ombak sedang meninggi.Badai sedang mengganas.Bahaya.Sampan tersadai di bawah bangsal.Enjinnya dihidupkan juga sekali sekala.Beginilah setiap kali musim tengkujuh menjengah.

Hasnah menghidang air kopi panas.Masih berasap.Sepiring biskut empat segi.Hasnah sudah selesai rutinnya.Duduk sekadar berehat seketika sebelum masuk semula ke dapur.Makanan tengahari perlu disediakan seperti biasa.Kain yang dibasuh awal pagi tadi sudah disidai sedang yang disidai semalam dan kelmarin masih belum kering.Lembab.

Nurul Imandan Mustakim masuk tidur semula selepas solat subuh tadi.Dek kerana kurangnya aktiviti bersama kawan-kawan mereka.Cuti hujung tahun persekolahan masih berbaki beberapa minggu.Mereka dua beradik sudah kebosanan.Sesekali ruih kedengaran jerit pekik mereka bertelingkah.Beberapa minit kemudian mereka berbaik semula.

Hussin mengeluarkan sehelai kertas yang diberikan Tok Ketua dari saku baju lusuhnya. Dia sangat berminat dengan apa yang didengar dari butir bicara Lokman di masjid pagi tadi. Lokman, anak tok ketua yang bekerja kerajaan di pusat Bandar.“Sekarang ni zaman teknologi.Semua benda sudah canggih.Kerja kita boleh jadi lebih mudah.Lebih cepat.Kerajaan kita pun ada buat kempen satu keluarga satu komputer.Dengan komputer ni macam-macam boleh buat.”Dan panjang lebar lagi.Dan para jemaah hanya mengangguk.Ini bukan kali pertama dia dengar tentang teknologi dan komputer.Di warung Pak Ayub, di balai raya, di jeti dan di mesyuarat PIBG sekolah.Dari beberapa bulan yang sudah.Dia sudah tertarik.

“Senah, aku nak beli benda ni untuk dua beradik tu. Bagus benda ni.” Jari telunjuk Hussin menunding ke arah gambar seumpama TV yang tercetak di kertas itu.Terbeliak mata Hasnah.

            “Saya tahu tv putih bagus bang oi... Misi Mastura pun ada bercerita.Dengan benda itu boleh buat surat, boleh tulis-tulis, boleh lukis-lukis, baca-baca lagi boleh.”Itu yang dia dengar dari mulut kecoh jururawat yang datang ke rumah atau ketika dia membuat pemeriksaan di klinik desa.

            “Tapi bang mana kita nak cari duit. Yang namanya komputer tu bukannya murah.Harganya mahal.Beribu.Budak-budak itu pun tak pandai nak guna.”Dan mereka suami isteri sudah mendengar suilan anak dua beradik itu menyanyikan lagu Sayang IT Cinta IT yang mereka dengar dari corong radio dan kaca tv.

Sebulan kemudian, sampailah sebuah komputer di rumah itu.Dengan duit simpanan yang dikeluarkan dari akaun, dihadiahkan komputer itu kepada anak-anak.Bukan dua beradik itu sahaja, bahkan anak-anak jiran tetangga juga tumpang menggunakannya.Di balai raya pula, diwujudkan kelas komputer dan jaringan internet.

 

Oktober 2009

Perkampungan nelayan pesisir pantai Terengganu tidak banyak berubah.Di ambang tengkujuh ini warganya sudah bersiap siaga.Bekalan dari segenap segi sudah tersedia.Amaran angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan jabatan meteorologi ternyata membantu.Hussin yang kini menginjak separuh abad kagum dengan kecanggihan sistem satelit dan sumbangannya.

Nurul Iman dan Mustakim dan rakan sebayanya sudah menginjak dewasa.Nurul Iman sudah sebulanberhijrah ke Kuala Lumpur dengan keputusan STPM yang cemerlang.Menjadi siswi universiti era ini, dia perlukan sebuah komputer riba untuk menyiapkan tugasan dan segala tuntutan.Tuntutan persatuan dan penglibatan luar kelasnya.Dia bernasib baik kerana ibu dan ayah memahami keperluan anak-anak dalam menuntut ilmu.Ibu ayahnya dari dulu memiliki kesedaran untuk mendidik anak-anak sesuai dengan zaman mereka seperti yang dituntut para ulama` dan hukama`.

Nurul Iman sudah dibekalkan sebuah komputer riba bersaiz sederhana yang dibeli dengan wang simpanannya sendiri.Komputer lamanya masih digunakan oleh Mustakim yang bakal menduduki SPM beberapa hari lama lagi.Komputer itu walaupun sudah tua dan beberapa kali menguzurkan diri, namun tetap berbakti setelah dibawa ke pakarnya.Sedekad ini mereka dua beradik menggunakan sebahagian daripada teknologi maklumat itu untuk mencari nota-nota dan mengumpul soalan-soalan.Dari cukup dengan carian di laman sesawang, diminta juga daripada kenalan-kenalan dalam talian mereka.Nurul Iman juga mengharapkan Mustakim mengikut jejaknya jaya dan pulang berjasa pada tanah kelahirannya.Itulah juga impian ibu ayah mereka, Hasnah dan Hussin.

Keputusan peperiksaan akhir Nurul Iman setiap semester diumumkan dan disemak atas talian melalui komputer ribanya.Urusan kewangan antara pelajar dan pihak penaja juga dijalankan atas talian.Utusan Harian yang dibacanya saban hari untuk mengikuti perkembangan semasa juga dicari melalui Internet Explorer.

Melalui komputer ribanya dan komputer di tanah kelahirannya, mereka boleh berhubung.Jarak beribu batu bagaikan tiada. Mereka di kejauhan umpama di depan mata. Tiap kali berkelapangan, Nurul Iman menulis email untuk adiknya. Dia pasti Mustakimakan membacakan warkahnya untuk ibu ayahnya. Tidak cukup dengan itu, mereka boleh berhubung dengan video call, Skype dan seumpamanya.

            Azimat pesan seorang ustaz tersemat kemas dalam ingatan.“Walau secanggih mana dunia di hujung jari kamu tapi ingatlah bahawa malaikat pencatit ada di kanan dan kiri kamu.Teknologi umpama pisau.Ia boleh membawa kebaikan dan boleh juga mendatangkan mudarat. Dunia teknologi dan maklumat memang besar dan akhirat lebih besar.”

Mac 2017

Hari ini, perkampungan nelayan ini semakin pesat membangun tetapi tidak memusnahkan ciri dan nilai melayunya. Ramai anak desa ini berjaya dan ada yang berhijrah ke kota raya. Nurul Iman memilih untuk pulang menjaga ibu dan ayahnya sementara Mustakim pula menyambung pengajian di menara gading.

Haji Hussin dan Hajjah Hasnah yang sudah menginjak 60an dan masih sihat berbanding warga seusianya.Cuma Nurul Iman bertegas menghalang ayahnya turun ke laut.Biarlah dia berbakti sepenuhnya. Biarlah mereka berehat dan beribadat di hujung usia. Seronok melihat pasangan suami isteri itu bersama menuju masjid lima waktu sehari.

Dia memasarkan apa sahaja hasil desanya dengan teknologinya. Perniagaan online semakin pesat membangun dan memenangi tempat di hati pengguna kini.Nyata teknologi satu ketika dahulu menjadi sumber maklumat dan wacana komunikasi, kini menjadi medan mencari rezeki. Daripada keropok, ikan masin, sata sejuk beku, kain batik Terengganu hinggalah rumah tumpangan semuanya dipasarkan melalui atas talian.Negeri ini sekali lagi melancarkan tahun melawat Terengganu dan ramai pelancong luar negeri singgah menginap di Rumah Tumpangan Darul Iman yang diusahakannya.Dia yang fasih berbahasa Inggeris tidak kekok melayan tetamu-tetamunya dan dia belajar bahasa pertama dunia itu melalui teknologi dari usia belasan tahun. Melalui komputer yang dibeli ayahnya dulu.

Melihat bungkusan-bungkusan barangan saban hari dihantar ke pejabat pos, Haji Hussin dan Hajjah Hasnahmemanjatkan syukur.Anak ini tidak putus asa mencari rezeki selepas ratusan permohonan kerja di buat melalui atas talian.Teknologi saban hari berubah, makin pesat.Haji Hussin menyaksikan sendiri daripada komputer tiga serangkai menjadi komputer riba.Dari telefon bertali dengan nombor berbutang-butang menjadi telefon pintar.

“Kamu pergi pos barang tu, macam mana orang yang beli tu bayar duit kami Iman?”Tanya Haji Hussin.Hajjah Hasnah juga menanti jawapan.Ingin tahu.Nurul Iman menunding komputernya.“Tu. Guna teknologi online, ayah.Nanti duit ada dalam akaun.”Jawabnya Nurul Iman memberi jawapan ringkas kepada ayahnya.

“Kamu tahu, ayah tak pernah terfikir teknologi boleh buat macam ni sekali.Hairan ayah.”Haji Hussin mengeleng kepala.Hajjah Hasnah juga.Nurul Iman hanya tersenyum.“Cucu cicit ayah nanti lebih canggih lagi.”Dia juga tidak dapat membayangkan generasi mendatang.

Haji Hussin mengakui itu.Teknologi sangat luas cabangnya.Dahulu dia suami isteri belajar agama melalui ceramah-ceramah di masjid dan surau. Tahun berganti, banyak forum keagamaan disiarkan di kaca tv dan juga radio. Kini dua puluh jam kuliah-kuliah agama boleh dicapai. Melalui Youtube sahaja, Nurul Iman menunjukkan dia boleh mendengar dakwah asatizah, tilawah qari dan qariah serta marhaban.Bukan sekadar slot-slot yang dirakam lebih, rakaman secara langsung juga boleh sampai terus kepada penonton melalui video di Facebook.Yang lebih membuatkan Hajjah Hasnah kagum ialah bukan sekadar ceramah motivasi untuk pelajar dan ceramah keibubapaan.Malahan juga pelbagai resepi masakan, lauk-pauk, kuih-muih sudah dicubanya hasil daripada tontonan video di Youtube.Saban minggu juga, dia menyaksikan Nurul Iman mengikuti kuliah jarak jauh untuk pengajian sarjananya dan beberapa kali kelas bersama guru perniagaannya atas talian.Sesekali dia juga terpegun melihat barangan baru anak sulungnya sampai di muka pintu hasil beliannya di Lazada, 11street dan Mudah.my.Kagumnya berganda-ganda.

                                                                       ***

Sementara Mustakim berjauhan daripada keluarga pada era teknologi yang lebih pesat berbanding kakaknya. Lambakan media sosial muncul di depan mata. Semasa Nurul Iman dulu, Mustakim mewakili ayah dan emaknya berhubung hanya melalui email, Facebook dan Skype. Kini muncul pula Tweeter, What’s App, Istagram dan pelbagai. Semuanya boleh berada dalam saku celananya.Dan kakaknya pula mengambil tempatnya dahulu mencari perantara antara anak dan si ibu dan ayah.

Bukan sekadar untuk aplikasi untuk berhubungan, banyak lagi benda besar dikecilnya saiznya. Naskhah al-Qur’an, himpunan doa, peringatan waktu solat, buku-buku ilmiah, kamus dwi-bahasa boleh dibuka dan dibaca bila-bila masa dan di mana saja. Minda muda Mustakim juga tidak pernah menjangkakan ia mampu terjadi. Sekarang dia pula sedang menyiapkan kajiannya dalam bidang teknologi maklumat.

Seabad yang lalu, siapa yang menyangka teknologi sebegini rupa boleh memudahkan urusan pentadbiran, mempercepatkan proses pembedahan dan meningkatkan mutu pendidikan. Yang utama teknologi ini menjadikan dunia tanpa sempadan. Dan hari ini pula, tiada siapa yang dapat menjangkakan apa yang bakal berada di tangan anak generasi seabad akan datang. Pesatnya dunia membangun.