Pagi dingin hati dingin

Ketika matahari bermain bayang.

Kemboja memutih dari pohon yang sama

Yang rimbun di sisi batu-batu nesan

Ketika sejarah panjang Darul Iman

Berkubur di sunyi makam.

Darul-Iman, dan di sini pelabuhan tua

Memendam riwayat sejarah perkasa

Sebuah pelabuhan yang kini luput

Dari pautan mata sejarah –

Di sana sebuah kerajaan terpasak kukuh

Berakar dari takhta Johor dan Pahang

Menyusur galur ke bumi Terengganu

Bertuan dan berdaulat.

Di sini adat bertempat

Kerajaan yang memerintah

Rakyat diperintah –

Ada beras sama dibahagi

Ada cekur sama dirasa

Hidup menjunjung adat

Adat bersepuh budi

Budi bersendi iman.

Kini aku di sini, sejenak berdiri

Dan memerhati diriku yang tenggelam

Di tengah kemboja bertaburan

Dan matahari bermain bayang.

HILMI RINDU

Kuala Terengganu