* * *

“Jauh lagikah nak sampai simpang?” Bakul berisi kuih gelang terasa berat berbanding kudratku ketika itu. Namun terpaksa jua tenaga 10 tahun ini, kukerah membawanya.

“Sabar, sekejap lagi kita sampai. Mari mak bawa bakul tu.” Emak cuba mengambil bakul di tanganku, sedangkan kedua-dua tangannya sudah penuh. Penuh dengan bakul kuih talam yang kurasa lebih berat berkilo-kilo gram berbanding bakul kuih gelang yang kubimbit. Jelas dalam tafsiranku, emak terlalu letih melewati jalan berbatu di tengah panas matahari pukul 10 pagi.

“Mama, masuklah dalam kereta. Di luar tu kan panas!” Imbasan masa lalu berkecai bersama sapaan puteri tunggalku. Membunuh seluruh kenangan yang mendidikku menjadi dewasa. Dewasa dalam erti kata mencari makna hidup. Dewasa oleh masa yang banyak mengujiku untuk berjuang keluar dari kepompong getir sebuah kemiskinan.

“Tak apa, mama saja nak tengok simpang depan tu. Takut kita tersalah simpang.” Aku beralasan tanpa mempedulikan permintaannya. Mataku masih ralit memerhati persekitaran kanan kiri lebuh raya yang dulunya adalah hutan belukar. Kini terbentang ladang kelapa sawit yang tersusun menghijau. Dulu, kawasan ini menakutkan. Hutan dan sepi pemberian alam yang hikmahnya tersembunyi.

* * *

“Mak belum cukup duit, Maya. Nanti mak kumpul lagi. Mak akan bawa Maya ke klinik, ya.” Janji mak aku simpan sampai kini. Aku diam sambil menarik selimut yang bertampal setiap inci. Aku berpura-pura menutup mata tatkala mak bangkit daripada duduknya. Kesakitan pada betis, cuba kutahan dalam diam. Harapanku agar terjaganya aku daripada tidur esok hari, kesakitan itu sudah pergi bersama malam yang berlalu.

Hujan di tengah malam, membuatkan emak bangun daripada pembaringan. Besen dan baldi diangkut ke tengah rumah. Titisan air hujan yang bolos daripada atap zink yang tidak bersiling, menambah kerja mak.

“Kenapa tak tidur lagi?” Emak menyapaku setelah melihat aku turut bangun daripada pembaringan dan menghampirinya.

“Biar Maya tolong mak. Kalau hujan makin lebat, makin banyak air yang perlu kita tadah. Kalau tak, basah rumah. Lagipun, boleh Maya pakai untuk mandi esok pagi. Tak payahlah mak temankan Maya awal pagi ke perigi.” Mak hanya tersenyum tipis mendengar penjelasanku.

Apabila kukenang kembali, saat itu bukan derita yang terasa. Namun lebih kepada sulaman kasih antara kami. Tautan sayang antara aku dan dia. Sukar dicari ganti. Kepayahan itu, membuahkan rasa rindu untuk kujejaki kini, sukar sekali.

Emak kini, sudah berubah. Menjadi wanita terbilang yang tinggi darjatnya. Aku yang mengajaknya melangkah jauh meninggalkan kepayahan. Aku yang menyaksikan tenaganya dikerah oleh seorang manusia bernama suami. Aku insaf. Dalam sedar, aku menguatkan tekad. Cukup derita itu sampai di situ. Untuk lelaki itu, biar Tuhan yang menghukumnya. Jangan dikesalkan dan jangan dicari, dia yang memilih untuk pergi meninggalkan kami.

“Maya, simpang tu. Betullah. Ini kampung kita yang dulu. Mak pun masih ingat.” Emak keluar dari kereta dan mengenakan kaca mata hitam. Aku menoleh memandang emak yang menghampiriku. Panas terik yang memantulkan bahang daripada jalan tar amatlah terasa. Bagaikan fatamorgana di hujung sana.

“Ya mak. Memang itulah simpang ke kampung kita, dulu. Maya sengaja singgah di sini. Banyak kenangan kita di sini kan. Kita bina pondok jual kuih di sini, arwah abang meninggal dilanggar lori juga di sini. Masa tu Maya ingat lagi. Abang kejar ayah, Tak bagi ayah ikut perempuan tu. Tapi ayah tak pandang pun. Masa tulah lori balak tu datang,” Aku menyulam kembali kenangan itu.

Emak tidak bersuara. Mungkin emak juga berkongsi rasa denganku. Betapa tempat ini, suatu masa dulu begitu banyak menitiskan air mata, begitu banyak melukiskan derita. Menyaksikan begitu banyak kecurangan dan pengorbanan.

Aku melihat emak tidak bertingkah. Kaca mata hitam yang dipakainya begitu perkasa menyembunyikan rahsia. Siapa tahu, tubir matanya sudah menakung air mata saat aku mengimbas kembali memori lama di situ.

“Dahlah... jom masuk kereta. Panas ni...” Aku cuba menjernihkan emosi yang terbawa-bawa. Lengan emak kupaut mesra, lantas mengajaknya meninggalkan tempat itu secepatnya. Aku meneruskan pemanduan dan memasuki simpang itu. Laluan yang tidak bertar kami lalui, sama seperti dulu.

“Pondok di hujung tu, nampak tak Raysha? di pondok itulah mama membesar, tahu?” Aku menunjukkan arah pondok usang yang semakin jelas kepada puteriku, Raysha. Keretaku pandu perlahan menghampiri pondok itu.

“Macam ada orang tinggal di sini, tengok pintu dan jendela kayu tu. Terbuka luas. Siapa yang berteduh di sini?” Emak bersuara setelah kereta betul-betul kupakirkan dekat anak tangga.

Kami bertiga keluar daripada perut kereta sambil meninjau keadaan persekitaran. Sunyi sepi menyambut kehadiran kami. Sedetik masa berlalu, tiada kedengaran suara manusia. Unggas juga sepi dalam damai kehijauan yang melatari pondok usang yang banyak menyimpan kenangan itu.

“Kamu siapa? Nak cari siapa datang ke sini?” Rumah usang itu rupanya dihuni seorang manusia yang sudah berusia senja. Lelaki tua itu muncul di ambang jendela kayu, kemudian dia beralih ke arah pintu. Tangan kanannya dimasukkan ke dalam baju kemeja usang yang tidak berbutang. Nampak benar-benar selekeh dengan seluar paras lutut yang kumal. Bagaikan tidak pernah dibasuh.

“Kami dari bandar. Saja nak tengok-tengok kawasan ini.” Aku bersuara, lelaki itu memandang emak. Berubah rona wajahnya lantas membuang pandangan ke arah yang lain. Mak pula, terpaku memandang dengan mata tajam merenung lelaki berusia senja itu.

“Abang! Abang Kamal kan? Bila abang balik sini?” Emak melangkah menghampiri anak tangga, seolah-olah emak mengenalinya. Lelaki itu pula terduduk di anak tangga teratas.

“Rohaya! Abang menyesal dengan dosa-dosa abang.” Lelaki itu menoleh semula, lalu berdiri cuba menuruni anak tangga menghampiri emak.

“Betulkan panggilan pak cik. Ini Datuk Rohaya, Pak cik ni siapa?” Aku menarik lengan emak, takut nanti lelaki itu melakukan perkara yang tak diingini. Dia menuruni anak tangga lalu duduk melutut di kaki emak. Semakin aku keliru apabila dia menangis tersedu-sedu.

“Maafkan aku Rohaya. Allah dah membalas semuanya. Kau tengoklah aku yang ditinggalkan perempuan itu setelah tak berdaya begini.” Daun-daun kering kekuningan gugur bersama gugurnya titisan air mata seorang lelaki yang egonya melangit tinggi suatu masa dulu. Aku terpaku seketika.