Segala-galanya bermula kira-kira penghujung tahun 2015. Ketika itu, adik lelakiku sedang sakit dan terlantar di rumah. Pada  wajahnya tidak kelihatan tanda-tanda seperti mahu meninggalkan kami di dunia ini. Sakit yang ditanggungnya sukar untuk diterjemahkan. Kadang-kadang mengerang kesakitan. Hilang semua keceriaan dan kenikmatan hidup. Penyakitnya itu benar-benar merenggut sebahagian daripada kebahagiaan yang pernah dilaluinya. Dua bulan lamanya doktor tidak dapat mengesan jenis penyakit yang dihidapi. Menderita dalam kelelahan dan kepayahan. Menderita dalam kesakitan. Namun, Tuhan lebih menyayangi dirinya apabila dijemput Illahi pada penghujung bulan Januari tahun 2016. Yang tinggal hanyalah anak-anaknya yang baru sahaja menginjak ke alam remaja dan seorang lagi baru bersekolah tadika. Satu tamparan hebat bagi diriku dan adik-beradik yang lainnya.

Aku bodoh ketika itu. Terlalu bodoh! Tidak langsung terfikir untuk mencari maklumat mengenai penyakit yang dideritainya. Sudah ada simpton-simpton yang menunjukkan adik lelakiku itu mengidap kanser hati. Entah mengapa aku sendiri tidak tahu, jari-jemariku kaku dan tidak bertulang untuk mencari maklumat berkaitan penyakit itu sedangkan pada masa kini dunia ditebak dengan kemudahan ICT yang canggih lagi mengkagumkan. Aku seolah-olah sudah buta dan tuli padahal aku memiliki telefon pintar, komputer riba, kemudahan internet malahan beribu-ribu ringgit mahalnya. Entahlah, aku tidak tahu di mana silapnya. Jika tidak, mungkin adik lelakiku masih lagi diberikan keizinan untuk terus bernafas di bumi ciptaan Tuhan ini. Pun begitu, semuanya sudah tertulis di Loh-Mahfuz  dan aku sebagai hamba-Nya perlu reda dan menerimanya kerana aku tahu aku juga bakal berada di alam sana!

            Namun, itu jugalah yang menjadi kayu ukur perubahan diriku. Rupa-rupanya kehilangan insan yang aku sayangi ini benar-benar mengubah diriku agar menjadi hamba-Nya yang sebenar.

            Ya Tuhan, aku juga bakal disemadikan dengan berbekalkan kain kapan semata-mata. Tidak akan ada satu pun harta dan insan yang aku sayangi akan dibawa menemaniku ke dalam liang lahat. Hanya yang akan kubawa adalah amalanku ketika di dunia. Ya Allah, aku benar-benar menginsafinya dan aku bukanlah hamba-Nya yang baik malah sering kali terjerumus dalam dosa yang tidak pernah kering untuk dilakukan.

Namun, keluhan kekesalan itu hanya terbit apabila aku menatap wajah adikku tatkala dimandi dan dikafankan.Semuanya terbit tanpa aku sedari. Ku tinggalkan segala kenangan di pusara arwah adik lelaki namun hakikatnya berbulan lamanya aku menangisi pemergian adikku itu. Sungguh, pada setiap malam aku pasti merindui dirinya.

            Segala kesedihan di hati terbawa-bawa ke alam mimpi. Tiba-tiba sahaja aku merasakan orang di sekelilingiku meratap dan menangisi diriku yang terbujur kaku di tengah rumah. Aku semakin hairan. Hairan melihatkan sikap mereka yang langsung tidak mengendahkan panggilanku malah langsung tidak bertegur sapa denganku. Terlalu pelik! Aku melihat sekujur tubuh itu dan akhirnya membuka penutup wajah dengan penuh hati-hati. Ternyata, tubuh yang terkujur itu adalah diriku sendiri. Aku meraung memanggil mak dan abah. Namun, tiba-tiba sahaja aku terkejut jaga dari mimpi itu. Sungguh aku tidak mengerti! Sebaik terjaga peluh dingin membasahi segenap penjuru badanku. Apakah sebenarnya mimpiku itu? Lantas menerusi telefon pintarku aku menceritakan segala-galanya kepada rakan baikku menerusi aplikasi WhatsApp.

            Apa makna mimpiku itu?

            Agaknya kau masih dalam keadaan trauma disebabkan adik kau baharu sahaja meninggal dunia. Kau terimalah dengan reda, tentu ada hikmahnya yang Allah akan berikan nanti.

Itu sahaja balasan WhatsApp daripada rakan baikku. Namun masih lagi belum membantu aku mencari jawapan yang sebenarnya.

            Tidak cukup dengan WhatsApp, aku menjelajah melayari internet tentang perasaan gundah -gulanaku. Apa yang kucari sebenarnya? Aku juga tidak pasti!

Menerusigoogle, aku dapati banyak info berkaitan dengan soal kematian dan pengakhiran. Membaca semua maklumat belum tentu akan habis. Malah terlalu banyak untukku hadamkan di benak fikiranku. Itulah kelebihan kemudahan teknologi ICT kepada manusia. Bukan sahaja memudahkan pengguna di dunia tetapi juga di akhirat! Melalui ICT aku leka merujuk dan mencari pengakhiran abadi ini. Namun, aku masih lagi lemah untuk metaksirkannya.

            Ah! Apa yang kucari? Masih belum mengerti? Semakin berbelit-belit?getus hati kecilku lagi.

Selang sebulan, melalui paparan telegram di dada telefon pintarku, seorang ustaz memberikan sedikit tazkirah mengenai alam kematian. Ternyata untuk sekali lagi kemudahan aplikasi ini memberikan jawapan kepada apa yang kucari.

            Ya Allah,aku banyak melakukan dosa. Dosaku terlalu banyak dan tidak terhitung seperti pasir di tepian pantai.

Namun, gema kesedaranku itu hanya berdetak-detak di dalam hati tanpa orang lain yang mengetahuinya. Biarlah...

Bermula pada saat itu, aku mengerti tentang pencarianku. Aku harus melabur seberapa banyak kebaikan di dunia ini. Segala yang hitam perlu aku putihkan walaupun aku tahu warna hitam itu lebih banyak menutup kebaikan yang kulakukan.

            Setiap hari lebih kurang1 jam, aku cuba membaca ayat-ayat suci al-Quran. Ternyata, aku masih lagi merangkak-rangkak membacanya. Teraba-raba di alam yang semakin suram. Waktu itu, aku menangis semahu-mahunya. Sungguh! Aku terlalu jahil.

            “Mama, adik boleh ajarkan mama kalau mama mahu,”kata anakku dengan mata yang bersinar.

Kata-kata yang keluar dari mulut seorang anak yang berumur sepuluh tahun itu benar-benar membuatkan aku malu. Dalam usia sementah itu, dia sudah khatam al-Quran sedangkan aku langsung tidak pernah! Namun, aku langsung tidak memberikan jawapan kepada kebaikan yang dihulurkan. Aku terlalu ego!

            Aku melayari internet pada laman youtube. Tujuanku untuk belajar al-Quran. Biar cepat pandai. Biar cepat khatam. Namun, semakin banyak aku belajar semakin itu juga banyak yang terlupa. Rutin harianku masih tetap sama. Belajar dan masih juga terus merangkak-rangkak. Aku membayangkan keadaanku di sana nanti. Merangkak di padang pasir seperti mana aku merangkak ketika membaca al-Quran.

Aku membuka youtube dan memilih zikir-zikir untuk dibaca dan dihafal. Kadang-kadang aku memuat turun kesemuanya. Menghafalnya malah turut cuba untuk mengamalkannya tatkala aku berada dalam keadaan yang alpa. Benar, sedikit sebanyak zikir-zikir yang kupelajari melalui youtube itu membantu aku agar lebih menjadi muslimah sejati.

“Kalau hendak mengaji boleh melalui telegram. Kita ada group mengaji di telegram. Cuba joint,”kata rakan baikku dengan memberikan alamatnya.

Kelas Online Haraki Ustaz Zakaria (KOHUZ) haraki.my/kohuz. Kataku sambil termenung.

Ternyata, kemudahan dan kecanggihan ICT mampu memberikan khidmat yang berguna serta memberikan ganjaran pahala yang berganda. Namun, aku hanya menjadi pengikut setia untuk kelas itu tanpa menunjukkan mutu bacaanku. Bacaan al-Quranku masih lagi tahap merangkak-rangkak.

“Mama, kalau mama malu mengaji dengan adik, mama mengaji dengan abang sajalah,”kata anakku yang belajar di UITM Puncak Alam.

Kata-kata itu membuatkan aku tersentak. Bagaimana pula anakku tahu tentang masalah yang sedang aku hadapi? Mungkin adiknya telah memberitahu kepada abangnya. Rupa-rupanya, mereka lebih cepat dan cekap daripada diriku!

Aku masih lagi diam dan tidak memberikan jawapan. Masih juga membaca dengan merangkak-rangkak. Ah, diriku ini terlalu ego!

            “Abah, mama hendak belajar mengaji. Boleh ajarkan?”tanyaku pada suatu hari kepada suamiku.

Suamiku yang sedang membaca surat khabar tersentak. Terlepas pegangan surat khabarnya tatkala aku mengajukan permintaan itu. Sudah hampir dua puluh tahun aku berkahwin, baru kini aku memintanya untuk mengajar. Suamiku hanya ketawa. Namun, pada malam itu selepas solat Isyak aku duduk di hadapan suamiku dengan al-Quran di rehal. Aku membacanya. Sekali, dua kali dan seterusnya. Namun, aku masih gagal lagi untuk melancarkan bacaanku.

            Allah, aku harus kuat dan sabar. Kata hati kecilku seperti memberikan semangat.

Namun, tidak sampai seminggu aku tidak mahu lagi belajar dengan suamiku. Suamiku hanya mengeleng-gelengkan kepala tanda tidak memahami diriku. Manakan mungkin, bacaan suamiku terlalu cepat. Aku semakin gelisah. Entahlah, kata suamiku kalau aku budak-budak sudah disesahnya dengan lidi penyapu. Aku tunduk diam membungkam sedih.

            Untuk sekali lagi, aku membeli al-Quran digital. Al Qalam menjadi tempat untuk misi aku khatam al-Quran. Itu pun aku membelinya secara online. Menerusi pencarianku aku dapati ianya adalah salah satu produk Quran digital bagi memudahkan pembacaan Al-Quran Al Karim. Mudah mesra dan mudah untuk digunakan. Kesemua maklumat itu aku perolehinya daripada sumber internet. Begitu besar jasa ICT kepada manusia yang buta al-Quran seperti diriku!

            Alhamdullilah, ada juga jalan penyelesaianya. Kataku berkali-kali di dalam hati.

Namun, entah di mana silapnya, tiba-tiba sahaja pen al-Qalam itu tidak berfungsi. Puas aku cuba mencari puncanya namun tidak juga ditemui. Akhirnya, aku terpaksa menelefon pengedar Al-Qalam untuk tujuan penggantian pen semula. Namun, kerana tempat kerjaku jauh, aku terpaksa menundanya.

            “Kalau pen itu tidak rosak, tentu mama akan bergantung sepenuhnya kepada pen tersebut. Sampai bila nak pandai?”kata suamiku apabila aku mengajaknya ke kedai untuk menukar pen tersebut.

            Aku tersengih. Sampai bila nak pandai? Jangan bang, jangan kata begitu. Bersyukurlah abang kerana isterimu ini mahu belajar menggaji. Bersyukurlah abang kerana isterimu ini masih lagi dibukakan pintu untuk bertaubat. Abang tahu, di akhirat esok hanya ayat-ayat Al-Quran itu sajalah yang menjadi penerang dan peneman aku di alam barzakh. Aku paling terkesan apabila group WhatsApp adik-beradikku selalu menyuruh aku untuk sama-sama khatam al-Quran. Setiap hari, ada saja paparan WhatsApp yang menunjukkan mereka sudah sampai halaman dan juzuk ke berapa. Sedangkan aku masih lagi terkial-kial untuk satu halaman dalam masa satu hari! Ah, terlalu perit untuk diriku menghadapi segala-galanya.

            Keluhan itu hanya bergema di dalam hatiku tanpa suamiku mengetahuinya. Biarlah...

Ketika aku mengikuti kursus yang dijalankan di sekolahku, aku diberikan penerangan tentang penggunaan ICT secara meluas. Kata-kata penceramah itu membuatkan aku lebih jelas dan tahu.

“Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya. Hakikatnya ICT sangat membantu dan menolong mereka (pengurus sekolah) untuk berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah, cepat dan membuat keputusan yang baik yang melibatkan maklumat, proses dan kerja seperti pendaftaran pelajar, pelbagai rekod, kawalan inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu mengajar, hal yang berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya.”

Lalu aku termenung memikirkan misiku yang masih belum dapat dicapai. Jika ICT dapat meningkatkan komunikasi mengapa tidak aku menggunakan pendekatan aplikasi Skype seperti mana yang pernah disarankan oleh anak lelakiku yang belajar di UITM. Mungkin dia dapat membantuku?

Malam itu juga aku menghantar WhatsApp kepada anak lelakiku. Tepat jam 8 malam, aku bersemuka secara langsung dengan anakku itu. Walaupun jarak kami jauh, namun aku merasakan anak lelakiku itu terlalu dekat dengan diriku. Aku gembira. Pada permulaannya aku membaca dan disemak oleh anak lelakiku. Baru setengah halaman, anakku menyuruh aku mengulangnya semula untuk tujuan lebih mantap pada esoknya.

            “Mama, esok kita ulang dan sambung lagi. Sekejap lagi abang kena study dengan kawan-kawan,”kata anakku lagi.

Aku hanya menganggukkan kepala dan komunikasi kami terputus di situ.

Ah! Terlalu singkat masaku. Ada baiknya jangan diganggu pembelajaran anakku itu. Kataku perlahan.

Aku terdengar suamiku terbatuk-batuk di dalam bilik. Sudah hampir seminggu suamiku batuk kuat. Sudah bermacam-macam ubat batuk yang aku beli di farmasi. Aku juga sudah membawa suamiku ke klinik namun, batuknya masih belum reda. Kerana kasihankan suamiku, aku lantas membuka komputer ribaku dan mencari maklumat serta petua di google. Ternyata, terlalu banyak petua dan pendapat yang dikongsi oleh orang perseorangan di laman itu. Pencarianku tidak hanya di situ sahaja, malah selepas aku memasuki lamanfacebook, ramai pula rakan dan kenalan facebookku memberikan pelbagai petua dan cadangan untuk mengurangkan batuk suamiku.

            Cuba guna daun sireh, mana tahu mujarab!

            Cuba guna bawang putih dan air panas. Mungkin boleh sembuh?

            Kalau malas, pergi saja ke klinik. Ubat bayar dah tentu berkesan. Atau jumpa nurse mesti terus baik!

Kerana kecanggihan ICT maka ramailah yang bergelar doktor dan tukang nasihat. Paling tidak pun jawapan yang ketiga itu membuatkan darahku membuak-buak sehingga takat didih.  Mujur juga hanya berjumpa di alam maya jika ada di hadapanku mahu sahaja aku mengetuk kepala empunya diri sampai benjol!

            “Sebenarnya banyak ilmu dan manfaat yang boleh digunakan dengan kewujudan teknologi ICT tetapi bila disalahgunakan terutama medium internet menyebabkan semua lapisan masyarakat menjadi pak turut yang paling setia,”begitu kata-kata penceramah ICT pada kursus yang lalu.

Ya, aku akui ada benarnya kata-kata itu. Kemudahan ICT memudahkan manusia untuk melakukan apa sahaja. Justeru, hanya ‘Jauhari yang mengenal manikan’.

Aku tersengih apabila membaca idea serta komen-komen di laman facebook. Baru aku sedari aku sudahtersasar jauh daripada matlamat asalku. Kucapai telefon pintarku dan aku menghantar WhatsApp kepada seorang kenalan yang bergelar ustazah.

            Yani, boleh ajar saya menggaji?

Ringkas sahaja permintaanku. Sepuluh minat kemudian, rakanku itu membalas WhatsApp dengan memberikan tanda setuju.

            Boleh, esok jumpa aku!

Aku tersenyum. Bukankah ICT yang menjadi penyelamat untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Kelegaan semakin terserlah pada wajahku. Namun, hanya aku yang mengetahui betapa kelelahanku itu sudah semakin hilang ditelan oleh kesanggupan kawanku untuk mengajar al-Quran.

            Segala keseronokan pada hari itu menjelma dalam mimpiku. Aku dapat merasakan diriku duduk di tengah-tengah tetamu yang hadir. Berpakaian serba baru dan bersemangat. Ketika itu, adalah saat yang paling kunanti-nantikan. Au bakal khatam al-Quran setelah bertungkus lumus belajar menggaji dengan rakanku itu. Aku tidak akan lagi malu untuk membacakannya di depan anak-anakku atau paling tidak akan diketawakan oleh suamiku nanti. Namun, bukan itu yang kuhajati. Aku mahu pusaraku nanti bercahaya dengan ayat-ayat suci al-Quran yang sentiasa menjadi peneman dan amalanku di sana nanti. Jadi, aku tidak akan takut lagi tinggal keseorangan di alam barzakh.

            “Eh! apa senyum-senyum ni? Tidur pun boleh senyum?”tanya suamiku secara tiba-tiba.

Aku terkejut jaga apabila mendengar teguran daripada suamiku. Ternyata keinginanku itu membuatkan aku meneroka begitu jauh.

            Senyum dulu bang, tapi esok mama dah mula menggaji dengan ustazah. Biar sampai khatam! balasku di dalam hati dengan penuh bangga.