Sayembara ASJ merupakan satu-satunya anugerah berprestij dan eksklusif untuk mengiktiraf jasa dan sumbangan para penulis dan karyawan sastera khususnya anak jati Johor yang bergiat aktif memperjuangkan sastera dan bahasa di negeri berkenaan.

HSDT diilhamkan oleh Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan telah dianjurkan sepenuhnya oleh Kerajaan Johor. PPJ merupakan satu-satunya persatuan penulis paling aktif mengadakan pelbagai kegiatan sastera seperti Hari Sastera, Hari Puisi Nasional, seminar dan simposium, Dialog Persuratan Melayu Johor, Kolokium Bahasa Melayu serta kursus dan bengkel. Di bawah kepimpinan Ketua Satunya, Amiruddin Md. Ali Hanafiah, PPJ mencapai kemuncak kegemilangannya dengan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PPJ dua tahun lalu.

 

Penganjuran HSDT dibuat secara dwitahunan dan pertama kali dilancar adalah pada tahun 1996 di Batu Pahat. Usaha gigih Yayasan Warisan Johor mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Johor sebagai tanda sumbangan kepada para penulis dan sasterawan terhadap pembinaan tamadun bangsa melalui karya-karya sastera mereka. Tambahan pula, Johor mempunyai ramai penulis prolifik yang telah mencipta nama dalam dunia kesusasteraan dan memenangi pelbagai hadiah di peringkat negeri dan kebangsaan.

Antaranya Shamsuddin Othman, W.B. Rendra A. Wahid, Mohd Rosli Bakir, Md.Nizar Parman, Nazim Mohd Subari, Mustaffa Siraj, Aminah Mokhtar, Rahimah Muda, Maskiah Masrom, Rohaidah Yon, Zamidah Hashim dan ramai lagi.

Sememangnya HSDT anjuran Yayasan Warisan Johor dilihat mampu meningkatkan motivasi dan menggalakkan lebih ramai sasterawan sekali gus mengangkat martabat Kesusasteraan Melayu di negeri tersebut. Keterlibatan kerajaan negeri Johor dalam memperjuang dan memartabatkan sastera telah berjaya melahirkan ramai sasterawan dan pengkarya muda yang telah mencipta nama dalam bidang persuratan.

Wujudnya HSDT juga adalah sebagai menghargai jasa-jasa para penulis Johor atas sumbangan pelbagai karya dan ini secara tidak langsung mengembangkan bidang bahasa dan sastera. Di samping itu, kewujudan HSDT berupaya mendorong dan menjana iltizam serta kreativiti para penulis negeri itu dalam menghasilkan karya-karya besar dan bermutu.

Umum mengetahui bahawa Johor adalah sebuah negeri yang kaya dengan warisan budaya dan bangsa sama ada dari segi sistem politik, sosial, kesenian ataupun kebudayaan. Malah bahasa dan sasteranya mempunyai ciri-ciri keunikan yang tersendiri. Oleh itu, usaha PPJ dengan kerjasama kerajaan negeri Johor akan dan terus berusaha memelihara dan memulihara bidang ini agar hasil karya anak jati Johor dapat diperluaskan dan bermanfaat kepada masyarakat khususnya kepada golongan belia.

HSDT juga dianggap sebagai manifestasi kepekaan rakyat Johor khususnya para penulis, sasterawan dan budayawan yang mahu melihat tamadun bangsa lahir sejak zaman kerajaan Johor Lama dapat diteruskan sehingga wujudnya kerajaan Johor Moden. Jika disoroti sejarah, karya-karya sastera yang dihasilkan terkandung dalamnya kekuatan nasionalis, patriotisme, bahasa dan jati diri sekali gus mampu menjadi teras terhadap pembinaan sesebuah bangsa serta negara.

Sebagai salah satu cabang kebudayaan yang mendukung nilai-nilai etnik dan estatik, sastera boleh memainkan peranan yang berkesan sebagai pembentuk cara berfikir yang mudah, dinamik dan progresif, selain dapat mewujudkan semangat permuafakatan dalam kalangan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan bangsa di Johor dan seluruh tanah air.

Justeru, melalui HSDT hasil karya dan penulisan kreatif penulis-penulis Johor termasuk novel, puisi, cerpen dan drama dilihat masih relevan pada era globalisasi. Ini kerana, sastera Malaysia yang ditulis dalam bahasa Melayu merupakan cerminan pemikiran rakyat Malaysia iaitu suka duka kehidupan budaya masyarakat serta aspirasi dan pengalaman penduduk negara ini.

HSDT mempertandingkan 17 kategori antaranya Kumpulan Puisi (RM1,500), Kumpulan Cerpen (RM2,000), Puisi Eceran (RM500), Cerpen Eceran (RM800), Buku Sastera (RM2,500), Novel Dewasa (RM2,000), Esei dan Kritikan Sastera (RM800), Drama Radio (RM1,000), Drama TV (RM2,000), Drama Pentas (RM2,000), Rencana Pembangunan Johor (RM800) dan Sastera Siber (RM400). Kategori lain turut dipertandingkan termasuk Novel Kanak-Kanak (RM2,000), Novel Remaja (RM2,000), Kumpulan Cerpen Kanak-Kanak (RM1,500), Kumpulan Cerpen Remaja (RM1,500) dan Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun (RM200 dan RM300).

HSDT kali ini dijangka lebih menarik yang mana kemungkinan terdapat karya-karya yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) memenangi beberapa kategori. Penganjuran HSDT meliputi karya-karya yang telah diterbitkan, dicetak dan disiarkan dalam media massa.

Karya-karya yang dinilai adalah hasil tulisan warga negara Malaysia rakyat negeri Johor yang berkarya di negeri Johor atau di luar Johor atau warga negara Malaysia yang telah menetap atau bermastautin di negeri Johor sekurang-kurangnya lima tahun semasa karyanya dipilih dan dinilai.

Menyentuh soal panel penilai, seperti tahun-tahun sebelum ini, sebuah Jawatankuasa Panel Penilai HSDT telah dilantik terdiri daripada para sarjana dan intelektual sastera serta budayawan yang pakar, mahir dan berwibawa dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, Hadiah Karyawan Sastera Johor membawa gelaran ‘Sasterawan Negeri Johor’ kali ini akan dianugerahkan kepada penulis yang telah mengharumkan nama Johor di peringkat nasional atau antarabangsa. Penerima juga telah menghasilkan karya-karya yang mantap dan terkenal serta ciri-ciri lain yang difikirkan layak untuk menerima hadiah berprestij itu.

Bagaimanapun, mereka yang pernah menerima anugerah kerajaan negeri Johor dikecualikan daripada pencalonan. Timbul persoalan menarik, siapakah yang akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas HSDT iaitu Anugerah Sasterawan Johor, Anugerah Penulis Muda Johor dan Anugerah Penulis Bukan Melayu Johor kali ini? Nampaknya keputusan HSDT membuat ramai penulis dan karyawan Johor berdebar menanti.