Tiang lampu adalah nama tempat terbuka di luar Pasar Seni, Kuala Lumpur. Ia berdekatan dengan jejantas yang menghubungkan Pasar Seni dengan bangunan Dayabumi. Di bawah tiang lampu hampir setiap hari minggu atau hari cuti, sebelah petang dan malam, penulis sekitar Lembah Klang datang bersajak, berlagu, bersantai atau membuat temujanji.

Sani Sudin Kopratasa dan Pyanhabib menjadi pelalak utama. Sebelum pelakon Kamarool Haji Yusoff dan saya turut menjadi pelalak utama, telah ada ramai rakan seni jauh dan dekat, calon penulis dan sasterawan negara, teman-teman dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kumpulanTeater Elit dan kumpulan teater memberanikan diri untuk turut segelanggang. Tidak mampu saya senaraikan ratusan penulis dan puluh kumpulan teater yang turut menyimpan kenangan tiang lampu di Pasar Seni.

Apabila nampak kelibat kami di Gelari Dia milik pelukis Aris Aziz maka pengunjung Pasar Seni akan tahu acara tiang lampu akan dibuka. A.P Arts Gallery milik Allahyarham Rahimi Harun selalu tutup kedai untuk mendengar kami melalak.

Penghormatan yang kami terima bukan sekadar dari dalam atau luar negeri, malah daripada pucuk pimpinan tertinggi negara. Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menghargai kami dalam salah satu ucapan penting pada 25 April 1987.

Begitulah bayangan yang terjadi di Reruai ITBM. Reruai ITBM (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia) ini dibuka sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Perdagangan Putra Dunia (PWTC), 24 April hingga 3 Mei lalu. Setiap hari, sekitar 10 orang penulis yang karya mereka diterbitkan oleh ITBM akan mengisi sudut Bersama Penulis dan Sofa Putih.

Reruai ITBM dan kerja-kerja ITBM telah berjaya mengumpulkan penulis secara sukarela sebagaimana di Sudut Penulis DBP dan tempat makan sekitar DBP satu ketika dahulu. Kalau dulu kami jenguk DBP kerana ada Usman Awang hingga kepada Sabri Yunus, di pojok ngeteh Reruai ITBM ada Khalid Salleh dan U-Wei Haji Saari.

Kemuncak

Ketika penulis memperkatakan tentang karya mereka dan penulis yang memenangi hadiah Sayembara Penulisan ITBM-PENA 2, teman-teman penulis lain seperti Mamu MK Hasny, Rositah Ibrahim, Ratna Laila Shahidin dan seniman Singapura Eunos Asah dan M.I.A./Mohd Ismail Abdullah secara sukarela membacakan puisi karya mereka. Pengunjung, Sani Sudin dan saya turut memeriahkan majlis mereka itu.

Kemuncaknya pada 1 dan 3 Mei, bermula pukul 6 petang. Sani Sudin, Pyanhabib dan saya dibenarkan santai-santai buka semula gelanggang tiang lampu. Adinda Amiro menggantikan Pyanhabib pada 3 Mei. Kami melalak, merapu dengan puisi, coloteh sambil ukelele dan gitar.

Tidak sangka, Yasin Salleh, Marsli N.O., Yusuf Raja Ariffin, Azlan Sulong, Lutfi Ishak, Man Bakri, Usman Gumanti, Dr. Ram Dambul, Hani Salwah, Mawar Marzuki, Tun Kreatif, Ponet Abd Manaf, Pai Zakaria dan ramai lagi turut berpuisi. Bekas pelakon teater Kena Main turut berdendang.

Yang memegunkan saya, apabila Khalid Salleh dan U-Wei Haji Saari yang terkenal kesenimanan mereka sanggup bersukarelawan bersama-sama kami. U-Wei Haji Saari baca sajak dari kumpulan puisi Yassin Salleh, Ikan-ikan Di Kaca. Khalid Salleh mendendangkan dua buah lagu.

Jika gerakan di tiang lampu melahirkan perhimpunan Penulis Muda Malaysia yang pertama pada akhir tahun 1987, memantapkan kumpulan lagu puisi Kopratasa dan mengilhamkan filem Seniman Jalanan, adakah di Reruai ITBM akan semarakkan gerakan yang lebih besar selepas ini? Saya percaya usaha murni ITBM bukan sekadar tempat untuk karyawan seni “bermain”, bukan sekadar membawa Yusuf Islam ke Malaysia.

Adakah mana-mana sudut di DBP nanti akan lahir semula ruang untuk penulis duduk-duduk seperti di Sudut Penulis? Adakah mana-mana ahli korporat seni akan meniru Akademi Semanggol di Janda Baik yang menawarkan logistik percuma untuk aktivis seni berkarya?

Demi pembangunan tamadun bangsa perlu ada tempat untuk karyawan seni bertemu, contohnya di Rumah PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) pada setiap Jumaat malam Sabtu pertama setiap bulan diadakan acara Baca Puisi PENA-ITBM.