Kekeliruannya terlerai melalui suara tegas  tuan gurunya menyebut, dakwah itu isinya bukan alatnya. Isinya mestilah berpandukan bawaan Utusan Allah. Alatnya, ikutlah kesesuaian zaman.

Dia duduk menghirup air oren segar yang dipesan tadi. Pengunjung restoran tidak ramai.. Suasananya agak suram dek cuaca selepas hujan. Pemuda duduk berhadapan dengannya bersuara menyebut tentang Tuhan.  Penuh yakin menyatakan Tuhan tidak wujud. Tuhan hanya dongengan ciptaan manusia untuk memenuhi tuntutan jiwa yang mahukan tempat mengadu pertolongan saat getir. Saat selesa dan selamat, Tuhan pun hilang kewujudannya.

Dia pulang dengan sesalan. Mesej dakwahnya tidak terucap. Lidah kelu bagai dipaku. Hujah pemuda itu bagai peluru berhamburan datang menerpa. Belum pernah dia ditembak dengan hujah begitu rupa. Selama ini hanya lisan Tuan Guru yang mengisi embun sejuk di ruang hatinya tetapi lisan pemuda ini sebaliknya. Sejak dia bersekolah menengah hingga tingkatan lima hingga kini mendalami ilmu di sekolah pondok,  hanya yang molek-molek didengarnya tentang Tuhan. Hari ini dirasanya, kemuliaan Tuhan sudah dicarik-carik.

Dia ke tandas sebentar mententeramkan jantung yang berdebar kencang. Hujah balas disusun pantas. Sampai di meja, pemuda itu sudah pergi dengan air minuman masih berbaki.

Di ruang dia bersendirian bersemuka dengan ribuan insan di alam maya tatkala skrin komputer  memaparkan laman face book. Ratusan rakan face booknya.. Diterima siapa sahaja menjadi rakan.  Dari ratusan bercabang menjadi ribuan dan puluh ribuan. Dakwahnya melalui face book akan tersebar ke segenap penjuru alam.  Mesejnya mengajak semua orang mentaati Allah dan Rasul-Nya terlaksana.  Memberi hidayah itu urusan Allah. Dia hanya menyampaikan dengan face book  medan dakwahnya.

Dalam kesepian malam selepas hujan turun, dua pasang matanya menatap minat laman   face book memaparkan kata-kata tentang Tuhan. Senada dengan yang didengarnya di restoran semalam. Menolak wujudnya Tuhan dan Tuhan hanyalah sebuah dongengan rekaan manusia. Sekadar untuk memenuhi keperluaan jiwa-jiwa manusia yang lemah dan penakut.

Huraian Sang Penolak Kewujudan Tuhan melajukan rentak jantungnya dengan sulaman rasa marah dan tercabar. Emosinya segera mahu meledak dan melepaskan apa sahaja yang terlintas di hati melalui laman itu. Susunan kata-kata yang mencabar perinsip dan pendiriannya kunjung berulang. Jika berhadapan pasti berhamburan hujah-hujah termuntah dari lidahnya lantas mematah ranapkan prinsip terpesong itu.

Minda masih  terkawal dengan hati yang mengawal. Hati bagaikan raja memerintah rakyatnya melakukan apa sahaja. Hanya hati yang terasuh bertindak mengikut ajaran-Nya Hatinya yang terasuh dengan akhlak dan budi berteraskan wahyu bertindak benar.  Nafsu yang meledak mahu menyerang segera tunduk lemah kehilangan daya. Akal segera hidup melahirkan ilham berpandukan ilmu-ilmu sedia terserap sekian lama membentuk susunan ayat-ayat ikhlas lunak  menangkis hujah.

Bukti kewujudan Tuhan jelas pada dirimu. Pernahkah kamu minta dilahirkan. Mampukah kamu menolak kematian. Wajahmu, warna kulitmu, bangsamu, bahasa tuturmu, ibu bapa yang melahirkanmu dan jantinamu itu adakah susun aturmu sejak sebelum kejadian. Kelahiranmu di abad ini bukannya di abad silam atau di abad mendatang. Semuanya di luar upayamu.

Kelahiran manusia tanpa henti. Membesar, dewasa, tua dan mati. Flora dan fauna kecil dan besar tiada menjadi ada dan tiada semula. Siang malam, matahari, bulan dan bintang. Berabad lamanya dalam keteraturan tersendiri. Ibu kota besar hilang keteraturan tanpa diurus. Bagaimana alam luas ini terus teratur jika tanpa diurus. Wujud pengurusnya satu kepastian. Dengarlah jeritan alam ini berteriak emeberitahu, akulah tanda kewujudan  Kita lihatlah apa yang dipaparkan oleh alam. Ia memberitahu kewujudan penciptanya.

“Lantas, siapakah  dan dimanakah Tuhan itu.?” ayat balasan daripada Sang Penolak Kewujudan Tuhan.

Setelah dua bulan  dia menyusun hujah,  Sang Penolak Kewujudan Tuhan menukar status kepada Sang Pencari Tuhan.

Jika kamu mahu mencari Tuhan seperti kamu mncari emas perak permata berlian, kamu tidak kan bertemu. Tuhan itu bukan barang.  Jika kamu mencari Tuhan seperti mencari makhluk ajaib di kaki gunung, kamu tidak akan menemuinya kerana Tuhan bukan makhluk. Jika kamu mencari Tuhan seperti mencari makhluk ghaib di segenap penjuru alam, kamu tidak akan menemuinya kerana Tuhan itu bukan malakikat, jin atau syaitan.

Dia wujud. Dia  mewujudkan. Yang mewujudkan pasti berbeza dengan yang diwujudkan. Jika kamu mencari Tuhan dalam kalangan yang diwujudkan, kamu akan temui Tuhan yang bukan Tuhan. Tuhan yang tidak cukup dengan hanya satu kerana satu tuhan belum cukup perkasa. Perlu banyak tuhan yang saling melengkapi untuk menjadi benar-benar perkasa dan berkuasa. 

Maka Tuhan sebenar hanya satu, bukan dua. Jika banyak Tuhan, mereka tidak benar-benar maha berkuasa dan tidak benar-benar  maha berkehendak.. Semuanya terikat pada bidang kuasa masing-masing.

“Tuhan-tuhan itu maha kuasa semuanya dalam agihan tugas  bidang masing-masing”. sebaris ayat daripada Sang Pencari Tuhan.

Tuhan-jika berbilang-bilang,  terhalang kekuasaan mereka dalam agihan bidang tugas. Kehendak mereka tidak tercapai seluruhnya. Kekuasaan mereka tidak dapat digunakan sepenuhnya. Suatu kelemahan menyelimuti diri mereka.  Jika mereka hanya berkuasa dalam bidang masing-masing, ia juga kelemahan dalam diri mereka kerana kuasa yang terhad.

Tuhan yang sebenar hanya satu tiada berbilang-bilang. Dia wujud dan mewujudkan.  Tiada permulaan bagi-Nya.  Dia memang ada, sedia ada dan sentiasa ada. Dia tiada kesudahan dengan kewujudan yang kekal. Tiada kelahiran dan kematian. Tiada beranak dan diperanakkan. Tiada suatu pun  yang sama serupa dengan-Nya. Kewujudan-Nya tiada yang mewujudkan. Tiada yang menjadikan-Nya tetapi Dialah yang menjadikan segala-galanya. Dia kekal selama-lamanya. Tiada kemusnahan dan kehancuran. Syurga dan neraka kekal kerana Dia yang menjadikan kedua-duanya kekal.  Kedua-duanya boleh musnah jika Dia menghendakinya. Kekalnya Dia, tiada siapa boleh memusnahkannya.

Kenali Dia dengan  mengatakan, Tuhan itu berbeza dengan segala-galanya dan berdiri dengan diri sendiri. Dia tidak berupa paras dan bertubuh badan. Tidak berbentuk dan berwarna. Tidak mengambil ruang, tempat dan kawasan. Tidak terikat dengan masa dan waktu. Dia tidak sama dengan batu yang keras dan tidak sama dengan air yang lembut. Tidak sama dengan cahaya yang terang dan tidak sama dengan malam yang gelap. Bukan juga lembaga yang besar atau tubuh yang amat seni. Dia berbeza dengan dengan segala makhluk alam nyata dan segala makhluk alam ghaib.

Dia berdiri sendiri tanpa bergantung kepada  segala-galanya. Dia Maha Hidup tanpa bergantung kepada nyawa, udara, makanan dan minuman. Tiada siapa yang menjadikan-Nya. Tiada siapa yang menguasai-Nya. Tiada siapa yang menentukan segala perbuatan-Nya. Segala-galanya adalah atas kehendak-Nya sendiri. Tiada yang memaksa dan mengawal-Nya.

“Tuhan yang esa dan sangat sempurna. Tapi di mana maklumat jelas mengenainya. Cerita rekaanmu  semata-mata tidak memenuhi kehendak hatiku yang penuh persoalan”, beberapa baris ayat mengisi ruang face book Sang Pencari Tuhan.

Semua ini ada sumbernya. Bukan cerita rekaan. Al-Quranlah sumber utama yang menerangkan tentang Tuhan sebenar.  Tuhan yang sebenar ialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia. Al-Quran adalah kata-kata Allah yang ditujukan kepada manusia.  Allah memperkenalkan dirinya di dalam kitab suci itu. Allah mengatakan tiada Tuhan selain Dia. Dialah yang menjadikan alam ini. Dialah yang Maha Berkuasa tiada siapa dapat mengalahkan-Nya.  Dialah yang menjadikan kita mengikut kehendak-Nya. Dialah yang menetapkan kematian untuk kita bila tiba masanya tanpa siapa dapa menghalangnya. Allah memerintahkan manusia beriman dan tunduk kepada-Nya. Orang yang enggan  bersedialah berhadapan dengan siksaan-Nya yang amat berat.

Setahun detik masa berlalu dia menyusun kata-kata dan hujah perbicaraan tentang Tuhan. Sang Pencari Tuhan terus dengan persoalan mohon jawapan. Kini Sang Pencari Tuhan sepi seribu bahasa.  Hilang bagaikan batu tenggelam ke dasar tasik.

KehilangaN Sang Pencari Tuhan dari alam maya tidak mengundang putus asa di hati. Dia terus dengan dakwah face booknya. Tulisan disusun rapi dengan ayat-ayat yang membiacarakan tentang Allah yang tiada Tuhan selain  Dia.  Biarlah Sang Pencari Tuhan sudah tidak mahu membacanya lagi. Masih ramai lagi yang mahu membacanya. Ramai juga yang bertanya dan jawapan segera diberi. Bahagia mengisi ruang hati dengan penjelasan yang diberi tapi tidak sebahagia dengan respon Sang Pencari Tuhan. Dia menjadi rindu kepada insan bernama Sang Penolak Kwujudan Tuhan yang bertukar status kepada Sang Pencari Tuhan.

Para sahabat , rakan dan taulan yang berdakwah menyeru kepada amal ibadah, teruskan. Berdakwah menyeru kepada akhlak mulia, silakan.  Berdakwah untuk  pembangunan masyarakat ekonomi dan negara, teruskan.

Para sahabat , rakan dan taulan  yang sudah mengenali Tuhan, dalamilah pula ilmu amal ibadah. Amal ibadah itu bukti iman yang teguh kepada-Nya. Pelajarilah juga ilmu  akhlak Bersihkan batin dan bersihkan  zahir. Bersih kedua-duanya akan menggamit redha Allah.

Ramai lagi  yang belum mengenali Tuhan dengan ilmu yang jelas. Dia mahu mengisi ruang ini. Membantu mereka mencari Tuhan. Dakwah Rasulullah SAW bermula dengan memperkenalkan Tuhan sebenar. Dakwah di Mekah selama tiga belas tahun banyak memperkatakan tentang keimanan. Ayat-ayat al-Quran Makkiyah banyak membicarakan  tentang Allah  dan Hari Kiamat. Sepuluh tahun di Madinah selepas itu barulah  hal-hal amal ibadah dan hukum hakam banyak diperkatakan.

Jelas nyata, agama tauhid ini agama ilmu. Bukan agama ikut-ikutan warisan nenek moyang tanpa pengetahuan yang nyata. Bukan juga agama yang menyuruh mengangguk dan menggeleng tanpa berturas ilmu yang meyakinkan. Kamu katakana Tuhan itu ada, buktikanlah. Kata kata, Allah itu Tuhan, tiada Tuhan selain Dia, buktikanlah keyakinan itu dengan ilmu yang jelas nyata.  Sesungguhnya bukti-bukti itu ada  pada kejadian alam ini. Bukti-bukti itu jelas dalam wahyu suci-Nya yang diturunkan kepada rasul pilihan. Pengakuan Allah,  bahawa Dialah Tuhan, tiada Tuhan selain Dia.

Di segenap penjuru muka bumi ini. masih ramai yang tercari-cari menanti jawapan. Mencari-cari siapakah Zat Maha Kuasa pemilik alam jagat raya ini. Pemilik segala isi alam ini. yang menentukan segala-galanya.Ketentuannya ada yang disukai dan ada yang tidak disukai. Gembira insan  yang lahir sempurna anggota tubuh badan dan berharta pula. Dukanya orang yang lahir buta matanya, pekak telinganya. Dan bisu lidahnya. Merana pula dalam himpitan kemiskinan. Merekakah yang meminta lahir cacat. Merekakah yang meminta dilahirkan papa kedana.  Tiada siapa yang memintanya. Mereka terpaksa menerima hakikat sebuah kehidupan untuk diri mereka. Mereka terpaksa menerima sebuah ketentuan oleh Sang Penentu.

Siapakah Sang Penentu itu?.

“Alam maya inilah penentunya. Segala suratan alam. Hukum alam menentukan insan ini ada yang sempurna dan ada yang cacat. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada jantan dan betina”.

Betulkah begitu, wahai Sahabat Pena FBku!”. Kamu yakin dengan pegangan seperti itu. Apakan ada sumber rujukan peganganmu. Mungkinkah kamu mengikut bisikan akal dan hati semata-mata.

Wahai Sahabat Pena FBku!. Renungkanlah sebentar dengan akal fikiran warasmu. Bukankah ibu dan bapa si bayi cacat itu sebahagian daripada alam ini. Kenapa mereka gagal melahirkan anak yang sempurna anggotanya. Kenapa mereka tidak menentukan yang terbaik untuk anak mereka.

“Alam maya yang lebih besar menentukannya”

Siapa alam maya lebih besar itu wahai sahabat . Adakah ia gunung-ganang atau lautan meluas. Mungkinkah ia matahari atau bulan. Apa kena mengena semua ini dengan kelahiran bayi cacat itu. Bukankah ibu bapanya lebih hampir kepadanya. Merekalah yang menentukannya.

“Bukan ibu bapanya. Bukan juga gunung, matahari dan bulan. Tetapi ada sesuatu yang berkuasa dan menguasai semua ini. Ia wujud. Aku yakin kewujudannya tetapi tidak tahu di mana ia berada”.

Aku suka cerita oleh guruku semasa aku kanak-kanak dahulu. Kisah seorang remaja mencari Tuhan yang tidak ditemuinya. Dengan akal, dikatakannya, matahari itu tuhan kerana kehebatannya. Apabila awan menutupi matahari, kehebatannya lenyap. Kini dikatakan pula awan adalah Tuhan. Awan berkecai ditiup angin memperlihatkan kehebatan angin. Angin pula dipuja sebagai tuhan. Angin bertiup deras  gagal masuk ke dalam rumah setelah pintu ditutup. Pintu lebih kuat dan berkuasa. Pintukah Tuhan?. Tangannya dapat membuka dan menutup pintu. Tangannyakah tuhan?.  Kebingungan menguasai remaja itu.

Akalmu tidak dapat mencari Tuhan yang sebenar. Akalmu hanya mampu menyedari wujudnya Tuhan. Logik akalmu akan mengakui kewujudannya. Tetapi siapakan dia?. Akalmu menjadi buntu.

Kamu dapat mengenalinya melalui pengakuan dan penjelasan daripada-Nya. Dia yang mengatakan bahawa Dialah Tuhan yang sebenar dan tiada Tuhan selain Dia.  Pengakuan tegas ini disampaikan melalui lisan utusan-Nya. Utusan-Nya yang terakhir bernama Muhammad SAW dilahirkan di Mekah sebuah kota yang nyata dalam sejarah tentang kelahiran, penghidupan dan perjuangannya sebagai utusan Allah. Kota yang terdapat padanya Kaabah. Tempat menghadap dalam ibadah solat. Tempat berhimpun dalam ibadah haji dan umrah. Suatu kesepakatan yang tiada dua versi. Bukti jelas kehebatan tempat lahir dan berjuang seorang utusan Tuhan.

Bersama utusan Tuhan ini terdapat bukti teramat kuat yang kekal hingga kini.  Sebuah kitab yang kekal serupa di serata dunia. Bukti jelas semasa Majlis Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di bumi Malaysia.  Bangsa dan negara berbeza membaca ayat-ayat yang serupa dalam bahasa Arab. Bahasa sebuah tempat letaknya Kaabah.  Bahasa tuturan utusan Allah. Kitab yang kekal dalam bahasa asal walaupu menerbus masuk menembusi segenap penjuru dunia yang berbeza bahasa dan bangsa.

Bukti zahir terlihat jelas oleh mata yang sedia melihat. Suluhlah pula kitab suci al-Quran. Pasti terfana akalmu dalam lautan ilmu tanpa batasan.

Sesungguhnya Tuhan itu ialah Allah. Tiada Tuhan selain Allah. Dia wujud, tiada permulaan, tiada kesudahan, berbeza dengan segala yang baharu, berdiri dengan diri sendiri, maha esa,maha berkuasa, maha berkehendak, maha mengetahui, maha hidup, maha mendengar, maha melihat, maha berkata-kata, hal keadaannya yang berkuasa, hal keaadaanya yang berkehendak, hal keadaannya yang mengetahui, hal keadaannya yang hidup, hal keadaannya yang mendengar, hal keadaannya yang melihat dan hal keadaaannya yang berkata-kata.

“ Ini sifat dua puluh. Allah tiada sifat dua puluh. Al-Quran tidak menyebut tentang sifat dua puluh”, di lamam FB nya terpampang bantahan  daripada Sang Anti Sifat Dua Puluh.

Wahai sahabat FBku, Sang Anti Sifat Dua Puluh!. Bantahlah setelah kamu memahaminya. Kenali dahulu sifat dua puluh. Semua  itu merujuk kepada al-Quran. Ulamak menyusunnya untuk kemudahan kita. Kekurang ilmu itu pada diri kita. Kita tidak mampu menghurai dan membuat rumusan mendalam daripada ayat-ayat suci al-Quran.  Orang yang tinggi ilmu agamanya di zaman silam telah menyusun sifat dua puluh ini untuk memudahkan kita belajar mengenal Allah. Dengan mempelajari sifat dua puluh, kita dapat mengenali pencipta kita dan mengenali yang menguasai alam ini.  Jika ilmu aqidah kita sudah melaut dan menggunung, lebih daripada sifat dua puluh kita boleh bincangkan. Sementara berada dalam kolam ilmu yang cetek ini, kita gunakanlah sifat dua puluh untuk mengenali yang Maha Esa.

Ingatkah semasa mula-mula belajar mengaji al-Quran di zaman kanak-kanak dahulu. Kita tidak terus membaca al-Quran. Kita belajat alif ba ta terlebih dahulu. Kita belajar membaca buku Iqra’ atau Muqadam. Nabi Muhammad SAW tidak pernah pun belajar buku Iqra’ atau Muqadam. Kenapa kita tidak terus sahaja melakukan seperti Nabi Muhammad lakukan. Terus pandai  melafazkan ayat-ayat al-Quran selepas menerima wahyu pertama di Gua Hirak.

Berpijaklah  di bumi nyata. Ulamak menyusun Muqadam dan buku Iqra’ supaya  mudah belajar membaca al-Quran. Ulamak menyusun sifat dua puluh supaya  mudah belajar mengenali Allah. Manfaatkanlah. Usah ditentang.  Jika ada kaedah lain , silakan.  Namun kaedah susunan para ulamak ini mendapat pengiktirafan ulamak-ulamak zaman berzaman. Dahulu hingga kini. Hindari penghinaan terhadap yang sudah diperakui zaman berzaman. Suatu yang terus bertahan hingga kini meskipun berulang-ulang kali bertarung dalam gelombang serangan lautan fahaman pelbagai.

“ Kenapa mesti serupa. Allah melihat dan mendengar, kita pun melihat dan mendengar. Allah kekal. Syurga, neraka dan hari akhirat pun kekal juga”. berwarna-warni tulisan insan bernama Sang Pencari Sinar.

Penglihatan dan  pendengaran kita diciptakan. Kehidupan, kekuasaan dan kehendak kita juga diciptakan. Keupayaan bertutur juga diciptakan. Penciptanya ialah Allah. Tidak serupa sama sekali yang mencipta dengan yang diciptakan. Syurga, neraka dan hari akhirat dikekalkan oleh Allah yang  tetap kekal. Tidak serupa sama sekali yang Maha Kekal dengan yang diberi kekekalan..

Seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah di ibu kota anjuran barisan ulamak Nusantara mesti kuhadiri. Isteriku yang berbadan dua mengandung anak kedua mereka pastinya turut serta. Tiga hari tiga malam pun tidak mengapa . Kini isterinya  pencinta ilmu Aqidah. Seorang saudara baru yang sudah habis muallafnya.  Mula mendekati aqidah Islam melalui bicaranya  di laman FB. 

Hari kedua  seorang pemuda duduk dihadapannya ramah sekali perbualannya. Wajahnya seakan-akan pernah dilihatnya tetapi dia lupa di mana. Rasanya pemuda itu pernah  ada urusan penting dengannya suatu ketika dahulu. Dia berusaha mengingat. Mindanya gagal memberikan jawapan walupun berkerut-kerut dahinya memaksa.

Waktu rehat setengah jam, pemuda itu  membicarakan tentang fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dia sedia menjadi pendengar setia. Pemuda itu benar-benar memahami apa yang diperkatakan dengan kata-kata yang lahir tulus dari hati.

 “Dahulu aku  tidak percaya wujudnya Tuhan. Syukur kepada Allah, cahaya kurniannya membawa aku melihat kebenaran. Alangkah ngerinya apabila terbayang zaman kegelapan tanpa pertunjuk dahulu. Berada dalam gelap kejahilan yang melekakan” mata pemuda itu redup memandangnya

 “Aku sering membaca dan berdialog melalui face book tentang kewujudan Tuhan dan aku adalah penentang kewujudan-Nya.  Suatu kepuasan apabila dapat meragukan pegagang mereka yang percayakan Tuhan”.

“Ada seseorang yang mantap perbicarannya tentang Tuhan. Dia berjaya mengubah keyakinanku tentang wujudnya Tuhan. Aku mula mencari Tuhan selepas itu.  Kini aku tenang dengan keyakinan dan keimanan  kepada Tuhan yang Maha Esa”.

Cerita pemuda it satu persatu mengenai penulis misteri tentang kewujudan Tuhan dalam face book  meyakinkannya bahawa penulis misteri itu adalah dirinya sendiri. Yakinlah dia pemuda itu  dahulunya adalah Sang Penolak Kewujudan Tuhan dan kemudian bertukat status menajdi Sang Pencari Tuhan. Pemuda itu jugalah yang pernah secara tiba-tiba menghamburkan kata-kata menolak kewujudan Tuhan di sebuah restoran suatu ketika dahulu. Dia benar-benar ingat kni. Pemuda itu pasti tidak mengingatinya. Semasa bujang dahalu dagu dan pipinya licin dan dicukur dua hari sekali. Semenjak mendirikan rumahtangga,  janggut dan jambang menghiasi dagu dan pipinya.

“Tidak perlu aku perkenalkan diriku. Biarlah ia terus menjadi misteri.  Jika dia mahu mengenali penulis itu,  dia carilah sendiri”.

Dia meminta izin ke tandas tanpa hajat sepatutnya. Air mata terharu menitis bagai tidak terkawal lagi.  Segaris tekad kukuh terpahat di hati untuk terus berdakwah melalui cara ini. Tidak perlu dikenali dan diketahui orang. Cukup Allah menyaksikannya.