“Walaikumsalam.” Manisah menyahut salam yang diberi sambil mencium tangan yang dihulurkan kepadanya.

“Macam mana kerja hari ini?” Manisah bertanya sambil mengukir bibir.

Sayang sekali, soalan itu hanya dijawab dengan wajah masam mencuka. Sekujur kaki berlunjur ke arahnya. Tanpa banyak bicara, Manisah mencabut stoking pada kaki tersebut. Jika dahulu, Manisah akan menahan nafas untuk melakukannya. Tetapi sekarang, dia sudah lali dengan bau kurang enak yang menusuk ke dalam hidungnya.

Di atas meja kopi yang berlapik kain bermotif floral, sudah tersedia secawan teh panas. Cuaca dingin petang ini ekoran hujan lebat pagi tadi membuatkan manusia dahagakan minuman berhaba. Malangnya, Manisah terpaksa ke dapur semula kerana teh panas tersebut tidak memenuhi cita rasa. Manisah bergegas membuat minuman panas yang baharu. Kali ini, dia membancuh segelas kopi hitam yang pekat dan kurang gula.

Senja merangkak meninggalkan manusia, lalu hilang di kaki langit yang kian kelam. Suasana angkasa bertukar aswad. Tiada bintang yang berbinar-binar pada malam ini. Begitu juga bulan yang segan menyerakkan cahaya. Sementara Manisah masih lagi berhempas-pulas menguruskan anak-anaknya yang masih kecil dan aktif. Masing-masing perlu disuruh untuk mandi, memakai pakaian dan sebagainya. Masing-masing masih belum pandai menguruskan diri mereka sendiri, sepenuhnya. Sementara jam di dinding sudah memasuki pukul 7.45 malam, dan Manisah perlu berkejaran pula untuk menunaikan solat Maghrib.

Waktu tidak lagi berjalan, tetapi berlari dengan begitu pantas. Manisah seringkali kelelahan mengejar waktu sehingga membawa dirinya ke suatu monolog, “Benarkah setiap manusia memiliki waktu yang sama iaitu 24 jam sehari? Mengapa dia selalu merasakan bahawa waktu tidak pernah cukup baginya, seolah-olah dia memiliki hanya 12 jam sehari? Adakah waktu cukup untuk semua? Atau dia sahaja yang merasakan waktu tidak pernah cukup baginya?” Monolog terhenti apabila menyedari bahawa dia belum menyiapkan hidangan makan malam.

“Lagi lima minit, makan malam akan siap.” Manisah membuat pengumuman. Perut-perut di rumahnya itu sudah bergendang kelaparan. Manisah belum pun sempat menghabiskan wirid selepas solat. Dia terpaksa memasuki dapur terlebih dahulu.

“Kenapa tidak makan ikan?” Manisah bertanya lembut saat melihat ikan lolong yang digorengnya tadi, tidak disentuh sedikit pun.

Ternyata, juadah makan malam hari ini juga tidak kena pada tekak. Manisah terpaksa mengubahnya.

“Tak mengapa, saya tumiskan sambal sebentar. Makanlah apa yang ada dahulu.”

Manisah mencapai sepinggan ikan lolong goreng dari atas meja makan berbentuk oval. Sesudah itu, dia menghidupkan api dapur. Bawang merah, bawang putih, cili kisar dan sedikit halia digunakan sebagai bahan asas untuk menumis sambal yang diminta. Menu harus berubah setiap hari. Manisah sedia maklum tentang hal itu. Tetapi, tidak berdaya untuknya memenuhi serba serbi permintaan dan kehendak itu dengan sempurna. Kendatipun, dia sudah mempersembahkan pengorbanan yang terbaik.

Sambal yang siap digoreng dicurah ke atas ikan lolong goreng lalu dibawa semula ke meja makan. Malangnya, orang yang tadinya meminta makanan itu bingkas bangun dari kerusi, kemudian berlalu dengan wajah merengus. Manisah diam terpaku. Segala apa yang dia lakukan serba tidak kena. Langsung tidak mendatangkan rasa senang.

***

Hujan turun lagi tanpa henti. Manisah mencuci pinggan mangkuk di sinki sambil memerhati rintik-rintik hujan dari tabuk dapur. Terkadang, dia mahu sahaja mengecil seperti kuman kemudian masuk ke dalam rintik hujan, lalu bersama-sama hujan menghempap bumi dengan berani. Tetapi, itu cumalah dongeng. Hakikatnya, dia masih berdiri di situ tanpa ada sekelumit kekuatan untuk menongkah takdir.

Takdirnya sebagai seorang wanita yang dilayani sesuka hati saban hari. Yang tidak dihargai, walau sudah memberi. Yang tidak dikasihi, walau sudah mencintai. Takdir yang meletakkan dia sebagai seorang wanita sentiasa berada dalam keadaan bimbang, cemas dan takut. Seolah-olah sedang dikejar lembaga tidak berjiwa yang membuatkannya selalu sahaja berlari tanpa ada kesempatan untuk berhenti. Menjadi seorang wanita yang dipaksa akur dan tunduk pada takdir itu. Sehingga segala suara dan luahan rasa hanya tersimpan kemas di dalam peti atma kerana yang dilempar keluar cuma taat setia.

Selesai tugasan di dapur, Manisah berganjak pula ke ruang tamu. Rumahnya berantakan di setiap sudut. Alat permainan, buku-buku pelajaran, serta beberapa helai baju bergelimpangan di atas lantai. Manisah mengutip kesemuanya. Dia membetulkan semula kedudukan perabot yang teralih. Kemudian, dia menuju ke sudut kerja. Suatu susuk kelihatan meraba-meraba mencari sesuatu.

“Cari apa itu?” Manisah cuba membantu. Ternyata, yang hilang adalah sebatang pen merah kesayangan yang digunakan untuk menanda kertas peperiksaan murid-murid. Pen itu hanya sebatang, tetapi sangat mustahak. Tanpa pen itu, kerja menanda akan tergendala.

Habis seluruh rumah diselongkar bagi mencari pen merah itu. Satu per satu anak-anaknya disoal siasat tentang keberadaan pen merah itu. Sementara bebelan terlempar ke atas muka Manisah.

“Kamu ini buta ke? Sebatang pen pun tidak boleh cari. Mana kamu letak biji mata kamu?” Kata-kata kasar menyerang Manisah bertubi-tubi.

“Saya sudah cari di semua tempat. Memang tidak ada. Along, Angah dan Achik juga tidak nampak pen itu.” Manisah mempertahankan dirinya yang lemah. Dia juga cuba untuk membangkitkan ingatan.

“Betulkah pen itu dibawa pulang? Atau tertinggal di tempat kerja?”

“Ah, kamu ini! Jangan menambah lagi kemarahan aku! Kamu tidak nampak kertas peperiksaan yang bertimbun di atas meja itu? Tak kan lah aku lupa untuk bawa pulang. Kamu bercakap seperti tidak ada otak!” Tidak ada lagi kata-kata manis atau puji-pujian kerana saat manusia marah, bererti mereka sedang memilih untuk menyakiti.

Dan begitulah bagaimana hati Manisah selalu sahaja disakiti. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-sebesar sengketa, hati itulah yang menjadi mangsa (dan hamba). Adakalanya hati itu sebal – berasa dongkol dan marah. Terkadang nyilu – ibarat dihiris belati. Selalunya sengsara – umpama menanggung azab tidak terkira.

Akhirnya, Manisah terus bermonolog sendiri, “Mengapakah wanita seringkali menjadi hamba cinta pada lelaki yang pada mulanya mengaku cinta? Adakah wanita hari ini masih sama pada zaman jahiliah dahulu, di mana wanita adalah sahaya? Di manakah letaknya kedudukan sebenar wanita dalam putaran hidup seorang lelaki bernama suami? Adakah wanita layak dikasari sedangkan Tuhan telah berfirman di dalam kitab agung al-Quran, ‘Dan gaulilah mereka (isteri-isterimu) dengan cara sebaik-baiknya – (Surah An Nisa, ayat 19)’. Lalu, mengapa hal ini boleh terjadi?”

Monolog terhenti lagi. Malam sudah larut. Mata-mata manusia sudah terkatup. Namun perhambaan terhadap Manisah baharu sahaja membengkar.