Hadiah sastera terunggul di tanah air ini kini memperkenalkan semacam sub-genre yang baharu, yang diberi nama Sayembara Cerpen Media Baharu. Ia dimulakan pada edisi ke-32, yakni penyertaan pada tahun 2016, yang mana penilaiannya dilaksanakan pada tahun 2017 ini.

Sayembara terbaru ini sesungguhnya menambahkan bilangan kategori penilaian yang telah sedia ada, iaitu Cerpen dan Puisi, kemudian diwujudkan Kategori Cerpen Remaja, dan Novel Remaja setelah dirasakan ia semakin penting, seterusnya muncul pula Kategori Kajian dan Rencana Sastera.

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan edisi ke-32 tahun 2016 ini sekali gus memperlihatkan perkembangan drastik apabila hadiah untuk kategori novel ditingkatkan, walaupun ada sedikit pengecilan bagi bilangan hadiah penghargaan kategori puisi, cerpen umum dan cerpen remaja.

Memperkenalkan penghasilan cerpen media baharu sesungguhnya langkah bijak Kumpulan Utusan melalui platform HSKU ini. Ia sesuatu yang mengujakan jika dilihat dari segi kerelevanannya dengan kemajuan teknologi semasa dan kedudukan ICT dalam segala lapangan kehidupan kini.

Selain kedudukan HSKU sebagai sebuah pentas pemberian hadiah sastera terulung dan paling konsistan di tanah air, kemunculan Sayembara Cerpen Media Baharu telah membuka dimensi yang mampu mencorakkan penyertaan para pengarang yang lain.

Ini sedemikian kerana, landskap pengarang kreatif kini telah pun pelbagai, tidak terbatas kepada mereka yang bergiat dalam bidang kebahasaan dan kesuasteraan sahaja.

Pemberian hadiah ini dipercayai dapat menyemarakkan kegiatan penulisan dan menyuburkan kesusasteraan negara di samping menjadi dorongan yang besar kepada penulis untuk berkarya. Perlu diakui bahawa, setiap tahun, bagi banyak penulis, ukuran HSKU dijadikan penanda aras dalam penghasilan karya mereka.

HSKU sebagaimana lazimnya, sekitar Mei hingga Julai setiap tahun mula giat menjalankan bengkel penilaiannya. Manakala, bengkel pelaporan disempurnakan selewat-lewatnya Ogos.

Masih mengetengahkan penilaian bagi lima kategori utamanya; Puisi, Cerpen Umum, Cerpen Remaja, Kajian dan Rencana Sastera, dan Novel Remaja, HSKU sangat menitikberatkan kriteria dan skop penilaian tatkala Panel Hakim membuat penghakiman bagi mempertimbangkan karya yang bakal memenangi hadiah.

Kali ini, sudah tentu teruja menyambut kehadiran karya berupa cerpen media baharu yang diperkenalkan itu. Semua kategori di atas pada dasarnya sudah melekat pada ‘tubuh’ HSKU, terutama dilihat dari segi keterampilan pengarang-pengarang yang sejak mula HSKU diperkenalkan, sehingga mereka terus mewarnai kesusasteraan bangsa, kejayaan dalam penerbitan dan berbagai-bagai lagi kejayaan yang diraih.

 

Sayembara

Misalnya, karya-karya yang dipilih selain mendapat hadiah, turut diiktiraf sebagai karya yang baik serta sesuai pula untuk kegunaan pelajar di sekolah menengah.

Malahan, banyak yang telah digunakan sebagai data bagi tujuan kajian dan penyelidikan di peringkat BA, MA dan Ph.D juga di universiti. Ini merupakan antara pencapaian cemerlang HSKU yang membanggakan yang meninggalkan impak besar dalam negara.

Di tengah-tengah kemeriahan musim penilaian ini, para penulis tentunya tidak melepaskan peluang mengemukakan karya yang lebih dinamik untuk dimuatkan dalam pelbagai media Kumpulan Utusan tahun ini pula.

Cerpen Media Baharu, walaupun menemukan sejumlah karya yang tidak begitu besar bilangannya, namun memperlihatkan pengarang yang menyertainya bersungguh-sungguh mengetengahkan idea yang segar.

Dengan yang demikian, HSKU di samping memberi nilai tambah kepada penulis untuk memanfaatkan media baharu yang sudah menjadi keperluan besar dalam kehidupan masa kini dalam hampir semua lapangan; dari menjual produk tudung, nasi lemak, bidang keilmuan aras tinggi sehinggalah ke kegiatan dakwah, juga membuka ruang dan kesempatan berkarya masayarakat pelbagai lapangan kerjaya. HSKU tentunya dilihat semakin gigih memasyarakatkan sastera dalam kalangan rakyat!

Sayembara ini yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.00, pada tarikh tutup 10 April 2017 lalu, menerima sambutan awal dengan 18 penyertaan. Panel Penilai mempertimbangkan semua karya ini pertama-tamanya ketepatan dengan kategori.

Kedua, binaan karya dengan pengarang benar-benar bukan sahaja memanfaatkan sarana sastera, tetapi dengan menunjukkan jalinan harmonis dunia media baharu, sehingga karya dilihat dapat menimbulkan minat serta kecenderungan masyarakat menerima baik medium ini dalam segala urusan kehidupan, tidak terkecuali kini bidang kesihatan, kemanusiaan, politik, sosiobudaya, perniagaan dan seumpamanya.

Keseimbangan mengambil ruang penilaian yang tidak kurang pentingnya. Sesebauh karya sastera tetaplah karya sastera. Manakala, pengetahuan, kebijaksanaan mencernakan maklumat media baharu ke dalam garapan kreatif, bahasa, malahan subjek cerita tetap diberi fokus yang besar.

Daripada jumlah ini, Panel Penilai telah menyenarai-pendekkannya menjadi sembilan. Karya yang dibincangkan di peringkat ini didapati berjaya menepati kehendak penganjuran, akan tetapi penilaian aspek penciptaan kreatif pula diperkirakan. Ia memerlukan perbincangan yang saksama dan rapi.

Panel penilai kemudian memperakukan sebuah cerpen diberikan Hadiah Utama, yang akan membawa pulang RM5,000.00, manakala lima lagi diberikan Hadiah Penghargaaan, bernilai RM1,000.00 setiap satu. Karya yang dinilai ini telah termuat dalam UTUSAN MALAYSIA on-line.

Kategori ini dijangka menjadi daya tarikan terkini HSKU tahun 2017, dan tahun-tahun seterusnya, demi meraikan era ICT yang pantas berkembang.

Hendaknya, sayembara ini berupaya menarik penyertaan seluruh pengarang tanah air, dengan ilmu yang luas yang dimiliki, serta didandan kreativiti berpadanan, demi memperlihatkan kepentingan media baharu dalam segala lapangan hidup terkini, serta dalam menggerakkan minat masyarakat memanfaatkan kemudahan yang ada ini untuk meraih kejayaan dan kesejahteraan. Pemenang akan menerima hadiah selewat-lewatnya Oktober depan.