“Benar. Bapa saya merantau dari Pulau Jawa, cari rezeki di sini. Ini bukan waktu yang sesuai untuk saya ceritakan lebih lanjut tentang bapa saya,” jelas Zharif yang mahu sesi media dihentikan walaupun dia tahu pihak media masih memerlukan jawaban.

Zharif tersenyum. Bola matanya tidak lepas daripada melihat ibu Zahani duduk tersenyum. Zharif cuba mencipta senyuman paling manis di wajah. Usaha ibunya itu satu rahmat, tidak mungkin Zharif mahu berkongsi kepayahan ibu bapanya kepada pihak media yang tidak mengetahui siapa Zahani sebenarnya.

Zharif menolak mikrofon kepada Fina. Fina menyambung sidang media bagi menjawab fitnah netizen terhadap produk terbaharu syarikat mereka. “Baiklah tuan-tuan dan puan-puan, selepas ini saya akan bawa anda semua ke beberapa bahagian di dalam kilang ini. Tuan-tuan dan puan-puan boleh melihat sendiri proses pembuatan produk R1 yang kami baru lancarkan sebelum ini.”

“Cik, berilah kepada kami kesempatan untuk berasa bangga dengan kejayaan tuan Sujari. Pelik. Kenapa dia tiada di dalam majlis ini?”

Rayuan itu tidak diendahkan Zharif. Dia hanya tersenyum, kemudian wajahnya bertukar merah padam ketika dia mengambil semula mikrofon dan memberikan penjelasan.

“Itu, orang yang paling layak menerima penghormatan. Orang yang paling layak bercerita tentang kejayaan syarikat ini, anda semua tidak kenal pun,” kata Zharif mengejutkan perhatian pihak media.

“Tapi, siapakah wanita itu?”

“Zharif!” Zahani melambai seraya teraba-teraba mahu memahut sesuatu.

Zharif menelan liur, memberanikan diri seraya bangun menyambut ibunya. Suara ibunya yang mendorong satu ikatan halal bergema. “Zharif...rambut manusia sama hitamnya, tetapi hati mereka berbeza pendapat nak. Biar ibu sendiri yang menjawabnya.”

Zharif menghela nafas. “Tapi ibu...” Kekuatan emosi yang sering diajar Zahani kepada satu-satunya zuriat tunggal Sujari. Anak Bugis yang berjaya di kota ini.

Ya, anak Bugis yang buta. Zharif sahaja yang tidak buta semakin matang mentransformasikan keinginan pada perubahan yang dimahukan oleh Sujari sehingga berada di tahap ini. Dia sudah pun mengagaknya terlebih awal. Jika media mahukan sesuatu maka inilah yang harus diluahkan secara jujur.

Terlongo mulut media. Zahani dipangku oleh Zharif berjalan sehingga ke meja hadapan. Syarikat yang memiliki aset jutaan Ringgit Malaysia dibangunkan oleh sepasang suami isteri yang buta benar-benar membuat media terpegun kaku. Zahani berdiri kaku di hadapan puluhan media tempatan dan dari negara jiran tetangga.

“Sudah alang-alang anda semua di sini. Lebih baik saya jelaskan mengapa dan kenapa ada netizen yang sering mengutarakan kenyataan berbau fitnah terhadap produk baru kami. Mungkin mereka ada kecenderungan lain.”

Kata-kata Zahani memacak lebih banyak tanda tanya terhadap media yang berada di hadapannya. Apa yang Zahani nampak?

Zahani terkerlip kenangan itu kembali. Jatuh cinta pandang pertama dengan Sujari datang bagaikan babak itu terpancar di layar besar di hadapan Zahani. Para media tidak nampak lukisan cerita itu. Mereka buta tetapi celik pada mata hati Zahani yang menggerak-gerak biji matanya yang rosak. Wajah Sujari jelas di ruang ingatan mengucup dahinya buat pertama kali sehingga media hairan mengapa dia tersenyum tanpa disoal.

“Apa yang membuatkan anda semua hairan tentang saya?” Soal Zahani sengaja menduga.

Salah seorang petugas media mengilai perlahan, “Dahsyat. Belum pernah ada pasangan buta mampu membina empayar perniagaan yang sebesar ini. Ajaibnya dunia.”

Zahani tersenyum. Runtuh perasaan ego mereka yang celik melihat betapa cekalnya wanita buta separuh usia tenang dalam mengharungi tembok hitam manusia. Dahulu, Zahani wanita idaman ramai teruna di kampung. Hidung terpacak menegak dengan bibir comel dan senyum berlesung pipit di pipi menanarkan ramai perawan yang buta iman. “Orang yang celik selalu melakukan kesilapan berbanding dengan diri saya yang buta, hanya menggunakan deria rasa berulang-ulang agar saya tidak silap membuat keputusan.”

Zahani mencari-cari jemari Zharif. “Terima kasih kepada netizen kerana telah membawa anda semua ke sini. Anda lebih mempercayai golongan itu yang sebenarnya minda mereka telah rebah. Bolehkah saya pinjamkan mata mereka?”

Media yang hadir terpegun, kelu, beku tetapi kemudian didatangi semula kewarasan yang dangkal, juga keberanian lalu bertanya, “Kami mendapat maklumat daripada sumber yang sahih. Kami tidak tunduk pada kenyataan netizen puan.”

“Produk R1 kami menggunakan gelatin daripada tulang haiwan kesayangan Rasulullah. Ia pertama di dunia. Mereka sengaja memesongkan fakta sebenar daripada tulang unta.” Zahani segera menggenggam jari-jari Zharif.

Pembantu khas Zharif, berlari anak membawakan telefon bimbit. “Mesej dari Muzrifah, tuan.”

“Boleh puan tolong berikan gambaran atau video bagaimana kajian R1 dilakukan?” tanya seorang petugas media lelaki berkulit hitam, perut buncit, berbahu lebar.

Zharif berdiri kaku di hujung meja untuk beberapa ketika dalam keadaan gamam. Setiap persoalan yang dihalakan oleh media terhadap ibunya menyerbu jiwa marah Zharif. Dia tidak mengerti apakah niat sebenar netizen terhadap syarikat yang diuruskannya. Entah mengapa kisah kehidupan ibu bapanya pula yang hendak dicungkil. Paling sukar untuk dijawab ialah status bapanya dan di manakah bapanya sekarang?

Mesej WhatsApp yang diterima bertulis: Dato’ terlibat dengan insiden bom di Al-Kalasseh. Jenazah Dato’ dibawa ke hospital. Daripada Muzrifah.

Telefon bimbit di tangan terlepas. Zharif rasa kosong serta-merta. Jiwanya dilanggar hiba yang amat dahsyat. Dia tidak menjangkakan bapanya masuk ke Syria buat kali ketiga. Semuanya kerana agama, kerana sejagat, kerana wanita dan kanak-kanak yang harus diselamatkan. Seminggu sebelum ke sana, Sujari tidak henti-henti memberitahu Zharif nikmat bau kasturi yang menyinggah di deria baunya. Dahi Zharif yang menerima kucupan bapanya juga dikatakan berbau kasturi. Lamaran pelik dari Tuhan.

Hidangan makan petang sudah diangkat masuk ke dalam bilik sidang media oleh beberapa pekerja syarikat yang berwajah Arab dan mereka sentiasa tersenyum kerana Sujari memberikan mereka ruang serta peluang bermastautin di sini. Mereka diselamatkan daripada mangsa peperangan dan kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar Sujari.

Zharif sedikit marah seraya mengetap bibir, “Tu, mereka yang bekerja keras melahirkan produk R1 ada di belakang anda sekarang. Sudah hampir setahun lebih mereka di sini. Diberi gaji, pakaian, makanan dan tempat tinggal. Hari ini, orang yang bertanggungjawab membawa mereka ke sini baru sahaja meninggal dunia. Puas hati anda sekarang?”

Zahani menarik nafasnya melakarkan garis sabar yang penuh hiba, “Zharif, bawa ibu keluar nak.”

Para media tidak mendengar sebarang jawaban daripada Zharif yang hanya dilihat memimpin ibunya keluar dari dewan. Terlihat buku risalah syarikat Jari Hati (M) Sdn. Bhd., yang tertera kombinasi logo mata dan hati. Mereka terbayang masih ada lagikah watak lelaki buta semulia Sujari selepas ini.