Orang Melayu dahulu mencipta pantun dan peribahasa sebagai tinggalan dan panduan yang berpandukan pengalaman daripada alam, dan disoroti melalui renungan dan pemikiran yang mendalam dan bijaksana. Bidalan Melayu juga tergolong dalam peribahasa yang merangkumi perumpamaan, simpulan bahasa, pepatah dan kata-kata hikmat. Budaya inilah yang menjadi amalan dalam kehidupan orang Melayu sejak dahulu.

Konsep budi dan berbudi ini sangat luas ruang lingkupnya. Ia meliputi akal, fikiran hati dan kebijaksanaan dalam kehidupan, manakala berbudi selalu bersedekah, selalu memberi, berkelakuan baik, baik hati dan pemurah. Hal inilah yang selalu ditekankan dalam kehidupan dan budaya masyarakat Melayu sejak dahulu hingga kini.

Justeru, Umar bin Khattab pernah mengatakan tentang pendidikan budi kepada anak-anak, iaitu didiklah budi pekerti anak-anakmu, mereka berlainan dengan keadaanmu sekarang, kerana mereka diciptakan Tuhan zamannya sendiri bukan zamanmu.

Antara peribahasa dan kata-kata Melayu yang berkaitan dengan budi adalah seperti mengenang budi, membalas budi, menabur budi dan berakal budi. Nilai murni ini sebenarnya sudah lama diamalkan dalam kehidupan dan budaya orang Melayu sejak dahulu lagi. Amalan budaya yang baik seharusnya diamalkan sampai bila-bila. Orang yang paling rendah budinya adalah mereka yang tidak pernah, memaafkan dan berterima kasih.

Pada masa kini, terutama dalam kalangan remaja mula melupai peribahasa, walaupun ia diajar semula pada peringkat sekolah menengah dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Sejarah pemikiran bangsa Melayu sebenarnya bermula daripada terbentuknya peribahasa dan pantun secara lisan. Mungkin ia lebih tua daripada kerajaan Melayu Melaka.

Konsep budi amat disanjung dalam masyarakat sejak dahulu hingga kini. Orang yang paling rendah budinya adalah mereka yang tidak pernah mencintai, memaafkan dan berterima kasih. Prof Dr Hamka pernah berkata, semiskin-miskin orang, adalah orang yang miskin budi pekertinya.

Sebagai contoh, orang Melayu sudah mula melupai dan tidak mengamalkan budi. Bidalan Melayu yang berbunyi “Orang berbudi, kita berbahasa”, meletakkan budi sebagai timbal balik bagi bahasa. Ini membawa maksud, apabila orang lain memberi sesuatu kepada kita, maka kita mengucapkan terima kasih atas pemberiannya, tanpa mengharapkan balasan.

Pemberian yang ikhlas akan menjurus kepada persahabatan yang berpanjangan. Sahabat yang baik akan sentiasa bertanya khabar. Nilai timbalan budi ini hanya terdapat dalam kehidupan masyarakat Melayu yang mengamalkan nilai-nilai murni seperti berkasih saying, kerjasama, saling membantu dalam kesusahan.

Menurut tokoh bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar, beliau belum menjumpai dalam mana-mana bahasa selain bahasa Melayu yang meletakkan bahasa sebagai timbalan budi. Dalam semua budaya, penggunaan bahasa yang sopan santun itu menggambarkan budi pekerti yang baik, tetapi selain bahasa Melayu tidak ada bahasa (sepanjang pengetahuan beliau) yang meletakkan keutamaan kepada bahasa seperti yang digambarkan dalam bidalan tersebut.

Dalam bidalan berkenaan, kata “budi” membawa makna “sikap yang baik”. Oleh itu, jika orang mempunyai sikap yang baik terhadap kita, kita juga hendaklah membalasnya dengan sikap yang baik (berbahasa), yakni budi dibalas budi.

Fenomena pada masa kini, kurang sekali ucapan terima kasih kita dengar di kaunter bank sewaktu berurusan dengan juruwang iaitu pekerja bank, di pusat beli-belah semasa berurusan dengan jurujual dan juruwang. Begitu juga di pejabat pos atau di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta. Amalan “orang berbudi kita berbahasa” kurang diamalkan dalam kehidupan seharian.

Sesungguhnya, pendidikan di sekolah wajar menekankan amalan “orang berbudi kita berbahasa” dalam pengajaran dan pembelajaran yang boleh dipraktikkan. Melalui komunikasi lisan misalnya ucapan antara kawan dan rakan, pelajar dan guru yang mengutamakan sopan santun dan bahasa yang baik dalam urusan seharian.

Sikap berbudi ini mestilah ditunjukkan kepada kedua-dua ibu bapa terlebih dahulu sebelum ditunjukkan kepada kaum keluarga yang terdekat, jiran tetangga, karian masjid, dan ahli masyarakat yang berdekatan.

Kalangan rakyat juga boleh mempraktikkan kepada pemimpin politik, Amalan “orang berbudi kita berbahasa” wajar menjadi amalan dan kebiasaan apabila rakyat mendapat manfaat daripada pemberian dan pertolongan pemimpin politik sama ada dalam bentuk bantuan kewangan dan kemudahan asas. Iaitu mengucapkan terima kasih apabila menerima kemudahan dan pemberian serta pertolongan.

Justeru, sebagai pemimpin mestilah juga berbudi kepada rakyat yang memilihnya. Amalan ini dapat mengekalkan timbalan budi dan keharmonian serta kesejahteraan dalam kehidupan masyarakat. Begitu juga sebagai pemimpin dalam rumah tangga, keluarga dan masyarakat amalan berbudi ini sewajarnya dikekalkan dalam budaya kehidupan. Seperti kata Kong Fu Tsu iaitu orang yang berbudi tinggi, teguh pendiriannya tetapi tidak keras kepala.

Lantaran itu, orang yang paling rendah budinya adalah mereka yang tidak pernah mencintai, memaafkan dan berterima kasih, manakala orang yang budiman akan sentiasa memelihara budaya berbudi ini dalam kehidupannya.

Dalam al-Quran budi disebut sebagai adab, sopan santun serta kalangan orang yang berakhlak dan beriman kepada Allah. Orang berbudi juga mempunyai hati dan akal yang bijak dan berhati mulia.

Hal ini bertepatan dengan pantun: “Orang berbudi kita berbahasa/Orang memberi kita merasa.”