Program yang dirasmikan oleh dekan fakulti, Prof. Dr. Suhaimi Zakaria itu dijalankan bagi berkongsi, menerapkan dan menyemai budaya membaca serta suasana cintakan ilmu dalam kalangan masyarakat, sekali gus memperkenal kepada masyarakat terhadap kewujudan Fakulti Pengurusan Maklumat dan program pembelajaran serta signifikannya.

Program yang dihadiri murid-murid prasekolah dan sekolah rendah ini berorientasikan untuk mewujudkan suasana santai tetapi produktif.

Program itu turut mendatangkan impak positif kepada para pelajar yang hadir memandangkan diisi dengan aktiviti sukaneka dan ceramah, serta kuiz yang menarik dan menguji minda seperti orientasi perpustakaan, mencari harta karun, telefon karat, permainan tradisional dan tayangan video.

Selain itu, terdapat beberapa gerai multimedia yang dijalankan oleh pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat bagi berkongsi ilmu dan pengetahuan yang telah dipelajari di dalam kuliah kepada pelajar sekolah tersebut.

Program ini merupakan antara elemen yang penting bagi mempraktikkan subjek Public Relations in Information (IML553) sebagai perkhidmatan tambahan dalam agensi maklumat.

Pendedahan awal secara terus-menerus kepada pelajar sekolah yang disasarkan bagi kumpulan sasaran sangat membantu dan menyokong dasar pendidikan negara yang mahukan pembelajaran sepanjang hayat dapat dilaksanakan.

Melalui program yang bercorak interaktif dan informatif itu, pelajar-pelajar kursus IML553 berharap dapat membantu minat murid Sekolah Kebangsaan Putra untuk membaca, kata Muhamad Badrul Hisham Kamarudin yang merupakan pengarah program.

Kemahiran berinteraksi

Justeru itu, katanya, program ini merupakan salah satu platform bagi pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat menyokong dasar tersebut dan menzahirkan apa yang telah dipelajari untuk berbakti kepada komuniti setempat, di samping menaikkan semangat pelajar UiTM Puncak Perdana bagi meningkatkan kemahiran berinteraksi serta berkomunikasi dengan masyarakat luar.

Selain itu, program ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan serta melatih pelajar untuk lebih yakin berinteraksi dengan masyarakat luar, ujarnya.

Muhammad Hisham berkata, dalam pada itu, program Ekplorasi Jati Maklumat ini memupuk semangat kerjasama dalam satu pasukan antara pensyarah, pelajar, wakil pusat sumber dan juga masyarakat setempat.

“Peranan sesebuah perpustakaan amat penting bagi menjana tahap pendidikan sesebuah negara pada peringkat global.

“Khidmat dan bakti yang dicurahkan kepada komuniti bukanlah mengharapkan balasan, tetapi komuniti setempat dapat memanfaatkan peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan pusat atau negeri melalui penganjuran program yang akan diadakan oleh siswa atau siswi UiTM Puncak Perdana,” tambahnya.

Turut hadir pada program itu ialah Pensyarah Kanan merangkap Ketua Pusat Pengajian (FPM), Abu Bakar Suleiman dan wakil guru besar SK Putra merangkap GPK Kokurikulum SK Putra, Radziah Adam.