Aku dan Ikram masih mendepani Sjev Valjean dengan misi dan visi teguh sejak meninggalkan KLIA; mencari pasaran baru di Eropah. Tapak permulaan kami ialah Perancis. Aku dan Ikram berkeyakinan penuh visi dan misi ini akan berjaya kerana ijazah yang kami perolehi, yang menjadi asas kepada segala penciptaan adalah dari Malaysia France Institute iaitu sebuah pusat pengajian yang ditubuhkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Association de Formation Professionnelle de L’industrie (AFPI). AFPI merupakan pusat latihan pekerja di Lyon yang menjalankan kursus peringkat profesional untuk industri di Perancis.

 klik dengan bijakKebetulan Sjev Valjean juga berasal dari Lyon. Secara logiknya, tentulah penciptaan kami akan diterima di sini. Begitu yang kami duga sejak mula. Namun, setelah dua hari mengadakan perbincangan dengan Sjev Valjean, visi dan misi pertama kami seolah-olah terkucel lunyai. Kami terpaksa mencegatkan visi dan misi baru; merobohkan persepsi negatif ahli perniagaan itu pula bahawa produk ciptaan anak Malaysia masih kurang kualiti lalu gagal memenuhi standard piawaian untuk menembusi pasaran antarabangsa dan meyakinkannya bahawa produk ciptaan kami sebenarnya lebih berkualiti malah sepuluh kali lebih ringan daripada sistem konkrit tetulang biasa yang terdapat di Perancis atau di mana juga di Eropah.

Seperti di majlis pertemuan pertama bersama ahli-ahli perniagaan Perancis di Hotel De Ville dua hari lalu, Sjev Valjean juga seakan-akan rengsa untuk mengukuhkan keyakinan diri seterusnya menerima dan mengakuri segala penjelasan, semakin menyedarkan kami bahawa bongkah kersani hipotesis Barat terhadap kemampuan anak Malaysia di bidang teknologi moden masih kukuh, penerimaan di tahap nihil dan sukar untuk dicaing-caingkan. Kendati begitu, ianya tidak mudah mengkucurkan azam dan usaha untuk terus mencegatkan bukti kemampuan kami.

Bateux Parisiens terus meredah alun bersisik Sungai Seine. Bot mewah lengkap ruang menjamu selera itu menggamit silir dingin menyapa muka melalui kuakkan tingkap kaca kecil sisi. Redup teduh Jambatan Alexandre III, puncak Pusara Napoleon atau Invalides dan bumbung Grand et Petit Palais kian menghampiri, persis menghantar goda kepadaku untuk ditandangi. Aku melihat Sjev Valjean seolah-olah mahu mencerluskan peri keindahan Paris - Kota Cinta kebanggaannya namun terbantut oleh lintasan suara Ikram kala Bateux Parisiens di pekarangan wajah tenang Muzium Legion d’Honneur.

“IBA 2020 ciptaan kami adalah satu produk tercanggih abad ini berupa lantai, dinding dan atap yang menggabungkan lapisan keluli berprofil dengan lapisan kayu getah berbaur simen!”

Aku mengangguk mengiyakan seraya gesit membentangkan lagi gambarajah panel komposit IBA 2020 melalui lap-top di depan Sjev Valjean, walaupun panel komposit itu telah ditunjukkan sewaktu di majlis pertemuan pertama di Hotel De Ville kepadanya termasuk rakan-rakan perniagaannya dari Perancis yang lain. Produk yang telah diisytiharkan sebagai produk yang berjaya memberi inovasi baru terhadap sistem tradisional seperti sistem konkrit tetulang terutamanya dari segi ciri yang lebih ringan menjangkau sepuluh kali lebih ringan daripada sistem konkrit tetulang biasa itu, tercipta setelah dua tahun kami menamatkan pengajian sarjana di bidang teknologi fabrikasi logam dan kimpalan.

Dengan bantuan kewangan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), lebih lima tahun pula kami menjalankan penyelidikan, memerah kotak minda seterusnya mencipta produk tersebut. Kami menamakannya IBA 2020, singkatan kepada ‘Inovasi Baru 2020’. Produk ini lebih berupa satu sistem yang mudah dan cepat dibina. Pembinaannya kering, senang diangkat dan tidak memerlukan sokongan sementara pembinaan. Kini sistem yang kami cipta itu telah mencecah pasaran Asia Tenggara, Timur Tengah dan sedikit di kawasan Afrika. Permintaan terhadapnya amat menggalakkan dari hari ke hari.

Aku dan Ikram membiarkan Sjev Valjean terkesip-kesip meneliti satu persatu huraian lengkap kebaikan sistem IBA 2020 yang jelas tercatat di sisi kanan gambarajah panel komposit. Serasa kami tidak perlu lagi membuat penjelasan lanjut betapa sistem ciptaan kami itu mampu mengurangkan penggunaan tenaga buruh mahir, mempunyai keratan rentas langsing yakni jarak di antara lantai ke lantai yang lebih dekat, tidak memerlukan masa untuk proses pengawetan, tiada bahan buangan, keadaan tapak binaan yang lebih bersih serta selamat dan amat sesuai untuk kerja-kerja ubahsuai juga naik taraf bangunan.

Di samping itu juga, lantai, dinding dan atap mudah untuk dimasukkan saluran paip, elektrik dan sebagainya. Secara tidak langsung, dapat menjimatkan kos keseluruhan bangunan. Segalanya sudah terluah di majlis pertemuan pertama di Hotel De Ville yang mana Sjev Valjean sendiri antara pendengarnya. Namun tiada sebarang respon positif dari mereka. Kesal. Sungguh kesal dan amat mengecewakan.

Aku mencuplik kerling jam di pergelangan tangan. Menurut Sjev Valjean, kami akan berlabuh di Grande Bibliotheque. Sekarang Bateux Parisiens sedang menyusur pinggir Institu De France. Lebih kurang sepuluh atau lima belas minit lagi, kami akan tiba di Notre Dame sebelum berlabuh. Seboleh-bolehnya kami mengharapkan kata putus dari ahli perniagaan itu, lenggana atau sebaliknya, sebelum kereta api Eurostar membawa kami ke London keesokan hari.

“Anda perlu berputar di Notre Dame sebelum meninggalkan Kota Paris!” suara Sjev Valjean yang tiba-tiba mencerlus mengubah tajuk perbincangan sebaik Bateux Parisiens melepasi Institu De France, menempiarkan segala ngeluyur benak. Lap-top masih terpampang panel komposit perlahan-lahan dihulurkan semula kepadaku tanpa sebarang reaksi membuatkan lirikan mataku gesit hinggap ke muka Ikram. Jelas rakanku itu kehampaan.

Kehampaan itu merupakan kehampaan kami yang kedua selepas kehampaan di majlis pertemuan pertama di Hotel De Ville. Seperti yang aku katakan tadi, tiada mercup sebarang riak minat ahli-ahli perniagaan Perancis untuk menerima sistem ciptaan kami apalagi mahu menyebarkannya di sini dan sekarang Sjev Valjean juga telah mempamerkan situasi yang hampir serupa.

“Bandar lama Paris itu hebat dengan seni bina gereja, menempatkan Cardinal of Paris. Fikiran anda pasti tenang bila melihat keunikannya!”

Aku sedikit tidak teringin untuk menelan gizi sajiannya. Serasa ada kelir keegoan menggelincir buar menggelecakkan ruang dadaku. Hasrat merealisasikan visi dan misi awal kami seakan-akan sudah bertukar menjadi darmawisata. Sjev Valjean seolah-olah pemandu pelancong bijak mempromosi tempat-tempat menarik negaranya. Aku membiarkan Ikram melayan bual ahli perniagaan Perancis itu.

Melalui tingkap kaca kecil di sisi, aku lebih rela menggelungsurkan biji mata menunak alun Sungai Seine tersisir mesra oleh tolakan Bateux Parisiens seraya merancang usaha-usaha yang serupa di London nanti. Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di sana sudah diberitahu sejak kami di Malaysia lagi. Aku masih yakin, kegagalan kami mencari rakan kongsi bagi memasarkan IBA 2020 di Paris akan berhasil di Tanah Queen Elizebert pula. Rezeki kurniaan Tuhan ada di mana-mana, bisikku meneguhkan turus azam dan iltizam.

Barat yang sinonim dengan kebimbangan terhadap apa juga kebangkitan Timur itu perlu diyakini bahawa IBA 2020 ciptaan kami ini merupakan satu sistem yang ekonomi malah satu sistem yang boleh dilengkapkan dengan pelbagai bahan penebat haba, air, bunyi, api dan juga gegaran. Ia juga boleh direka bentuk untuk ketahanan terhadap beban yang dikenakan sama ada di dalam sesebuah rumah kediaman mahupun sesebuah bangunan kilang ataupun lain-lain jenis bangunan. Permukaan lantai di atas papan simen pula boleh dikemaskan dengan kemasan simen, marmar, jubin, atau digunakan begitu saja dengan mendedahkan papan simen yang sudah sememangnya digunakan sebagai lapisan di permukaan atas simen untuk menjimatkan lagi kos.

Reka bentuk sistem ciptaan kami ini juga amat anjal dan memberi ruang kepada perubahan-perubahan dilakukan untuk disesuaikan dengan keadaan dan keperluan sesebuah bangunan atau struktur itu sendiri. Seterusnya, sebagai lantai menanggung beban, IBA 2020 mampu menanggung lenturan.

Aku tersentak dari lamunan kala Ikram mencuit iga kiri. Bateux Parisiens sudah berlabuh di Notre Dame. Sjev Valjean bangun, Ikram mengekor dan aku terpaksa juga bangun mengekori penumpang-penumpang bot yang lain.

“Anda boleh melihat sendiri Paris dan khazanah seni binanya, kekal sejak ratusan tahun hasil dasar kerajaan kami yang hanya membenarkan pengubahsuaian terhadap bangunan lama dilakukan di bahagian dalaman saja. Kerana itu, walaupun kami menikmati kemudahan moden seperti sistem pemanas di dalam kediaman tetapi bahagian luarnya, wajah Paris yang anda lihat masih tidak berubah!” ujar Sjev Valjean sewaktu kami tiba di pekarangan Notre Dame.

Aku jeling Ikram yang liar mata pandangnya melewar sekeliling. Dia seolah-olah terpesona dengan keunikan seni bina yang terdapat di situ.

“Anda boleh mengintai Paris di puncak menara loceng!” telunjuk gabai Sjev Valjean menuding jitu ke satu jihat. “Anda boleh lihat kemajuan yang serlah, yang telah kami capai!”

“Tidak perlu, Sjev! Kami sudah mengintainya di Montmarte hari pertama kami di sini,” ujarku sedikit sinis. “Serasa tiada apa-apa yang perlu dibanggakan. Kemajuan Paris setara kami. Barangkali dalam sektor-sektor tertentu kami lebih ke hadapan dari anda!” Aku lihat muka putih pucat ahli perniagaan Perancis itu berubah jelas. Jerau tidak keruan.

“Apa sehebat La Concorde?” Sjev Valjean cepat menduga. Jurai salji halus merencung mengkaburkan mataku. “Apa setinggi dan sesohor Eiffel? Sekukuh Esplanade du Trocadero. Apa Malaysia mampu mencabar Perancis dalam arus pembangunan dan kemajuan moden?”

Seperti yang kuduga sejak mula, memang orang-orang Barat kurang sopan dengan tetamu, lebih-lebih lagi tetamu dari Timur yang amat rendah di pandangan mata mereka. Bagaimana dapat aku tundukkan keegoannya. Ikram sudah menghilang di celah pusu-pusu orang ramai. Aku tertinjau-tinjau mencarinya namun tidak berhasil. Sebuah bot tetapi tidak berbumbung berlabuh di hadapan Notre Dame. Aku masih gusar menahan geram dengan cabaran Sjev Valjean tadi.

“Tentu anda tidak mampu menafikan kenyataan depan mata!” Sjev Valjean semakin mencabar sinis. Semakin menggelecak kuping.

“Jangan terlalu memandang rendah kepada kami, Sjev!” aku sedikit gerah. “Seperti mana saya datang ke Paris, anda juga harus datang ke Kuala Lumpur untuk melihat sendiri kemajuan yang sudah kami capai. Di sana nanti anda akan bertemu ratusan bangunan canggih seperti yang terdapat di Paris. Bangunan-bangunan kami kaya perlambangan budaya bangsa sendiri. Kami ada bangunan berimej keris taming sari, metaphor pucuk rebung, tengkolok dan tak kurang juga bercorak geometri Islam!”

“Apa itu sudah cukup setanding kami?” Sjev Valjean kian sinis melonjak beberapa takah rasa geram dan gelecakku.

“Apa di sini juga ada bandar sehebat Putrajaya?” aku sengaja meninggikan suaraku, mencabar keegoannya. “Konsep Bandar Raya Taman, menggunakan semua aplikasi teknologi maklumat, merangkumi aplikasi kerajaan elektronik, teleperubatan, perdagangan elektronik serta kad pintar yang sudah mengubah kehidupan penghuninya daripada kehidupan manual kepada kehidupan automasi. Apa ada bandar sebegitu di sini?”

Ahli perniagaan Perancis itu nampak tercengang.

“Paris tidak sehebat megacity Tokyo-Yokohama tetapi kombinasi Kuala Lumpur-Putrajaya-KLIA kami sudah mencecah taraf itu malah hebat setara beberapa kombinasi urban lain di dunia!”

Aku masih terintai-intai Ikram yang sudah lama lenyap serentak mengerling Sjev Valjean yang masih tercenung kurang percaya. “Errr... lagi, Sjev!” aku belum puas. “Kami bukan lagi bangsa primitif yang hidup atas pokok. Itu persepsi prejudis dan hipotesis negatif penjajah. KLIA kami antara lapangan terbang tercanggih, lebih canggih dari Charles de Gaulle anda. Kalau anda ada Eiffel, kami ada Menara Kembar Petronas di KLCC. Kalau anda berbangga dengan Obelisque, kami juga patut berbangga dengan KL Tower. Anak-anak Malaysia sudah menjadi pakar dalam pelbagai bidang. Kami ada pakar teknologi maklumat dan komunikasi merangkumi bidang pengiraan berprestasi tinggi, rangkaian, komunikasi, teleperubatan, gambaran imej digital multimedia, paparan definisi tinggi, ruang simpanan kepadatan tinggi, perisian, pemodelan dan simulasi!”

Sjev Valjean bungkam, sekadar mengangguk-angguk.

“Kami juga ada pakar mikroelektronik merangkumi bidang-bidang seperti teknologi sensor, litar miktoelektronik dan bahan semikonduktor, optoelektronik, avionik, perkakasan semikonduktor termaju. Lagi, kami juga ada pakar-pakar bioteknologi dan sains hayat yang merangkumi bidang-bidang seperti bahan dan pemperosesan bioteknologi; perkakasan perubatan dan diagnostik; teknologi perubatan!”

 Sjev Valjean terus diam. Anggukannya juga nampak rengsa seolah-olah mengagumi segala pencapaian anak Malaysia yang aku perdengarkan.

 Aku tersenyum lega dan puas. Serasa keegoannya dapat ditewaskan.

“Setakat itu?” Sjev Valjean turut tersenyum sejurus kemudian. “Kami juga tidak kurang dengan pakar-pakar sebegitu…”

“Mahu saya teruskan?” aku cepat mencantas. “Setidak-tidaknya anda tidak terlalu memandang rendah terhadap kemampuan kami menguasai teknologi moden!” Senyumku memurup kasar. “Sjev, kami ada pakar-pakar teknologi pembuatan termaju seperti pakar pembuatan komputer bersepadu yang fleksibel, robotik dan kepintaran mesin, fabrikasi mikro dan nanom teknologi pengurusan sistem. Kami juga tidak kurang pakar-pakar teknologi bahan termaju seperti komposit, seramik, bahan fotonik, litar mikroelektronik dan bahan semikonduktor, sintesis dan pelbagai lagi. Saya rasa tak perlu untuk dijelaskan di sini secara lengkap. Yang penting sekarang, anda harus mengakui akan kebolehan dan kemampuan kami meneroka kemajuan sains dan teknologi moden setara dengan dunia Barat!” Sungguh, aku berasa amat puas dengan segala yang menggelungsur lancar dari kerongkongan.

Sjev Valjean terus bungkam dengan penjelasan panjang lebar yang mencerlus. Aku terkelih riak sebal pada tampang bujurnya. “Sayang, anda terlalu ego, Sjev! Ego anda tidak bertempat,” serasa tidak wajar lagi berlunak. “Anda terlalu prejudis sehingga sanggup menganggap diri sendiri lebih baik dari orang lain!” Sesegera itu Ikram menjengul di depan kami. Entah dari jihat mana.

“Ayuh, Bateux Parisiens jarang menunggu!” Sjev Valjean cuba melorek senyum hambar. “Kalau anda tak mahu tertinggal, jangan lengah lagi!”

Gesit kami mengatur langkah. Terhenyak di perut Bateux Parisiens yang miang menolak riak alun Sungai Seine mencari rerumput Grande Bibliotheque.

Aku diam. Serasa rengsa untuk bersuara lebih-lebih lagi mengenangkan soal misi dan visi IBA 2020 ciptaan kami. Namun Ikram seperti masih mahu mencolek minat Sjev Valjean terhadap IBA 2020 yang mungkin masih bersisa.

“Bagaimana dengan hasil perbincangan anda tadi dengan rakan saya?” soalnya. “Anda tentu belum mendengar tentang keputusan uji kaji pakar yang telah dibuat terhadap IBA 2020.” Lap-top kembali menayangkan lagi sekali panel komposit. “Untuk pengetahuan anda, kekukuhan kepingan keluli berprofil produk ciptaan kami ini boleh ditingkatkan antara 40 hingga 80 peratus apabila keluli berprofil itu digabungkan secara komposit dengan papan simen hanya dengan menggunakan penyambung mekanikal atau skru berjarak antara 100 hingga 300 mm di sepanjang paluh keluli berprofil ini!” Jari telunjuk menari-nari di atas panel komposit memberi penerangan kepada Sjev Valjean. “Sebagai dinding pula, ciptaan kami ini mampu menanggung beban dengan baik dan menanggung deformasi serta ricihan sesatah. Dinding ini sekali gus akan menggantikan sistem tiang dan dinding isian tradisional!”

“Errr… boleh saya tahu sesuatu?” Sjev Valjean tiba-tiba terhimbau untuk bertanya. “Boleh anda jelaskan siapa yang membuat kajian tentang keberkesanan IBA 2020 anda ini?”

“Pakar-pakar penyelidik universiti tempatan negara kami!” ujar Ikram dengan wajah yang bangga.

Aku melihat Sjev Valjean seperti mencemek.

“Mereka telah mengkaji kelakuan struktur yang terbentuk dengan menggabungkan panel-panel IBA 2020 dalam bentuk struktur plat berlipat. Hasilnya, didapati, kegunaan sistem ini sebagai struktur plat berlipat mempunyai banyak kelebihan dibandingkan dengan sistem atap berkekuda yang lazim. Sistem plat berlipat ini tidak memerlukan sebarang penyokong tambahan atau kekuda. Faktor ini dapat mempercepatkan masa serta kos pembinaan dan juga dapat memberikan ruang-ruang tambahan dalam sesebuah bangunan!” tokok Ikram panjang lebar.

Aku ternanti-nanti respon balas dari Sjev Valjean. Telinga mencapang hebat biarpun mata masih melekat di alun tenang Sungai Seine. Bateux Parisiens terus bergerak ke hadapan.

“Bagi kami, kejayaan sesuatu penciptaan baru bukan terletak kepada keputusan kajian yang dibuat oleh pakar tempatan negara sendiri!” Sjev Valjean bersuara agak tegas, beriak sinis.

Aku gesit berpaling menunak wajahnya, persis ada lagi lonjakan prejudis yang mahu digelincirkan. “Anda masih memandang rendah ciptaan kami?” pertanyaan menggelongsor keluar tanpa dapat dibendung.

Sjev Valjean tersenyum. Nipis. “Saya tidak memandang rendah kemampuan dan kebolehan anda mencipta sesuatu yang baru dan canggih untuk industri pembinaan, tetapi pengiktirafan dunia perlu ada sebagai bukti yang lebih meyakinkan. Setakat ini, setahu saya, ciptaan anda sekadar memenangi Pingat Emas Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Anugerah Kualiti Penyelidik Muda-Sains Malaysia saja. Itu belum cukup untuk mengatakan ciptaan anda bagus apalagi meyakinkan kami!”

Aku dan Ikram saling pandang memandang dalam lunga yang tidak wajar. Dapat dirasakan segala kata-kata Sjev Valjean itu sarat retorik. Sebaik tiba di Grande Bibliotheque, kami terus ke hotel penginapan di tengah pusat kora raya Paris. Rasa kecewa dan rasa tercabar seakan-akan bersarang dalam udaranya yang nyaman pada penghujung musim dingin dan kala pucuk-pucuk hijau muda mula memurupkan keindahan taman yang gersang selama hampir lima bulan.

“Bintang kita tidak kemerlap di La Ville Lumière!” aku mengeluh rengsa. Pudar dan sebam wajah Ikram persis dijerba silir langkisau.

Cabaran dan kekecewaan itu kami jinjing bersama meninggalkan bumi Eropah beberapa hari kemudian. Kami tidak pernah berniat lagi untuk cuba memasuki pasaran Eropah selepas itu. Bertahun kami memurupkan segala tenaga dan usaha kepada penciptaan-penciptaan baru di Taman Sains & Reka Bentuk Pintar (TSRBP), seluas tujuh hektar di pinggir Cyberjaya. TSRBP ini merupakan projek yang mendapat pembiayaan sepenuhnya dari MOSTI.

“Ingat, Ikram! Sjev telah mencabar kita!” ungkapan itu nyalar kutekankan ke telinga Ikram sebagai kata-kata perangsang dan semangat ke arah penciptaan yang lebih berkualiti.

“Kita akan buktikan sistem IBA 2020 dan ciptaan kita yang akan datang mendapat pengiktirafan dunia!” balas Ikram penuh bersemangat. “Insya-Allah, suatu hari nanti bintang kita akan kemerlap juga di La Ville Lumière!” itu, Hir!”

Kendati misi dan visi kami gagal di Eropah dan kecewa dengan segala penerimaan, tetapi usaha dan iltizam kami semakin mencanak. Kami telah berazam untuk menghasilkan penciptaan baru yang lebih baik dari apa yang pernah kami ciptakan sebelum ini.

Demi memperbanyakkan lagi ciptaan dan reka cipta produk-produk terbaru yang boleh membantu manusia sejagat menikmati kehidupan yang lebih sempurna sejajar dengan perkembangan zaman, TSRBP kami menerima empat orang lagi anak Malaysia yang berminda kreatif dan inovatif. Osman, Hasyim dan Lofti merupakan pemegang sarjana di bidang Kejuruteraan Peralatan dan Mekatronik sementara Rasyidi pemegang sarjana Teknologi Perindustrian Automasi dan Robotik. Keempat-empat mereka dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kehadiran tenaga cipta baru ini semakin menyuarkan lagi semangat kami mencipta sesuatu yang moden dan canggih. Dalam masa tidak sampai lima tahun, dengan perahan minda yang tidak mengenal jelak dan penat, kami telah berjaya mencipta pen pintar yang boleh merakam suara dan merekodkan tulisan. Ia mempunyai paparan skrin OLED 96 X 18 piksel dengan kamera infrared berkelajuan tinggi dan prosessor ARM 9. Dengan menggunakan buku catatan khusus, ia dapat merekodkan tulisan dan menyimpannya di dalam memori. Tulisan yang direkodkan boleh dipaparkan semula di komputer atau pen pintar ini. Ia dapat merakam audio lebih 400 jam (model 4GB) dan lebih 800 jam recording time (model 8GB) bergantung kepada kualiti audio. Pen pintar ini menggunakan bateri lithium yang boleh dicas semula.

Kami juga telah berjaya mencipta papan kekunci yang bukan sekadar papan kekunci berspesifikasi fungsi bluetooh semata-mata, tetapi juga mesra pengguna kerana boleh disambungkan kepada tiga peranti sekali gus dengan hanya menekan butang suis yang ada pada papan kekunci tersebut. Mudah dan semua kerja akan menjadi lebih efisyen seterusnya tidak memerlukan pengguna memasang kabel dari papan kekunci ke satu alat lain bagi menghubungkan peranti berkenaan.

Selain mudah alih, papan kekunci ini juga mampu kekal tahan sehingga dua tahun dengan bateri AAA. Selain papan kekunci mesra pengguna, kami juga berjaya mencipta tetikus bluetooth baharu, mudah alih, mempunyai bentuk melengkung, roda condong dan genggaman getah bertekstur yang memberi keselesaan berpanjangan, tambahan pula, ia boleh kekal tahan sehingga 10 bulan dengan hanya menggunakan satu bateri AA.

Ciri-ciri menarik yang ada pada tetikus bluetooh ciptaan kami ini juga merangkumi butang navigasi pada tetikus tersebut senang dikawal oleh tapak tangan pengguna, di mana ia membenarkan pengguna menukar dari satu aplikasi ke satu aplikasi yang lain pada satu-satu masa di samping berkebolehan digunakan di atas semua jenis permukaan termasuklah permukaan besi.

Yang paling mendapat perhatian pengguna ialah robot mekanikal yang dikenali sebagai Compact Rehabilitation Robot (CR2)-Haptic. Ciptaan kami ini telah berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Merit Pertandingan Perikatan ICT Asia Pacific (APICTA).

CR2-Haptic yang merupakan produk inovasi, meraih anugerah tersebut dalam kategori Penyelidikan dan Pembangunan Terbaik, sekali gus mengetepikan 250 peserta lain dari 20 negara termasuk Australia, Hong Kong, India, Macau, Taiwan, Sri Lanka, Thailand, Pakistan, Singapura, Indonesia dan China.

Ciptaan kami ini juga adalah salah satu rangkaian inovasi bagi membantu golongan pesakit yang menghidapi angin ahmar, lumpuh dan kegagalan neurologi, sebuah robot pemulihan yang digunakan untuk melatih pergerakan tangan pesakit angin ahmar melakukan pelbagai gerakan dan menukar orientasi dan unit modular robot.

Menerusi ciptaan inovasi ini, pesakit tidak perlu melakukan sendiri sebaliknya menggunakan bantuan robot mekanikal yang dilengkapi pelbagai aplikasi. Istimewanya ciptaan ini mempunyai paparan permainan interaktif bagi membolehkan pesakit menjalani latihan dengan tenang dan seronok.

Yang jelas, inovasi CR2-Haptic ini adalah sebahagian daripada alternatif bagi membantu pesakit angin ahmar atau strok menjalani rawatan fisioterapi dengan mudah. Dianggarkan seramai 52,000 penduduk Malaysia mengalami angin ahmar dan memerlukan rawatan fisioterapi bagi pemulihan dengan nisbah seorang ahli terapi bagi 30 orang pesakit. Sebelum ini, pesakit strok perlu menjalani rawatan fisioterapi secara bersendirian sepanjang tempoh pemulihan serta merangsang saraf otak kembali aktif. Kini mereka boleh berlatih sambil berseronok.

Satu lagi ciptaan kami yang mendapat perhatian ialah basikal - model biasa, model istimewa dan model rekreasi. Ketiga-tiga model ini diberi nama Basikal Majura 2020, singkatan ‘Maju & Mara’ - mesra alam, mesra pengguna dan berobjektif mengurangkan kesesakan jalan raya serta pencemaran pelepasan asap ekzos kenderaan bermotor. Ketiga-tiga model ini menggunakan kuasa bateri 12 volts. Kayuhan diperlukan untuk mencas semula kuasa bateri. Apabila kuasa bateri mencukupi, penunggangnya boleh berehat kerana kuasa bateri tersebut mampu menggerakkan basikal.

 Model istimewa direka agak unik kerana dilengkapkan dengan tempat menyimpan fail, beg bimbit di bahagian kiri dan kanan basikal juga tempat meletakkan botol air mineral 1.5 liter. Kesemua model ini dilengkapi 6 gear, lampu depan, lampu belakang, lampu brek, lampu isyarat, cermin sisi dan meter kelajuan sejauh 60 km/j jika kuasa bateri digunakan. Kesemua model juga menggunakan sistem shaft, membuatkan ianya lebih selamat kerana gear dikawal sepenuhnya oleh sistem tersebut dan bahan asasnya ialah gentian karbon serta aluminium. Ianya ringan dan mudah dipindahkan ke mana saja.

 Basikal ciptaan kami ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di Malaysia, China dan Jepun. Sesungguhnya, kejayaan kami merekacipta pelbagai produk terbaru untuk dimanfaatkan oleh manusia sejagat, bukan sahaja kerana kemampuan minda tetapi juga amalan konsep 5T yang kami amalkan di TSRBP ini. Kami memahami makna bekerja yakni tugas dan tindakan untuk menuju matlamat disokong pula oleh persekitaran yang menggalakkan dengan jaminan kecemerlangan masa depan yang tidak terganggu.

Kami menakrifkan TSRBP kami sebagai sebuah jentera yang menggemblengkan kerja dan tenaga kami untuk mencapai sesuatu matlamat. Oleh itu taman kami mempunyai matlamat, objektif, strategi, peraturan dan budayanya yang tersendiri dan khusus. Kami melaksanakan sesuatu kerja yang berkualiti, kesetiaan, iltizam yang tinggi dan ikhlas menjalankan tanggungjawab yang sudah, sedang dan akan dipikul. Konsep 5T yang kami amalkan ialah taqarum, tafahum, tasamuh, taawun dan takaful.

Bagi kami, warga organisasi yang dianggap cemerlang adalah warga yang dapat melakukan tugasnya dengan penuh tanggungjawab di samping dapat memberi sumbangan berkesan kepada organisasi dan masyarakat. Lantaran itu, untuk mencapai peringkat cemerlang tersebut, kami mesti melangkaui daripada melakukan sesuatu kerja atau tanggungjawab yang biasa atau rutin saja yang sememangnya menjadi tugas kami. Kami mesti melalui peringkat menghasilkan output dari tahap biasa kepada tahap luar biasa, dari luar biasa kepada luar dugaan, dari luar dugaan kepada cemerlang.

 “Workoholic! Sekarang waktu makan tengah hari!”

 Aku dan Osman yang ketika itu sedang mendepani skrin monitor komputer Silicon Graphics Integrated (SGI), sedikit tersentak dengan suara Ikram yang mencerlus tiba-tiba. Segala lamunan panjang berjelaku gesit tempiar. Bagai kelinglungan aku berpaling. Ikram bersama Lofti dan Rasyidi sudah terjengul di depan pintu bilik pentadbiran. Tegurannya kujawab dengan gamitan jejari tangan kanan.

“Ada apa? Tak nak keluar makankah?” dia bertanya sebaik tiba di hadapan kami.

“Macam selalu. Tolong belikan!” ujarku seraya tersenyum. Senyuman yang juga macam selalu, tidak sukar untuk difahami Ikram. Sebaik Ikram, Lofti dan Rasyidi menghilang, aku dan Osman kembali mendepani skrin monitor komputer, mencari laman web yang kami inginkan. Setagal kemudian tertayang secara hologram halaman tersebut.

“Inspirasi penciptaan kita bukan sekadar berpandukan kepada penciptaan tokoh-tokoh Barat seperti Edison, Newton, Graham Bell, Bohr, Albert Eistein, Ptolemy, Alpetragus, Asin Palacios dan sebagainya tetapi lebih dipengaruh Ibnu Tufail, Al-Khindi, Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Biruni, Ibnu Rusyd, Ibnu Bajja, Ibnu Khaldun, Ibnu Masarrah, Ibnu Miskawayh al-Razi, Al-Khawarizmi dan lain-lain lagi!”

Osman mengangguk sekali. “Pemikir Islam kaya dengan falsafah, metafizik, etik, fizik, matematik, politik, geografi, perubatan, psikologi, astronomi, kimia, optik, muzik dan pelmacam lagi. Baitul-Hikmat sudah membuktikan. Tidak rugi penciptaan kita berakarkan Islam!”

Aku gesit senyum dengan ungkapan Osman. “Yang penting, penciptaan kita berupaya mencecah pasaran global terutama Barat.”

“Tidak mustahil!” balas Osman penuh yakin. “Anak Malaysia sekarang sudah berjaya merobohkan benteng IQ anak Malaysia sebelum merdeka. Kita sekarang generasi alaf baru, tahun 2017 bakal menghilang dan sudah lebih 20 tahun dalam abad ke 21. Penciptaan kita selama ini merupakan satu inovasi baru yang tidak pernah disangkal dan dinafikan!”

“Cuma belum diiktiraf dunia sebagai pemangkin menawan pasaran Barat!”

Osman sedikit tergamam.

“Dengar sini, Man! Ini cabaran untuk kita sebenarnya. Penciptaan baru kita biar dianggap satu inovasi terkini tetap tidak bermakna selagi dunia tidak memberi pengiktirafan…”

“Maksudnya?”

“Mesti terbaik sehingga mampu meraih pengiktirafan itu!” Aku terus membuka kisah lama kami membawa IBA 2020 ke Paris dan London suatu ketika dulu. Peri betapa misi dan visi kami gagal malah tercabar oleh tukasan prejudis Sjev Valjean.

Perbualan kami terhenti kerana Ikram, Lofti dan Rasyidi sudah pulang bersama nasi bungkus di tangan masing-masing. Kami duduk melengkung di sebuah meja bulat. Seketika kemudian muncul Hasyim dari bilik sebelah. Bekas graduan dari UTM itu tersengih-sengih sebelum melabuhkan punggung di sisi Lofti.

“Hmmmmm.... bagaimana dengan RoMa 2020 kita?” soal Ikram sewaktu Hasyim sedang leka menjamah sajian yang dibelikan Lofti. Nasi campur ala nasi kandar mamak Pulau Pinang itu nampak berselera sekali di dalam daun pisang beralas kertas akhbar.

Hasyim tersengih sejenak. RoMa 2020 dari singkatan ‘Robot Malaysia’ ialah satu sistem di mana berfungsi untuk mengawal sesebuah bangunan menggunakan sistem robotik dan mekatronik ciptaan kami bersama. Hasyim telah ditugaskan menyelesaikan fasa terakhir penciptaan sistem tersebut.

“Apa perkembangan terbaru?” soal Ikram lagi.

“Dah siap dan terbukti berkesan!” ujar Hasyim. “Makmal B-09X telah digunakan sebagai percubaan dan didapati berfungsi mengikut apa yang kita rancangkan!”

“Kau gembira?” tanyaku pula.

“Mestilah!” balas Lofti bagi pihak Hasyim yang agak terlunga memandang wajahku. “Ini kejayaan kita semua. Tentulah gembira dan sepatutnya kita semua perlu gembira dengan kejayaan ini. Lebih sembilan bulan kita memerah otak dan aku tak fikir ini bukan satu kejayaan!”

“Memang satu kejayaan!” ujarku bersahaja. Nasi berlauk ikan keli masak lemak cili padi campur ulam raja itu sungguh menyelerakan, segera kuhabiskan. Sebelum membasuh tangan di sinki yang terletak di bahagian belakang meja makan kami, aku bersuara, “Kejayaan lebih bermakna jika menempah sejarah bukan mengulangi sejarah silam yang kecewa dan luka!”

“Hei… hei… apa maksud kau hah?” Ikram tiba-tiba mencerlus gerah, nampak jelas rasa kurang senangnya dengan ungkapanku.

“Penciptaan kita patut mencipta sejarah, suatu inovasi terkini yang diiktiraf oleh dunia, Ikram! Ingat cabaran Sjev Valjean dulu. Tidak bermakna jika hanya berbangga dengan kejayaan mencipta tetapi ciptaan kita tidak diakui oleh dunia. Aku tak mahu anak Malaysia cuma berjaya mencipta nama dalam negara sendiri saja!”

“Memang itu cita-cita kami dan kita semua!” Ikram menjeling wajah Hasyim sekilas. “Malah aku yakin, semua ciptaan kita bertaraf dunia cuma masa yang akan menentukan!”

Rakan-rakan yang lain diam, bersegera menghabiskan sajian tengah hari masing-masing. Pastinya, di dalam kepala masing-masing memikirkan perkara yang sama. Memang kami telah berazam untuk mencipta sesuatu yang mampu diiktiraf oleh dunia sebagai membuktikan bahawa anak Malaysia sekarang adalah anak-anak Malaysia yang boleh dan mampu melakukan sesuatu yang dianggap mustahil suatu ketika dulu.

Kami menamatkan bicara lalu beredar meninggalkan ruang makan tersebut. Kami berenam segera ke bangunan makmal dengan dada menggelodar mencegatkan tekad bahawa kami adalah anak-anak Malaysia yang cekal dan kental, yang sedang melalui dunia moden berbanding generasi sebelum merdeka. Dunia yang kami lihat ini semakin luas dan kian berkembang pesat dengan segala inovasi baru dan kami akan turut membina serta mencipta sesuatu yang lebih baru untuk dunia yang kami lihat itu. Kami sedar, tindakan dan keputusan yang kami lakukan selama ini adalah benar dan betul. Segalanya harus berjalan dan bertindak dalam suasana yang penuh kreativiti. Kreativiti yang maju dan canggih dalam penciptaan kerana itu merupakan asas TSRBP ini didirikan.

Tiba-tiba pundakku ditepuk orang. Aku tersentak lalu gesit menoleh ke belakang. Ikram tersenyum. Hasyim, Lofti, Rasyidi dan Osman turut memurupkan senyum. Kami segera berpautan tangan. Pautan itu tanda seiya sekata, satu hati dalam wasilah yang satu bahawa kami adalah anak-anak Malaysia yang akan terus mara membelah rangkasa - utara, selatan, timur dan barat.

Suatu pagi beberapa minggu selepas itu, ketika sedang berbincang di bilik mesyuarat di Taman Sains & Reka Bentuk Pintar, kami disentakkan dengan sebuah berita gembira. Majura 2020 dan RoMa 2020 kami telah mendapat Pingat Emas dalam Pameran Antarabangsa Penemuan, Teknik-teknik dan Keluaran Terbaru di Geneva sementara IBA 2020 kami juga turut mendapat Pingat Emas Rekacipta Terbaik Keseluruhan daripada World Intellectual Property Organization (WIPO). Aku seperti mahu menjerit dengan kejayaan tersebut.

“Kita sudah berjaya membelah denai rangkasa dunia!”

Kami berenam segera menadah syukur.

***************

“Alamak! Jem pula !!”

 Pagi bening namun agak cabuh. Aku mengeluh rengsa, memutar punat radio serba tidak kena. Ikram di sisi sekadar tersenyum nipis melihat aku resah mendepani jejal-jejal kenderaan di atas jalan menghalang kelancaran perjalanan Perdana 2.5 kami ke Hotel Nikko. Pertemuan sulung di Malaysia dengan beberapa orang ahli perniagaan dari Barat yang amat berminat dengan produk ciptaan kami. Sudah lebih lima minit, begitu aku kelam kabut mengawal gear dan stereng Perdana 2.5 mahu memecut. Lofti, Hasyim, Osman dan Rasyidi tentu sekali sudah lama menunggu bersama tetamu yang lain. Berita gembira bahawa produk ciptaan kami bakal memasuki pasaran Eropah sudah dicanang heboh dalam akhbar-akhbar perdana selepas dua minggu IBA 2020, Majura 2020 dan RoMa 2020 kami mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

 “Tenang Hir! Tenang… jangan gelabah sangat!” Ikram separuh memujuk melihat aku beberapa kali menghentak stereng kereta.

 “Dalam waktu-waktu penting begini, jalan jem pula!” aku terus merungut.

 Tiba di bilik pertemuan Hotel Nikko, aku tercangip mendarat di kerusi. Beberapa orang ahli perniagaan Barat kelihatan tenang. Di sisiku, Lofti, Osman, Hasyim, Rasyidi dan Ikram juga beberapa buah fail produk ciptaan kami. Sesi penerangan berakhir dengan jaya. Sebelum majlis bubar, seorang lelaki kacak, berkot jerau tebal tiba-tiba datang menghampiriku.

 “Saya Thierry Lemmerre. Rakan kongsi Sjev Valjean!”

 Kami segera bersalaman mesra, bertukar senyum. Sehelai sampul surat coklat tua bersaiz 120 cm X 210 cm bertulis Sjev & Thierry - Vivende des Eaux di bahagian atas sebelah kiri, dihulurkan kepadaku. Agak menggigir menyiat bucu sampul, sepucuk surat bertulis tangan segera kubuka, sekeping gambar terlesit ke atas permaidani cantik sisi kaki. Aku gesit tunduk mengutipnya. Sedikit terkesima, gambar tiga orang lelaki kacak - aku, Sjev Valjean dan Ikram berdiri segak di depan Grande Bibliotheque dengan sebahagian tubuh Bateux Parisiens mewah di atas air Sungai Seine.

 Encik Zahir,

Tahniah atas kejayaan produk ciptaan anda memenangi pingat emas.

Maaf kerana saya pernah memandang rendah kemampuan dan kebolehan minda anda mencipta sesuatu yang berinovasi baru. Pengiktirafan itu telah meleburkan segala persepsi negatif saya.

hierry Lemmerre membawa misi dan harapan saya - orang Perancis pertama akan menyuburkan produk ciptaan anak Malaysia di Paris. Suaranya adalah refleksi murni nurani saya.

Beri kepercayaan kepadanya.

Sjev Valjean.

Azan Zohor berkumandang merdu dari menara masjid KLCC. Aku seperti tidak sabar mahu ke sana untuk menangis syukur dengan ketentuan-Nya - membuka denai untuk kami terus mara membelah rangkasaraya dunia sebelah sana. Serasa bintang kami sudah kemerlap galak di La Ville Lumière. Kita akan berjumpa lagi Sjev Valjean!

 

Nota: La Ville Lumière (Bandar Berlampu atau Bandar Bercahaya) - gelaran yang diberikan kepada Paris oleh para pelancong.