Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

BERDOSAKAH AKU?

Jalan di depan fakulti sibuk dengan kenderaan lalu lalang. Hingar bingar.

Tapi kebingitan itu langsung tidak mengganggu lamunan Dr. Hisham. Dia menarik nafas dalam. Sebak.

Terimbau kembali saat dia mula-mula kenal Fatihah.

****

Kelas pentadbiran perniagaan semester itu bakal bermula. Cukup mendebarkan bagi Hisham kerana dia belum pernah mengajar kursus ini. Seolah-olah baru menjadi pensyarah, walhal telah banyak kelas yang diajarnya.

Sebaik hendak memulakan kuliah, sesosok tubuh yg tergesa-gesa melangkah masuk menangkap perhatian Hisham. Siswi manis berbaju kurung yang baru tiba memandang Hisham dan menguntum senyuman kepadanya. Hisham tersenyum.

****

Hisham merenung skrin komputer. Butiran pelajar yang terpapar ditatap satu persatu. Selesai kuliah pertamanya pagi tadi, terus diperiksa rekod pelajar kelasnya. Sudah jadi kebiasaan kepada Hisham, setiap semester dia akan menyemak latar belakang pelajar supaya lebih mudah baginya mengajar.

Hisham terpaku pada rekod seorang pelajar. “Ini siswi pagi tadi,” getus hatinya.

“Fatihah… Bijak rupanya, cemerlang dalam SPM. Tapi kenapa …”. Ditatapnya rekod akademik universiti siswi itu. “Banyak keputusan F? Hmm...”

****

“Fatihah, boleh kita berbual sekejap?” sapa Hisham kepada siswi di depannya usai kelas pagi itu.

“Ada apa, Dr.?,” soal siswi yang bernama Fatihah itu. Kelihatan terkejut. Mungkin tak menyangka akan dipanggil. Kelas senyap sunyi kerana pelajar lain sudah meninggalkan kelas. Sesekali kelihatan satu atau dua pelajar lalu lalang di depan pintu kelas yang terbuka.

“Saya dah tengok rekod akademik awak,” Hisham memulakan bicara. “Saya rasa awak ini pelajar yang pintar, kan Fatihah? Rekod awak semasa di sekolah sangat baik,” jelas Hisham.

Ditatapnya wajah Fatihah untuk mendapat reaksi. Fatihah tersenyum.

“Tapi… Kenapa akademik universiti awak berbeza sangat? Banyak kursus gagal. Ada masalah ke?,” soal Hisham. “Awak dulu pernah cemerlang. Awak sepatutnya dapat keputusan yang lebih baik,” sambung Hisham.

Dia seolah dapat merasakan siswi ini ada sesuatu yang dipendam. Tapi dia tak mahu meneka. Biarlah Fatihah sendiri yang menerangkan padanya.

“Saya faham, Dr. Sebenarnya saya dah cuba,” balas Fatihah.

“Jadi apa sebenarnya masalah awak?,” soal Hisham.

Fatihah tidak segera menjawab.

Tiba-tiba wajahnya berubah. Kelihatan sebak dan menahan air mata yang yang mula bergenang.

“Saya pun tak tahu, Dr. Sejak kebelakangan ini saya susah nak belajar…” kata-kata Fatihah terhenti. Airmata yang cuba ditahannya menitis juga.

Hisham mendiamkan diri. Dibiarkan Fatihah melayan perasaan. Dalam situasi begitu dia tak sepatutnya menekan keadaan.

“Setiap kali saya nak belajar, seakan ada suara yang berbisik dalam kepala saya. Saya jadi tertekan.”

“Suara?,” soal Hisham. Direnungnya wajah Fatihah.

“Ya, Dr.”

“Sejak bila?”

“Dah setahun. Pernah sekali itu kawan saya terpaksa hantar saya ke rumah sebab keadaan saya dah teruk sangat,” ujar Fatihah perlahan.

“Tapi saya dah cuba berubat cara tradisional. Gangguan tu pun dah kurang. Sekarang saya cuba perbaiki pencapaian saya semula.”

“Mungkinkah awak tertekan? Awak boleh tangguh semester. Kesihatan awak yang tak stabil, pasti universiti benarkan.”

“Entahlah, Dr.. Sebenarnya saya dah pernah tangguh. Kalau saya tangguh lagi, saya tertinggal. Saya tak ada pilihan,” ujar Fatihah. Disekanya airmata yang mengalir di pipi.

Hisham terdiam. Ditatapnya wajah gadis manis itu. Tak disangkanya masalah siswi ini lebih rumit dari yang disangka.

****

Sejak pertemuan itu, Hisham lebih tertarik untuk mendekati Fatihah. Entah kenapa, emosinya kerap terusik setiap kali terfikir tentang Fatihah. Setiap kali hadir ke kelas, dia pasti tercari-cari kelibat siswi itu.

“Kenapa lambat?,” soalnya kepada Fatihah. Kelasnya pagi ni sudah pun berjalan 15 minit.

“Maaf Dr. Saya ada kelas lain. Baru saja tamat,” ujar Fatihah lembut sambil duduk berhampiran meja Dr. Hisham. Dia tergesa-gesa mengeluarkan buku catatan dan pen untuk mencatat nota. Begitupun masih kelihatan ayu.

Hisham tidak berkata apa-apa lagi. Sekadar menghela nafas panjang. Dia berharap Fatihah berusaha dan dapat mencapai semula pencapaian cemerlangnya dulu.

Tapi sebaliknya yang berlaku.

Sudah beberapa kali Fatihah lewat ke kelas. Hisham mula khuatir. Apatah lagi kursus yang diajarnya itu agak susah dan perlukan penerangan. Namun Fatihah kerap terlepas penerangan penting. Bahkan kelihatan tak serius dan lambat menghantar tugasan.

****

Kerisauan Hisham jadi kenyataan. Ujian 1 bagi kursus yang diajarnya baru selesai. Fatihah cuma dapat separuh dari markah penuh. Namun Hisham tak mampu berbuat apa-apa. Walaupun dia yang menilai dan sukakan Fatihah, dia perlu profesional.

“Fatihah, dulu awak kata nak perbaiki keputusan akademik awak. Tapi macam acuh tak acuh saja. Macam mana ni?” soal Hisham satu ketika.

Dia dah tak mampu lagi pendamkan perasaan terkilan dan geramnya. Bagi Hisham, Fatihah perlu tahu dan dia perlu luahkan. Dia ingin Fatihah buat yang lebih baik. Sayangnya yang semakin dalam kepada Fatihah membuatkan dia prihatin dan sering memikirkan prestasi pelajar itu.

“Maaf, Dr.” jawab Fatihah, ringkas.

“Awak kena usaha lebih baik,” sambung Hisham lagi, kali ni lebih tegas.

Fatihah cuma mendiamkan diri.

****

Peperiksaan akhir semester semakin hampir. Hisham keliru setiap kali memikirkan tentang Fatihah. Dia sendiri tidak pasti apakah Fatihah benar-benar mahu berubah atau sebaliknya.

“Fatihah, awak dah siap ulang kaji untuk peperiksaan akhir?,” soal Hisham. Hari tersebut merupakan kelas terakhirnya untuk semester itu.

“Belum, Dr.” balas Fatihah.

“Kalau awak ada masalah tentang silibus, datanglah bincang dengan saya.”

“Baik, Dr. Kalau perlu nanti saya datang bincang dengan Dr. Sekarang ini saya bincang dengan kawan.”

“Awak perlu lebih gigih. Saya rasa awak malas,” sindir Hisham.

“Bukan, Dr. Saya selalu buat ulang kaji.”

“Fatihah. Macam inilah. Rajin-rajinlah sedikit. Kalau awak malas, saya pun tak boleh nak bantu.”

“Maaf Dr. Tapi kalau Dr. tak percayakan saya, tak perlulah bantu. Saya tak perlukan bantuan Dr. Saya boleh jaga diri saya sendiri,” ujar Fatihah. Wajahnya yang sering kali tersenyum kali ini berubah.

“Maafkan saya Dr. Saya terpaksa pergi sekarang.”

Fatihah bingkas bangun dan meninggalkan kelas. Airmatanya bergenang.

****

Assalamualaikum Dr. Hisham,

Saya terharu dengan keprihatinan Dr. Saya minta maaf jika tindakan saya hari tu mengguris hati. Dr. tentu ingat masalah saya yang saya ceritakan sebelum ini. Saya bukan alami gangguan makhluk halus, sebaliknya disahkan menghidap barah otak. Saya akui masalah akademik saya akibat salah saya sendiri. Saya minta maaf, Dr. Terima kasih kerana mengajar. Jasa Dr. tidak akan saya lupakan hingga akhir hayat.

Wassalam.

Yang ikhlas,

Fatihah

Hisham memandang keluar jendela. Surat yang diterima dua tahun lepas digenggam erat.

“Berdosakah aku?...” bisik hatinya.

Hisham hanya mampu berdoa semoga arwah Fatihah yang meninggal dunia pagi tadi dicucuri rahmat.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain