Nadine diperkenalkan sebagai pemegang watak utama dalam sebuah filem berbajet tinggi pengarah asal Tiongkok dalam satu tayangan perdana yang dihadiri para wartawan, selebriti dunia dan pengamal media. Berjalan di atas karpet merah; angan-angannya suatu ketika dahulu jadi nyata. Kini, dia seakan-akan tenggelam dalam kerlipan ketikan cahaya kamera para jurufoto. Nasibnya tidak lagi kelam meraba-raba seperti gelap langit malam kerana dia bakal menjadi salah satu daripada bintang yang bersinar terang itu. Esok, sudah pasti wajahnya akan terpampang dalam muka hadapan majalah terkemuka antarabangsa. Tentulah negara kelahirannya menumpang bangga.

Tidak ada siapa yang tahu, bahawa dia tidak akan berada di situ jika tidak kerana campur tangan Tony Nicholas, seorang ahli politik yang selalu mengeluarkan kenyataan kontroversi dalam laman sosial peribadi. Jika tidak, manakan mungkin perempuan kampung sepertinya, belum established dalam dunia lakonan berjaya dalam seleksi yang dihadiri lebih sepuluh ribu orang gadis muda termasuklah para pelakon wanita yang telah membintangi puluhan filem dan drama serta memenangi pelbagai anugerah dan penghargaan industri hiburan.

Rafael diatur untuk membawakan satu watak kecil dalam filem bagi memantau Nadine sepanjang penggambaran. Dia akan memantau segala gerak-gerinya termasuklah dengan siapa Nadine selalu berbual mesra semasa di set. Tidak ada siapa yang tahu peranan sebenarnya kecuali Nadine. Tetapi, Tuan Pengarah selalu mengingatkan Nadine, Rafael akan kerap berada rapat bersama anda kerana dia rakyat negaramu, pengawal peribadi sepanjang jelajah promosi selain berkesesuaian untuk membawakan watak mata-mata penguasa.

2.

PAGI yang cerah. Askar-askar Jepun menggeledah rumah-rumah orang kampung. Memang inilah yang dinanti-nanti empat orang balu yang setiap daripada suami mereka ditembak seorang demi seorang dengan tangan terikat sebelum dihumban ke dalam sebuah lubang besar yang digali bagi menguburkan penentangan. Nadine melihat dengan mata sepet kirinya, tiga das peluru terbersit daripada muncung senapang membenam dada bapanya melalui jari-jemari tangan kanan ibunya yang cuba menghalang penglihatan. Mereka memaki-maki untuk membangkitkan kemarahan askar-askar Jepun. Askar-askar Jepun menghalakan muncung senapang masing-masing ke arah muka. Salah satunya kepada Nadine. Ibunya meludah kahak lekat pada muka seorang daripada mereka. Oleh kerana perbuatan itu dianggap kurang ajar, tulang belakangnya diinjak-injak dengan tapak kasut sehingga mukanya tersungkur mencium kaki.

Ada senyuman sinis pada bibir ibunya. Mereka digiring ke dalam trak tentera. Di dalam trak, sudah penuh dengan orang yang ditangkap. Mereka tidak bercakap sepatah pun. Kebanyakannya lelaki. Tidak nampak ketakutan pada wajah. Cuma mengemam lidah, menahan perih tubuh yang dikitai tanpa diberi peluang melawan secara jantan.

“Kalau dapat rokok sementara sampai pun jadilah.” Seorang lelaki lingkungan 20-an bersuara. Askar Jepun yang berdiri di hadapan menghentak belakang senapang ke tengkuknya, membalas permintaannya dengan bahasa yang tidak sesiapa fahami. “Aku tak minta lebihlah, cukup sebatang buat hilang loya.” Kali ini, rahang mukanya jadi sasaran. Nadine mula menyampah dengan tingkah itu. Dalam keadaan ini lebih baik diam daripada mencari fasal. Perjalanan masih jauh.

Tidak ada yang berganjak daripada tempat duduk bermula daripada babak awal itu. Filem berdurasi dua jam menampilkan sesosok pelakon baru, Nadine, yang tidak pernah dikenali negara mereka berjaya menerima reviu positif daripada para pengkritik dari sudut sinematografi dan penceritaan.

3.

Populariti Nadine berkembang dan disorot meluas di Tiongkok dan Korea Selatan. Di sebalik mukanya yang bercahaya dek kegembiraan mencapai satu lagi kejayaan hidup, Nadine termangu, takut dan khuatir akan respons seluruh rakyat tanah air. Pertama kali, ia mulai mempertikaikan keputusannya untuk ikut cara sendiri. Bilakah dia memiliki rencana untuk menjadi aktres sedangkan guru-guru sekolah menengah dulu mendeskripsikan dirinya sebagai murid baik yang selalu menyiapkan kerja sekolah dan memiliki cita-cita kuat untuk menjadi ahli arkeologi.

Sewaktu pulang daripada menghadiri jemputan Festival Filem Antarabangsa Busan, dia menerima makluman larangan untuknya muncul dalam sebarang media kebangsaan. Lembaga Pengelola Media, menggesa semua stesen menghentikan tayangan iklan yang dibintangi Nadine melalui memo yang dikirimkan kepada seluruh stesen televisyen dan radio. Papan-papan iklan yang memasang wajahnya juga dikehendaki diturunkan atau dicat hitam wajah sementara diturunkan. Penganjur dan penaja hadiah penghargaan industri perfileman dilarang untuk memasukkan Nadine mahupun kru produksi filem itu dalam sebarang pencalonan dalam mana-mana kategori.

“Saya sungguh sedih dan bersimpati. Nadine dalam usia muda, disakiti dengan cara ini.” kata Tuan Pengarah dalam satu kenyataan media. “Dia telah meletakkan dirinya pada satu takah yang sukar dipadamkan dalam sejarah peta seni negaranya. Kami akan bersatu sebagai sebuah keluarga, melakukan apa saja bagi memberinya sokongan dalam mengharungi situasi sulit begini.”

Rafael berbeza. Tampaknya, dia terlepas daripada kecaman netizen di medsos. Tidak ada tanda-tanda dia bakal menerima petaka. Sebaliknya, dia menerima banyak jemputan program bual bicara. Mereka mahu tahu ke mana Nadine menghilang dan seberapa lama lagi mahu mendiamkan diri. Bertuturlah dengan selamba jika tidak tahu apa-apa, pesan Tony Nicholas. Jangan memperlihatkan diri gementar dan kelam-kabut. Jika kau tidak faham apa-apa, jangan membisu. Kau dibayar untuk bercakap.

“Menggantung bendera dan menampal poster malam pilihan raya lebih cocok dengan diriku.” Rafael mengomel sendirian tatkala dia menjejakkan kaki di stesen televisyen. “Ah, sepatutnya aku sampai lebih awal!”

4.

Dia muncul dalam kaca televisyen dengan imej muka bersih. Rafael memilih mengenakan jeans dan jaket, berkaca mata gelap dan berkasut kulit. Menjawab soalan demi soalan maut dengan memulangkan kembali banyak tanda tanya. Dalam kancah persaingan sengit antara stesen televisyen, rancangan itu cuba membawa kelainan. Slot baharu yang dibawakan secara langsung kepada penonton di studio dan di rumah pada setiap hari Ahad memperoleh rating tertinggi sepanjang penyiarannya malam itu.

Seminggu kemudian, beribu-ribu rakyat menyeberang tambak bagi menonton sebuah skandal pada hari pertama tayangannya.

5.

Tukang jahit wanita melilit pita ukur pada pinggang. Dia memuji lengkung tubuhnya sebagai memiliki ukuran pinggang yang kecil dan pinggul montok. Tetapi, kemudian memilih untuk bertanya hal bersifat peribadi meski nadanya bersalut gugup, “Hati siapakah sebenarnya mahu kau tawan?”

“Suami.”

“Apakah suami memang mahu mempamerkanmu?”

“Kalau dia mahu. Aku menurut.”

“Semua orang melihatmu. Aku mahu mengingatkan, semua wanita pasti membencimu, ingat itu!”

Nadine tidak membalas. Pergi dengan meninggalkan pesanan tanpa menoleh, “Mesti siap, sebelum majlis, minggu depan.”

Nadine datang malam itu dengan gaun merah terdedah di belakang. Dengan segala kecantikannya yang ada menakluk mata. Bunyi keletap-keletup tumit kasutnya memerangkap gegendang para pegawai Jepun. Mereka tadinya ketawa terbahak-bahak membayangkan perihal manusia memanjat pokok kelapa seperti seekor beruk saling berpandangan sesama sendiri. Paling lewat tetapi tampil begitu menyerlah. Isteri-isteri dan perempuan-perempuan para pegawai berbisik satu sama lain sehingga tidak dapat lagi menyembunyikan mimik meluat pada muka. Nadine mengitari majlis. Dia mengatur langkah merapati sekumpulan lima orang pegawai yang berdiri sambil memegang gelas minuman di suatu sudut yang agak terceruk. Dia tidak terburu-buru. Malah, hanya berdiri sesampai di hadapan lingkungan mereka, menunggu bulatan dibuka untuknya sebagai tanda diterima.

Dua orang pegawai yang mendepaninya mengilas pandang apabila menyedari tumpuan Gabenor Yamamoto beralih. Nadine maju lima tapak apabila ruang dibuka. Dia benar-benar menghadap gabenor. Tegap dan sasa rupa. Wajah sedikit dimamah usia namun kekal segak dengan pingat tersemat pada dada dan dua papan paku berkilat di bahagian bahu. Mata galak gabenor menatapnya tak putus. Dia menunduk menahan malu yang menyerbu. Berdebar-debar. Darah bergemuruh. Inikah dia pesona? Dia berdiri di hadapan seekor binatang buas yang telah menyeksa dan merenggut ribuan nyawa daripada jasad tanpa mencalitkan tapak tangannya walau dengan setitis keringat.

“Boleh saya mengajar anda menari?”

“Ya, tentu, jika tuan sudi.”

“Suamimu tidak jadi datang?”

“Tidak.” Dia mengangkat kepala sebentar. Kemudian, menunduk serba salah. “Entah mengapa, malam ini saya gembira dia tiada.”

“Isteriku pasti cemburu jika dia di sini.”

Nadine dibawa ke tengah ruang panggung. Pinggangnya diranggul. Haruman menusuk dalam. Gabenor Yamamoto dapat melihat jelas selembar kalung emas terletak elok menghias leher jinjangnya. Loket medalion jantung dari emas tertarik ke bawah. Sebentar kemudian, kugiran memainkan lagu yang dimohon gabenor – All The Things You Are daripada Tommey Dorsey.

6.

Begitu banyak kecaman terhadapnya sehingga tidak ada lagi pujian ditaip pada ruangan komen dalam medsos. Nadine membaca. Dia tidak pernah menjawab. Penampilannya dalam filem di luar jangka – melanggar sopan-santun budaya orang Timur. Rakyat tanah air tidak dapat menerima penampilannya yang melanggar larangan berbau cabul dan pendedahan terhadap tindakan dan perlecehan seksual melampau dalam filem. Lebih lagi, dia membawakan watak seorang isteri pegawai Jepun yang jatuh cinta dengan Ketua Pentadbiran Jepun yang bergelar Gabenor itu sehingga sanggup mengetepikan dendam untuk menuntut keadilan bagi mencapai hasratnya berada di tempat terhormat.

Kontroversi dirinya membikin satu gelombang baharu hingga membuka satu ruang alternatif kepada ramai orang untuk mengalihkan sejenak tumpuan setelah begitu lama lelah dan terhimpit memikirkan masalah hidup yang lebih meruncing seperti beban tugas di tempat kerja yang menjerat; hutang kereta dan rumah yang tertunggak mahupun masa bersama-sama anak-anak yang terhad.

Segalanya bermula daripada babak Nadine di penjara. Sebagai seorang tahanan, dia disoal siasat hampir setiap hari oleh para pegawai Jepun terutamanya tentang hal yang melibatkan organisasi anti-Jepun. Dia kental. Dia jawab tidak tahu. Jawapannya yang tidak berganjak membuat mereka berasa muak. Tubuhnya diseksa. Badannya dicucuk dengan puntung rokok. Tidak cukup, tubuhnya dipijak-pijak.

Jiran-jiran yang berada di sel lain tetap mendengar suaranya menjerit lantang untuk mengobarkan semangat kepada teman-teman agar keberanian tidak lenyap dalam penjara. Pengkhianat pernah dibawa kepadanya dengan muka manis bagi mengelabui hatinya dengan nasihat, “Jangan degil. Orang-orang terhormat kaum kita pun bekerjasama dengan Jepun. Jangan bazirkan usia muda dengan perjuangan yang tak pasti. Tiada jalan keluar dari penjara besi ini, mulakan hidup baru bersama-sama mereka.”

7.

Tony Nicholas hanya punya sisa waktu sebelas hari untuk berkempen. Nadine pula mahu segera berjumpa. Sekurang-kurangnya menggunakan pengaruh Tony Nicholas untuk membantu memulihkan sedikit imejnya yang rosak teruk. Tony Nicholas mahu berada jauh daripada segala hal yang dikira boleh dikorek pihak lawan sebagai modal ampuh untuk menghancurkan imej bersihnya sebelum pilihan raya. Dia tidak mahu menanggung sebarang risiko. Janjinya, semua akan kembali normal selepas dia menang. Walaupun untuk seketika, dapat mengelakkan diri daripada menjawab sebarang panggilan telefon, mesej atau e-mel daripada Nadine, dia terpaksa menelan pil tidur untuk melelapkan mata. Dalam bayangannya, apakah mungkin berlaku jika pada suatu masa, Nadine memutuskan untuk mendedahkan segalanya kepada dunia. Karier politik yang dibina sejak muda bakal punah sekelip mata. Dia akan jatuh bukan kerana keangkuhan yang selalu dijaja musuh-musuh politiknya melainkan menanggung malu sepanjang hayat.

Ketika dia berpidato di bawah khemah atau bangsal, sepasang matanya tertuju ke pintu pagar – kiri, kanan dan belakang mencari Nadine yang akan berkaca mata hitam dan bertudung, melambai mengharapkan Tony Nicholas menemukan kelibatnya. Nadine hadir pagi itu. Jauh dari ibu kota. Tidak seperti siri-siri pidatonya sebelum ini, Nadine tampak muram. Dia pulang awal.

“Kami memahami dan mengenali hati melalui sebuah filem. Kami bermula sebagai teman, menjadi sepasang kekasih. Dan kini, akhirnya, bakal menjadi suami isteri. Walaupun aku berhadapan cabaran baharu untuk mempelajari bahasa, budaya dan agamanya. Ia akan menjadi momen paling bahagia dalam hidup.” Begitu hantaran status Tuan Pengarah pada laman Facebook.

Esok, naskhah berita ini laku keras, fikir Tony Nicholas. Dia akan meminta Rafael awal-awal pagi lagi ke kedai akhbar. Kalau terlewat pasti habis direbut orang. Dia mahu membaca Nadine.