Petang itu, saya mengajak suami menyusuri Sungai Perak dengan menaiki bot penambang pelancong. Air Sungai Perak masih tenang seperti dulu meskipun sedikit keruh. Dari jauh, saya dapat melihat pangkin kayu tempat membasuh kain di hujung tebing masih ada. Kelihatan kayunya sudah mereput dan berlumut, petanda sudah lama tidak digunakan. Sudah bertahun dimakan air barangkali.

Tidak ramai yang menggunakan perkhidmatan bot penambang hari ini seperti zaman kemuncak kegemilangannya suatu ketika dahulu. Selain saya dan suami beserta pemandu bot, cuma ada dua orang lelaki dewasa yang menjadi penumpang. Barangkali mereka ingin memancing agaknya. Bot penambang yang sedikit teroleng-oleng membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak saya yang penuh dengan kenangan manis.

Cikgu Rashid mengamati wajah kami satu persatu. Bebola matanya beralih-alih di antara kami yang seramai 16 orang ini. Seketika, saya dapat melihat dia memicingkan mata sebelum menghembuskan nafas melalui rongga hidungnya yang sedikit mengembang. Sedikit demi sedikit.

Saya, selaku ketua kelas 6 Anggerik dan duduk di barisan hadapan sedaya upaya cuba menahan kantuk, meskipun kelopak mata terasa memberat. Seakan-akan terdapat sebongkah batu besar berserayut di hujung lentik bulu mata saya.

“Baiklah, kita berhenti setakat ini dahulu kelas tambahan kita kali ini.”

Suara Cikgu Rashid memecah hening.

“Yeaaaa.”

Serentak, kami bersorak riang. Masing-masing kelam-kabut mengemaskan beg sekolah. Sepantas kilat, segala buku dan alat tulis dimasukkan ke dalam beg. Tanpa tertib.

Usai melafazkan salam dan terima kasih, kami berdedai-dedai keluar menuju ke tempat parkir basikal. Ada yang berlari, ada juga berjalan santai. Saya bersaing bersama Azwa dan Rokiah. Beg tuisyen berantai kuncikan Mickey Mouse berwarna merah hitam, saya galas. Manakala plastik berisi bekal makanan yang telah kosong, saya selit di hujung kelingking kanan.

Rancangan kami, mahu menyinggah di gerai Cik Endan, membeli jeruk mempelam dan kelubi sekupang dua. Duit belanja sekolah pagi tadi memang kami simpan bakinya khusus untuk rancangan ini. Terasa masam-masam manis dan sedapnya jeruk Cik Endan yang bakal melalui tekak sebentar nanti. Air jeruknya yang bakal kami hirup daripada plastik comel itu memang benar-benar mengecurliurkan.

Di belakang kami, geng budak lelaki yang terdiri daripada Zan, Joy, Helmi, Mat Nor, Shahruan, Rizal, Saiful dan Khairul bergelak sakan tiba-tiba. Kami bertiga serentak menoleh.

“Apa tengok-tengok? Pergi balik cepat! Sibuk je!”

Zan yang terperasankan pandangan kami, menyergah tiba-tiba. Bulat matanya merenung Azwa. Rambutnya yang sedikit ikal mayang kelihatan kusut masai, bahana tidak memakai minyak rambut sejak pagi lagi. Seluar sekolahnya yang hampir terlondeh, cepat-cepat dia tarik semula. Entah di mana tali pinggangnya.

“Ala, tengok pun tak boleh! Bukan luak pun!”

Saya menjelirkan lidah. Refleks, Azwa dan Rokiah mengikut perlakuan saya. Kami gelak terkekeh-kekeh. Hayunan langkah tetap diteruskan.

“Kira jadilah ya? Aku tumpang basikal kau, Joy. Tadi, bapak aku yang hantarkan aku. Ni dia belum sampai lagi, sempatlah aku join rancangan korang.”

Gegendang telinga saya menangkap butir bicara yang diungkapkan Mat Nor atau nama sebenarnya Muhammad Noor, budak lelaki paling kacak di dalam kelas kami. Rancangan? Wah, ada rancangan besar rupanya mereka!

Hati menjadi libang-libu tiba-tiba. Bagai digeletek jiwa raga ingin mengetahui rancangan mereka.

Saya menarik telinga Azwa rapat ke mulut. Menyenget jadinya tubuh Azwa yang tidak bersedia dengan tindakan spontan saya. Hampir tersungkur dia mengikut arah telinganya ditarik. Langkah Rokiah turut terhenti.

“Jom kita ikut mereka, nak? Kita tengok apa rancangan mereka. Nak tak?”

Meskipun berbisik, Rokiah kelihatan mendengar dengan jelas butir bicara saya. Mengangguk-angguk kecil kedua-dua kawan baik saya ini.

“Set!”

Kami serentak menutup mulut. Bimbang diketahui budak lelaki akan rancangan kami ini. Mata dikenyitkan tanda persetujuan bersama.

Ke mana agaknya mereka semua nak pergi? Bukan main beria-ia si Zan menghalau kami balik, kononnya ada projek rahsia! Tunggulah! Kami akan tahu juga nanti.

Kumpulan budak lelaki kelas kami berbondong-bondong mengayuh basikal keluar dari tempat parkir. Saya, Azwa dan Rokiah sengaja melengah-lengahkan masa.

Kami bertiga menunggang basikal mengikuti mereka dalam jarak yang tidak diragui. Sesekali, sengaja kami jauhkan jarak untuk mengaburi mereka.

Langsung kami terlupakan rancangan kami untuk membeli jeruk Cik Endan. Ternyata, mengekori geng budak lelaki lebih mengujakan kami.

Mereka berlapan mengayuh basikal agak laju. Melepasi padang dan pagar sekolah. Kadang-kadang elok berbaris mengikut bibir jalan, kadang-kadang basikal mereka teroleng-oleng hingga ke tengah jalan.

Kelihatan, kayuhan basikal mereka menghala ke arah Sungai Perak yang terletak berhadapan sekolah. Jika benar sangkaan kami yang mereka ingin mandi sungai, seronok juga kalau boleh ikut serta. Namun apakan daya, sejak awal lagi kami memang telah dipesan oleh ibu masing-masing supaya tidak mandi-manda di sungai lagi, seperti selalu kami lakukan suatu ketika dahulu.

“Anak mak ni dah besar. Tak manis dah main-main di sungai lagi.”

Itu pesan emak saya.

“Lepas habis kelas tambahan, jangan singgah di mana-mana, terus balik rumah!”

Itu pula pesanan ibu Azwa dan ummi Rokiah.

Kami mempercepatkan kayuhan. Mata melilau-lilau mencari ke mana mereka sebenarnya arah tujuan mereka.

Nun, di bawah pokok, kami ternampak basikal mereka terbaring bergelimpangan. Sayup-sayup terdengar suara geng budak lelaki bergelak ketawa.

Kami bertiga menongkatkan basikal kami perlahan-lahan berdekatan basikal mereka. Menyembunyikan diri di sebalik pokok besar. Harap-harap geng budak lelaki tidak perasankan kami bertiga ini.

Amboi, bukan main seronok lagi mereka berlapan mandi-manda. Bermula dengan acara perseorangan terjun tiruk dari dahan pokok dan kemudiannya bergayut dengan akar pokok sambil terjun semula ke dalam sungai. Acara mereka yang terakhir pula ialah acara berlumba masa menyelam paling lama. Cemburu betul rasa hati.

Namun, yang paling mengejutkan kami ialah kesemua mereka bertelanjang bulat, boleng!. Antara kemahuan mendesak melihat keseronokan mereka mandi-manda, diselangselikan dengan rasa malu melihat keadaan bogel mereka. Apalah budak lelaki ni, tak tahu malu langsung!

Tiba-tiba, saya mendapat akal. Disebabkan perasaan cemburu yang bergelojak, saya mesti pastikan kegembiraan mereka tidak bertahan lama. Dalam keadaan kami terhendap-hendap itu, saya membisikkan rancangan saya kepada Azwa dan Rokiah sekali gus. Mereka mengangguk setuju, seperti biasa.

Saya membuat isyarat jari. Membilang perlahan satu, dua dan tiga.

Serentak, kami melaung sekuat hati, serentak,” Mat Nor! Bapak kamu datang! Dia suruh kamu balik sekarang juga!”

Cepat-cepat kami sembunyikan diri di belakang pokok.

Berdeburan bunyi air sungai seketika. Kemudian, senyap.

Kami menjerit sekali lagi. Kali ini dari belakang pokok tempat kami bersembunyi.

“Mat Nor! Bapak kamu datang! Dia suruh kamu balik!”

Terkekek-kekek kami ketawa. Puas rasa hati.

Sekali lagi, bunyi kocakan air sungai kedengaran. Kami mengintai dari tempat persembunyian kami.Kami lihat, geng budak lelaki bercempera berenang ke daratan. Bogel. Semakin galak kami ketawa.

Namun, kami tidak menunggu lama. Kelam kabut saya, Azwa dan Rokiah mencapai basikal masing-masing dan lari menyelamatkan diri.Terdengar suara Zan marah-marah menjerit, “Siap kamu, Ella! Kamu mengintai kami mandi pulak ya!”

Kami bertiga tidak menoleh ke belakang lagi. Mengayuh basikal masing-masing selaju mungkin. Sepanjang jalan kami bergelak ketawa. Teringatkan geng budak lelaki yang boleng semua, menambahkan lagi geli hati kami. Entah apa jadi kepada geng budak lelaki, tidak kami ketahui ketika itu.

Saya tersenyum sendiri.

“Hah, kenapa senyum-senyum ni?”

Suami di sisi mencuit bahu. Saya sedikit terkejut. Jauhnya lamunan saya. Saya mengalih pandang ke arahnya.

“Sayang teringatkan kawan-kawan sekolah rendah dulu. Entah di mana mereka semua sekarang.”

Sehingga kini, setiap kali terpandangkan Sungai Perak, nostalgia manis ini akan menjelma, menjemput senyuman manis di bibir saya.