Walaupun begitu, tiada penduduk yang berani menghampiri banglo itu. Katanya, banglo itu masih ada penghuninya. Cuma orang yang bertuah sahaja yang dapat melihat.

“Anis! Ini kerja gila, kau tahu. Kalau orang sini pun tak nak masuk, inikan pula kita. Orang kata, sini ada hantu kerabat diraja. Lagipun, dah malam ini. Marilah balik,” kata Fataehah, memujuk. Tubuhnya menggeletar. Matanya meliar memandang sekeliling. Entah apa yang ditakutkan pun, mereka tidak tahu.

Fazlyana yang turut berada di hadapan pintu gerbang banglo setinggi lapan kaki itu hanya menjeling. Sedikit kurang senang dengan kata-kata Fataehah sebentar tadi.

Bukan mereka berdua tidak tahu betapa penakutnya Fataehah tetapi sebagai pelajar jurusan kewartawanan, mereka terpaksa juga mengharunginya untuk menyiapkan projek tahun akhir. Temanya sudah jelas.

Anis Amira mengeluh.

“Kalau kau tak mahu buat, kau pergi balik. Manusia pun perangai dah macam hantu. Kalau macam itu, tiap-tiap harilah aku jumpa hantu kan? Fikir sikit. Benda ini untuk masa depan kita. Bukan aku saja-saja nak datang sini. Kau nak balik, silakan,” balas Anis, mendatar. Pandangannya masih tidak beralih dari banglo itu. Tangannya yang bersilang tadi, dilunjurkan ke bawah. Cuba untuk menghilangkan rasa kebas.

Fataehah terdiam. Fazlyana masih lagi membisu.

Langsir bilik diselak perlahan. Mahu melihat siapakah yang berani menghampiri banglo miliknya itu. Kelihatan tiga gadis muda berdiri di hadapan pintu gerbang sambil menggalas beg di belakang. Mereka memandang ke arah banglo, namun teragak-agak untuk melangkah masuk.

“Nampaknya kita ada tetamu malam ini. Siapkan makanan,” ujar gadis berkebaya kuning diraja itu. Orang suruhannya mengangguk sekali tanda patuh sebelum keluar dari bilik. Gadis itu tersenyum nipis.

Bukan tersenyum kerana gembira hadirnya tetamu. Tetapi senyuman itu datang kerana salah seorang daripada mereka sudah ternampak akan dirinya.

“Hidangan hari ini sangat enak,” sambung gadis itu perlahan sebelum langsir itu ditutup kembali, meninggalkan gadis tadi dalam ketakutan.

“Dayang, apa kau sudah siap sediakan makanan buat tetamu beta?” Anis Amira menaikkan keningnya sebelah. Hairan dengan nada itu. Suara Faz yang bertanya itu kedengaran seperti bahasa Melayu lama. Lagi pula, siapa hendak masak makan malam sebegini lewat? Sekarang masanya untuk tidur. Burung hantu saja yang cergas bangun waktu begini. Disebabkan dia mahu menyiapkan cepat, dia terus meletakkan kamera di posisi yang terbaik di dalam bilik tetamu itu. Dia tidak lagi menghiraukannya.

Namun begitu, Anis tidak menyangka akan ada orang yang menyahut.

“Sudah, tuanku. Patik sudah hidangkan di atas meja, tuanku.” Eh, itu suara Teha. Anis memandang ke arah pintu. Berkira-kira mahu menegur perangai mereka yang buang tabiat itu atau membiarkan saja. Dia tidak sedap hati ingin menegur tapi naluri ingin tahunya juga sama kuat.

Belum sempat dia mahu membuat keputusan, kedengaran tapak kaki sedang berjalan menghampirinya dan bunyi tapak kaki itu berhenti betul-betul di hadapan pintu bilik tetamu.

“Anis,” suara itu memanggil. Tapi, suara itu milik Faz. Sedikit sebanyak hilang rasa takut di hati. Kerjanya yang tertunda tadi disambung semula.

“Haa apa? Kerja aku belum siap lagi. Kau dah siap ke setting perabot dekat bawah tu? Sempat pula kau bermain dengan Teha,”balas Anis. Suaranya ditekankan agar tidak nampak garis-garis ketakutan.

“Untuk apa kau mahu mengubah tempat itu?”

“Eh, engkau ni. Kan kita nak tahu ada ke tak entiti dalam rumah ni. Kalau betul ada, dia akan ubah balik perabot tu. Kau ni apa hal” Suara Anis meninggi. Bukan ke Faz juga yang berikan cadangan itu. Sekarang dia pula yang menanyakan semula. Kamera di tangan diletakkan di atas lantai sebelum dia bergerak ke arah pintu. Tombol pintu diputar dan dibuka diluas.

“Yang kau tak reti-reti nak masuk, kenapa?” Mulutnya ternganga. Mata Anis terbeliak. Terkejut. Tiada siapa yang berada di luar pintu itu.

Mana pergi Faz dekat luar ini tadi?

“Faz,” Anis memanggil sambil langkahnya perlahan keluar dari bilik. Langkahnya satu persatu ke depan. Di hadapan bilik tetamu, terdapat tangga yang menghubungkan tingkat atas dan bawah. Manakala bersebelahannya, terdapat bilik tetamu yang lain. Anis mengatur langkah ke tangga. Pernafasannya cuba dikawal rapi.

“Faz!” Teriak Anis.

Tiba-tiba, bahu Anis disentuh dari belakang. Anis terlompat dan terus memalingkan mukanya ke belakang untuk melihat entiti di belakangnya.

“Kau kenapa terkejut sangat ni?” Dahi Faz berkerut, menunjukkan tanda dia pelik dengan keadaan Anis.

“Tak ada apa,”

Nafasnya laju. Lalu, dia menarik nafas sebelum dihembusnya perlahan. Dia tidak mahu menjadi lemah sekarang. Tidak. Keputusan peperiksaannya menjadi pertaruhan ketika ini.

“Kau dekat mana tadi?” Sambung Anis. Matanya memandang Faz.

“Aku ada dekat bilik tetamulah. Kan kau suruh setup kamera. Kita sama-sama naik tadi kan,” Faz bergerak ke arah bilik tetamu yang bersebelahan dengan bilik tetamu Anis tadi. Sebelum Faz menyambung kerjanya, dia melihat semula ke arah Anis.

“Kau nampak dia ke?”

Anis tersentak.

“Siapa? Aku nampak kau jelah sekarang ni.” Faz senyum, memerli. Anis terketar-ketar mahu menjawab soalan itu. Semangatnya yang dibina buat kali kedua sebentar tadi kembali runtuh.

“Dah tu, takkan kau datang sini dengan aku je. Ada kau nampak Teha? Senyap je dia dekat bawah tu. Yang kau takut sangat ni kenapa?” Terang Faz sambil menanyakan soalan baharu. Langsung matanya dikecilkan dengan kerutan di dahi bertambah jelas.

“Ke kau dah nampak ‘dia’? Tambah Faz lagi. Dia pasti Anis faham dia itu merujuk kepada apa. Dia masih belum gila untuk menyebut gelaran itu di banglo ini.

“Dah. Jangan nak merepek. Mari tengok Teha,”balas Anis sebelum meninggalkan Faz di belakang untuk mencari Fataehah di bawah.

Sampai di bawah, mata Faz terus terlekat ke arah satu kertas kecil yang diletakkan di atas meja makan. Nota itu diambil dan dibaca. Anis tidak ketinggalan untuk membaca dua patah perkataan itu.

Selamat jalan.

Anis dan Faz memandang antara satu sama lain. Lalu, mereka bergegas keluar dari rumah untuk mencari Fataehah. Pintu gerbang dibiar terbuka. Enjin kereta dimulakan dan menderu laju. Membiarkan anak gadis di jalanan berseorangan bukanlah pilihan yang baik.

Tanpa mereka sedar, pintu gerbang itu ditutup kembali tanpa ada sesiapa pun yang menolaknya. Malah, dikunci dengan ketat sekali.

Bukan itu sahaja, mereka tertinggal akan seseorang di dalamnya.

“Anis, Faz. Tolong aku! Selamatkan aku!” Jerit suara itu sebelum kembali menyepi seperti malam-malam yang lain.