Apa sebab bergelang paun

Bambawaran gelang di kaki

Apa sebab ku teraun-raun

Pembawaan sudahlah di hati

Tunggu. Ini istilah klasik?

Bambawaran..bambawaran…

Mereka kata kini maklumat boleh dicari di hujung jari. WhatsApp group? Teringat titipan ustaz, WhatsApp group itu umpama khalayak. Jika hendak menegur kesilapan seseorang private-massage sahaja. Kerana niat yang salah boleh menyebabkan jatuhnya air muka. Facebook? Ya, getusku. Kumpulan ‘Kami Guru Malaysia’. Hati-hati aku bertanya, dunia maya tanpa ekspresi wajah dan hati. “Maaf. Mungkin dapat dibantu. Saya ada terjumpa pantun klasik dengan suatu perkataan ‘bambawaran’. Bambawaran ini nama orangkah? Watak? Jawatan? Benda? Dalam kamus tiada berjumpa”. Kemudian, kusertakan pantun itu. “Indahnya bahasa”, harap intonasi pemberi komen itu bermaksud baik. “Cuba bertanya sasterawan negara”, “Apa sebab bergelang paun maksudnya kenapa pakai gelang palsu”. Lalu dibalas dengan “Emas paun bukankah emas 18 karat atau emas 750? bukan tiruan”, “Betul, emas paun bukan emas palsu tapi emas kualiti rendah”, “Gelang paun tu macam gelang skeleng tapi skelengnya sebesar duit 50 sen”, “Gelang paun gelang orang kaya-kaya”, telah menjadi suatu perbincangan gelang paun pula.“Mungkin bambawaran ini bahasa Sanskrit”, Ya..., mungkin jika dipandang dari sudut bahasa. “Mungkin ‘Bambawaran’ seorang primadona atau penari yang memakai gelang di kaki”, “Mungkin polis atau penjaga istana dan dia ada kebenaran untuk tahan pesalah”, persepsi pemberi komen mengaitkan dengan waran tangkap. “Adakah barang kemas lama gelang kaki ini?” dijelaskan dengan gambar raja sehari berpakaian tradisi. “Bunyi gemerincing gelang kaki itu?”, semakin membuak pertanyaan-pertanyaan. “Bambam gajah hebat”, “Adik beradik tongkat waran,”ah,jawapannya memang bukan-bukan, namun terapi minda menghiburkan. “Balik kampung nanti akan ditanya kepada orang-orang tua,” janji seseorang bagai terpandu dengan klu-klu yang ada. Selang beberapa lama komunikasi menjadi tepu untuk dibincangkan. Aku menutup perbualan,“Terima kasih atas perkongsian, andai suatu masa sesiapa bertemu ‘bambawaran’, bawa dan kenalkan kepada kami di sini”. Tiada jawapan.

Bambawaran..bambawaran…

Pencarian diteruskan. Kujejaki khutub khanah sumber ilmu merentas masa. Kata bijak pandai, itulah sebabnya ada penulisan yang membawa penulis beserta ilmunya kepada kita. Ukiran di hadapan pintu masuk ini menyambut niat. Tertulis: Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian manusia, Ia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan nama Tuhanmu yang Maha Pemurah.Yang mengajarkan manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya-Al-‘Alaq 1-5. Siapakah sarjana yang dapat membantuku kali ini.Rak terbuka dan bahagian rujukan menjadi sasaran. Helaian-helaian diselak.

Buku 1 : Ditulis negeri bersejarah itu kerana menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang, maka ramai yang tinggal di situ, berkahwin dan membesarkan keluarga. Komuniti berbeza hidup harmoni dan menghormati antara satu sama lain. Membawa juga bersama pengaruh-pengaruh dalam budaya berpakaian dan hiasan. Ada cucuk sanggul berbunga goyang, sanggul lintang,sikat atau sisir rambut,penutup kepala pemeleh,gandek dan petam. Ada cincin,lecha,kerongsang dan butang. Kemudian, ada sunting malar, juga subang lanjut. Ada gelinya dan kerabu. Lelakinya memakai tengkolok,tali pinggang dan pending. Ada Justar Diraja, Justar Singa Menoleh dan Mahkota. Ada sumbi gigi, rantai, agok, dokoh dan kalung. Gelang tangan pelbagai panggilan bergantung kepada ukiran. Gelang belah rotan, gelang ular, gelang pintal tali dan cekak tangan. Gelang kaki…anklet...tidak sepopular rantai kaki yang lebih diminati oleh golongan muda. Itu sahaja, tiada nama lain untuk gelang kaki di dalam buku ini. Tiada bambawaran.

Buku 2 : Kompilasi istilah kesenian Melayu disusun mengikut abjad A hingga Z kuselak. Baju Riau Pahang..Baju sikap..Baju taqwa..Bakul..Bala..Balai Seni Lukis Negara..Ballet..(Bambawaran jika ada pasti duduknya di sini..tiada)…Bangsawan..Barang kemas.

Buku 3 : Kumpulan pantun Melayu.Hayat lama kitab ini terpamer melalui kertas kekuningannya.“Tradisi berpantun sememangnya telah tersebar luas dalam masyarakat Melayu tradisional.Begitu luasnya pantun telah membentuk masyarakat sehingga kita berasa yang pantun telah membentuk sebahagian daripada bahasa basahan seharian,”kata penulis.“Menurutnya, mereka mewarisi pantun-pantun tersebut secara lisan. Malah, ada beberapa orang daripada pemantun yang tujuh orang di atas, adalah buta huruf.Akan tetapi, sumber lisan yang mereka terima itu ialah daripada generasi sebelumnya yang mewarisi pantun-pantun tersebut dari seorang bidan di Kampung Sungai Dua di Kuala Pilah yang menurut Encik Latif Oyek ialah pemantun utama R.O. Windstedt yang menyunting buku Pantun Melayu bersama R.J. Wilkinson,”ulas penyelenggaranya lagi.“Orang-orang Inggeris ini pernah menyarankan bahawa untuk memahami perasaan orang Melayu, seharusnya difahami pantunnya,” sebuah buku lagi yang serupa bercerita. Unik. Terima kasih kompilasi ini masih memungkinkan satu jalur warisan tidak dilupakan. Bambawaran? Tiada.

Bambawaran...bambawaran…

Fikiranku melayang tatkala kakiku dipicit-picit. Tukang urut dari Surabaya itu menceritakan kisah anak dan cucu-cucunya yang tinggal di sana.Rezeki di Malaysia dikongsi merentas lautan.“Di sini, orangnya senang-senang, tidak mahu dipakai baju yang pernah dipakai orang,”katanya lagi. “Owh, ibu silap, ibu belum pernah pergi lagi agaknya ke Free Market, ambil sahaja, senyum dan ucapkan terima kasih!,” aku hanya mengucapkannya di dalam hati. Alhamdulillah, syukur atas sumber yang sentiasa ada di bumi bertuahku ini. Membiarkan ibu serumpun dan seagama menasihatiku sambil bercerita kisah-kisah perjalanan hidupnya. Terkadang lebih jelas dari segala mesej berbasis teknologi. Ini peluang untuk bertanya. “Ibu, ibu pernah dengar perkataan ‘bambawaran’ ?’ “Tidak pernah, Indonesia itu banyak bahasanya”.Tersalah sasaran bertanya lagi nampaknya.

Bambawaran…bambawaran…

“Kau masih bersemangat mahu mencari bambawaran?,”bujuk taulanku.“Kalau tiada, kenapa perlu bersusah payah mencari, jaga sahaja yang sudah ada”.Aku tidak mahu bambawaran senasib puncak, persiaran atau laman tatkala Heights, Avenue atau Garden datang. Semakin parah dan kabur kepinginan untuk menegakkan tiang bahasa di tempat asalnya. Harus aku yang menambah simen dan mortar untuk mengukuhkannya sebelum runtuh. Cuba lagi.

Bambawaran…bambawaran…

Hari ini cubaanku ialah menghantar ke laman khidmat nasihat penerbit buku itu.“Salam Dunia Persuratan, saya merujuk kepada pantun dari buku Kurik Kundi Merah Saga Kumpulan Pantun Lisan Melayu Edisi Kedua (2005). Pantun bernombor 242. Ingin memohon pencerahan kepada istilah ‘Bambawaran’ di dalam pantun ini. Sudah lama mencari tetapi tidak berjumpa. Terima kasih,” titipku bagai bersemuka.Berselang hari, balasan diterima. “Berdasarkan semakan kami tidak ada maklumat tentang perkataan “bambawaran” dan hanya ditemukan dalam buku berkenaan. Carian di internet juga tidak menemukan sebarang maklumat. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan Khidmat Nasihat,”katanya. Aku fikir ‘bambawaran’ itu barangkali telah dilupakan.

Aku akan terus mencari.Kau mungkin tiada apa-apa nilai wahai ‘bambawaran’,namun dalam langkah membawaku kepadamu,kau membuka mata kehidupan.Bahawa untuk mencari jawapan, mungkin ia memerlukan panjangnya suatu perjalanan keilmuan.