Kak Ros masih lagi menumpukan perhatian pada jahitannya. Lagu dari corong radio membuatkan dia semakin asyik membuat kemasan pada lengan baju kurung itu.

“Kak Ros,” sapa Mimie sambil tangannya menyentuh bahu kiri Kak Ros.

“Eh, Mimi! Bila sampai? Maaf kakak tak perasaan Mimie datang.”

“Manalah kakak perasaan, kalau dah asyik menjahit. Radio, kuat benar, kakak pasang.”

Kak Ros menguntum senyum. Faham benar akan rajuk adiknya.

Kak Ros bangkit dari tempat duduknya lalu memperlahankan radio.

“Nah, ini kain daripada Kak Siti! Dia minta kakak jahitkan gaun seperti dalam cerita Frozen untuk anaknya masuk pertandingan kemerdekaan nanti.”

Kak Ros tersenyum kelat. “Baju kemerdekaan lagi,” keluhnya.

“Mimie, pulangkanlah semula dengan Siti. Kakak ada banyak tempahan lagi.”

“Tapi kak, Kak Siti tu pelanggan tetap kita. Nanti berkecil hati pula dia kak.”

Mimie membuka bungkusan kain. Baju gaun biru itu mungkin contoh ukuran anak Kak Siti.

“Kak, kainnya tiada kak. Bendera Jalur Gemilang sahaja ada kak.”

“Mimie, sekarang menjadi trend baju daripada Jalur Gemilang. Kakak tidak tergamak nak gunting, apa lagi menjahit Jalur Gemilang menjadi baju.”

Mimie mengerut dahinya. Dia tidak faham akan sebab kakaknya menolak permintaan Kak Siti. Sekadar baju untuk pertandingan, bukanlah perkara yang luar biasa.

Namun Mimie terpaksa akur dengan keputusan Kak Ros. Bungkusan itu diikat semula lalu segera beredar untuk memulangkan kepada Kak Siti.

“Kak Siti, minta maaf Kak Ros tak dapat terima tempahan ini. Dia ada banyak tempahan dan khuatir tak sempat siap.”

Mimie mereka alasan sebaik mungkin untuk menjaga hati Kak Siti. Kak Siti terduduk di tangga mendengar pesanan daripada Mimie.

“Siapa lagi yang boleh menjahit?” soal Kak Siti.

Mimie tidak memberi sebarang tindak balas. Risau tersalah cakap mengundang pergaduhan.

Baju ini, Ika nak guna minggu depan Mimie. Ada pertandingan baju bertemakan kemerdekaan.

“Minta maaf Kak Siti,” ujarnya dengan nada perlahan.

Mimie memahami perasaan Kak Siti yang mahukan anaknya turut serta dalam pertandingan itu. Memikirkan tindak balas Kak Ros, dia jadi takut. Kak Ros jarang sekali menukar keputusan. Jika putih katanya, putihnya jua hingga akhirnya.

Jalur Gemilang… di bawah naunganmu

Jalur Gemilang… kami semua bersatu

Perpaduan ketaatan

Amalan murni rakyat Malaysia

Jalur Gemilang… megah kami terasa

Jalur Gemilang… kibarkanlah wawasan

Mimie tersengeh melihat gelagat Kak Ros yang penuh semangat turut menyanyikan lagu Jalur Gemilang. Dalam sehari, lagu itu banyak kali diputarkan juruhebah radio klasik.

Melodinya sahaja cukup menyuntik semangat patriotik. Apa lagi jika menyanyikan, pasti semangat itu meresap dalam jiwa.

“Kak Ros, nampaknya Kak Siti kecewa benar tadi. Mimie tengok dia berharap sangat anaknya ikut pertandingan itu.”

“Boleh sebenarnya Mimie, tapi bukanlah dengan mengorbankan Jalur Gemilang. Jalur Gemilang sepatutnya menjadi kebanggaan kita. Ini seolah-olah memuaskan nafsu untuk menang.”

Mimie terkebil-kebil mendengar luahan rasa Kak Ros. Begitu mendalam rasa cintanya terhadap lambang negara.

“Mak, Laila dah pulang,” jerit Laila penuh kegembiraan.

Tangan kirinya membawa Jalur Gemilang kecil.

Mimie ketawa melihat Kak Ros yang terkejut dengan kedatangan anaknya. Kak Ros fokus hingga tidak sedar akan sekelilingnya. Kak Ros mengukir senyum.

“Anak mak dah pulang, rupanya. Mari mak nak peluk. Rindu sangat dengan puteri mak yang satu ni.”

Laila terus memeluk Kak Ros.

“Siapa bagi Laila bendera?” soal Kak Ros dengan penuh minat menandakan prihatin dengan anaknya.

“Cikgu Affendi yang bagi mak. Tadi Laila dan kawan-kawan belajar menyanyikan lagu Jalur Gemilang. Kata cikgu, Laila akan turut serta persembahan pada 31 Ogos nanti, mak.”

Laila bercerita penuh semangat. Kak Ros berasa bangga dengan sikap patriotik dalam diri Laila.

Laila memberikan sekeping kertas.

“Mak, ini senarai aktiviti nanti. Laila nak ikut mak pertandingan baju merdeka.”

Kak Ros tersentak. Lidahnya menjadi kelu mendengar kata-kata Laila

“Alahai anak mak, kenapa pertandingan itu yang Laila hendak sertai,” gomel Kak Ros dalam hati.

“Mak, bolehkah mak jahitkan Laila baju seperti dalam cerita Frozen tu?”

Kak Ros memasang telinga mendengar luahan hati Laila.

Kak Ros tidak juga membantah kerana khuatir Laila akan berkecil hati. Kak Ros cuba mencari jalan terbaik menerangkan kepada Laila supaya hormat akan Jalur Gemilang.

“Mak, Laila balik dulu… kereta ayah dah sampai.”

Laila terus bersalam dengan Kak Ros lalu meninggalkan Kak Ros dan Mimie.

“Jadi, macam mana Kak Ros?’ soal Mimie

“Tak kan kakak nak menghampakan Laila.” Mimie cuba untuk memujuk Kak Ros.

“Mimie, kita sebagai rakyat Malaysia membetulkan apa yang terbiasa. Kakak tidak akan berubah pendirian semata-mata kerana anak sendiri. Jalur Gemilang tetap dihormati.

Lagipun apa kata orang lain nanti. Tempahan orang kakak tolak, tapi baju anak sendiri kakak buat. Tidakkah itu tindakan tidak adil?”

Mimie terdiam seketika. Khuatir mengundang petir akibat cuba mengubah pendirian kakaknya

“Laila masih kecil. Laila perlu kita tegur dan didik perkara yang betul. Bukannya mengikut kehendaknya semata-mata. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Mimie sekadar mengangguk. Kak Ros jika dibawa berdebat, bukan mengalah. Orangnya bijak benar bermain kata-kata yang bernas.

“Abang, pujuklah Laila jangan ikut pertandingan baju merdeka tu,” pinta Kak Ros.

“Sebolehnya, abang terangkan dengan Laila supaya dia tidak berkecil hati.”

Suaminya, Encik Razlan tersenyum.Suasana sarapan pagi itu senyap seketika. Sebaik sahaja Laila merapati meja sambil menghulurkan buku lukisannya, Encik Razlan dan isterinya tergamam.

“Mak, Laila nak baju begini nanti mak. Minggu depan nak bertanding dah.”

Kak Ros meneliti lukisan Laila. Halus, kemas dan terperinci. Bakat melukis itu memang jelas ada dalam diri Laila.

Kak Ros hairan, baju yang dilukiskan langsung tiada kaitan dengan baju kemerdekaan.

“Laila, boleh terangkan kepada mak tentang baju ni?” Kak Ros ingin tahu rahsia di sebalik lukisan itu.

“Mak, Laila nak baju ini guna kain berwarna biru, kuning, putih dan merah sahaja. Warna-warna itu ada pada Jalur Gemilang.”

“Kenapa Laila tak mahu warna merah jambu?”

“Mak, pertandingan ini bukankah bertemakan kemerdekaan? Jadi, Laila nak abadikan warna Jalur Gemilang pada baju Laila.”

Kak Ros ingin menduga lagi Laila.

Jika begitu, mak boleh jadikan Jalur Gemilang sebagai baju Laila.

“Eh, tak nak mak! Ramai yang buat begitu. Laila mahu kelainan. Lagi pun Cikgu Affendi tegaskan bahawa Jalur Gemilang tidak boleh digunting, dipijak dan dibuat sesuka hati. Kita mesti hormat Jalur Gemilang.”

Kak Ros tersenyum lebar. Rasa bahagia mendengar penjelasan dari mulut mugil itu. Laila mengerti akan semangat hormat akan lambang negara.

“Baiklah Laila,mak akan jahitkan Laila baju seperti dalam lukisan ini.”

Kak Ros memeluk erat Laila.

Kak Ros rasa senang hati. Rasa ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru di sekolah anaknya. Tugas guru bukan sahaja mendidik, malah membentuk peribadi anaknya.

Tiba 31 Ogos, Laila telah membuat persembahan nyanyian lagu Jalur Gemilang bersama rakan-rakannya. Kemudian Laila bersedia memperagakan bajunya.

Dari jauh Kak Ros melihat Laila tersenyum riang. Laila melangkah penuh yakin di atas pentas. Sesi soal jawab Laila dengan petah bercerita tentang bajunya. Dewan meriah dengan tepukan daripada tetamu jemputan.

Baju merdeka tanpa Jalur Gemilang itu telah meraih perhatian dan dinobatkan sebagai juara. Baju yang diinspirasikan dengan semangat patriotisme itu telah membuatkan ibu bapa sedar akan kesalahan yang dilakukan selama ini.

Betapa perasaan tamak haloba untuk memenangi sebuah pertandingan telah menyebabkan hilang rasa hormat pada Jalur Gemilang.