Pengerusi Pengelola program yang juga merupakan Guru Besar SK Ulu Kukut, Norawi Kata berkata, antara objektif program itu ialah mencungkil bakat dan kreativiti murid bercerita secara bersahaja dan meyakinkan di hadapan khalayak.

Selain itu katanya, karnival bahasa itu mampu membina keyakinan diri dan semangat juang yang tinggi serta berdaya saing dalam kalangan murid yang mewakili sekolah masing-masing, demi menjalankan amanah yang digalas sebagai individu yang dipilih menghadapi cabaran.

“Murid-murid juga digalakkan membaca dan menghayati karya kreatif penulis tempatan dan hasil karya sendiri. Dalam konteks ini, secara tidak langsung mereka didedahkan untuk mengenali penulis tempatan kita yang adakalanya tidak disedari masyarakat,” katanya.

Bercerita lanjut tentang sastera, Norawi yang juga salah seorang penerima Hadiah Sastera Sabah sebelum ini menegaskan, betapa sastera perlu diterapkan ke dalam jiwa murid-murid sekolah rendah seawal Tahun 1 demi memperkasa bidang sastera di dalam kehidupan insan.

Menurutnya, peranan bahasa dan sastera tidak dapat dinafikan lagi dalam membangunkan modal insan yang berkeyakinan tinggi dan berani pula melontarkan pendapat, di samping menjadi wadah untuk membina jati diri manusia Timur.

“Sebab itu, pemikiran bahawa bahasa Melayu sekadar bahasa kebangsaan perlu dibuang jauh-jauh. Ada 300 juta penutur bahasa Melayu di seluruh dunia, sekali gus memperlihat betapa bahasa ini merupakan suatu fenomena sebagai bahasa penyatu dan bahasa ilmu,” ujarnya.

Walau bagaimanapun katanya, program berkenaan adalah untuk menyahut dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) melalui institusi pendidikan.

Kesemua pengisian untuk program tersebut dijalankan seperti Pertandingan Pidato Piala KPM, Pertandingan Bercerita Tahap 1 dan Pertandingan Bercerita Tahap 2 adalah bawah subjek Bahasa Melayu dilaksanakan secara serentak di bilik kelas yang telah disediakan di sekolah itu.

Begitu juga dengan pertandingan Poetry Recitation, Story Telling Competation, Scrabble dan Public Speaking bawah subjek Bahasa Inggeris turut dilangsungkan.

Antara agensi luar yang terlibat sama dalam program berkenaan ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS) diwakili Timbalan Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS, Dr Mohd Puad Bebit; dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent yang diwakili Pensyarah Kanan Unit Bahasa Kadazan Dusun IPG Kent, Linah Bagu dan Kaunselor Pentadbiran IPG Kent, Nurul Fildza Kumil Abdullah; dan DBP Cawangan Sabah.