DUA

Pagi itu, seorang anak kecil menghadiahkan sebiji botol kaca yang mengurung seekor lalat sebelum bapanya berangkat. Botol ditampal pembalut hadiah bercorak kelopak mawar. Pesan ibunya, jangan dibuka penutup botol itu sehingga bapa tiba.

Bapa diam, menyimpan botol itu di dalam salah satu dari tiga poket beg pakaiannya yang berwarna hitam. Isterinya sama sekali tidak merestui pemergiannya.

Pemberian anak kecilnya dianggapnya satu-satunya azimat pengubat sunyi. Hanya lalat, anak dan isterinya sahaja tahu ke mana lelaki itu menuju ke mana.

Kata orang, seisi dunia akan terlihat lebih luas di sana. Di sana, kota; tempat bermula segala peradaban. Dan kerana lalat itu tahu hidup ini terlalu singkat untuk semata-mata berserah nasib pada sisa makanan di belakang rumah lelaki itu; apa salahnya mencuba. Kalau ia mati, ia mati bahagia, kerana ia tahu ia telah cuba untuk mengubah haluan hidup yang ditinggal moyang. Namun, jika ia terus hidup, dunia sudah tentu dapat dilihatnya lebih luas lebih dari jangkauan matanya.

Setiba di ibu kota, di sebuah bilik sempit tidak bertingkap, lalat terbebas di sebuah bilik hapak berdebu; tersorot pada matanya tompokan-tompokan di permukaan cadar sebesar kuning telur dan permukaan bantal yang diserang jamur. Nafas serasa lebih sesak daripada terpuruk dalam botol kedap udara.

Dinding dan lantai sudah ada bahagian tertentu retak berakar, menandakan dia hanya mampu menyewa sebuah hotel murah yang blok bangunannya sudah berusia puluhan tahun tanpa ada penjagaan rapi dari pemilik. Botol itu diletakkan di atas meja. Gabus dijemari di urai-uraikan di misai seumpama menyikat. Lanjut ke janggutnya yang tampak seperti segugus anggur putih bergayutan di dagu.

Malam semakin suram tetapi belum sampai jam dua belas. Selepas menghabiskan sekeping roti canai berkuah dal kacang dan sebotol air mineral, dia menyalin seluar dengan kain pelikat sementara baju batik dengan singlet. Sambil merebahkan badan di atas katil, helaian surat khabar yang dibelinya tadi petang dibelek-belek. Kepalanya terlentok di kepala katil. Meskipun demikian, di luar blok bangunan, masih terdengar olehnya gertapan monorel di landasan rel.

Ketika itu, lalat belum tidur. Hanya ada gumpalan bungkusan roti canai untuknya berlindung dari cahaya lampu yang dibiarkan terbuka. Ia tidak boleh lelap. Ia kembali mengingat sekian malamnya berlindung di ranting, cabang-cabang pohon dan di bawah dedaunan hijau; dingin dan tenang dari sebarang bunyi asing. Ia seakan-akan merindui bunyi jirannya, cengkerik memikat pasangannya bercengkerama.

Lelaki tua itu terus berehat sehingga dia lupa niat awalnya mandi sebelum tidur. Lalat mengimbas wajahnya. Lalat fikir, jika dia tidak keseorangan malam ini, sudah tentu ada dalam kalangan rakan-rakannya tertarik dengan bau tubuh lelaki tua itu yang berlengas sepanjang hari berlumuran peluh; sudah pun kering. Lalat tahu, lelaki tua itu capek. Beberapa kali, lelaki tua itu mengiring ke kiri dan ke kanan. Bahagian belakang dan pinggangnya kerap kali digaru-garu.

Di hujung kukunya sudah terkumpul daki-daki hitam yang digaruk hujung kuku. Bergaris-garis bilur merah bersilang-silang di kulit badan. Lalat secara jujur bertaruh pada dirinya; jika lelaki tua itu bangun tetapi tetap tidak menuju ke bilik mandi, dia bernazar tidak akan meninggalkan lelaki tua itu sendirian.

Sudah tiga hari berturut-turut sebenarnya dia mendengar bunyi gemeratapan hujan. Cuma malam itu, tiada terdengar olehnya katak berdengkang. Sungguh sepi. Dan sepi itu tiba-tiba bagai disahut panahan petir di luar. Lelaki tua itu yang tadinya terlentang, terenjat bangun tidak ubah seperti tiang bendera terpacak. Bingkas, menuju ke arah cermin sopak yang tergantung di sudut kamar kecil itu. Lalat terpinga-pinga mendengar desahan suara lelaki tua merintih.

“Syukur. Aku fikir segala bulu, janggut dan jambangku ini sudah hilang.” Lelaki tua itu mengenggam botol, menuturkan sumpah. “Anakku, selepas ku bunuh dia, kau takkan malu lagi pada rupa papamu yang tak ubah seperti pengemis ini. Kawan-kawanmu takkan mengejekmu lagi!’

Pada wajah lelaki tua itu memang terpandang segala keserabutan lebih-lebih lagi pada pakaiannya yang lusuh dan petak kaca matanya yang keruh. Tetapi, lalat tidak menyangka ada suatu dorongan luar yang mampu menangguhkan pendirian seorang manusia untuk berubah sedang dia merelakan diri terbang, menyerahkan nyawa di muncung botol sebelum dipekup gabus setelah mengetahui, pasti, botol itu akan turut berangkat ke ibu kota.

TIGA

Lalat mengingat kisah kaum manusia bertahun-tahun lampau yang disampaikan turun-temurun sewaktu berhimpun di longkang-longkang bertakung. Suatu ketika, telinga salah seorang dari kalangan manusia di sebuah kampung dihiris belati. Darah seorang bapa meleleh turun di bahagian pipi, menetes setitis demi setitis di hujung dagu kemudian gugur di tanah.

Mereka telah menolak perintah penjajah untuk menyerahkan anak perempuannya sebagai balasan atas menjamin keselamatan keluarganya. Anak bongsunya yang menyaksikan peristiwa hitam itu menyimpan dendam hingga dewasa.

Dalam satu serbuan hendap di sebuah kem di hutan banat di celah bukit-bukau, dia menemui kembali wajah manusia itu. Kem ditawan, manusia yang paling dibencinya kini di hadapannya dengan muka tersungkur menyembah bumi dengan kedua tangan terpasung di belakang, menjerit memohon diampuni.

Seorang manusia melepaskan berdas-das tembakan ke udara sambil berteriak, “Musuh sudah kalah. Kita menang!”

Tatkala, teman-teman manusianya galak mengagih-agihkan harta rampasan seperti senjata, pakaian, dan pingat yang disemat di dada para pegawai tinggi, dia cuma mahukan telinga lelaki itu. Pegawai tertinggi mereka menawarkan semuanya termasuk perempuan mereka asalkan jasad mereka dibiarkan terus bernyawa.

Tetapi, segalanya sirna pada mata dan pendengarannya kerana yang dia inginkan tetap telinga kiri lelaki itu sebelum jasad yang diaggapnya bangkai hidup di hantar ke neraka.

Dengan belati yang tersemat di pinggang, dihiris telinga pegawai itu sedikit demi sedikit. Lolongan pegawai itu didengari platunnya dan sekali gus unggas serta disebar angin ke segenap penjuru belantara. Dirayu padanya supaya telinga segera dipotong habis agar cepat berakhir perih seksaan. Lelaki itu tersenyum.

Memang dia ingin melihat musuhnya meraung kesakitan supaya penderitaan batinnya yang tertanggung belasan tahun perlahan-lahan susut apabila melihat segala cacian musuh bertukar menjadi sebentuk rayuan di hujung esak tangis.

“Biar aku hentam belakang tengkuknya. Kalau mahu, biar nyawanya aku habisi di muncung senapang!” usul salah seorang anak buahnya.

“Apa yang menariknya tentang lelaki tua ini? Ah, dibunuh saja!” sampuk salah seorang daripada mereka sambil menujah hulu senapang ke selangkangan lelaki itu.

“Telinga kirinya!” balasnya, baharu sahaja menceraikan cuping telinga dari kulit kepala.

Oh, lalat itu tidak mahu meneruskan imbauan. Cerita tentang lelaki menggoreng telinga di dalam nestin, sedayanya tidak mahu diimbas. Orang-orang yang bersorak ria dan berbicara dengan suara keras tentang kemenangan percuma mereka, tidak pula mahu meluapkan keterkejutan atau mungkin keterujaan dengan lantang apabila melihat “kepala” mereka menghidupkan api, menunggu telinga itu mengembang rangup seperti keropok kering digelegakkan minyak.

Di suatu sudut gelap dalam hatinya, lalat tidak mahu sejarah berulang. Dia tidak mahu lelaki tua itu mewariskan dendam. Sudah tentu bukan mudah untuk si anak mangsa pembunuhan hidup tanpa kasih sayang seorang bapa.

EMPAT

Pintu diketuk keras, lelaki tua itu mahu menyahut “masuklah, pintu tak pernah berkunci” tetapi suaranya lekat direngkung dek diperangkap tubir kantuk. Dia mahu bangkit mengintai walau hanya dari celah-celah bulu mata tapi lehernya bagai dicekik dan seluruh tubuhnya seakan sudah ditindih sebongkah batu gergasi.

Sekali pandang, memang tidak syak lagi bahawa dia tidak mahu dikenali identiti. Wajah terselindung balik topi cowboy kelabu. Bahagian rahang hingga ke dagu ditumbuhi jambang putih terjaga rapi. Apa yang menjadikan dia lebih menonjol pada mata lalat ialah kasut kulitnya yang berkilat, jeans lusuh dan koyak pada garis lutut yang digayakan dengan jaket kulit hitam pekat.

Pintu ternganga seketika untuk ditutup kembali. Di hadapannya, lelaki muda itu menghadap, tangan kanannya menyeluk bahagian kepak dalam kiri jaket. Apabila dia menarik keluar tangannya, selaras revolver sudah tergenggam di antara tapak tangan dan jari-jemari.

Muncungnya di hala tepat-tepat ke arah biji halkum sekujur jasad yang sedang nyenyak. Bunyi ketikan palu yang ditarik ke arah belakang dengan ibu jari mengejutkan lelaki tua itu. Matanya bingkas terbuka. Tangan kirinya menepis liur basi di hujung bibir keringnya. Mata kabur.

“Setelah berpucuk-pucuk surat. Akhirnya baharu hari ini kau menjadi pemberani. Ingatkah lagi kau pada anak kecil yang kedua ibu bapanya kau tembak mati selepas wang tebusannya kau bawa lari?”

“Tak pernah aku lupa. Anak perompak itu. Akhirnya, kau munculkan diri.”Tenang. Lelaki tua bersuara berani dalam baringan kejang. Sekilas, lelaki muda teringat di benaknya saat dia mengerekot di penjuru dinding setelah diterajang lelaki tua itu puluhan tahun dahulu kerana cuba cuba melarikan diri.

Lelaki muda menanggalkan jambang palsu di wajahnya. “Lihat parut tempias asid yang kau cuba curahkan pada mukaku. Sedalam ini juga dendamku padamu, lelaki tua hina. Tua keparat!”

“Kau boleh tembak aku sekarang kalau mahu. Aku sudah terlalu tua untuk bertarung.” Lelaki tua itu mengubah haluan picu revolver mencucuk ke dada kiri, jantung.

“Kau kuberikan dua pilihan; antara hidup dan mati. Ketika ini, akulah malaikat mautmu. Untuk hidup, hilangkan dirimu. Tulis sepucuk surat pada isteri; kau takkan pulang lagi dan binimu kau ceraikan dengan talak tiga. Jika kau enggan, picu ini kupetik, nyawamu melayang. Anak isterimu akan menerima sepucuk surat kematianmu, ancaman bunuhberisi peluru. Nyawa mereka berdua pula menyusul!”

“Ha ha ha. Sebenarnya tak terlalu lama untuk menghidu keanehan seorang isteri. Kau pun tahu, dia sudah mula menyayangiku. Aku tak akan ke mana-mana, aku sudah terlalu tua untuk terus lari dari diburu. Dia masih muda, dia boleh berkahwin lagi denganmu. Hartaku akan menjadi miliknya seluruhnya. Bukankah begitu rencananya sejak bertahun-tahun? Aku memilih mati!”

“Itulah maksudku.”

“Kalau aku mati, hidupmu takkan senang juga.”

“Aku hanya memenuhi keinginanmu.”Pelatuk ditarik. Silinder berputar sebagai sebuah magazine. Satu das tembakan meledak tepat pada jarak dekat terbenam tepat di tengah-tengah tengkorak dahi. Tak tersasar sedikit pun. Palu kembali ke posisi. Bau belerang sejurus mengapung.

Sesingkat itu.

Mata lalat kini tertumpu pada wajah lelaki muda itu yang berlutut di birai katil. Apabila diperhatikan, wajahnya kaku bahkan kepucatan melihat darah menggelontor memerah pekatkan warna tilam.

Seperti itu juga, dendamnya yang selama ini likat mengalir cair dengan air mata mengalir tenang. Ada esakan meletup-letup. Dia tahu jasad di depannya sungguh-sungguh sudah tidak bernyawa.Namun, bukankah seharusnya dia tersenyum puas dan segera mengaburkan diri dari bilik hotel sebelum dijebak hidup-hidup sebagai pembunuh oleh ramai saksi, detik lalat.

Mungkinkah, dia juga sudah mengesani perasaan seorang kekasih yang berkali-kali dipatahkan hati,berubah arah kerana tidak sesegera mungkin dikahwini. Atau, baharu kini, dia berasa tidak tegar untuk hidup menatap zuriat lelaki tua itu yang hamil dari rahim perempuan yang dianggapnya kekasih.

Barangkali, dia sedang berkira-kira untuk menyerah diri pada pihak berkuasa demi menjatuhkan hukuman yang dirasakan adil pada dosanya di dunia.

Pada mata lalat, dendam seorang manusia terlalu naif namun kini terlalu kejam di depan mata untuk ditanggung para waris yang masih hidup. Walau apapun, ia tetap bukan cara untuk membebaskan dirinya daripada beban kesedihan.