Pagi itu, Aleng, Ilan, Bala, Akong dan Narita berkumpul di bawah redup pokok nangka berhampiran rumah panjang. Mereka bermukim untuk membincangkan tentang berita Aki Mulung yang memberhentikan perkhidmatan bot tambangnya. Pemukiman tersebut penting bagi mereka berlima memandangkan tinggal beberapa bulan lagi, mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Andai tidak dicari solusinya, pasti akan menjejaskan masa depan mereka.

“Apa kita nak buat sekarang? Aki Mulung sudah bersara menghantar kita ke sekolah,” gerutu Bala seraya menebar pandang ke lazuardi. Awan putih bergugus-gugus. Sesekali, bayu yang datang dari perbukitan menampar wajah lonjong Bala. Dia memejam mata sambil menikmati sapaan lembut angin itu.

“Kita harus cari alternatif lain. SPM tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Seminggu lagi, sekolah akan dibuka semula. Bagaimana kita hendak ke sekolah kalau bot tiada?”. Aleng bersuara.

Mendengarkan suara garau Aleng itu, dengan serta-merta Bala tersedar daripada lamunan. Bala membuka mata perlahan-lahan. Dia kembali menegakkan tubuhnya daripada posisi menyandar pada pokok nangka. Suasana sekeliling agak sepi. Hanya pawana meniup dedaun pokok rambutan dan membelai pelepah kelapa. Berdesir bunyi dedaun kelapa apabila pelepahnya bergeser.

“Alternatif lain? Jalan sungai itulah yang menjadi laluan utama kita ke sekolah. Kalau tiada bot, kita semua tidak akan dapat pergi ke sekolah lagi,” jawab Ilan sambil menggaru-garu kakinya yang terasa gatal.

“Bukankah selain bot Aki Mulung, ada bot milik penduduk rumah panjang yang boleh digunakan”. Akong mulai masuk dalam arus perbincangan yang semakin hangat.

Akong melihat gugus mega putih yang memayungi kawasan rumah panjang mereka sebentar tadi telah beralih tempat. Kini, syamsu muncul daripada tempat persembunyian. Kembali memanah bahangnya ke bumi. Pokok nangka yang rendang itulah yang menjadi payung semula jadi mereka berlima. Kurang sedikit rasa panasnya.

“Tidak! Bot mereka hanya digunakan untuk membawa hasil pertanian ke pekan. Aku sudah bertanya kepada mereka. Mereka tidak berminat untuk mengambil alih tugas mulia Aki Mulung. Pada mereka, wang ringgit lebih menguntungkan daripada menjadi pemandu kita sehari-hari. Mana tidaknya, mereka membawa hasil tangkapan seperti ikan empurau, kelah dan hasil pertanian lainnya ke bandar yang membawa keuntungan berlipat kali ganda. Harga ikan empurau sekilo sahaja boleh mencecah ribuan ringgit,” Narita menyampuk. Sesekali, rambut ikal mayang mengurainya, melenggang-lenggok dipukul angin.

“Habis tu? Apa nak jadi dengan kita sekarang? Bukan kita sahaja, banyak lagi anak-anak rumah panjang ini yang akan terjejas masa depannya,” Bala kembali bersuara.

Mereka berlima membungkam barang sejenak. Masing-masing memikirkan cara untuk mengatasi masalah yang kini membarah di dalam rumah panjang mereka. Bukan masalah bagi golongan dewasa, namun masalah besar buat golongan muda yang dahagakan ilmu pengetahuan. Sesungguhnya, mereka adalah permata yang bakal bersinar terang andai digilap dengan sebaik mungkin.

“Aku ada satu akal!” laung Bala secara tiba-tiba. Raungan yang agak kencang itu membuatkan kawan-kawannya tersentak. Mereka terjaga daripada lamunan. Mereka masing-masing memusatkan tumpuan pada Bala yang kini berdiri. Mukanya nampak ceria dan senyuman di bibirnya mula terukir.

“Kita buat jalan denai dari rumah panjang ke sekolah,” getus Bala dengan pantas. Dia kembali duduk di atas akar pokok nangka yang tersembul di atas tanah. Wajahnya berkunang-kunang.

“Jalan denai kau cakap? Dari sini ke sekolah? Jauh!” adu Aleng yang bertubuh agak gempal itu.

“Kalau kita bergotong-royong, pasti semuanya akan berjaya dilaksanakan. Ingat! Pepatah berkata, ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Kita akan ketinggalan pelajaran andai tidak bertindak dengan segera. Masa itu emas”.

Aleng menundukkan kepala. Dia mengeluh panjang. Buah nangka yang tergantung pada dahan pokok nangka itu berjaya mencuri perhatian Aleng. Kelihatannya, buah nangka itu sedang masak ranum. Bau harumnya sudah mulai mengitari sekeliling.

Auchhh! Aleng tiba-tiba memekik. Seekor kerengga yang entah dari mana datangnya, dengan tiba-tiba menggigit kulit kakinya hingga meninggalkan kesan merah. Dia meloncat daripada posisi mencangkung. Hampir-hampir menyambar Bala. Nasib baik Bala kober mengelak. Sakitnya mulai merayap dalam tubuh yang kemudian beransur gatal. Rakan-rakannya lain sempat tersengih melihat telatah Aleng.

“Jadi teringat akan cerita mak aku mengenai jalan denai itu. Dulu, sebelum adanya bot, anak-anak rumah panjang ini menggunakan jalan denai itu untuk ke sekolah. Namun, sejak bot diperkenalkan, jalan denai itu terbiar. Tapi, memakan masa selama tiga jam untuk ke sekolah berbanding sejam menggunakan bot”. Narita masuk sekaki. Dia jadi teringat kepada cerita ibunya dulu tentang jerih payah mereka menuntut ilmu.

“Kawan-kawan, aku bukannya tidak bersetuju dengan cadangan itu. Tetapi, kawasan hutan itu banyak binatang buas. Beberapa hari lalu, pakcik aku beritahu yang dia pernah terserempak dengan pak belang dan sekumpulan gajah liar di hutan itu sewaktu berburu,” cetus Akong.

Remaja itu khuatir akan keselamatan diri dan rakan-rakannya. Ilmu itu penting tetapi keselamatan adalah yang paling utama. Menaiki bot tanpa balutan jaket keselamatan pada tubuh pasti akan mengundang musibah kerana malang tidak berbau. Lebih baik, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Cakap Akong itu membuatkan Ilan diserang ketakutan. Wajah ganas dan garang pak belang terbayang-bayang di kotak kepala. Ia sememangnya gemar membaham untuk meratah daging tanpa mengira sesiapa.

“Kita sudah tiada cara lain lagi untuk ke sekolah, Aleng. Mahu atau tidak, kita terpaksa juga melalui jalan denai itu ke sekolah. Ya, aku sedar akan risikonya. Sehari tidak masuk ke kelas, kita rugi banyak!” Bala menyahut.

Aleng mendiamkan diri. Cakap Bala ada betulnya. Dia dilema untuk memilih. Semuanya mempunyai risiko tersendiri. Namun, alah bisa tegal biasa. Untuk berjaya, semangat juang yang tinggi dan tekad yang padu harus menyatu dalam diri. Setiap pengorbanan pasti akan mendapat balasan yang setimpal.

“Bala, aku setuju dengan rancangan kamu. Kita harus berkorban demi SPM”. Narita menyatakan sokongan. Beransur-ansur, yang lain turut menyatakan sokongan kepada Bala. Mereka sebulat suara untuk mengadakan berkancang bagi merentas jalan denai ke sekolah.

“Kamu berlima berbual tentang apa? Macam menarik sahaja bunyinya”. Suara garau itu tiba-tiba menyergah mereka dari belakang. Tiada seorangpun yang menyedari kehadirannya di situ.

“Berbincang tentang keputusan Aki Mulung yang berhenti mengendali bot tambang,” jawab Bala.

“Jadi, kamu nak berhenti sekolah dan menjadi petani?” duga Aki Wit. Dia menapak terhinggut-hinggut mengarah ke pokok nangka tempat mereka berkumpul. Tapakan demi tapakan disusun dengan kemas untuk mengelakkan dirinya tersembam ke tanah. Sesekali, dia melepaskan batuk yang masih membelit kerongkongnya.

“Tidak! Kami bercadang untuk merentas jalan denai ke sekolah,” jawab Aleng dengan penuh yakin. Mereka yang lain mengangguk sama tanda setuju. Anak-anak Pelagus itu sudah membulatkan tekad untuk berjuang demi menggali ilmu.

“Apa? Kamu berlima yakin? Banyak haiwan buas di hutan itu. Lagipun, perjalanan ke sekolah menjadi lebih jauh. Belum sampai sekolah, pakaian dan kasut kamu dah kotor dengan lumpur. Baik, kamu semua lupakan saja. Yang bagusnya, ikut mak dan ayah bekerja. Lebih menguntungkan,” ujar Aki Wit. Dia berusaha untuk melunturkan semangat anak-anak Pelagus itu untuk ke sekolah.

“Kami tak gentar! Kami akan tetap ke sekolah. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” sahut Bala yang semangat juangnya umpama deruman ganas Jeram Pelagus di Sungai Rajang sana.

“Pendidikan tidak menguntungkan. Tiada manfaatnya berbanding menjual ikan empurau yang berharga ribuan ringgit”.

“Tetapi, ikan empurau juga akan pupus suatu hari nanti. Bila sudah pupus, ke mana kami hendak mencari makan? Ilmu tidak pernah kontang. Ia akan terus hidup sampai ke hari tua,” balas Bala dengan nada yang lembut.

Dia tetap menghormati Aki Wit sebagai orang tua yang mungkin mengambil berat tentang diri mereka. Namun, tidak semua yang dinyatakan itu harus diikuti secara membuta tuli.

Pendidikan tiada tolok bandingnya. Ia tetap relevan dari semasa ke semasa. Tanpa pendidikan, tiada kemajuan yang akan dinikmati oleh penghuni rumah panjang ini sampai bila-bila. Pendidikan adalah harta seorang individu yang boleh dibawa sampai mati. Sementara, wang ringgit tidak boleh dibawa mati.

Sejurus mendengar kata-kata Bala itu, Aki Wit menapak kembali ke rumah panjang dengan dengusan kencang. Orang tua itu tidak menjawab sebaliknya memilih untuk senyap. Kata-kata Bala itu ada benarnya. Mereka sepatutnya diberikan peluang untuk menimba ilmu sementara usia mereka masih pucuk muda. Bukan sebaliknya. Mereka itulah tiang seri bangsa kelak.

Keesokan harinya, mereka berlima dan beberapa anak-anak rumah panjang memulakan berderau merentas jalan denai ke sekolah. Cadangan Bala itu mendapat dukungan penuh daripada anak-anak Pelagus. Malangnya, golongan dewasa tidak berminat untuk turut sama membantu. Mereka memberikan alasan sibuk dengan pekerjaan masing-masing.

Sesungguhnya, alasan tersebut sudah diduga oleh mereka. Tiada sesiapa yang memandang tinggi kepada bidang pendidikan di rumah panjang mereka. Dipandang hina. Menghantar anak ke sekolah hanya untuk memenuhi tuntutan.

“Apabila aku menceritakan rencana kita hari ini, mak dan ayah aku dengan pantas memberikan seribu alasan. Mereka tidak berminat,” rungut Aleng.

“Mak dan ayah aku juga begitu,” balas Ilan sambil menebas rumput dan menebang pokok-pokok renek yang tumbuh di laluan jalan denai lama itu dengan parang tajam. Mereka menjaga jarak masing-masing agar tidak menimbulkan sebarang kecelakaan yang tidak diingini.

Suasana di dalam hutan dara itu sungguh menyeramkan. Seperti ada jembalang hitam yang besar sedang memerhatikan gerak-geri mereka. Mana tidaknya, pokok-pokok yang tumbuh tinggi menggalah ke langit itu membuatkan lantai bumi menjadi gelap gelita. Hanya beberapa tompok cahaya mentari yang berjaya menembusi benteng dedaun yang lebat dan merimbun. Kicauan burung-burung yang kedengaran mengerikan lagi menambah seram.

Dalam hutan tebal begitu, pastinya ada haiwaN liar yang berkeliaran mencari makanan. Namun, anak-anak Pelagus tetap meneruskan kerja murni mereka tanpa menghiraukan cerita harimau yang dikatakan oleh orang dewasa di hutan tersebut. Pak belang si penunggu hutan. Bikin kecut perut jika terserempak.

“Aduh, tolong!”.

Pekikan itu berkumandang mengitari sekeliling hutan. Mereka semua terkesima mendengar suara teriakan itu. Masing-masing berhenti bekerja barang sejenak.

“Narita disengat lipan bara!”. Suara itu pula menyusul.

Bala segera menerpa Narita yang sakit menahan bisa sengatan lipan bara yang mulai merebak ke seluruh tubuhnya. Kesan sengatan kelihatan jelas pada kakinya. Beransur-ansur, kaki Narita membengkak. Gadis itu melolong tak henti-henti menahan pedih. Nafasnya turun naik dengan pantas. Aleng dan Ilan berusaha untuk menjejak pelakunya. Malangnya, lipan bara itu pantas meloloskan diri.

Tanpa menohok masa, Bala mengambil tembakau di dalam beg galasnya. Tembakau, beberapa herba dan ubatan sengaja dibawanya bersama untuk masa kecemasan sebegitu. Bala mengunyah tembakau sehingga lumat lalu segera menempelkan tembakau tersebut pada kesan sengatan lipan. Sekali lagi, Narita menjerit akibat kesakitan. Pedih yang teramat sangat. Mungkin kesan daripada tindak balas bisa lipan dan tembakau. Ia adalah ubat tradisional masyarakat Iban di situ untuk mengurangkan bisa sengatan lipan.

“Aleng dan Ilan, tolong bawa balik Narita ke rumah panjang. Terangkan apa yang berlaku kepada orang tuanya. Aku dan yang lain-lain akan meneruskan kerja di sini,” arah Bala selaku ketua.

Ilan dan Aleng mengangguk faham. Mereka segera memapah Narita pulang ke rumah panjang untuk dibawa segera ke klinik untuk rawatan lanjut. Berkat pertolongan Bala, rasa sakit yang berdenyut-denyut pada pergelangan kaki Narita mula mengendur.