Dia tersenyum. Sudah lama dia mengimpikan saat manis sebegitu. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi kehadirannya atas undangan. Apalah salahnya berkongsi sedikit pengalaman dan cerita suka duka. Lagipun, ini juga boleh dijadikan ruang dan peluang melebarkan sayap perniagaan. Dan,sekurang-kurangnya, ada pihak yang mengiktiraf dirinya sebagai ahli perniagaan walaupun secara kecil-kecilan. Dia masih menguntum senyum sepanjang perjalanannyamenuju ke sekolah lamanya, tempat dia pernah dididikuntuk menjadi manusia berguna, suatu waktu dahulu.

Ketika memasuki perkarangan sekolah, beberapa orang pelajar melambai-lambaikan tangan dan mempersilakannya meletakkan kenderaan pacuan empat roda itu di ruang parkir yang dikhaskan. Ada kenangan di tempat itu. Dia masih mengingatinya hingga saat ini. Dialah pelajar yang didakwa telah menggores kereta cikgu disiplin hingga calar-balar. Entah mengapa, dirinya dipersalah. Puas dia menafikan, namun semua pihak tetap menuduhnya.

Memanglah dia pernah berselisih pendapat dengan Cikgu Bashir tentang kaedah yang digunakan oleh cikgunya itu. Dia memberikan pendapat tentang perlunya menjaga aib seseorang pelajar walaupun terbukti kesalahannya. Cara memarahi di hadapan pelajar lain akan mengundang sikap tidak puas hati dan dendam dalam diam. Namun, mungkin Eijazjuga gagal menggunakan platform yang betul, Cikgu Bashir pula yang menaruh perasaan tidak puas hati terhadapnya selepas itu.

“Itu kisah lama,” bisik Cikgu Bashirdengan wajah kelat ketika mereka bersalaman sewaktu EijazFikri disambut di hadapan bilik pengetua. Fizikal cikgunya itu sudah gempal namun misai tebal yang dimiliki masih mampu menggerunkan pelajar. Pengetua turut kelihatan bangga atas kesudiannya  hadir setelah beberapa kali tidak dapat menunaikan permintaan kerana sibuk menguruskantapak perniagaan.

“Selamat kembali ke pangkuan sekolah, Anak Jantan,” ujar Haji Ghaffar, yang pernah menjawat Guru Penyelia Petang waktu dahulu,  sambil menepuk-nepuk bahu Eijaz. Gelaran khas itu sememangnya kian popular.Seorang lagi bekas pelajar perempuan yang dikenali, Sakinah,telah berada lebih awal di dalam bilik itu, akan turut mengongsikan pengalamannya kelak di dewan. Cuma, jenis perniagaan mereka berdua agak berbeza.

Eijaz meraikan penghormatan yang diberikan pihak sekolah, namun baginya tidak perlu terlalu berlebihan kerana dia sedar akan siapa dirinya.Eijaz menguntum senyum dan melayani pertanyaan beberapa orang guru lamanya yang agak teruja dengan perkembangan hidupnya kini. Saat sebegitu, mengingatkannya peristiwa dikelilingi dan disoal siasat hingga berderai air mata.

“Maafkan saya cikgu. Saya bercakap benar. Saya tidak melakukannya.”

“Bohong!” Pintas Cikgu Bashir dengan nada provokasi.

“Saya dapat maklumat, awak yang melakukannya. Bukankah awak telah datang ke sekolah pada petang itu, ketika itu ada latihan bola sepak, sedangkan awak tidak terpilih pun,” tegas Cikgu Dalib pula sambil membulatkan mata.

“Tidak saya sangka, seorang pelajar yang bakal dicalonkan menjadi ketua pelajar tahun depan, sudah berani berbuat perangai,” tegas Cikgu Bashir sambil mengugut hendak membuat surat amaran kepada kedua-dua ibu bapanya.

“Saya sanggup kumpul duit untuk baiki kereta cikgu, tetapi saya tetap tidak bersalah dalam hal ini.”

Desakan Cikgu Bashir mula kendur apabila melihat Eijaz bermati-matian mempertahankan dirinya. Dia juga sebenarnya berasa sangsi akankesahihan laporan itu kerana Eijaz ialah pelajar yang berdisiplin dan terkenal atas kemahiran menggunakan komputer. Sekolah telah berjaya memenangi pertandingan e-Majalahdua tahun berturut-turut atas sumbangan kreativiti Eijaz.

Eijaz sudah buang jauh-jauh perasaan kecil hati pada semua guru yang menuduhnya. Lagipun, memang patut pun cikgu menyoal siasat untukmendengar sendiri hujahnya. Dia pun dipanggil Cikgu Bashir atas laporan yang diterima. Akhirnya, kebenaran telah terbukti. Laporan palsu yang dibuat terhadapnya ekoran ada pihak cuba mengambil kesempatan atas hubungan dinginnya dengan Cikgu Bashir. Calar kereta baharu Cikgu Bashir akibat goresan basikal yang diletakkan di celah kereta cikgu lain di ruang parkir itu. Sebab takut hukuman, pelajar itu mereka-reka cerita hingga Eijaz menjadi mangsa.

“Marilah anak-anak didik sekalian, dengar dan hayati ceramah khas yang akan disampaikan oleh kedua-dua bekas pelajar sekolah ini. Mereka telah berjaya. Ambillah manfaat, contohi mana yang dapat dan kuatkan semangat, moga boleh berjaya seperti mereka ini,” ucap Cikgu Selvi dengan penuh kesungguhan di atas pentas. Di deretan kerusi di bawah pentas, di bahagian hadapan, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah yang hadir terkemudian, bertepuk tangan dengan kuat. Pengetua di sebelahnya sempat menjeling kepada Eijaz dan Sakinah tanda seronok.

“Macam mana seluar boleh jadi beg ya? Hari ini kita memakai seluar, esok seluar yang sama disandang di bahu mengisi buku dan alat tulis,” Cikgu Selvi mengumpan hadirin dengan salah satu isi ceramah yang bakal disampaikan oleh tetamu khas yang dijemput.

“Ceramah khas sempena pelancaran Kelab Usahawan Muda sekolah kita ini akan dimulakan oleh Saudari Sakinah, Gadis Denim yang berjaya, silakan,” bergetar suara Cikgu Selvi mempersilakan Sakinah ke atas pentas. Eijaz memerhatikan perwatakan Sakinah yang begitu yakin dan peramah itu dari bawah. Dahulu, Sakinah seorang pelajar pemalu. Namun, kecerdikannya dalam mata pelajaran Perdagangan membuat Eijaz sering meminta tunjuk ajar. Nota-notanya juga dibuat salinan kerana tulisannya yang kemas dan menarik.

Sakinah, dialah yang menuliskan kata-kata semangat ketika Eijaz hilang fokus. Namun demikian, sudah suratan takdir, Sakinah ditimpa kemalangan jalan raya sewaktu peperiksaan hampir tiba, natijahnya, pencapaian dalam peperiksannyatidak menepati kehendaknya. Kakinya yang cacat membataskan pergerakannya seperti gadis lain.

“Tidak pernah saya jangkakan, beg jahitan saya yang diperbuat berasaskan fabrikdenim sudah menjadi fenomena gaya anak-anak muda. Selain keunikan reka bentuk mengikut citarasa moden, warna dan saiznya, kinisudah boleh memilikinya untukpelbagai tujuan. Produk saya bukan saja sesuai untuk majlis santai, aktiviti sosial, membeli-belah, mengembara, bahkan kini produk terbaharu dicipta khas untuk aktiviti lasak di hutan dan lautan,” jelas Sakinah kepada hadirin di dewan sambil menunjukkan puluhan reka bentuk beg dan jenis-jenis produk terbaharu melalui paparan slaid di skrin. Dalam paparan itu juga ditunjukkan kedaijahitan yang menempatkan para pekerja sedang menyiapkan tempahanserta reruai (booth) yang menjual produk berasaskan fabrik denim tersebut di serata lokasi.

“Dulu, seluar yang sudah lusuh dan ketat, disimpan saja di dalam almari. Hobi saya mengitar semula dengan memotong dan dijadikan beg sandangdan bekas alat tulis untuk hadiah adik. Tidak disangka ini telah menarik minat rakan-rakan sekolahnya untuk turut memilikinya,” Sakinah bercerita peringkat permulaan penghasilan produknya.

“Jangan terkejut ya, produk saya ini sudah berada dalam pasaran antarabangsa kerana tempahan secara dalam talian sangat banyak setiap masa bukan saja di Malaysia tetapi dari Brunei, Singapura dan Korea,” Sakinah bersuara ceria bercampur ketawa kecil. Tepukan gemuruh di dewan tanda mereka menyokong senior mereka ini agar terus maju.

Ketika seorang pelajar menanyakan strategi perniagaan, Sakinah menegaskan betapa pentingnya peranan teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) dalam memperkenalkan produknya. Penggunaan blog, facebook dan instagram sangat berguna. Tambahan pula, gambar-gambar pemuda pemudi yang sedang menggayakan beg ciptaannya, ditularkan sehingga menjadi ikutan generasi muda. Jualan dalam talian memudahkan dia memasarkan produk.

Namun, Sakinah turut berpesan agar bijak menggunakan kemudahan internet untuk memajukan diri dan nama Eijaz disebut sebagai contoh pelajar yang pernah menaikkan nama sekolah melalui kemahiran komputer. Untuk strategi terkini, Gadis Denim itu telahmenggabungkan elemen batik dalam pelbagai produknya agar ciri-ciri tempatan tetap wujud dan dikenali.

Giliran Eijaz pula memulakan bicara,dia mengajak hadirin sama-sama memberikan tepukan gemuruh buat pihak pentadbir dan warga sekolah atas usaha murni menubuhkan Kelab Usahawan Muda. Dia memperkenalkan dirinya sepintas lalu sebelum menumpukan ceramahnya tentang perniagaan yang diceburi. Seperti Sakinah, Eijazjuga memanipulasikan ICT dalam pelebaran sayap perniagaannya sehingga turut menjadi fenomena. Tetapi berlainan dengan Sakinah, Eijaz terus menggunakan aplikasi dalam talian secara langsung ketika ceramahnya untuk mengajak hadirin meneroka informasi secara dalam talian. Haji Ghafar kelihatan agak ralit menggunakan telefon bimbitnya mencari paparan yang dimaksudkan.

“Terus terang saya katakan bahawa saya tiada modal tunai. Perniagaan apa yang tidak perlukan modal?”

Hadirin senyap. Mereka menantikan Eijaz menjawab sendiri soalannya itu.

“Saya bekasmahasiswa universiti di bandar New York. Di sana, saya perhatikan budaya berniaga amat ketara. Tidak kira muda atau yang berusia, pelbagai perniagaan diusahakan, sehinggalah saya melihat satu jenis perniagaan yang belumbanyak diamalkan di negara kita ketika itu. Idea itu saya sematkan dalam hati. Saya perhati, kaji dan alami sendiri dengan bekerja secara sambilan. Ternyata, pengalaman itu menambahkan keyakinan dan iltizam untuk saya realisasikan apabila pulang ke tanah air nanti.” 

“Kebetulan ayah saya miliki tanah di tepi jalan besar berdekatan beberapa universiti. Saya lihat betapa besarnya potensi perniagaan saya ini. Tetapi, bukan semudah itu untuk berjaya. Tidak lengkap hidup ini jika tiada cabaran dan rintangan,” ujar Eijazsebelum menayangkan video yang sudah ditularkan dalam youtubebertajuk “Dulu Hodoh Kini Heboh – Laman Anak Jantan”memaparkan evolusi tanah kosong bersemak berubah menjadi tumpuan pengunjung. Wajah tuan tanah turut terpapar. Wajah itu amat dirinduinya.

“Apa...kamu nak berniaga di tanah ayah itu?” terkejut Abang Long apabila mengetahui hajat Eijaz.

“Uda tak setuju tanah itu digunakan sembarangan. Lagipun, kamu ni mestilah kerja sesuai dengan kelulusan kamu. Sia-sia ayah hantar belajar sampai luar negara,” sampuk Kak Linda pula, menyokong Abang Long.

“Berilah peluang pada dia. Apa salahnya dia mencuba nasib. Sekarang zaman susah mendapatkan kerja. Lagipun, tanah itupun sudah lama bersemak samun. Kamu semua bukannya ada masa nak bantu menguruskannya,” ayah bijak menenangkan walaupun dia tahu abang dan kakak masih berbuku di hati.

“Saya bukan apa ayah, tanah tu boleh juga hasilnya kalau kita jualkan. Dah ramai yang bertanya tentang tanah tu,” Abang Long cuba berkeras.

“Jangan sekali-kali kamu ulang perkataan itu. Pantang aku menjualnya, tanah itu ada sejarahnya, ada kisahnya,” tegas Haji Jantan. Eijaz faham, ayah sangat sayang akan tanah itu kerana tanah itu milik arwah ibu juga. Mereka bergolok -bergadai untuk mendapatkan tanah tersebut suatu masa dahulu. Mungkin tanah itu menyimpan kenangan abadi buat ayah.

“Pada mulanya hanya saya dan seorang rakan sebagai pembantu, berniaga di situ ketika itu. Konsep trak makanan atau anak-anak muda lebih popular menamakannya food truck, saya perkenalkan di kawasan itu sehinggalah beransur-ansur telah mengubah gaya makan di gerai dengan lebih santai. Bermula sebuah trak, saya tambah dua dengan menu dan stail berbeza. Pengajian saya dalam bidang multimediasangat membantu. Melalui penularan WhatsApp, facebook dan instagram yang saya kendalikan, rakan-rakan niaga trakmakanandipelawa untuk turut berniaga di Laman Anak Jantan dengan cara membayar sewaan semalaman,” Eijaz memerhati hadirin begitu bersemangat mendengarkan, lantas dia menyambung ceramahnya.

“Kelulusan daripada Majlis Perbandaraanserta Pejabat Tanah dan Saliran amat melegakan setelah berurusan berbulan-bulan. Pada waktu siang tanah tu dijadikan tempat parkir berbayar, petang hingga dinihari pula jadi tumpuan pengunjung menjamu selera. Setiap malam peniaga akan berbeza. Kemudahan yang tersedia seperti dataran yang sudah diturap rata, kemudahan sumber air, keluasan ruang di samping dikelilingi pusat pengajian tinggi dan kawasan perumahan yang berdekatan menjadikan tarikan peniaga dan pengunjung. Di bahagian bucu lokasi, saya bina pejabat urusan yang beroperasi siang dan malam.”

“Bukan bayaran lumayan yang saya pentingkan tetapi pemilihan Laman Anak Jantan yang dijadikan lokasi penggambaran drama dan filem oleh sutradara, turut menjadikannya antara tempat tarikan pengunjung. Bahkan rakaman oleh syarikat penyiaran televisyen juga berperanan sama. Baru-baru ini, kesudian Y.A.B. Dato’ Seri Menteri Besar berkunjung untuk menjamu selera membuat saya dan para peniaga di situ terkesima dan teruja.” hujah Eijaz sebagai respons apabila diminta mengulas tentang hal itu oleh seorang pelajar.

Tiba-tiba Eijaz terdiam sebentar. Dadanya sebak.

“Arwah ayah tidak sempat melihat anak bongsunya ini berjaya. Saya agak terkilan kerana kejayaan ini untuk dihadiahkan kepadanya. Apakan daya, itu sudah suratan takdir. Ayah pergi ketika saya sedang bergelut merancang strategi perniagaan. Ketika itu, saya seolah-olah gagal membuktikan cita-cita. Tambahan, jenis perniagaan saya ini semakin banyak pula saingan, seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ayah sakit. Namun dalam sakitnya, dia tidak putus-putus berikan semangat. Jangan mudah putus asa anakku, katanya.“

Hadirin kelu. Ada yang menitiskan air mata termasuklah Cikgu Selvi. Cikgu Bashir juga tidak terkecuali. Mungkin terlalu menjiwai, sedu-sedan Cikgu Bashir akhirnya dapat dikesan oleh pelajar berdekatan dengannya.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Abang Long dan Kak Linda juga sudah mempunyai trak makanansekarang. Tapak tanah yang semak itu kini ceria bercahaya. Pada setiap malam, tidak kurang 30 trak makanan  menyewa di  LamanAnak Jantan dengan gaya hiasan dan menu berbeza. Konsep perniagaan saya mudah, siapa yang daftar awal, mereka akan berjaya menyewa pada malam itu walaupun banyak lagi peniaga yang beratur untuk mencuba nasib. Oleh sebab lokasi yang sesuai, gaya yang menarik, konsep pembeli layan diri dan urus sendiri seperti pilih menu, beratur, ambil makanan, duduk dan buang sampah di tong-tong yang disediakan dilakukan sendiri dan diamalkan dengan baik. Ini bukti masyarakat Malaysia juga berdisiplin sebenarnya. Kini, setiap malam ada persembahan sama ada kugiran atau persembahan budaya. Meriah. Pelancong juga turut singgah. Tidak perlu risau, ruang parkir untuk kenderaan pengunjung termasuk bas-bas pelancong sudah tersedia.”

Eijaz sempat mengucapkan jutaan terima kasih atas jasa bakti semua guru. Bagi pelajar-pelajar di dewan, dia mengajak mereka bersikap berani, berfikir secara kreatif dan tidak mudah berputus asa, Sakinah dijadikan contohnya. Sakinah merenung tepat pada Eijaz, renungan seribu makna. Eijaz membalasnya dengan senyuman.

Program pada hari itu disudahi dengan penyampaian cenderamata kepada kedua-dua penceramah muda. Eijaz dan Sakinah turut menyumbangkan dana kepada pihak sekolah tanda mereka mengenang budi. Beberapa beg besar dan kecil bertandatangan Gadis Denim diberikan dengan ikhlas kepada VIP dan guru-guru penasihat kelab yang hadir.

Di luar dewan, beberapa trak makanan sudah bersedia mengedarkan juadah secara percuma sebagai kejutan. Pihak sekolah pula turut membuka gerai jualan berupa minuman, kraftangan, pakaian dan bahan bacaan. Dalam barisan pelajar yang sedang beratur itu, terselit sama Cikgu Bashir dan Cikgu Dalib sambil bergurau mesra bersama pelajar. Eijaz tersenyum puas melihatnya. Sokongan sebegini menyemarak semangatnya. Dalam hatinya berbisik;syukur, Alhamdulillah.