Terasa gegendang aku berasap dan cuping telinga aku panas. Betapa berapinya ‘habuan’ yang baru diperoleh. Kini, yang bertebeng di mata aku hanyalah wajah adikku, ‘Amat Dua Puluh’.

“Kak Nab, Amat main tipu. Habis semua guli kami dikebasnya. Selagi tak cukup dua puluh, Amat tak mahu berhenti main,” adu Mat Latif, anak Pak Mail yang menjual taufu di hujung kampung.

“Kak Nab, Amat ambil guli aku. Sekarang guli aku sudah kurang empat biji. Amat hendak cukupkan gulinya dua puluh tapi dia ambil guli aku.

“Aku nak minta balik guli yang dia ambil. Kak Nab, Amat ada di rumah tak?” soal Rosli, anak Pak Samad yang tinggal berjiran dengan rumah aku.

Itulah rungutan yang selalu menyerang gegendang telinga aku tatkala dikunjungi rakan-rakan Amat, adikku. Setiap kali diajukan pertanyaan dan aduan, aku hanya membungkam sepi.

Tubuh aku akan jadi cepat kejang apabila diserbu dengan rungutan dan aduan daripada kanak-kanak berumur tujuh tahun yang sebaya dengan Amat. Aku diibaratkan mereka seperti kaunter aduan yang tidak pernah sunyi dengan segala permasalahan yang diciptakan oleh Amat.

Kesemua aduan itu hanya berlegar-legar mengenai dua puluh biji guli semata-mata.

Kadang-kadang aku merengus geram dengan perbuatan Amat terhadap rakan-rakan sepermainannya. Sudahlah kalah dalam permainan guli, malah sanggup pula menipu rakan-rakannya hanya semata-mata untuk mencukupkan baki gulinya yang kurang daripada dua puluh biji.

Kadang-kadang aku berasa pelik dengan perangai Amat. Jika gulinya lebih daripada dua puluh, maka dia akan memberikan lebihan itu kepada rakan-rakannya. Waktu itu, rakan-rakannya akan ketawa terkekek-kekek kerana mendapat habuan daripada Amat.

Tetapi jika guli Amat kurang daripada dua puluh, Amat akan mengambil guli-guli kepunyaan rakan-rakannya dengan cara paksa. Malah Amat tidak akan berganjak daripada bermain guli sehinggalah guli kepunyaannya cukup dua puluh biji. Jika gulinya masih kurang, maka rakan-rakannya terpaksa bersengkang kudrat sehingga ke Maghrib.

Mahu atau tidak, mereka terpaksa akur dengan kemahuan Amat. Jika ingkar, Amat akan mengamuk dan menangis sambil menghentakkan kakinya berkali-kali. Barangkali juga, nama panggilan ‘Amat Dua Puluh’ itu datangnya daripada guli sebanyak dua puluh biji yang tersimpan di dalam unjang kain perca Amat.

“Kak Nab, suruh Amat jangan main dengan kami lagi. Kami dah penat, kami tak suka main dengan orang yang menipu!” bentak seorang kanak-kanak lelaki berseluar pendek dan tidak berbaju.

Aku hanya mendiamkan diri. Lagak aku seperti patung cendana yang tidak mempunyai apa-apa perasaan. Kemudian, kesemua kanak-kanak itu meninggalkan aku yang kejung dan kaku di tepi jendela. Aku sendiri tidak mengerti mengapa aku bersikap seperti orang yang bisu lagi pekak. Barangkali aku mengasihani Amat atau Amat itu adalah adikku yang sedarah dan sedaging menyebabkan aku turut bersekongkol dengannya.

“Nab, ambil ikan ini kemudian kau siang! Mak hendak ke perigi sekejap,” ujar ibu sambil menghulurkan ikan puyu yang baru dikail. Namun, aku masih lagi kaku dan membeku.

“Nab!” sergah ibu apabila melihat aku masih tidak memberi respons.

Serta-merta aku tersentak apabila mendengar suara ibu yang kuat seperti halilintar membelah bumi. Ikan di tangan nyaris terlepas. Ibu mengurut dada berulang kali.

“Kenapa Nab?” tanya ibu sedikit curiga.

“Tak ada apalah ibu.” Aku membalasnya tanpa mahu mengheret ibu dalam permasalahan Amat.

“Ini mungkin pasal Amat? ‘Amat Dua Puluh?” tanya ibu sambil tersengih memandang wajah aku.

Ah, dari mana ibu tahu tentang gelaran nama Amat? Barangkali ibu juga sudah tahu tentang kelakuan Amat terhadap rakan-rakannya? Getus aku di dalam hati.

Aku hanya menganggukkan kepala berulang kali. Segala kegusaran di hatiku sudah terhakis sedikit demi sedikit apabila dapat berkongsi masalah dengan ibu. Sekurang-kurangnya aku tidak dibebani dengan permasalahan yang semakin meracun fikiranku.

Lebih baik ibu mengetahuinya sekarang. Jika berlaku apa-apa kepada Amat suatu hari nanti, pasti ibu tidak terkejut.

“Mana Amat?” soal ibuku sambil mata tangkas meliar mencari kelibat adikku itu.

“Ini sudah tentu sibuk bermain guli sampai tak ingat nak balik rumah. Nab, cuba kau cari adik kau. Hari sudah semakin senja.” Ibu memberikan arahan kepadaku lantas menghilang menuju ke perigi.

Aku segera meletakkan ikan puyu di dalam bekas di atas para. Aku mencapai tudung lalu menutup kepalaku dengan sopan. Hasrat hati ingin segera mencari adikku, Amat. Aku khuatir kalau-kalau Amat diapa-apakan rakan-rakannya. Maklumlah Amat nakal dan suka ambil guli orang lain.

Adikku, Amat wajahnya dipenuhi kurap dan tidak sekacak kanak-kanak lelaki lain. Malah Amat sering diejek dengan panggilan ‘Amat Kurap’ atau ‘Amat Kurap Ayam’ sebelum nama panggilan ‘Amat Dua Puluh’ itu terbit.

Setiap kali Amat dipanggil dengan gelaran itu, hatiku sakit dan mula geram. Bahkan, aku pernah mengejar sekumpulan kanak-kanak yang mengejek Amat dengan panggilan itu. Kumpulan kanak-kanak itu akan lari tidak cukup tanah kerana takut disesah dengan penyapu lidi olehku. Namun tiap kali aku selesai berbuat demikian, air mataku akan tumpah mengalir membasahi pipiku.

Aku paling marah jika adikku dihina dan dicaci kerana kekurangan yang dimilikinya. Kasihan Adikku Amat!

Namun, aku merasa pelik apabila aku langsung tidak marah jika nama ‘Amat Dua Puluh’ menjadi sebutan kanak-kanak kampung. Barangkali nama itu lebih mencerminkan perasaan belas dan simpati daripada nama ‘Amat Kurap’ atau ‘Amat Kurap Ayam’.

Tidak ada seorang insan pun yang suka jika disamakan dengan binatang ataupun penyakit. Kerana Islam itu bersifat adil dan indah maka kejadian seseorang insan itu adalah pada tahap darjat yang paling tinggi berbanding dengan makhluk lain di muka bumi ini.

Langkah kaki terus laju mencari kelibat Amat. Hari semakin senja. Beberapa ekor burung berciak-ciak memanggil pasangan masing-masing supaya segera pulang ke sarang. Mereka juga seperti aku yang sedang mencari Amat.

Pada aku guli tetap guli. Guli tidak ada nilainya berbanding nilai kemanusiaan yang semakin terhakis di hati manusia. Guli itu umpama cerminan mimpi yang warna-warna di dalamnya langsung tidak dapat disentuh.

Kecantikan warna-warna yang terdapat di dalam gelembung kaca itu hanyalah untuk menarik pandangan mata sesiapa sahaja, bahkan kerana kecantikan itulah membuatkan manusia semakin leka mengejar mimpi yang tidak pernah menjadi kenyataan.

Seperti mana cantiknya warna pelangi, begitulah cantiknya warna guli yang akhirnya boleh memudarkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

Kakiku pantas berjalan meredah lorong-lorong sempit menuju ke rumah Tok Zaki yang dijadikan medan pertempuran pemain guli di kampung itu.

Tanahnya yang keras dan kontang membolehkan guli-guli melekat di permukaannya. Setiap kali hentaman padu guli, maka akan berkecamuklah seluruh guli-guli yang lainnya.

“Ada nampak Amat?” tanyaku pantas tatkala bertembung dengan dua kanak-kanak yang sedang menimbang guli.

“Amat Dua Puluh?” soal salah seorang kanak-kanak tersebut.

“Ya...ya Amat Dua Puluh,” ujarku tanpa malu.

“Amat Dua Puluh ada di tepi sungai tadi,” balas kanak-kanak itu yang masih leka bermain guli.

Wajahku tiba-tiba berubah. Mengapa Amat pergi ke sungai? Bukankah ibu telah melarang Amat mandi-manda di sungai? Soalku bertalu-talu di dalam hati.

Benar, sungai di kampung aku itu sudah banyak menelan nyawa manusia yang tidak berdosa. Justeru, ibu lebih suka Amat bermain guli daripada mandi di sungai itu. Aku mempercepatkan langkah menuju ke sungai.

Setibanya aku di sungai, kelihatan ramai orang sedang mengerumun sesuatu. Tiba-tiba sahaja aku jadi tidak sedap hati. Serta-merta hatiku berdegup kencang.

“Amat! Amat!” jeritku sambil menangis.

Kesemua yang berada di situ terkejut apabila mendengar jeritanku. Mereka melihat aku seperti tidak siuman.

“Nab, bukan Amat yang lemas, Nab! ‘Amat Dua Puluh’ telah menyelamatkan kanak-kanak ini daripada mati lemas. Kalau tak ada Amat, entahlah...” ujar seorang lelaki yang memangku seorang kanak-kanak yang sudah tidak berdaya.

Ya, di celah-celah kelibat orang ramai itu, aku dapat melihat wajah Amat yang tersenyum sambil memandang wajah aku. Sejak itu, nama ‘Amat Dua Puluh’ sering disebut-sebut sebagai hero di kampung kami.