lereng bukit terbaring gering
gelupur lumpur berdengkur
amarah tanah terserlah
meradang sumpah.
 
Tanah bukan lagi
seperti hamparan permaidani
tiada rumput, bunga menghiasi
wajah hijau indahnya bumi.
 
Bukan lagi tanah yang dulu
di dadanya lumpur subur
tumbuh padi dan segala ubi
mengisi kepuk rezeki petani.
 
Amarah tanah menanti
bagai taring tsunami
saat meragut kematian 
manusia rakus
meratakan tanah
dadanya terdera
dicurah cuka luka
 
Amarah tanah
tak nampak mukanya murka
saat radang seranah sumpah
gelimpanganlah mayat.

 
AMI MASRA
Subang Jaya