Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Aku mati, kau pun mati!

Lebih 20 tahun lalu, di sebuah perkampungan di utara negeri Perak, seorang kanak-kanak perempuan berusia lingkungan tujuh tahun terjumpa seekor ular di tepi longkang. Ular itu kecil sahaja, masih anak lagi. Panjangnya tidak sampai pun setengah meter dan berwarna putih.

Budak kecil, masih belum faham erti kasihan belas. Dia mengambil sebatang kayu dan PAP! PAP! Diketuknya ular putih berkenaan beberapa kali.

Ular kecil itu menggelepar, berguling, bergulung-gulung dan melilit-lilit badan kerana kesakitan. Mulutnya terbuka. PAP! PAP! Beberapa kali lagi pukulan hinggap ke badan ular berkenaan. Haiwan berkenaan terus menggelepar dan bergulung-gulung, akhirnya kaku tidak bergerak lagi. Anak ular itu sudah mati.

Petang itu badan kanak-kanak tadi tiba-tiba panas. Matanya membulat, mulutnya ternganga. Dia berguling-guling di atas lantai. Badannya diringkuk-ringkuk dan diliuk-liukkan seperti dalam kesakitan yang amat sangat.

Kanak-kanak itu dibawa ke hospital. Namun tiada apa yang mampu dilakukan oleh doktor. Kanak-kanak itu terus berguling, meringkuk dan meliuk-liukkan badan hingga meninggal dunia. Sebagai mana ular kecil itu mati dalam keadaan bergulung dan meringkuk-ringkuk, begitulah dengan arwah.

Adakah kematian kanak-kanak tersebut mempunyai kaitan dengan anak ular yang dibunuhnya? Kisah ini diceritakan kepada saya oleh seorang penduduk yang tinggal tidak jauh dari rumah kanak-kanak berkenaan, baru-baru ini.

Kisah 2: Ular tunggu depan pintu

Kisah di atas mengingatkan saya kepada satu lagi kisah. Ia berlaku kepada seorang kenalan bernama Sumantri.

Sekitar pukul 8.00 malam, Februari 1975, Sumantri meranduk air sungai di Klang Gate, Kuala Lumpur. Tiba-tiba dia melihat seekor ular tedung selar yang berwarna kuning keemasan sedang berenang tidak jauh darinya dan menghala ke seberang tebing sana.

Sumantri, 35, mengejar ular sepanjang hampir 10 kaki. Sejurus ular tersebut tiba di kawasan cetek, dia terus menebarkan jalanya. Ular berkenaan terperangkap. Makin kuat ular itu bergulung dan meliuk-liukkan badan untuk melepaskan diri, makin kuat lagi ia terbelit pada benang jala. Sumantri mengambil sebatang kayu sebesar lengan dan..PAPP!! PAPP! PAPP! Ular tersebut menggelupur dan akhirnya mati setelah dipukul bertalu-talu.

Tapi kisah ini tidak berakhir di situ. Kata orang, jangan bunuh ular sembarangan. Senja beberapa hari kemudian, Sumantri terkejut apabila melihat seekor ulang tedung selar sepanjang empat meter tercegat di depan pintu pondok kebunnya.

Ular itu “berdiri” dan mengembangkan kepala. Beberapa kali haiwan itu melonjak hendak menyerang Sumantri, tetapi jatuh ke tanah semula. Perlahan-lahan Sumantri berundur dan menanggalkan sebatang buluh yang dijadikan lantai pondoknya.Menggunakan buluh itu, Sumantri menyerang ular berkenaan kembali dan memukulnya hingga mati.

Sumantri tertanya-tanya, adakah ini benar-benar ular? Adakah benar haiwan itu bergerak berpasangan, dan berdendam kerana dia telah membunuh pasangannya? Atau...?

Kisah 3: Si gadis jelita

Kejadian ini pula berlaku kepada seorang kenalan, Mohd. Ali Nong dan sahabat baiknya, Kamarudin, pada tahun 1986. Hari itu mereka pergi memburu di hutan Lata Tujuh, Kuala Lipis, Pahang, bersama dua orang lagi kawan.

Pagi, sewaktu sedang menyiang ikan di tepi sungai, Kamarudin terpandang seekor ular bewarna hitam sedang berenang dari seberang tebing, menghala ke arah mereka. Ia melingkar-lingkar di permukaan air.

Tanpa berlengah, Kamarudin mencampakkan pisau ke tanah dan mencapai senapang patahnya. Dia membidik ke arah kepala reptilia itu dan... BBAAAMM!

Ular hitam sebesar betis dan sepanjang enam meter itu bergulung-gulung di permukaan sungai,menggelupur bagaikan gelungan tali, dan akhirnya tenggelam.

Bunyi letupan itu mengejutkan Ali dan dua orang lagi rakannya. Mereka bergegas mendapatkan Kamarudin, kemudian menunggu ular berkenaan dihanyutkan air.

Namun lama menunggu, ular itu lenyap begitu saja. Tenggelam di dasar sungai? Tersangkut di celah batu? Entahlah, pelik juga. Kalau diikutkan logik, tidak mungkin begitu kerana sepatutnya ular itu terapung dan hanyut.

Malam, sewaktu sedang berburu, langkah kaki Kamarudin tiba-tiba terhenti. Dia melihat ada seorang perempuan sedang berdiri di celah-celah pokok tidak jauh darinya. Wajahnya cantik, kulitnya putih melepak. Setelah dua minit berdiri menghadap Kamarudin, wanita itu menghilangkan diri.

Cerita ini belum berakhir. Sewaktu sedang makan tengah hari beberapa hari kemudian, tiba-tiba anak perempuan yang berusia tiga tahun memanggilnya dan memberitahu, ada seorang perempuan berdiri di luar tingkap. Siapa? Dia tidak kenal.

Kamarudin segera menoleh. Kosong. Dia menjengah pula ke luar. Sah, memang tiada sesiapa.

PPAAPPP!!Tiba-tiba kedengaran suatu bunyi kuat dari dalam bilik tidurnya. Namun Kamarudin tidak dapat mengesan punca dari mana datangnya bunyi itu.

Punca itu hanya diketahui pada petang itu sewaktu Kamarudin hendak mengambil senapang patahnya. Kamarudin terkejut kerana buntut senapangnya tercabut. Besi penyambung badan dan buntut senapang sudah patah!

Pelik. Macam mana besi yang sebegitu besar dan kuat boleh patah secara tiba-tiba? Sedangkan, senapang itu masih di tempat biasa, bukannya jatuh ke lantai.

Ada sesiapa yang mematahkannya? Adakah angkara jelmaan perempuan di tepi tingkap? Kalau ya, kenapa? Dan apa pula kaitan antara ular berkenaan dengan perempuan tersebut?

Kejadian ini mengajak anda untuk berfikir. Adakah ini fenomena misteri atau hanya kebetulan saja.

Tidak kiralah apa pandangan anda, jangan lupa kepada hadis Rasulullah SAW bahawa jin itu ada tiga golongan, iaitu yang bersayap dan terbang ke sana ke mari, kedua yang tinggal setempat dan berpindah randah, manakala yang ketiga, berbentuk anjing dan ular. (Hadis riwayat al-Hakim)

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain