“Beli rokok. Beli dadah!”

“Dadah?” Ahmad tergamam. Ingatannya ligat berputar empat tahun ke belakang. Pada masa itu, dadah memang makanan utamanya.

Lili menceritakan masalah sebenar yang dihadapi. Adik angkatnya baharu sahaja mula terpengaruh dengan perbuatan tidak bermoral itu, katanya. Semenjak bekerja sebagai pelayan kedai minuman keras di sebuah kelab malam. Dia mula mengesyakinya selepas pada suatu malam emak angkatnya dipukul adiknya kerana tidak memberinya wang. Dia menyelongkar beg emaknya sesuka hati mencari wang. Dia juga menjadi sasaran adiknya untuk meminta wang.

“Mungkin dia juga akan memukulku,” luah Lili sayu.

Dengan rela hati, Ahmad bersedia membantu. Dia berasa bertanggungjawab untuk menyedarkan setiap insan yang tersesat untuk kembali semula ke pangkal jalan. Hasil pengalaman hitamnya, perkara demikian sungguh tidak berfaedah. Memalukan diri sendiri dan keluarga. Zaman hitamnya, dia pernah memukul Mak Mai kerana wang. Dia pernah mencuri wang Mak Mai. Meragut siang malam. Pergi merempit untuk mendapat ganjaran. Pergi mengedar dadah. Itulah pekerjaan syaitan yang pernah dilaluinya sebelum diberkas semasa merempit dan disyaki positif dadah. Dua tahun dia meringkuk dalam penjara. Enam bulan di pusat serenti. Seperti neraka imbasnya. Syukurlah, aku sudah insaf, fikirnya.

Selepas pertemuan kali kedua itu, Ahamd dan Lili selalu mencari masa untuk bertemu dan membincangkan masalah yang dihadapi adik angkat Lili yang semakin tersesat itu. Lili sangat berharap agar Ahmad dapat membantunya membetulkan keadaan. Dia sudah buntu, katanya. Sudah berbagai cara digunakan tapi tidak berkesan sama sekali.

“Saya mahu bertemu adikmu. Boleh aturkan?” itu tekadnya. Dia akan cuba beri nasihat dahulu berdasarkan apa yang pernah dialaminya sendiri. Manalah tahu berkesan.

“Agak susah sebab dia jarang sekali ada di rumah,” jawab Lili.

“Bertemu di mana-mana pun tidak mengapa.” Ahmad masih tekad. Hajat yang perlu dikabulkan.

“Baiklah. Saya akan cuba.”

Jawapan itu memberi harapan kepada Ahmad untuk menyedarkan adik angkat Lili. Tidak boleh dibiarkan. Lagi kesian kalau dicekup polis. Meringkuk di dalam penjara. Keluar dari penjara, jadi bahan ejekan masyarakat. Dipandang serong seperti sampah yang tidak berguna lagi. Banduan! sampah masyarakat! Penagih! Peragut! Pencuri! Penderhaka! dan macam-macam lagi nama yang dilontarkan menjadi nama jolokan yang benar-benar memedihkan hati. Sama sekali tidak dipandang sebagai manusia lagi. Ingin saja menjadi pekak.

Setelah beberapa bulan Ahmad inginkan pertemuan itu, Lili masih tidak dapat menentukan tarikh pertemuan antara Ahmad, kawan baiknya itu dengan adik angkatnya. Lili masih tercari-cari masa yang sesuai. Azuan sudah semestinya tidak mahu kecuali ditipu atau disogok dengan wang ringgit atau ganja. Lili sudah mengumpul helah yang akan menjerat adik angkatnya yang semakin bertanduk itu. Berkesan atau tidak, belakang cerita. Yang penting adik angkatnya harus mendengar nasihat daripada Ahmad yang pernah mengalami sejarah hitam akibat menagih dadah dan kesannya masih berlarutan. Tidak mungkin akan terpadam lagi. Itulah harapannya. Dia sudah tidak tahan lagi dengan kerenah Azuan. Ingin saja dia melaporkan sendiri kepada polis. Namun, dia masih tidak rela. Dia menumpang kasih bertahun-tahun dengan keluarga itu. Dia berasa sangat terhutang budi. Jadi, itulah sahaja caranya untuk cuba membetulkan keadaan sebelum terdesak.

“Malam ini, di tempat kita bertemu pertama kali.”

“Kenapa di situ?” soal Ahmad tertanya-tanya. Tempat itu memang di tepi jalan raya tetapi agak sepi dan semak samun berselirat.

Lili seakan tidak mendengar soalan Ahmad dan terus pergi membisu seribu bahasa. Ahmad tergamam dan masih cuba meneka jawapan persoalan tadi. Matanya terkedip-kedip seperti baru ternampak sumandak seksi melinggang punggung di hadapan teropong matanya. Sukar juga dia menjawab teka teki itu. “Tak apa.” menolognya sendirian seperti orang gila sambil mengangguk-angguk bodoh.

Senja sudah berlabuh. Suasana muda malam amat sunyi, sesunyi pungguk malam yang terus menantikan kemunculan sang rembulan. Bunyi cengkerik tiba-tiba menerjah bersahut-sahutan memecah kesunyian. Ahmad sudah bersiap. Sudah selesai solat Maghrib dan sudah mengisi perut. Segala bicara yang hendak dituturkan sudah disusun mengikut peri pentingnya. Dia kemudian memohon restu dan izin Mak Mai untuk pergi. Motosikal Honda Wave S 125 miliknya sudah lama menanti. Ahmad menunggang motosikalnya meredah malam ke tempat yang sudah dijanjikan Lili pagi tadi. Tempat yang padanya sangat tidak sesuai untuk pertemuan itu. Sepatutnya pertemuan itu di bilik kaunseling atau di surau atau di kedai kopi atau di restoran pun boleh. Namun, apakan daya, adik angkat Lili sudah menetapkan tempat itu. Lagi pun sudah tekadnya untuk bertemu orang sesat itu walau di mana jau. Itu hasrat sucinya.

Sesampai di situ, dia meninggalkan motosikalnya di tepi jalan, kemudian berjalan sayup-sayup menyusur jalan hutan ditemani lampu suluh yang cahayanya agak kuning menuju Sungai Tawanan. Dia sudah biasa ke situ. Setiap hujung minggu, dia akan datang mengail ikan puyu dan keli walau jarang mengena. Satu-satunya anak sungai yang belum tercemar. Embun malam sudah merenyam sejuk. Bunyi-bunyi hutan bersahutan. Deras sungai sudah kedengaran. Ucapan salam dilafazkan namun tidak bersambut. Tempat yang dijanjikan kosong. Tiada sesiapa ada di situ. “Lili!” panggilnya. Juga tidak bersambut. Mungkin belum sampai, fikirnya. Ahmad berdiri mengibas-gibaskan sapu tangannya menghalau pontianak malam yang lincah hendak menghisap darah. Dia masih menanti.

Tiba-tiba beberapa kelibat bayang manusia datang menerkam dan menangkap tangannya sepantas kilat, serentak sehelai sapu tangan ditekup ke hidungnya. Bau yang sungguh hangat dan menyelinap pantas sehingga mematikan segala nadi jantungnya. Penglihatannya kian pudar dijamah malam. Badannya sungguh tidak bermaya seperti wanita yang baharu habis bersalin. Dia tidak bermaya lagi untuk menggerak-gerakkan tulang empat keratnya. Lemas dan tidak berdaya. Bayang-bayang manusia yang tidak sempat dikenalinya tadi menghempasnya rebah ke pangkuan bumi. Mukanya tersembam mencium dada bumi. Pasir, tanah seakan suka bergelak ketawa melihatnya demikian. Dia tidak merasa apa-apa sakit, namun kudratnya hilang sama sekali. Dia tertiarap di atas dada tanah seperti mayat. Sesekali telinganya dapat menangkap gelak tawa manusia. Serak-serak dan penuh dosa. Mungkin mentertawakan aksinya yang begitu. Ia..., memang sangat menggelikan hati. ‘Suara Lili? Kenapa dia mengejekku di saat begini, fikirnya. Pandangannya berbalam-balam dan semakin rabun. Fikirnya ajal sudah tiba. Sedarnya hilang menerbitkan lena ngeri! Mungkin mati!

Setelah tersedar daripada ‘mati’, dirinya sudah digari dan dikelilingi polis. Tubuhnya terlalu lemah. ‘Aku bermimpi agaknya?’ bisiknya lemah dalam hati.

Ujian pemeriksaan air kencing terhadap Ahmad kemudian dijalankan.

“Apa salah saya?” Ahmad bertanya, tidak bermaya.

“Anda positif dadah,” kata seorang anggota polis.

“Ahhh …, Positif dadah? Tidak mungkin!”