“Jom, aku bawa kau jalan-jalan sekitar kampungku. Aku bawa kau ke Benut, minum cendul madu, best sangat. Kalau kau sudi, kita menginap semalam di Tanjung Piai, menikmati aroma rasa masakan laut dan khazanah marina.” Suatu lonjakan suara Damia yang sepantas itu pula melampias keriangannya.

Zulaikha terpempan, tidak terkata untuk beberapa ketika. Bagaimana impiannya untuk menikmati autentiknya semua venue tersebut yang terpaksa tertunda ekoran kewafatan ibunya secara mengejut dua tahun lalu.

Perancangan Allah maha hebat dan betul. Secara tiba-tiba igauan itu datang kembali. Di kala dia telah tidak ingatpun akan keunikan nuansa destinasi pelancongan di selatan tanah air itu. Ragam budaya dan sosial orang Jawa yang hendak sangat diikuti dan dipelajarinya ketika itu, muzium nanas dan permainan tradisi wayang kulit, layang-layang serta gasing yang tak sempat dilihat secara realia, bakal tertunai sekarang.

Set. Zulaikha dan Damia berkemas ala kadar. Hanya berbaju T dan jean sederhana longgar cukup untuk menampilkan mereka seperti zaman kegemilangan seorang siswi. Seakan dijanji, mereka berpakaian sedondon dengan masing-masing mengenakan pashmina kuning air polos melindungi mahkota masing-masing.

Kali ini Damia yang memandu kereta mewah kerana dia yang lebih tahu selok-belok dan destinasi yang bakal dilalui dan disinggahi. Dari Desa Puteri Menangis, tempat penginapan Zulaikha, mereka melalui jalan kampung yang menampilkan panorama sekitar yang serba sederhana.

Seperti selalu, pemandangan klise dengan tanaman nanas mendominasi sekitaran, saujana mata memandang. Putik-putik nanas klon baharu yang mula bertunas menandakan lambat lagi musim menuai dan terlepaslah peluang untuk mereka menikmati rasa nanas segar dari ladang.

Di beberapa sudut, kelihatan juga taman industri yang mula bertapak di situ. Sesekali kelihatan kebun getah dan kelapa sawit cuba menyaingi penguasaan nanas. Kalau dahulu, ia menjadi komoditi utama negeri Johor, kini getah dan nanas seakan tewas dengan tanaman kelapa sawit yang lebih dominan dan mendapat pasaran lebih meluas.

“Ah, hilanglah identiti negeri Johor,” rungut Zulaikha sambil pandangannya tertancap pula pada deretan kilang elektronik yang wujud di sepanjang jalan dari Benut ke Pontian.

“Jom, kita berhenti jap. Kita minum petang kat warung tu, pekena cendol madu dan pecal,” Damia seakan tidak melayan rungutan rakannya sebentar tadi. Mungkin dia sudah lali dengan kritikan sedemikian lewat bertemu dengan rakan-rakan dari luar Johor.

Malas dah dia hendak menjawab dan memberi ulasan lagi. Kereta diparkir. Mereka menapak ke warung yang sederhana besar tetapi ramai pengunjungnya. Waktu-waktu petang begini ramai yang baru pulang bekerja, tak kurang yang bersantai bersama keluarga.

“Ai, kau macam dah biasa je dengan tempat ini...,okey ke makanannya?” Zulaikha menguja. Matanya tidak berkedip melihat orang lalu-lalang dan keluar-masuk ke warung ‘Cendol Madu Wak Sonto’. Walaupun warungnya amat sederhana, tetapi jumlah pengunjung melebihi kapasiti.

Tiga orang pembantu berperanan di bahagian hadapan, mengambil pesanan dan menghantar makanan. Tiga orang lagi termasuk orang yang dipanggil ‘wak’ dan seorang perempuan, seakan sebaya. Seorang lagi wanita yang kelihatan lebih muda dan bergaya bertugas bersama.

“Kau pekena sekali, nanti baru tau,” ringkas sahaja jawapan Damia. Sebentar datang pelayan membawa cendol madu, pecal dan air kosong serba dua.

Damia dan Zulaikha menjamah hidangan tersedia di meja. Sengaja Damia tidak memberi sebarang komen, ingin melihat reaksi Zulaikha terlebih dahulu. Sekali hirup, dua kali, tiga kali. Zulaikha seakan tidak mahu berhenti.

“Wah, sedapnya cendol ni...,menusuk ke kalbu, wei!” Zulaikha mengangkat kening mata tanda terpesona dengan perisa cendol buatan asli anak Benut. Sekali pandang memang macam cendol biasa. Ada ais kisar, cendol, santan, air gula Melaka. Itu ramuan asas, jika hendak ditambah aksesori boleh dicampur cendol dengan kacang merah, atau jagung, atau pulut, atau durian dan sebagainya. Tapi ternyata rasanya lain dari yang lain, ada ‘kick’.

“Ha…, itulah rahsia cendol madu Wan Sonto ni…” baru Damia mahu tergelak.

“Cendol dah habis, yang ini aku tak perasanlah apa namanya...,rasanya pernah makan.” Zulaikha membelek-belek adunan sengkuang, timun, kangkung dan nanas fresh yang digaul dengan kuah kacang.

“Tak kan lupa kot…,itu kan pecal!”

“Aa.. ye! Pecal, baru aku ingat. Dulu kita makan kat pantai Lido kan. Ha.., ha…, memang best ni. Pandai je kau gagalkan diet aku ye!” Zulaikha meneruskan seloroh.

Alhamdulillah, sejak adik keduanya tamat sekolah dan menjaga ayah, dapatlah Zulaikha mencari ruang untuk diri sendiri. Mencari cinta yang tercicir sebenarnya. Cinta dan kerinduan kepada sahabat, kepada kehidupan dan kepada cita-cita asalnya.

“Eh, dah lama ke warung ni beroperasi, Damia?” Zulaikha cuba korek rahsia. Bukan apa, dia memang minat bidang perniagaan. Malah bercadang nak buka firma atau syarikat sendiri bila tiba masanya nanti.

“Dah lama Zu. Dari aku kecik lagi. Kau tahu mana rumah Wak Sonto? Tu..!” Damia segera menjuihkan muncung bibirnya ke arah sebuah banglo mewah di tepi bukit. Kemudian..., itu ke satu lokasi lain yang memperlihatkan sebuah lagi banglo sederhana. Mata Zulaikha terjegil mengikut arah muncung bibir Damia serentak jarinya menunjukkan angka dua.

“Mak datuk! Dua biji banglo?” Zulaikha geleng-geleng kepala. Dia ingat juga rumah agam Damia, walupun ayahnya hanya kerja kampung, tapi kaya dan dihormati. Ke mungkin orang kampung ni kaya-kaya? Gumam Zulaikha.

“Jangan sangka kerja sendiri ini tak boleh jadi kaya raya, Zu. Ha, ni jual cendol madu je. Tapi Wak Sonto sekarang dah ada lima cawangan warung macam ni. Semua maju, anak-anaknya yang jaga,” Damia huraikan empayar cendol madu Wak Sonto. Makin besar lopong mulut Zulaikha.

“Wak Sonto bukan sahaja rajin tapi dermawan, adil dan saksama,”

“Adil dan saksama? Apa kena mengena dengan kerjanya?” Zulaikha terpinga-pinga dengan frasa Damia yang ini.

“Kau tahu tak? Yang bantu dia kat belakang tu isteri Wak Sonto. Yang tua, isteri pertama, yang muda tu, isteri kedua.” Damia separuh berbisik. Zulaikha terdiam sebentar, melilau matanya melihat kelibat kedua isteri Wak Sonto yang mesra bukan main. Di wajah mereka, tidak tergambar pun apa-apa perasaan curiga. Betul agaknya kata Damia tadi. Wak Sonto berlaku adil dan saksama. Masing-masing Wak buatkan sebuah banglo seorang.

“Kerana cendol madu itu, Wak Sonto memikat isteri mudanya…,kih kih,” ada tawa kecil di hujung bicara Damia. Zulaikha mendengus sambil bibirnya mencebik senget. Dia lontar pandangan ke arah dua isteri Wak Sonto.

“Oi.. mek..! Apa yang difikirkan tu? Sengih sorang-sorang..!” sergah Damia, membuatkan Zulaikha tersentak dan tergelak. Mereka kembali ke arena dialog santai. Sudah sah! Perniagaan ini memang menguntungkan. Dalam diam Zulaikha memeta perancangan perniagaannya.

Terengganu terkenal dengan kelopok lekor, nasi dagang dan sutera. Johor pula dengan makanan tradisi seperti cendol, pecal dan produk daripada nanas. Zulaikha nampak proses perkongsian pintar itu.

Bekalan nanas yang banyak di ladang bapa Damia, keenakan cendol madu Wan Sonto dan keunikan pecal yang belum popular di Terengganu akan dikolaborasikan dengan produk negerinya.

Wah, nampak! Ternyata sudah ada prospek di situ. Industri makanan memang cabang yang paling dominan dan berpotensi dibangunkan. Maklumlah kalau barangan lain, mungkin orang beli sekali-sekala sahaja. Tapi makanan keperluan hari-hari. Itu yang tertanam di hatinya kini.

Harap dan cinta yang terpaksa ditinggalkannya untuk kembali buat sementara. Namun azam itu telah kejap tertanam di sanubarinya. Zulaikha akan bugarkan azam tersebut apabila tiba musimnya nanti. Dan pasti dia akan ke mari lagi untuk mengutip kembali cinta yang tertinggal itu.

Perjalanan kembali ke Pantai Timur lebih tenang dan sarat dengan pengisian. Bukan sahaja mindanya terisi dengan resipi niaga yang sempat diberi Wak Sonto, malah boot keretanya juga sendat dengan nanas aneka speseis dan pemberian lain keluarga Damia.