Sejak semalam lagi, kami sudah berjanji berkumpul di sini. Thanusya dan Nitha sudah sedia menanti. Rambut masing-masing yang separas pinggang terlihat cantik berdandan lipan. Tanpa berlengah, kami berempat berlari-lari anak menuju ke papan jongkat-jongket. Hari ini, saya akan berpasangan dengan Thanusya. Nitha pula beregu bersama Asina.

Kami mengambil tempat. Seronoknya rasa. Jongkat-jongket kami makin lama makin laju turun naiknya. Tidak tertahan geli hati saya melihat kegayatan Thanusya apabila papan jongketnya berada di atas. Terkekek-kekek kami ketawa. Hingus yang meleleh, saya kesat dengan hujung baju.

“Ondru!” Suara Nitha masih melantang.

‘Ondru!” Kami mengikut serentak. Jongkat-jongket semakin stabil turun naiknya.

“Rendru! Mundru! Naangu!” Nitha semakin laju mengira. Tangannya tergawang-gawang seakan-akan sedang terbang di angkasa.

“Rendru, mundru, naangu!” Kami masih kumat-kamit mengikut. Hampir tergeliat lidah rasanya. Ditambah dengan sebutan huruf R yang belum fasih. Skirt kami terkadang terkembang mengikut turun naik papan jongket.

Sesekali, aroma tengik asap dari kilang pemprosesan minyak kelapa sawit di hujung estet menerjah hidung. Sebagai anak-anak estet, aroma itu sebenarnya sudah sebati dengan deria bau kami. Bau yang kadang-kadang meloyakan tekak dan mengganggu hidung.

“Azila! Asina! Balik dulu mandi, baru main!” Suara emak tiba-tiba menerobos telinga. Saya pandang Asina. Asina kelihatan tergopoh-gapah turun dari papan jongkat-jongket. Riak muka sudah cembeng. Cengeng! Mujur hujung skirtnya tidak tersangkut.

“Ayo, awak berdua punya amma sudah panggil.” Kata-kata Nitha menambahkan lagi kecut perut kami. Sepantas kilat kami mencapai selipar dan memulakan larian sepantas mungkin menghala ke rumah. Sejenak, kami berhenti dan berpaling. Tangan dilambai-lambai kepada Thanusya dan Nitha yang masih terus bermain di padang permainan tersebut.

Saya heret tangan Asina masuk ke dalam rumah. Kami lihat emak sedang ralit menguli roti canai di atas meja makan. Wah, sedapnya!

“Mak masak roti canai ke?” Sudah terbayang-bayang roti canai banjir yang disirami kuah kari emak.

“Ya. Pergi bawa adik mandi dulu. Lepas tu, baru sarapan ya.” Lembut nada suara emak memberi arahan.

Pantas kami mengambil tuala dan menuju ke bilik air. Kami tidak mengambil masa yang lama. Usai memakai baju, kami menuju ke meja makan. Sudah terhidang sejag Milo separa panas dan sepinggan roti canai emak yang masih berasap nipis.

Kedengaran pintu bilik air ditutup emak. Dari dalam bilik air, emak melaungkan arahan baru.

“Ila, pergi ambil kuah kari Mak Cik Syarifah kamu…” Lempang-lempung hon van penjual ikan tiba-tiba melantun bersekali suara pemandunya.

“Ikan! Ikan! Ikan! Sayur! Sayur! Sayur!”

Saya bergegas keluar. Pintu rumah saya tutup rapat. Laju kaki saya melangkah menuju ke rumah Mak Cik Syarifah.

Sebagai keluarga minoriti Melayu dalam komuniti estet ini, tidak sukar untuk saya mengenal rumah Mak Cik Syarifah. Rumah pekerja di sini dibina seragam, berkembar dua. Rumah Mak Cik Syarifah yang paling hujung. Mak Cik Syarifah memang kawan baik emak. Selalu saya nampak pada waktu petang, emak akan berbual-bual bersama Mak Cik Syarifah beserta jiran-jiran yang lain di hadapan rumahnya.

Saya mengetuk pintu rumah Mak Cik Syarifah.

“Assalamualaikum! Mak cik! Ooo mak cik!” Van penjual ikan sudah makin ramai dikerumuni pembeli. Mak Cik Syarifah menjengukkan muka melalui tingkap di sisi kiri pintu. Sejurus, pintu terbuka.

“Kenapa Ila, pagi-pagi datang rumah mak cik?” Nampak kalut pula wajah Mak Cik Syarifah saya lihat. Kepalanya berbungkus tuala.

“Emak suruh ambil kuah kari kat rumah mak cik.” Saya menyampaikan arahan emak kepada Mak Cik Syarifah. Jelas.

“Kuah kari? Aih, bukan tadi mak cik dah hantar ke rumah kamu, semangkuk? Mak kamu nak lagi?” Dahi Mak Cik Syarifah berkerut.

“Haah. Mak yang suruh.” Saya cuma bersikap jujur. Polos. Mak Cik Syarifah kelihatan berkira-kira mahu meluah kata.

“Erm, dah habislah pula. Tinggal semangkuk je lagi. Itu pun untuk Pak Cik Rabiat kamu balik makan tengah hari nanti.” Kerutan di dahi Mak Cik Syarifah masih belum hilang. Saya mengucapkan terima kasih lantas menyusun langkah menuju semula ke rumah.

Lain betul rasanya arahan emak kali ini. Tak pernah dibuat emak menyuruh saya pergi ke rumah orang lain untuk meminta makanan. Selalunya emak yang masak. Emak memang rajin memasak. Air tangan emak memang terbaik. Selalu mendapat pujian daripada jiran tetangga.

Sedang saya tertanya-tanya sendiri, hayunan kaki saya sudah pun sampai di depan pintu rumah. Saya nampak, emak sedang berdiri di muka pintu. Asina berdiri di sebelah emak dengan mulut bersempuras kuah kari dan cebisan roti canai.

“Kamu ke mana, Ila?” Keras intonasi emak bertanya. Wajah emak berona marah.

“Ila pergi rumah Mak Cik Syarifahlah.” Saya menjawab sedikit lambat.

“Buat apa pergi rumah orang pagi-pagi buta ni? Kamu buat apa ke sana?” Lantunan suara emak semakin jahar.

“Ha, Kak Nor. Kuah kari apa yang diminta Ila? Aku pun hairan.” Suara Mak Cik Syarifah tiba-tiba terdengar di belakang saya. Rambutnya masih bersanggul tuala.

“Astagfirullahal’azim.” Emak beristighfar panjang. Semakin pelik saya dengan situasi yang berlaku sekarang.

“Dia pergi rumah kamu minta kari, Pah?”

“Ya, Kak Nor. Aku katalah aku dah bagi Kak Nor semangkuk pagi tadi. Katanya, Kak Nor yang suruh datang minta lagi kari aku. Sedap sangat ke pun aku masak sampai minta lagi ni?” Mak Cik Syarifah tertawa kecil di hujung bicaranya. Muka saya sudah memerah. Semakin jelas situasi yang kabur sebentar tadi.

“Bertuah betul budak Ila ni!” Emak membuang pandang ke arah saya. Saya melarikan mata ke arah van penjual ikan di hadapan rumah. Saya teringat bunyi hon yang tiba-tiba membingit serentak dengan suara emak memberi arahan dari dalam bilik air tadi. Ya, lengkingan bunyi hon van ikan yang patut disalahkan!

“Kak Nor suruh dia ambil gulai kari yang kamu bagi tadi dalam gerobok. Ada ke patut dia pergi ke rumah kamu, minta lagi gulai kari? Aih, malunya Kak Nor dibuat dek budak ni. Di mana diletaknya telinga agaknya budak ni!”

Mak Cik Syarifah berdekah-dekah ketawa. Saya, melangkah masuk ke dalam rumah dengan rasa malu yang tak terkata.


Glosari

ondru : satu

rendru : dua

mundru : tiga

naangu : empat

cembeng / cengeng : mudah menangis

bersempuras : berselekeh, comot

jahar : nyaring